Saturday, 18 January 2014

KAU TETAP KU HAJATI BAB 7


Along balik, angah pun balik. Sama-sama terconggok di hadapan adik bongsu yang sedang bersahaja. Riak keduanya resah, namun raut Armand tetap selamba. Tanpa berlengah, Arif selaku abang sulung segera buka bicara.

“Arm..” serunya perlahan. Armand yang mendengar segera panggung wajah, along yang sedang bersandar di sofa berdekatan meja TV dikerling sekilas. Riak itu tampak resah! Arghh pasti keduanya datang ke mari setelah berita aib tadi dikhabarkan! Dia hela nafas, perlahan mencari tenang. Sejurus itu, pandangan dihala ke luar jendela.  Tidak tegar menjadi santapan mata tajam keduanya.
“Apa sebenarnya yang jadi? Along tak fahamlah.... takkan Arm..” Arif tidak sampai hati untuk meneruskan kata. Bimbang luahan dari bibirnya bakal mengeruhkan keadaan yang telah sedia keruh. Paling bimbang, andai Armand berkecil hati. Armand mahupun Arwish, kedua-duanya adalah adik kandung yang pernah berkongsi rahim yang sama dengannya! Hati kedua-duanya harus dijaga, dan ini adalah satu-satunya perkara yang cukup-cukup berat bagi dirinya selaku abang sulung. Mencari penyelesaian seperti menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung tidak berselerak!
“Cakap betul-betul Arm, benda ni dah jadi besar! Awish pun dah bengang dengan kau!” Sampuk Faizul selaku anak kedua. Dia yang berbeza huruf dipangkal nama berbanding adik beradiknya yang lain, tetap tidak mahu berganjak selagi mana Armand tidak berterus terang. Sejujurnya, dia juga tidak mahu melihat hubungan Arwish dan Armand berantakan hanya disebabkan seorang perempuan. Tambahan pula, sejak kecil lagi kedua-duanya sering sahaja tidak sehaluan. Ada sahaja isu yang menjadi punca persengketaan! Bila meningkat dewasa, masing-masing membawa haluan sendiri. Dan kini, bila tiba kepada jodoh, persengketaan itu datang kembali.
“Cakap Arm.. berterus terang.” Gumam Faizul lagi. Armand yang semaikin rimas dengan soalan-soalan itu akhirya  terpaksa membuka mulut. “Arm.. tak buat! Dah berapa kali Arm nak cakap?” Soalnya sebaik sahaja keluhan terbias. Raut wajah abangnya dipandang silih berganti, lantas anak mata menyorot pandang ke arah kotak rokok yang masih berbaki. Tanpa menunggu lama, jari jemari bingkas menggapainya dan dengan sepantas itu juga Arif bersuara. Cuba menegah. “Sejak bila kau merokok?” Soal Arif tegas.
“Sejak form two lagi!” Jawab Armand selamba. Faizul geleng kepala, Arif pula menghela nafas panjang. Armand mula buat perangai! Begitulah setiap kali dia mengalami krisis persaudaraan dan juga gangguan emosi!
“Dulu dah berhenti... sekarang ni, kenapa ambil lagi?” Soal Arif seperti seorang hakim yang menuntut penjelasan.
“Boring! Arm dah boring!” Hambur Armand melampiaskan apa yang terbuku di sudut hati. Pemetik api digapai lalu dihidupkan, beberapa saat kemudian, hujung rokok sudah terbakar sedikit. Armand sedut penuh nikmat sebelum mengeluarkan semula asap yang terhasil.
“Rokok bukan penyelesaian masalah!” Gumam Arif cuba memperingatkan Armand yang salah percarturan. “Balik-balik rokok.. balik-balik.. asap! Tak sayang nyawa ke apa?” Hati lelakinya berbisik juga.
“Entah, yang kau esok rokok tu apa hal? Busuk tahu tak...” Faizul yang sememangnya mudah lelah dengan asap segera menyampuk.
“Aku boring long.. ngah... rokok ni je boleh buat aku tenang.” Sahut Armand mudah. Arif dan Faizul mencebik, sungguh mereka tidak senang dengan cara Armand beroleh tenang.
Dari luar kamar, Arwish yang terdengar perbualan mereka segera mencelah. “Kalau dah boring... berambus dari rumah ni!” Selar Arwish kedengaran menghalau.  Faizul yang mendengar segera bersuara.
“Kau diam Awish.. aku nak cakap dengan Arm! Jangan masuk campur!” Tegasnya cuba memadamkan provokasi dari Arwish yang pendendam.
“Benda ni melibatkan aku, takkan aku nak biar si Arm ni lepas bebas! Common’lah angah, kalau kau di tempat aku.. kau pun akan buat perkara yang sama.” Getus Arwish bersama nada benci.
“Lagipun, bukannya kau tak tahu dengan perangai dia tu! Rekod dia buruk!” Gerutu bibir itu tanpa rasa bersalah. Arif yang tersepit di antara dua beradik, segera meredakan keadaan! Jika dibiar berterusan, pasti ada yang bertumbuk seketika lagi.
“Sudah tu, Awish! Kau pergi jauh.. along ada hal nak bincang dengan Arm.” Pohon Arif mengharapkan pengertian Arwish yang masih marahkan Armand.
“Aku pun tak hadap nak tunggu lama-lama dekat sini!” Hambur bibir itu tanpa berlapik. Dengan derap kaki yang semakin lama semakin jauh, yakinlah Arif bahawasanya Arwish sudah berlalu dari luar bilik. Faizul dan Armand kembali diperhatikan. Masing-masing senyap membisu!
“Macam mana ni Arm? Masalah dah jadi besar, cubalah berterus terang dengan along!” Ujar Arif cuba memujuk Armand yang gemar berahsia. Faizul yang berada berdekatan abang sulungnya turut mencelah.
“Kau jelaskan pada kami, Arm. Kalau kau diam macam ni, kita tak tahu siapa yang betul siapa yang salah! Ibu dah rungsing, ayah pula dah tentu naik angin kalau dapat tahu hal ni!” Ucap Faizul cuba menerangkan keadaan yang bakal terjadi sekiranya Armand terus terusan mendiamkan diri.
“Betul tu Arm, cakaplah.” Pujuk Arif lagi.
Bersama nafas yang dihela panjang, anak mata itu dikerah memerhatikan kedua indiviu yang hampir menyamai ketinggiannya, 178 sentimeter. Masing-masing menanti bicara dari kedua ulas bibirnya.
“Arm tak buat apa-apa pada dia! Dia yang buka baju tayang pada Arm!” Luah Armand dengan intonasi yang sedikit tinggi. Dia mahu, ketegasan dibalik bicaranya mampu menyakinkan kedua-dua mereka yang sedang curiga.
“Buka baju?” Soal Arif dan Faizul serentak.
“Ha la.. Jadi?” Armand menyahut sambil menyoal semula.
“Habis.. yang kau pergi terkam dia kenapa? Dia tu bakal kakak ipar kau kot!” Gumam Faizul lantas menyandarkan kepala ke sofa.
“Bila pula aku terkam dia?” nada tidak puas hati Armand terbias keluar. Arif senyum nipis manakala Faizul pula ketawa lucu.
“Dah tu... Awish cakap kau dekat atas,  dia pula ada dekat bawah! Kau la terkam dia!” Luah Faizul tentang apa yang dia dengar. Armand yang sudah berkecil hati segera menjelaskan situasi sebenar.
“Arm tak terkam dia.. Arm cuma tersadung kemudian jatuh atas dia! Arm belum bodoh lagi, takkan dengan awek abang sendiri Arm nak baham!” Ucap itu kedengaran sedikit hampa. Hampa apabila dia dituduh lalu dihukum tanpa bukti nyata. Sudahlah tiada saksi.. alih-alih dia yang teraniya, kini telah dipersalahkan. Kalaulah mereka tahu bagaimana Sufi menggoda dirinya seketika tadi, pasti kesemuanya tidak tergamak menuduh dia sebegitu hina! Arghh manusia hanya pandai menjatuhkan hukum dengan apa yang dilihat, bukan dengan hakikat dan punca disebalik kejadiannya!
“Habis tu.. masa Awish tengok kau, apasal kau tak bangun? Kenapa dah kena hayun baru nak terus terang pada dia?” Soal Faizul curiga. Dari penceritaan Arwish seketika tadi, Armand dilihat sedang tertunduk ke arah Sufi tanpa jarak. Bila sudah dikatakan tanpa jarak, mindanya pantas meneka, yang Armand sedang memeluk Sufi. Armand.. Armand sikap berpeleserannya masih belum pudar walau usia sudah hampir mencecah 30 tahun.
Bosan mendengar bebelan Faizul, Armand segera mengubah topik. “Sufi, mana dia?”
“Mana aku tahu,” sahut lelaki berkemeja biru dengan lengan baju dilipat hingga ke paras siku agak selamba. Demi kerana jawapan yang tidak diharapkan itu, Armand geleng kepala. Memang Faizul tidak boleh diharap.
“Long, kau tahu tak mana budak Sufi tu pergi?” Soalnya ingin tahu.  Arif yang sudah dikhabarkan oleh ibunya tentang kepulangan Sufi, segera menjawab bagi pihak Faizul yang tidak tahu apa-apa.
“Dah balik.. ibu cakap, Sufi nak ambil tindakan mahkamah!” Luah Arif cuba bertenang namun ketenangan yang ingin dikecap terbantut dek jeritan Armand yang tiba-tiba.
“Mana boleh!” suara itu sudah membentak. Hampir –hampir bergegar ruang bilik sederhana besar yang  dihuni sejak 27 tahun yang lalu. Faizul pula sudah urut dada, terperanjat dengan jeritan batin adik bongsunya itu. Mujur tak mati terkejut!
“Oit... Kalau nak memekak pun, tolonglah jangan jerit tepi telinga aku! Kalau aku pekak.. dengan kau..kau... aku saman!” Gerutu Faizul sedikit marah. Armand memang tak pernah berubah! Kalau mereka tiada adik beradik perempuan, Armand lah yang sering dianggap gadis kerana sifatnya yang rajin ke dapur membantu ibu memasak! Arwish? Dia langsung tak jejak dapur kecuali jika perut dibadai rasa lapar yang tak terperi. Along dan dia pula, lebih senang menjadi jejaka tampan yang macho. Duduk melepap tanpa berbuat apa!
“Aku marah.. mestilah kena tunjukkan emosi marah!” Balas Armand tidak mahu kalah dengan hujah balas abang keduanya.
“Kau kan.. kalau aku cakap, tak pernahnya nak diam! Melawan aje...” kali ini Faizul sudah mula membebel tidak puas hati, Arif yang menjadi tiang elektrik seketika tadi segera bertukar menjadi manusia berguna. Keduanya dinasihati agar tidak bertindak seperti kanak-kanak belum mumayiz.
“Diam boleh tak.. sekarang ni, kita tengah ada masalah besar! Sufi kata, dia nak heret kau ke mahkamah atas cubaan mencabul!” Terang Arif setelah suasan kembali hening dan keheningan itu segera pergi apabila Armand buka bicara.
“Kau biar betul, long! Aku tak cabul dia... apasal pula aku nak kena naik mahkamah?” Soal Armand segera memperbetulkan kedudukan yang dirasakan sudah senget dan hampir-hampir sahaja dia jatuh melurut ke bawah.
“Cabul tak cabul.. tak ada saksi!” Jawapan ringkas itu membuatkan Armand termenung seketika. Faizul pula sudah tayang muka tak percaya, nampak gayanya dia perlu beli kemeja baru untuk dipakai ketika prosiding kes Armand satu masa nanti.
“Dia mana boleh tuduh aku, long! Mana ada saksi... so macam mana dia boleh tuduh aku yang bersalah?” Armand masih tidak puas hati. Ya benar, dia memang tidak puas hati! Dia yang dicabul, alih-alih keadaan bertukar sebaliknya. Dia dikatakan pelaku dan Sufi adalah mangsa kejadian!
Dunia akhir zaman memang tidak adil! Yang salah diangkat dan dijunjung tinggi, dan yang benar dihumban hingga tiada ruang untuk kembali. Arghhh, kepala katil ditumbuk sekuat hati. Lantas suasana bertukar sunyi sepi. Faizul yang melihat segera bertanya.
“Sakit?” Soalnya tanpa riak. Armand yang  mula terasa sakit dan sengal di bahagian buku lima, perlahan-lahan menoleh ke arah abang keduanya. Dengan lambat-lambat, kepala diangguk sekali.
“Padan muka!” Kali ini Arif pula menyampuk.
“Tu.. dinding konkrit dengan mangkuk tandas tu, kau tak nak tumbuk?” Faizul sudah mula memberi jalan penunjuk. Memberi hidayah kepada Armand yang suka bertindak melulu.
“Korang, kalau nak kenakan aku memang korang yang juara! Aku ada masalah ni, janganlah tambah masalah aku!” Gerutu Armand cuba mengalih perhatian mereka. Dengan sembunyi-bunyi, buku lima dielus dan digosok perlahan. Sakit dan pedih mula terasa! Huh, memang padan dengan muka sendiri!

p/s: terima kasih sudi membaca kau tetap ku hajati :)

5 comments:

  1. Kesian kat dua2 armand dan sufi...atas khilaf lampau yg mesti dibayar setelah masing2 dewasa

    ReplyDelete
    Replies
    1. yg tersilap armand... yg menghukum sufi... membalas dendam ;)

      Delete
  2. Dgn cara begini mb Armand akan tersedar kesilapan lampau & satu rahsia akan terbongkar ttg Sufi; ttg angkuhnya Armand satu waktu dulu

    ReplyDelete

Sign In