Wednesday, 30 January 2013

IKATAN BERSIMPUL MATI 3



Aku panggung wajah bila Encik Adlan memanggil aku datang ke arahnya, dengan langkah bersahaja aku dekati dia yang masih rancak membincangkan strategi pemasaran untuk mengukuhkan jenama produk yang aku sendiri tidak pasti.

“Ya, Encik Adlan.” Aku tundukkan sedikit wajah ke arah gadis yang sememangnya anggun di pandangan mata aku sambil senyuman ku lempar semanis-manisnya.


“Buat kopi untuk tetamu I.” Bibir itu melontar arahan tanpa sedikit pun menoleh ke arah ku. Nada itu kedengaran mendatar sahaja. Tidak marah, tidak juga berlembut. Aneh sungguh sikap Adlan, jika dahulu dia sering kali tersenyum dan kuat menyakat! Namun hari ini, karakter dan penampilan lelaki itu berubah 360 darjah! Sungguh berbeza bagaikan aku tidak pernah mengenali siapa itu Adlan Zakuan.

“Khalisa,” seru Adlan buat aku tersentak. laju-laju aku tatap raut wajah itu, namun Adlan mengalihkan pandangan ke arah lain. Langsung tidak sudi lagi memerhatikan aku kala ini. Mungkinkah dia membenci dengan apa yang pernah aku lakukan padanya dahulu. Aku sendiri gagal meneka hati Adlan yang sebenarnya.

“Buatkan kopi,” ujarnya pendek. Aku jatuhkan kepalaku sekali lalu berundur setapak ke belakang terus sahaja aku pusingkan tubuh menapak perlahan menuju ke muka pintu. Sesekali ekor mata ini sempat mengerling ke arah keduanya, senyuman Adlan kembali tersungging membincangkan perihal kerja. Perihal kerja? Mungkin, aku jungkit bahu kerana aku sendiri tidak pasti apa yang dibincangkan oleh keduanya.

 Dalam tercari-cari arah pantry, tanpa sengaja bahu seseorang ku langgar hingga membuatkan aku hampir-hampir sahaja jatuh tergolek. Wajah ku panggung untuk melihat individu yang berlaga bahu dengan ku tadi.

Uncle!” sepatah aku bersuara. Kali ini aku bukan sahaja terkejut bahkan hampir-hampir jatuh pengsan! Lelaki ini separuh abad ini pernah bergelar bapa mertua aku dahulu! Oh tidak, kecilnya dunia!

“Khalisa,” nama penuh ku diseru lembut dan senyuman itu persis lima tahun lalu. Sama dan tetap mesra seperti dulu-dulu membuatkan aku semakin rasa bersalah.

“Ya, saya Khalisa!” jawab ku pendek. Aku elus jari-jemari ku sambil tundukkan pandangan menekur ke lantai. Aku tidak tahu, apa dan bagaimana untuk melenyapkan kesepian yang mengisi ruang keadaan ketika ini.

“Khalisa sihat?” nada yang terlontar dari bibir tua itu masih mesra. Aku angguk sahaja!

“Uncle sihat?” kali ini aku menyoal sekadar berbahasa. Senyuman ku gariskan di pinggir bibir.

“Kenapa panggil uncle? Panggillah papa,” ujarnya buat aku rasa semakin resah dan tidak betah berada lama di situ.

“Takpelah uncle, Lisa tak biasa! Lagipun Lisa pernah jadi menantu uncle sebulan je!” ujar ku jujur dari hati yang dipagut rasa bersalah.

“Sebulan ke... setahun ke... hubungan bekas menantu dengan mertua tak pernah putus.” Gumam bapa kepada Adlan. Aku rasa sebak dengan tiba-tiba, sungguh baik keluarga mertua aku cuma aku sahaja sering buat onar terutama sekali kepada Adlan.

“Papa rasa, papa selesa panggil Khalisa dengan panggilan Lisa. Nama Kay dah tak sesuai untuk menantu papa ni, tambah-tambah Lisa dah semakin cantik.” Aku ketap bibir dengan pengakuan ikhlas tersebut. Namun sedikit sebanyak, aku rasa tidak wajar perkataan menantu itu diulang lagi. Itu hanyalah sejarah silam kehidupan aku bersama Adlan. Jadi tiada keperluan untuk mengharapkan aku menjadi menantu kepada keluarga itu sekali lagi.

“Dah banyak berubah menantu papa ni,” sekali lagi dia bersuara. Aku hanya pamer sebuah senyuman, tiada apa yang mampu ku ulas tentang penampilan sendiri. Dunia tomboy telah lama ku tinggalkan, yang tinggal hanyalah dunia seorang wanita yang sejati. Penuh kelembutan dan keindahan yang hakiki.

“Papa nak minum?” walaupun kekok membahasakan diri itu dengan panggilan papa, aku tetap mencuba untuk lembutkan lidah ini memanggil lelaki itu dengan gelaran yang dipinta.

“Kopi!” sahutnya pendek.

“Err... InsyaAllah Lisa buatkan! Tapi...” aku panjangkan leher mencari bilik pantry yang sedari tadi tidak ku temui.

“Lisa cari apa?” soal bapa Adlan. Sejujurnya, aku sudah tidak mengingati siapa nama lelaki yang bersugguh-sungguh memujuk ayah untuk menerima pinangan dari wakil anak lelakinya suatu ketika dahulu! Dan tanpa aku sedar, tanpa aku duga aku dinikahkan dengan Adlan. Lelaki yang ku lihat sering kali melepak dirumah mengganggu ketenteraman hidup aku selama tempoh sebulan tinggal bersama-sama, sebulan itu jugalah aku lihat dia tidak kemana-mana.

“Lisa cari pantry,” jawab ku bersungguh.

“Adlan tak tunjukkan pada Lisa?” soal bapa Adlan dalam riak terkejut.

“Encik Adlan ada tetamu,” balas ku pendek.

“Takpelah, kalau macam tu biar papa tunjukkan! Mari,” panggil lelaki tua itu dan aku mengekori langkahnya dari arah belakang tanpa banyak soal dan banyak karenah. Lantaran aku sudah membuang masa agak lama, pasti Adlan tertunggu-tunggu kopi yang diminta olehnya sebentar tadi.

Sebaik sahaja bekas bapa mertua ku berlalu, aku terus sahaja mencari pakej kopi pra-campuran lalu ku koyak hujung plastik itu. Sesudah itu serbuk campuran kopi ku masukkan ke dalam mug bewarna merah dan air panas ku tuang cermat. Untuk seketika, sudu kecil ku guna untuk mengacau larutan hitam pekat tersebut. Tanpa berlengah aku tatang dulang berisi tiga buah mug menuju ke bilik Adlan, sebaik sahaja aku tiba, wanita yang ku sangka masih membincangkan urusan business tidak pula kelihatan.

“Buat kopi atau petik buah kopi?” soalan itu meluncur laju dari mulut Adlan. Aku tatap raut wajahnya seketika lalu aku tundukkan sedikit wajah.

“Maaf Encik Adlan,” ucap ku cuba bersabar, tidak elok andai aku bertegang urat dengan majikan sendiri. Terutama sekali pada hari pertama bekerja!

“Minum Encik!” aku letakkan mug di atas meja. Dan serentak itu juga dia menggapai, baru sahaja mug didekatkan ke bibir, lelaki itu menjarakkan semula kedudukan tersebut sambil merenung tajam ke arah ku. Dan tidak semena-mena ingatan lalu terimbas kembali. Pasti Adlan bimbang untuk meneguk kopi dari hasil tangan ku lagi, lantaran suatu ketika dahulu aku pernah memasukkan serbuk arang ke dalam teko kopinya! Dan kerana perbuatan aku, dia terpaksa ditahan di wad selama tiga hari. Keracunan makanan yang amat teruk.

“Saya tak letak arang!” aku terangkan hal yang sebenar. Dan dia hanya merenung ku tanpa berkelip lalu ku lihat mug tadi diletakkan semula ke atas meja lalu ditolak ke arah ku.

“Arang?” soalnya sepatah bagai tidak mengingati perihal kejahatan aku pada dia lima tahun dahulu. Dahi itu kelihatan berkerut manakala sebelah kening itu terangkat tinggi bagai menampakkan dia langsung tidak mengingati peristiwa yang aku sebut tadi.  Mungkinkah Adlan tidak mengingatinya lagi?  

“Ambil balik, I tak ada selera!” dia lafazkan ayat-ayat itu dalam sekali nafas lalu kembali menancap pelbagai jenis reka bentuk iklan di skrin laptop tanpa memperdulikan aku yang masih tegak berdiri di hadapan meja kerjanya. Sedar diri tidak lagi diperlukan, mug ku letakkan semula ke dalam dulang lantas kaki ku hayun menuju ke muka pintu. Mahu menghantar kopi buatan tanganku kepada bekas mertua yang tidak ku ingati siapa namanya.

***

Sedar jam sudah menunjukkan angka 5.30 petang, aku bergegas mengemas semula fail yang sudah siap sedia dikemaskini. Sesudah itu, beg tangan ku gapai lalu langkah ku bawa mendekati lif. Tidak semena-mena, pandangan mata ini bertaut dengan Adlan yang turut sama menanti pintu lif terbuka. Dalam berkira-kira untuk turut serta atau membiarkan lelaki itu menaiki lif, aku jatuhkan pandangan ke batang tubuh gadis yang ku lihat tadi. Bentuk tubuh itu  tinggi persis model, cukup sempurna pada pandangan mata ku.

“Hai Alan, jumpa you lagi!” bicara itu kedengaran lunak dan sedikit menggoda.

“Hai Felina, ada kerja lagi ke?” Adlan kelihatan bersahaja namun tumpuan itu tetap terarah kepada gadis yang disapa Felina.

“Taklah, fail I tertinggal tadi. Mujur tak hilang!” balasnya bersama tawa halus. Aku masih lagi memerhati, sungguh manja gaya Felina di sisi Adlan. Sesekali aku lihat Felina menyentuh lengan Adlan yang berkemeja panjang dan sesekali aku ternampak bahu itu disentuh seketika.

Dentingan lif berbunyi dan seretak itu juga Adlan dan Felina menyusup masuk meninggalkan aku yang termangu.

“Excuse me,” Felina menjengul kepalanya. Aku panggung wajah ku bila merasakan nada suara itu ditujukan ke arah ku.

“Nak turun?” Felina jungkit keningnya bersama senyuman manis. Aku jatuhkan kepala ku sekali lalu langkah kaki ku bawa laju menghampiri perut lif. Dan sebaik sahaja kaki melangkah masuk, aku lihat Adlan yang berada dekat di deretan butang lif menekan butang bertanda huruf B1 iaitu basement tempat meletak kereta. Tanpa berlengah, aku dekati dan butang lif berabjad G ku tekan laju. Aku tidak mahu ke basement lantaran aku hanya perlu turun ke ground floor dan keluar melalui pintu utama seterusnya menapak menuju ke hentian bas yang berdekatan.

“Adlan, malam ni you free tak? I nak jumpa you, kita keluar!” ujar Felina kedengaran manja-manja.

“Bukan  kita dah jumpa?” Sambut Adlan tenang. Aku yang mendengar kakukan diri ku ditepi dinding lif sambil cuba menepis keinginan memasang telinga mendengar perbualan keduanya.

“No, sekarang kita jumpa atas urusan business! Malam nanti baru dikira perjumpaan yang sebenar, kita boleh cakap semua perkara yang tidak melibatkan business. Boleh?” gumam Felina ku lihat bagaikan kucing parsi yang sedang bermanja dengan tuannya. Menggesel sana sini!

“Tengoklah dulu,” Adlan tersenyum segaris dan Felina pamer senyum menggoda.

Dalam kesibukan mendengar bicara yang tidak langsung menarik minat ku, pintu lif terbuka di ketinggian tingkat tujuh dan sekali lagi aku diserang sesak dengan keadaan yang menjelma. Senyuman bapa mertua ku terbias lebar di pinggir bibirnya dan aku lihat dia sedang berkira-kira untuk menapak masuk ke dalam perut lif berada bersama-sama anak, mungkin bakal menantunya Felina, dan juga bekas menantunya iaitu aku, Khalisa.

“Papa,” sapa Adlan pendek.

“Dato Fadli,” Felina juga menyapa namun sapaan itu benar-benar buat aku terkujat seketika.

“Dato Fadli? Bermakna bekas mertua aku berpangkat Dato? Kenapa aku tak tahu menahu atau aku memang tak pernah ambil tahu.

“How about your first day?” soalan itu buat aku tersenyum. Bapa mertua ku sama seperti dahulu, cukup prihatin dengan aku yang pernah menjadi menantu hantunya.

“Well, so far so good.” Gumam ku dalam senyuman. Beg tangan ku genggam erat menutup debar keadaan yang mendatang.

“Dato kenal dengan PA Adlan?” soalan itu dilontar Felina dalam riak wajah penuh tanda tanya,  dan aku lihat Dato Fadli mengangguk sekali.

“Kenal, tapi Adlan saya tak pasti sama ada kenal ataupun tidak!” ujar Dato Fadli buat aku telan liur. Namun  dalam masa yang sama aku benar-benar ingin tahu, adakah Adlan mengenali aku ataupun tidak. Atau lelaki itu berpura-pura langsung tidak mengenali aku.

“Adlan, you kenal dengan PA you sebelum ni?” Felina mengalih pertanyaan itu kepada Adlan. Suasana kembali hening. Mata ku larikan ke seraut wajah Adlan , menanti bicara itu. dan dia halakan pandangan matanya ke arah lain! Bagai tidak sudi melihat aku yang sendang memerhatikan dirinya.

“Tak! Tak kenal,” jawapan itu cukup tegas dan yakin. Dato Fadli ku lihat menggeleng kecil, namun senyuman itu masih tidak lekang menghiasi pinggir bibirnya.

“Baguslah kalau Adlan tak kenal, nanti susah pulak nak uruskan kerja!” kata-kata Dato Fadli buat aku termenung seketika. Apa maksud bicaranya!

“Don’t worry papa,” sahut Adlan ku dengar aneh. Bagai keduanya sedang membicarakan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti.

“Khalisa, balik nanti naik apa?” Dato Fadli mula melancarkan topik perbualan menutup rasa sepi yang ku rasakan saat ini. Sungguh bijak lelaki ini menutup rasa resah di hati ku bila Adlan mengakui bahawasanya dia langsung tidak mengenali siapa Kay padanya dahulu. Baguslah!

“Saya naik bas Dato,” ujar ku dan dia angguk sekali.

“Adlan, tolong hantarkan Khalisa balik!” arah Dato Fadli buat aku tersentak.

“Eh, tak perlu papa... errr Dato!” aku sudah tersasul dan lelaki itu ketawa kecil melihat kekalutan aku seketika tadi. felina pula bagaika berkerut-kerut dan tidak lama selepas itu dia juga ketawa bila merasakan aku hanyalah tersasul.

“Tak perlu Dato, saya boleh naik bas! Saya dah biasa naik bas,” ujar ku bersungguh-sungguh.

“Jangan menolak, Adlan ada! Dia boleh hantarkan!” Dato Fadli menolak alasan yang aku beri bahkan boleh pula memetik nama Aldan untuk menjadi pemandu tidak bergaji pada aku. Huh dia lagi!

“Kalau orang dah tak mahu, jangan kita paksa dia papa.” Tiba-tiba Adlan bersuara. Felina pula seaakan tersentak dengan kata-kata yang dilontarkan oleh lelaki merangkap business partnernya itu.

“Esok papa nak Adlan sediakan kereta untuk Lisa! Mudah dia ke tempat kerja!” arahan itu sekali lagi buat aku terpempam. Apakah ini? Mengapa mudah benar Dato Fadli memberikan itu ini sedangkan aku bukan sesiapa pada keluarganya lagi. Atau mungkinkah ini salah satu cara mereka membeli jiwa gadis tomboy seperti aku untuk kembali semula ke dalam kehidupan mereka sekeluarga? Ah aku buntu!

“Excuse me Dato, kalau tak keberatan boleh I tahu siapa Khalisa pada Dato sekeluarga?” soalan itu soalan yang benar-benar aku nantikan.

“Dia bukan siapa-siapa!” Adlan memintas laju. Dato Fadli senyum seperti tiada apa-apa.

“So, kenapa perlu diberikan kereta or...” belum sempat Felina menghabiskan bicaranya, Adlan mencelah.

“Company I memang ada spare kereta untuk staf. So tiada bezanya dengan company-company lain.” Alasan Adlan buat aku berfikir panjang, alasan apakah itu? kereta untuk aku yang bekerja sebagai PA? Huh anehnya hidup aku sekarang ni! tidak sedar keluhan ku lepas panjang hingga menarik perhatian mereka bertiga.

“Errr.. sorry!” ucap ku perlahan seraya melarikan pandangan ke arah lain.

***

Aku garu kepala yang tidak gatal, suasana di dalam kereta Adlan benar-benar buat aku tidak tenteram. Lelaki ini sibuk pula memakai cermin mata hitam, bukan panas terik pun! Langit mendung tak bercahaya! Maka tidak perlulah memakai cermin mata hitam di suasana yang kelam seperti ini.

Dalam menutup rasa gundah gulana, aku perhatikan radio yang tidak dipasang, perlahan-lahan aku larikan jari jemari ke radio. Ingin ku sentuh punat-punat kecil itu, namun memandangkan Adlan bagai tidak berkata apa-apa, aku batalkan sahaja niat di hati. Tak perlu radio pun tidak mengapa, daripada diamuk amarah lelaki itu. aku lebih sanggup berasa sunyi dari dihambat tegang suara itu.

“Encik Adlan, betul ke Encik tak kenal siapa saya?” soalku benar-benar ingin tahu.

“Perlu ke I ingat siapa you pada I” soalan dilontar dengan soalan. Ah, aku bencikan situasi seperti ini. dia sama seperti tadi, tetap tenang memandu sedikitpun tidak menoleh ke arah aku yang sedang bersuara.

“I mean, Encik langsung tak ingat siapa Khalisa sebelum ni?” aku hamburkan ayat yang kedengaran bertabur. Ah lantaklah, asalkan matlamat utama ku peroleh segera.

“Errr... Umur Encik berapa?” aku tujukan lagi soalan demi soalan yang benar-benar menggoyah tenangku sepanjang hari ini.

“Encik tinggal dekat mana?”

“Stop talking! Jangan memekak melalak tak tentu pasal!” hambur bibir itu buat aku terdiam. Tiba-tiba sebak datang ke hati, kenapalah lelaki ini berkasar pada ku? Mungkinkah perbuatan aku yang dulu menjadikan dia bertindak kejam pada aku sekarang ni.

“Tulah kau, tak reti jaga mulut! Sibuk nak tanya itu ini... kan dah kena sembur!” hati yang rawan saling berbicara.

“Takpelah, lepas ni jangan harap aku cakap dengan kau lagi Encik Adlan Zakuan! Sombong!” selar ku dalam hati.

17 comments:

  1. aduhhh cian khalisa... betul adlan xkenal.. xengat..

    ReplyDelete
  2. alahai..kesiannya hidup lisa... adakah bapa mertuanya masih mengharap agar lisa menjadi menantunya semula.. dan adakah dihati adlan sudah ada wanita lain yg menghuninya..

    ReplyDelete
  3. mesti adlan saja nk seksa kay..
    kan kay penah buat dia cm 2 dulu....
    hahaaha..
    pas ni kay jd silent la x ckp ngn adlan..
    fuyoo dpt keta...tergugat la Felina...
    -miss A-

    ReplyDelete
  4. what is the conflict between both of them..dgt teruja nak tahu sambungannya....

    ReplyDelete
  5. sukar ek menafikan ape yg kita tahu.... hurmmmm.... rasanya adlan terpesona tapi ego mengatasi segalanya...

    ReplyDelete
  6. Adlan saje je wat x ingat...
    Nk seksa jiwa raga lisa, biar lisa rasa semakin bersalah. Huhuhuhu
    ~Lina~

    ReplyDelete
  7. wah, cepat2 la satukan diorg blk..

    ReplyDelete
  8. haha,adlan nak bls blkla tue kan...

    ReplyDelete
  9. tq for komen anda... memang adlan akan buli kay lepas ni. misi berdendam bermula dan mengapa alan marahkan kay? ada rahsia disebalik semua tu :)

    ReplyDelete
  10. Alamak..sian la kat lisa nti..jgn la adlan buli lisa trok2..

    ReplyDelete
  11. Awwwwww suspen betulla! Xsabar apa yg jadi lepasni

    ReplyDelete
  12. kenalllllllll tp pura2 tak kenal...maybe hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. YUP BETUL TU KENAL TAPI PURA2 X KENAL :)

      Delete
  13. adlan tu saje je kan... geramnya....

    ReplyDelete

There was an error in this gadget