Thursday, 12 July 2012

CERPEN: KU usir Debu-Debu Noda Semalam (antalogi orang berdosa ILHAM)


 


“Awas, calar kereta aku.. nahas kau!” suara ku tekankan kuat. Biar lelaki tua ini sedar dengan siapa sedang dia berurusan.

“Ya nak, pakcik buat elok-elok!” tutur dia lagi sambil menjinjing baldi biru yang sudah pudar warnanya manakala tangan kiri itu pula kemas memegang kain buruk untuk membersihkan Honda City pemberian mama tempoh hari.  Aku angguk sahaja tatkala mendengar patah bicaranya, dan sesekali mata ini liar memerhati seluruh susuk tubuh kurus kering itu. Fizikal serta penampilan itu ku analisa satu persatu! Cukup daif! Pasti dia dari golongan yang malas berusaha keras! Kesimpulan awal bermain-main di sudut hati.
Tanpa sedar, pakaian yang compang camping dan koyak rabak di hujung seluar yang tersarung buat aku tergelak sendiri. Manusia macam ni pun masih ada lagi di muka bumi ni, miskin! Papa kedana! Itulah kalau terlalu malas bersusaha, mengharap belas ehsan golongan kaya raya seperti keluarga aku. Agaknya, kalau tiada cukai yang dikenakan kepada golongan kaya, mesti orang-orang seperti lelaki tua ini sudah hidup merempat! Huh, silap haribulan boleh jadi mangsa kebuluran seperti di Afrika! Heh... itulah padah, kalau tiada keinginan untuk berubah!


Usai menganalisa penampilan lelaki itu, aku kalihkan pandangan tepat ke arah pasar borong yang dikunjungi oleh Erin dan Zemy. Entah apa mereka buat di sana, sudahlah panas... Huh, bau busuk  usah dikata, hamis dan hanyirnya menyengat hingga ke rongga hidung! Apalah malang nasib aku hari ni, jika tidak terlalu menurut kemahuan mereka semua, sudah tentu aku tak perlu menghadap perkara yang menjengkelkan seperti ini. Hessy, bencinya! Aku geleng kepala kerana kesal dengan diri sendiri, kesal kerana bersetuju mengekori mereka untuk mengikuti aktiviti perkhemahan ini. Entah kenapa, langkah kaki ini terasa berat sahaja sedangkan aktiviti mendaki gunung dan melakukan jungle tracking adalah salah satu minat dan kegemaran ku sejak zaman universiti lagi. Namun untuk kali ini, aku bagai tidak bersemangat sahaja. Puas juga mereka memujuk, akhirnya aku akur demi mencukupkan korum. Tambahan pula, mereka merasakan aku adalah individu yang paling layak dibawa bersama lantaran sudah sering kali aku menawan puncak gunung yang bakal ku daki sebentar nanti. Dalam diam, terselit perasaan bangga! Menyedari mereka masih belum muncul, telefon bimbit ku keluarkan dari poket seluar lalu nombor Zemy ku dail segera.

“Lamanya korang ni, cepatlah! Aku panas tahu tak,” rungutku di talian ketika mengubungi Zemy.
“Sabarlah beb, kitorang beli barang penting ni! Dah tahu panas, apasal tak lepak dalam kereta?” soal Zemi di hujung corong telefon. Aku ketap bibir, tubuh yang sedang berdiri di bawah sepohon pokok ketapang yang merimbun ku bawa mendekati kereta yang sedang di cuci oleh lelaki tua tadi.

“Okey, cepat sikit! Busuk gila... tak tahan hidung aku!” rungut ku lagi lantas talian ku matikan. Aku mengeluarkan kunci kereta dari kocek seluar, lantas alarm ku tekan. Pintu ku tarik dan aku boloskan diri ke dalam, namun mata ini masih sempat memerhatikan susuk tubuh lelaki tua yang sedang leka membersihkan Honda City ini. Lembab! sekali lagi aku menyelar tindak tanduknya. Entah apa yang membuatkan aku terlampau membenci lelaki tua itu, aku sendiri tidak pasti. Mungkin kerana ego dan prinsip diri yang lama ku tanam di dalam jiwa. Golongan seperti itu, tidak seharusnya diberi muka dan layanan yang terlampau baik. Pasti tiba satu ketika, mereka akan mengambil kesempatan!

Aku rebahkan tubuh ke seat sambil volume radio ku kuatkan. Sedang asyik melayani lagu, cermin kereta diketuk. Aku toleh ke sisi kanan, wajah lelaki tua tadi terjengul dengan senyuman yang menguntum di bibir. Laju sahaja tubuh ku tegakkan kembali dan cermin kereta ku turunkan sedikit, lantas aku bertanya kepada lelaki itu.

“Berapa?” soal ku angkuh tanpa memerhatikan raut wajah yang sedang mempamerkan senyumannya.

“Lima ringgit nak!” gumamnya perlahan dan penuh sopan santun. Aku angguk kepala, jari jemari ligat mencapai beg duit di atas dashboard. Aku belek satu persatu not yang terdapat di dalam beg duit, semuanya wang besar. Tiada satu pun not lima ringgit. Lantas aku menarik keluar not lima puluh ringgit dan ku kepitkan di antara dua jari lalu ku sua ke arah luar cermin tingkap. Wajah ku palingkan dari melihat wajah lelaki tua itu. Cukup menjengkelkan!

“Eh, banyak sangat ni nak! Lima ringgit je,” tolak lelaki itu perlahan tidak mahu menerima bayaran lima puluh ringgit dari aku.

“Ambik ajelah!” tutur ku kasar. Sekilas, raut wajah itu ku hadiahkan dengan jelingan tajam!

“Tak boleh nak, lima ringgit je!” gumam dia lagi. Aku naik angin, panas hati! "Kalau orang dah bagi tu, ambil ajelah, tak perlu menolak itu berdalih ini. Hishh.... menyusahkan betul!" hambur ku membuatkan lelaki itu terkedu. Aku lihat, ada riak kesal yang terpeta diwajahnya! Ah, persetankan!

“Ni nak ambik ke tak nak?” soal ku semakin kasar.

“Pakcik tak boleh ambil lebih dari kerja yang pakcik buat nak. Lima ringgit bukan lima puluh..” meleret tutur kata lelaki itu.

“Hei, ni nak ambik ke tak nak? Banyak cakap pulak, dah tahu hidup tu miskin, papa kedana.... tak payah nak berlagak senang pulak! Suka hati engkaulah, kalau nak, cepat ambik! Kalau dah rasa terlalu kaya, kau buanglah mana-mana yang kau suka! Aku peduli apa!” bentakku sambil campak not lima puluh itu ke arah luar tingkap. Laju sahaja tingkap ku naikkan segera dan wajah terkilan lelaki tua itu sempat singgah ke pandangan mata. Ah pedulikan dia!

Buat seketika, aku toleh semula lelaki tua tadi. Dia sedang melangkah meninggalkan aku dengan not lima puluh ringgit di hujung jarinya. Langkah kaki yang lemah itu ku pandang jelek.

“Ceh kata tak nak konon, at last ambik jugak! Berlagak! Tak sedar diri tu miskin, banyak songeh pulak. Orang dah bagi, ambil ajelah!” Cemuh ku dalam hati. Puas memerhatikan susuk tubuh itu berlalu dengan baldi dan kain buruknya, aku sandarkan semula tubuh. Mata terasa berat, sementara menunggu Zemy dan Atikah ada baiknya andai aku lelapkan mata untuk seketika. Sekurang-kurangnya, perjalanan menuju ke Gunung Ledang nanti tidaklah meletihkan jika aku sudah cukup rehat.

Tokk..tokk.. aku tersedar dari tidur, laju sahaja aku menoleh kiri kanan. Mata ku pisat berkali-kali saat terlihat lelaki tua tadi berdiri di sebelah luar pintu kereta. Dia lagi, tak serik kena maki hamun agaknya!

“Nak apa lagi?” pekik ku sambil menurunkan cermin kereta.

“Pakcik nak pulangkan duit lebih anak tadi,” duit kertas berbaki RM45 ringgit dihulurkan ke arah aku. Aku sambut dengan teragak-agak.

“Terima kasih ya nak, ada lauk untuk pakcik sekeluarga hari ni.” Ucapnya sambil unjuk plastik berisi ikan kembung ke arah ku. Aku tekup hidung, terasa loya tekak ini menghidu hanyir ikan laut itu.

“Sudah-sudah, bawak benda tu jauh! Busuk!” isyarat tangan ku layangkan agar lelaki tua itu dan ikannya segera menjauhi aku.

“Berhati-hati dekat sana ya nak, kalau ada apa-apa yang terjadi. Ingat Tuhan selalu,” pesannya sebelum berlalu pergi. Aku diam tidak berkutik, sempat lagi lelaki ini memberi tazkirah percuma kepada aku. Hishh.... suka hati akulah! Tapi. dia tahu ke aku nak kemana? Huh, menyibuk betul! Dia ku sumpah dalam hati, namun minda mengarahkan aku memerhatikan semula lelaki tua tadi. Tanpa berlengah, aku panggung wajah mencari cermin pandang belakang. Kedudukan cermin yang tidak berapa jelas itu aku laraskan dengan pantas, ingin melihat susuk tubuh yang baru sahaja berlalu pergi. Namun tubuh yang ingin ku perhatikan tiada, aku toleh pula pada cermin sisi. Sama! Lelaki itu telah hilang bersama ikannya. Ah.... persetankan! Aku tegakkan semula posisi tubuh lantas kedua tangan ku lekapkan di stereng kereta lalu aku sembamkan wajah ke situ. Terasa lama benar menunggu Erin dan Zemy kembali semula ke kereta.

“Apasa korang ni lama sangat hah? Boring aku tunggu dalam kereta ni!” bentak ku tidak puas hati. Dengan dahi yang berkerut aku soal mereka sebaik keduanya masuk ke dalam kereta.

“Tulah kau, aku ajak turun tak nak! Berlagak, busuk la... itulah.. Best apa pergi pasar borong! Kau tengok berapa banyak kitorang memborong tadi kan Zemy?” ucap Erin  minta Zemy menyokong katanya.

“Serius, aku teruja! Firts time pergi pasar borong beb! Unexpexted!” tegas Zemy yang baru pulang dari luar negara. Aku mencemik mendengar kata-kata mereka tadi. Entah apa yang ada di sana selain sesak dan panas itu. Aku tak suka bersesak-sesak!

“YANG lain mana weh? Dah sampai ke?” tanya Zemy pula. Aku tenang memandu sesekali rambut yang kemas berpotongan pendek ini ku raup ke belakang.

“Ha’ah Fiq, yang lain mana?” aku jungkit bahu dengan pertanyaan Erin.

"Manalah aku tahu, kau calllah dia!" cadang ku tanpa rasa.

“Diorang dah nak sampai dah! Ni ha... SMS ni baru je aku dapat!” SMS yang diterima Zemy diunjuk ke arah aku.

“Okeylah, kau drive carefully Fiq! Kitorang nak tidurlah! Kau jangan marah ek hihihi...” tawa Erin sudah kedengaran perlahan.

“Hmm..” balas ku pendek. Dan aku masih tenang memandu membelah lebuhraya. Dua jam memandu akhirnya kereta yang dipandu tiba ke destinasi yang dituju.

“Apasal lambat ni? Dah berjam kitorang tunggu,” rungut Hakim dan Haziq serentak. Natasha dan Luqman juga turut serta. Sambil jungkit bahu kanan aku bersuara. “Kau tanyalah Erin dengan Zemy! Apa yang diorang buat dekat pasar borong Selayang tu!” tegas ku sambil mengeluarkan bag packer dari boot kereta.

“Ala relaks la, kitorang beli barang untuk camping ni. Ha tengok, banyak tak stock makanan yang kitorang beli?” ujar Erin tidak mahu mengaku salah.

Whateverlah, okey sekarang kita briefing dulu sebelum kita naik ke pucak ni. Sekarang baru pukul sepuluh pagi, kita naik ke atas ni then sebelum petang kita turun semula. camping dekat tepi air terjun tu! Okey? Ada apa-apa lagi nak tambah?” tanya Hakim ketua ekspedisi.

Aku geleng kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan Hakim, mata ini sempat lagi memerhatikan Haziq yang sedari tadi senyap tidak bersuara. Lelaki ini baru sahaja berkahwin kalau tidak salah perkiraan ku.

“Pastikan jangan ada yang berpecah, ingat mesti jalan dalam kumpulan. Yang di bahagian hadapan sekali aku akan guide, dekat belakang aku serahkan dekat kau Zemy! Erin dan Tasha make sure, jangan sesekali berpecah. Lagi satu aku nak ingatkan, kita dekat tempat ‘orang’ jangan sesekali cakap besar dan tegur benda yang pelik-pelik. Ingat tu!” pesan Hakim lagi.

“Baik bos,” serentak mereka bersuara.Hanya aku yang diam membisu tanpa suara. Apa yang hendak aku bimbangkan, gunung ini sudah acap kali ku tewaskan. Tiada maknanya untuk sesat!

“Okey, kita mulakan aktiviti kita dengan bacaan doa. Semoga perjalanan pergi dan balik kita selamat!” ucap Hakim sambil mengisyaratkan Haziq memimpin bacaan doa. Aku hela nafas, terasa berat sungguh hati ini untuk meneruskan pendakian. Namun, sebahagian hati mahu aku menunjukkan segala kehebatan yang aku miliki. Hebat seorang pendaki yang sering kali menawan puncak bukit dan gunung! Dalam waktu-waktu begini, ada rasa bangga terselit di sudut hati ku!

“Hoi, doalah!” bisik Erin saat aku masih termangu-mangu. Dia menyiku perut ku, mengisyaratkan agar aku menadah tangan berdoa sama sepertinya.

“Kita bukan nak berperang, kita nak daki gunung je pun!” selar ku perlahan.

“Suka hati kaulah Syafiq io! Malas aku nak cakap,” omel Erin sambil mengalihkan pandangannya ke tapak tangan.


Pendakian bermula dan nyata aku yang selalu menjalankan aktiviti ini tidak mempunyai sebarang kesulitan, berbanding yang lain terlalu mudah penat dan pancit di tengah –tengah pendakian.

“Fiq, sabarlah wei! Yang lain tengah pancit tu! Relaks dulu,” gumam Erin yang mengekori aku dari arah belakang.

“Ketua pun pancit ke?” Hakim yang sudah terduduk di akar kayu yang melintangi laluan pendakian ini ku gelakkan sinis.

“Tak baiklah kau ni Fiq, diorang tak biasa mendaki macam kita. Kau janganlah nak gelakkan pulak,” protes Erin sambil membuka penutup botol mineral lalu diteguk rakus menghilangkan dahaga. Aku masih lagi dalam mood tawa yang tak sudah.

“Belum lagi daki gunung Kinabalu, baru gunung Ledang pun dah lembik. Pancit sana sini,” gumam ku menyindir meraka yang hampir kesemuanya sedang terduduk kepenatan. Hanya Zemy yang sedang memegang batang kayu berdiri di barisan paling belakang sekali turut berhenti merehatkan diri sambil meneguk mineral yang dibawa bersama ketika memulakan pendakian.

“Woih.... agak-agaklah! Jangan cakap besar boleh tak!” marah Erin lagi. Aku mencemik lantas mengambil keputusan untuk meneruskan sahaja pendakian gunung ini melalui denai-denai dan trek sedia ada.

Stop Syafiq! tunggulah yang lain dulu,” ucap Erin mengingatkan aku.

Aku tetap berdegil meneruskan pendakian keseorangan, apa yang susahnya. Mereka pun akan mendaki dan melalui trek yang sama. Dan mustahillah untuk aku sesat.

Sedang leka mendaki, aku memerhatikan sekitar kawasan yang menghijau, kesemuanya tampak sama. Pokok-pokok hutan berada di sana sini, suasana ketika ini redup dipayungi pohon-pohon merimbun walaupun mentari sedang memancarkan terik cahayanya. Sesekali aku menoleh pula ke arah belakang mencari rakan-rakan pendakian ku yang lain. Kosong! Yang ada hanya hutan rimba yang berteman unggas dan bunyi kicau burung-burung. Sahutan ungka juga semakin jelas kedengaran!

 Aku telan liur, mungkinkah aku tersesat. Ah tak mungkin, aku mengikuti trek yang sama dan sudah acap kali gunung ini ku tawan. Mana mungkin untuk aku tersesat. Dalam berkira-kira untuk meneruskan pendakian atau berpatah sahaja, aku ditegur seseorang.

“Anak, mana kawan anak yang lain?” aku angkat wajah mencari arah datangnya suara itu. Namun tiada satu pun yang kelihatan. Seketika aku dengar pula tawa kanak-kanak, ya suara kanak-kanak! Terasa meremang bulu roma ini, lantas belakang tengkuk ku gosok perlahan! Jam di pergelangan tangan ku perhatikan, baru sahaja melepasi angka dua belas tengahari. Orang-orang tua kata panas meremang waktu-waktu begini, apa maksud disebalik kata-kata mereka aku sendiri tidak pasti.

“Siapa?” tegur ku berani. Terlupa pula pada nasihat yang diberikan oleh Hakim sebelum mendaki tadi. Jangan menegur sesuatu yang pelik! Riang kanak-kanak bersuara semakin jelas pula di pendengaranku. Aku ketap bibir, terasa pahit air liur yang cuba ku telan. Namun hati ini cuba ku kentalkan sekuat mungkin!

“Siapa?” soalku buat kali kedua namun suara kanak-kanak tadi terus hilang begitu sahaja.

Aku mula terasa kaget lantas tidak semena-mena langkah yang cuba ku atur terasa berat bagai ada yang merantai kaki ini. Aku menjerit meminta dilepaskan namun jeritan itu hanya bergema di dalam hati. Waktu ini aku mula dipagut gusar, tidak semena-mena ada angin sejuk mula bertiup. Mungkin hujan akan turun seketika nanti, namun itu mustahil sedang hari masih terang benderang.

Dan waktu ini aku mahu berpatah balik, menuju ke arah rakan-rakan ku yang lain. Menyesal kerana tidak mendengar nasihat Erin. Sedang aku berusaha menapak, aku terpijak tanah yang licin menyebabkan tubuh ini tergelincir dan jatuh bergolek ke bawah.

Sakit dan kesal bersatu, aku kini terdampar entah di mana! Terasa bagai di sebuah perkampungan yang sunyi sepi. Sedang mata yang semakin terpejam ini kembali tertutup. Pesanan lelaki tua yang mencuci kereta ku di awal pagi tadi  kembali terngiang.

 “Kalau ada apa-apa yang terjadi, ingatlah Tuhan selalu” ayat itu berulang kali menyapa pendengaranku. Lantas aku mengalunkan kalimah syahadah dan ayatul Qursi beberapa kali hingga mata ini tertutup sendiri.



“SYAFIQ anak mama, alhamdulillah anak kita dah sedar bang!” aku dengar suara mama penuh lirih. Wajah ku di elus lembut sambil mama tidak putus-putus mengucup dahi ku berkali-kali.

“Alhamdulillah Syafiq, syukur ya Allah!” bicara papa pula menerpa halwa telinga ku. Aku lihat papa meraup wajahnya sekali.

“Fiq dekat mana ni ma?” tanya ku perlahan.

“Dekat hospital sayang, alhamdulillah Fiq dah sedar.” Gumam mama sambil membetulkan sedikit bantal sebelum membantu aku bersandar ke kepala katil.

“Kejap mama dan papa nak jumpa doktor, Fiq bual-bual dulu dengan Erin dan Zemy. Kejap lagi mereka sampai!” ucap mama sambil membetulkan selimut yang menutupi kaki ku. Aku angguk sahaja lalu aku kalihkan pandangan ke luar tingkap hospital. Sunyi dan sepi hati ku kala ini! Terasa kosong dengan tiba-tiba!
Sedang leka memerhatikan luar kawasan hospital, pintu bilik terkuak. Aku perhatikan sebelum wajah mereka menyapa pandangan.

“Alhamdulillah kau dah sedar Fiq, risau aku!” ucap Erin yang baru tiba sambil duduk di kerusi berhampiran katil yang sedang ku huni. Aku senyum sambil perhatikan Zemy yang juga turut  hadir bersama, cuma Hakim, Natasha dan Haziq sahaja belum tiba lagi. Kata Zemy,  mereka sedang menghadiri mesyuarat penting.

 “Apa yang terjadi sebenarnya Fiq?” soal Zemy tatkala aku kelihatan sedikit selesa setelah tersedar dari lena yang panjang.

“Entah, aku tak ingat! Apa yang aku ingat, ada suara  tanya mana korang? So bila aku cari orang yang menegur tu, tak ada. Then aku tanyalah siapa? Lepas tu aku nak patah balik, tergelincir! Nasib tak apa-apa!” tutur ku senyum senang hati namun tidak bagi keduanya. Wajah mereka sayu tanpa perisa manis mahupun masam.

“Apasal buat muka sedih ni?” soal ku sambil tumbuk bahu Zemy. Tawa ku hambur perlahan!

“Eh, tak ada apa-apalah!” balas Zemy geleng kepalanya sedikit laju. Erin pula menguntum senyum hambar tika ini.

“Eh, aku lupalah! 26 haribulan ini aku nak ikut ekspedisi daki gunung Kinabalu. Korang nak join?” soal ku ceria.

Namun Erin dan Zemy masih senyap tidak bersuara, aku toleh pada kalendar yang tergantung di dinding hospital itu. Terasa ada sesuatu yang tidak kena pada ku! Lama mata ini memerhatikan nombor-nombor yang tertera sebelum aku kalihkan pandangan ke arah keduanya.

“Sekarang bulan July 2012? Betul ke?” aku soal mereka dalam nada tidak percaya, lebih kepada meminta kepastian. Keduanya mengangguk perlahan namun tiada sebaris senyuman di bibir mereka.

“It’s not funny!” tutur ku ketawa! Pandailah mereka bergurau dengan aku. Setahu aku, ini tahun 2010! Sejak bila pula bertukar 2012? Ah... ingat ini dunia doremon? Boleh dilaras ke masa hadapan? Hahahah... pandai mereka bergurau.

"Tell me the truth? It is July 2012?" Ulang ku semula. Namun mereka masih senyap tidak mengulas satu pun.

“Hai Fiq, alhamdulillah kau dah sedar!” gumam Haziq yang baru tiba sambil mendukung seorang bayi lelaki berusia lingkungan tiga hingga empat bulan itu. Aku menoleh ke arah Haziq yang ceria disamping seorang wanita mungkin juga isterinya, mereka kelihatan secocok mengenakan pakaian sedondon sedang menapak menghampiri katil tempat aku bersandar kini.

“Salam uncle Syafiq,” ucap Haziq lagi sambil mendekatkan bayi itu ke arah ku. Rengek bayi itu buat aku tersentuh. Anak siapa pula yang Haziq angkut ke sini?

Baby siapa ni Zik?” aku soal Haziq. Bingung sudah kepala ini rasanya.

Baby aku, Danish!” tutur Haziq tersenyum mesra.

Hakim juga turut ada bersama Natasha, kelihatan perut itu sudah menonjol sedikit. Mungkinkah Natasha mengandungkan anak Hakim? Tapi bila mereka semua berkahwin dan melahirkan anak? Aku ramas rambut dengan kasar. Mungkinkah aku koma selama ini? Haishhhh!!!!

“Jangan cakap aku koma bertahun-tahun!” keras nada suara ku kali ini dan nyata mereka semua tersentak.

“Fiq, sabar ya! Sebenarnya dan dekat setahun lebih kau koma! Alhamdulillah kau sedar jugak akhirnya?” ucap Zemy  lembut menyampaikan berita itu ke pendengaran ku.

“Maaf, aku tak suka gurauan yang macam ni!” tutur ku perlahan sambil meraup wajah yang kusut. “Mana mungkin aku koma disebabkan jatuh, tak mungkin!” rasa terkejut tidak dapat dibendung lagi.

“Fiq, sabarlah.” Zemy bersuara lagi.

“Aku nak ke tandas,” selimut ku tolak kasar lantas aku yang sedang menggerakkan tubuh untuk bangun terasa ada sesuatu yang menyekat. Aku cuba sekali lagi namun hampa. Kaki ini tidak berfungsi lagikah? Berat benar hingga tidak mampu digerakkan lagi? Seperti ada batu yang mengikat pergerakkannya!

“Kenapa dengan kaki aku?” soal ku terkejut dan sama sekali tidak mahu mendengar sebarang berita yang bakal membuatkan aku kecewa buat kali ke dua.

"Kenapa dengan kaki aku ni Zemy?" soal ku merintih perlahan. Mengharapkan sebuah kebenaran darinya. Zemy telan liur, lambat-lambat dia hampiri aku. Bahu ku ditepuk perlahan.

"Kenapa dengan aku ni Zemy?" sekali lagi aku menyoal. Zemy hanya diam, Erin pula bungkam. Haziq dan yang lain-lain juga senyap membisu. Kebisuan mereka membuatkan aku berang, aku benar-benar mengharapkan sebuah penjelasan! Ya, penjelasan! Itu sahaja, mengapa mereka tidak fahm-faham! Argghhhhh!" aku tumbuk kaki ku sekuat hati!

“Kenapa dengan kaki aku?” tempik ku kuat hingga bayi Haziq yang bernama Danish itu menangis. Laju sahaja Haziq membawa sikecil itu keluar dari bilik yang menempatkan aku dirawat.

“Fiq, kenapa ni sayang?” soal mama datang terkocoh-kocoh mendapatkan aku.

“Kenapa dengan kaki Fiq?” soal ku keras.

“Sabar ya sayang, doktor kata kaki Fiq tak sihat. Ambil masa sikit nak baik!” tutur mama selembut mungkin.

“Tak sihat ke lumpuh?” soal ku dalam nada geram bila mana mama cuba menyembunyikan fakta. Dan telahan ku benar belaka bila mama mengangguk lemah.

“Ah.... keluar! Keluar semua! Keluar!” jerit ku tidak dapat menerima hakikat sebegini. Bantal ku lempar ke lantai dan semua ubat yang terletak di atas meja kecil itu ku tepis kasar. Air mata yang bergenang ini ku seka perlahan, kaki ini sudah lumpuh. Tak guna! Tak guna! Jerit ku sekuat hati. Mama dan papa hanya mampu memerhatikan aku yang sedang kesedihan ini begitu sahaja. Mungkin membiarkan aku menangis semahunya sebelum peroleh ketenangan semula.

Hari berganti hari dan aku kini sudah kembali berada di rumah mama. Saban minggu ada sahaja pengamal perubatan tradisional datang mengubati aku. Sudah jerih dengan rawatan moden, mama dan papa mencuba pula rawatan alternatiif ini semoga dengan harapan aku segera kembali pulih. Namun semuanya sia-sia belaka. Melihat aku yang tidak terurus, mama mengambil keputusan untuk berhenti sahaja dari kerjayanya sebagai seorang pensyarah. Cukup membuatkan aku terharu dengan pengorbanan yang ditaburkan kepada ku.

Hari ini aku kembali semua bertemu Ramadhan, terasa syahdu dan hati ini perlahan-lahan mampu menerima takdir yang tersurat. Mungkin ini kifarah kerana keangkuhan ku suatu masa dahulu dan Tuhan memberi pengajaran berguna kepada aku agar kembali tersedar dengan nikmat yang dipinjamkan sementara kepada tubuh ini sebelum terlewat. Namun aku yang terleka, dengan nikmatpemberiannya.... aku hanyut dibawah arus kemewahan. Dan hari ini, segala kemewahan itu tidak dapat menggantikan penderitaan yang aku tanggung. Aku kehilangan kehidupan bebas yang aku dambakan sebelum ini, aku rindu untuk berlari seperti dahulu. Aku juga ingin berjalan dan bersiar-siar! Aku mahukan semua nikmat yang telah ditarik! Aku rindukan segalanya, sebelum nikmat paling besar itu ditarik dari diri ku. Ah sedihnya jika terlampau difikirkan, namun apa yang terjadi... telah terjadi! Aku harus bertabah! Ya, aku harus bertahan serta bersabar! Ini dugaan untuk membawa aku kembali ke kehidupan berlandaskan agama.

Al-Quran yang sudah lama ku tinggalkan di dalam rak kaca ku gapai perlahan. Sedikit berhabuk lantas ku tiup perlahan, lalu ke selak helaian demi helaian. Hampir menitis air mata ini tatkala aku tidak lagi mampu membaca ayat-ayat suci yang tertulis indah ini dengan lancar. Ya, sudah bertahun aku tinggalkan ia.

Mama juga kerap kali mempelawa aku menghadiri kelas pengajian agamanya, aku sahaja yang menolak kerana aku enggan dilihat lemah berkerusi roda ke sana ke sini. Lantas mama mengupah seorang guru agama untuk aku. Dan kali ini aku sudah mampu membaca ayat-ayat suci ini dengan lancar dan baik sekali.

Sepuluh hari terakhir ramadhan, aku sekeluarga mengambil keputusan untuk  pulang ke rumah nenek yang kosong tidak berpenghuni setelah nenek kesayanganku itu pulang ke Rahmatullah beberapa bulan yang lepas.

Seperti biasa, sesudah menunaikan sunat terawih di surau, aku tolak kerusi roda dengan kudrat yang ada masuk ke dalam bilik lalu almari solek ku dekati. Ku gapai al-Quran ini lantas ku gerakkan semula kerusi roda ke birai katil yang diperbuat dari kayu jati itu. Aku angkat tubuh yang terasa berat ini duduk di situ berhadapan tingkap yang terbuka luas.
Aku alunkan ayat suci ini dengan khusyuk dan air mata yang menitis ini ku seka perlahan-lahan, terasa diri ini cukup kerdil saat diberi kesempatan untuk sekali lagi merasai nikmat ramadhan. Helai demi helai ku habiskan, dari satu juzuk hingga ke satu juzuk aku tamatkan dan sedang asyik ayat indah ini ku alunkan. Angin malam bertiup lembut dan tenang memasuki kamar yang berteman cahaya lampu kalimantang, sejuk dan mendamaikan. Aku teruskan lagi bacaan demi bacaan, perasaan syahdu menyusup masuk ke hati ini. Sesekali aku menoleh ke arah luar tingkap, daun-daun nyiur yang subur di tengah laman melambai-lambai dipuput angin yang cukup tenang sekali. Belum pernah aku merasai suasana seperti ini, dada langit yang kebiruan dihiasi bebarapa butir bintang cukup menenangkan dan tiupan angin kembali meliuk lintukkan pohon-pohon hingga terasa kesemuanya bagai sedang bersujud dan aku yang terpana dengan keadaan ini bangkit dari duduk lantas al-Quran ku letakkan kemas di sisi. Langkah kaki ku atur mendekati jendela dan aku panggung wajah menatap dada langit yang kebiru-biruan walau siang sudah lama berlalu. Pelita yang terpasang di halaman rumah juga tidak terpadam walau angin sedang tenang bertiup kala ini.

"Subhanallah, damainya malam ini!" bisik ku perlahan.

Aku cengkam jendela kayu dan senyuman ini tidak putus dari bibir. Alhamdulilalah aku masih berkesempatan untuk merasai nikmat yang Tuhan berikan kepada aku. Nikmat yang suatu masa dahulu pernah aku sia-siakan hingga aku terlantar lumpuh sebegini. Senyuman di bibir tidak putus-putus menyerikan wajah yang sudah lama mati dengan senyuman, ya kini aku sudah kembali tersenyum semula. Setelah senyuman itu ku hilangkan dari bibir angakra peristiwa itu. Peristiwa aku diuji sedemikian, dan hari ini aku sudah menerima hakikat hidup dan takdir yang tersurat. Aku hanya hamba Allah, yang dipinjamkan nikmat untuk sementara waktu! Hanya pinjaman, bukan hak milik kekal ku! Aku milik, Pencipta ku!

Aku depakan kedua tangan ku sambil mendongak memerhatikan dada langit dan seluruh alam yang seolah-olah sedang bersujud itu. Kalimah Alhamdulillah tidak putus-putus meniti di bibir ini. Biar basah bibirku dengan kalimah zikir. Kerana aku tahu, aku insan bertuah yang masih diberi kesempatan untuk hidup di muka bumi ini. Aku tarik nafas dan ku hela perlahan, mata ku pejamkan buat seketika. Wajah ini sekali lagi di sapa angin lembut, aku buka mata yang terpejam tadi.

 Seketika aku tersedar, dan aku yang kaku pada mulanya kembali tersedar sesuatu. Aku sedang berdiri di jendela? Ya aku sedang berdiri! Ya Allah aku sedang berdiri! Aku sedang berdiri! Alhamdulillah! Kata-kata keramat ini berulang kali meniti di bibir. Ya Allah aku bersyukur! Nama mama ku laung kuat, dan papa juga. Terkocoh mereka datang mendekati aku dan turut sama berdiri di jendela. Mereka memerhatikan ke arah luar tingkap. Sama-sama menyaksikan keagungan Allah. Hebat sungguh, persis alam sedang bermunajat pada yang Esa.

“Mama.. papa, apa yang mama rasa?” soal ku gembira.

“Tenang, syahdu... lain macam malam ni. Mama mengantuk sangat, rupanya nak hujan malam ya!” Ucap mama masih belum sedar tentang aku sepenuhnya.

“Papa rasa apa?” soal ku pada papa pula. Senyuman ini masih menguntum di bibir. Aku bahagia, aku bersyukur!

“Malam ni rasa  tenang, belum pernah papa rasa tenang macam ni!” gumam papa sambil meletakkan lengannya di bahu aku. Aku masih tenang memerhati ke tengah laman ketika papa bagai tersedar sesuatu. Papa pandang aku, dan aku hanya tersenyum manis. Sejurus melihat senyuman ku, papa mengalih anak matanya ke arah hujung kaki ku.

“Fiq dah boleh berjalan?” tebak papa seolah-olah tidak mempercayai apa yang sedang terbentang di hadapan mata."Apa bang?" mama mencelah. Aku hanya senyum sebelum berbicara. Mata ku kalih ke arah hujung kaki yang sedang tegak berdiri.

Such a mircale from Allah,” ujar ku dalam senyuman dan mama serta papa mengalirkan air mata kegembiraan yang tidak terhingga tika itu. Tubuh ku ditarik ke dalam dakapan keduanya, dan air mata ini turut tumpah kerana kegembiraan yang dititipkan oleh Pencipta kepada hambaNya yang kerdil ini.

“Ya Allah Fiq, abang! Betul ke apa yang mama tengok ni?” soal mama pada papa. Aku angguk sahaja. Malam itu aku dan seluruh isi rumah ini mengerjakan sujud syukur dan mungkin malam ini adalah malam tujuh likur yang Allah kurniakan pada aku dan seluruh hambanya yang menghidupkan malam Lailatul Qadar. Malam di mana malam yang menyamai malam seribu bulan dan malam para malaikat memayungi seluruh alam. Dan malam itu juga aku serta mereka tidak tidur kerana menghabiskan masa beribadah kepada Allah sehinggalah fajar menyinsing mama tidak habis-habis melampiaskan rasa bersyukurnya! Dan diri itu, tidak jemu-jemu mengajar aku bertatih semula. YA Allah indahNya perancangan dan rahmat dari MU.

P/S:  cerpen dari saya. semoga anda beroleh pengajaran dari cerita ini. ;)

cerpen 12/072012/

6 comments:

  1. Itulah kan, mulut ni kalau salah guna tanggunglah akibatnya... bagus pengajaran cerita ni :)

    ReplyDelete
  2. yup betul tu encik s. kausar ;)

    ReplyDelete
  3. sedih menyentuh perasaan.kita manusia memang selau lupa dgn nikmat Allah.trm ksh krn ingatkan

    ReplyDelete
  4. People sometimes tend to think, “if only I were a celebrity, everything would be better”.
    Women who are planning the wedding of their dreams can find plenty of fantastic information
    in Bride’s magazine. This is why the said Albanian gossip thashetheme
    celebrity news blog page is written in Albanian '.

    My web site; latest celeb news

    ReplyDelete
  5. I live in Cergy, France and my career actually deals
    with this field. Passion in what you think and in
    putting it into words is a real talent. Your enlightening article
    includes the perfect fusion of passion and well-written,
    interesting content that I’ve grown to love and respect.


    my web blog: piede di porco

    ReplyDelete

There was an error in this gadget