Wednesday, 8 January 2014

PLASTER CINTA UNTUK BOS BAB 6 & 7



BAB 6
PLASTER CINTA UNTUK BOS
“50 ribu? Macam mana? Kalau ada, aku nak sekarang!” angkuh bicara lelaki tua ini buat Umran rasa kesal. “Sabar Umran, jangan disimbah api pada minyak, sejukkan api dengan air!” bisik hati kecilnya melihat tingkah lelaki yang mengakui sudah membesarkan Fiona selama ini.

“Pak cik, jangan macam ni pak cik!” rayu Fiona mula meratap pilu dengan ketegaran lelaki yang dianggap sebagai darah dagingnya itu. Tekad menetapkan harga 50 ribu sebagai nilai pertukaran. Fiona menangis lagi, kecewa dan pilu bersatu tanpa diundang. Umran hanya memandang, namun hatinya tekad untuk membawa Fiona jauh dari sini. Dari ceruk hutan yang dpenuhi nyamuk juga dihuni sepasang suami isteri yang tidak berhati perut.
“Pak cik, tolonglah tarik balik kehendak pak cik tu. Fiona ni anak sedara pak cik.” Rayu Fiona masih memasang harap.
“Ah, aku peduli apa!” jerkah lelaki itu lagi.
“Pak cik, Fiona sanggup  beri duit asalkan jangan buat Fiona macam ni. Fiona sanggup kerja asalkan dapat cari duit untuk rawatan Aidil!” bicara Fiona meruntun simpati Umran.
“Pergi mampus dengan Aidil tu! Dari kecik, sampai ke besar! Tak habis-habis menyusahkan aku! Kalau dia mampus, senang hidup aku ni!” gumam lelaki yang cukup diatkuti Fiona.
“Pak cik, tak baik cakap macam tu.” Pintas Fiona sedih bila ayah kandung Aidil berkata sedemikian. Simpatinya tumpah pada Aidil yang sedang menderita sakit buah pinggang.
“Tak baik apanya? Kalau aku tahu dia sakit macam ni, dari kecik-kecik dulu aku dah pijak bagi mampus!” kasar sungguh lontaran kata yang disuarakan oleh lelaki separuh abad ini sekali lagi menyapa pendengaran. Fiona sebak, Umran pula rasa bengang! Angkuh benar lelaki di hadapannya ini! sampai bila dia mampu menongkat langit!
“Kesiankan Aidil, pak cik! Fiona cari duit untuk rawatan Aidil, tapi jangan buat syarat macam ni pada Fiona.” Rayu Fiona bersama derai air mata.
“Ah, persetankan! Peduli apa aku! Kau orang berdua memang tak habis-habis menyusahkan aku! Menyusahkan hidup aku!” bentak lelaki ini. Umran hilang sabar lalu Fiona didekati.
“Sudah tu Fiona, ikut saya!” Umran mencelah disebalik keributan ini. Dia harus membawa Fiona jauh dari sini. Jauh dari suasana kusut seperti ini.
“Eh, kau nak bawa budak tu kemana? Bagi dia pada aku!” marah lelaki tu itu tidak lagi Umran pedulikan. Lengan Fiona terus dicengkam dan ditarik mengikuti langkahnya meninggalkan perkarangan rumah buruk itu tanpa menoleh ke belakang lagi, walaupun Umran sedar lelaki tua itu sedang mengorak langkah mengejar langkahnya dari arah belakang.



“Fiona, stop crying!” Umran memujuk gadis yang sedang dirundung kesedihan.
“Macam mana saya tak menangis Encik, saya tak tahu nak buat apa lagi.” sedu sedan Fiona kembali tersapa di pendengaran Umran.
“Awak rasa saya perlu buat apa?” kali ini Umran meminta pendapat Fiona. Untuk memandai-mandai, dia tidak berani mengambil risiko. Tangan diletakkan di stereng kereta, sesudah itu wajah Fiona dikerling sekilas sebelum Umran mengalih pandangan ke arah rumah papan dua tingkat di sebelah kanannya.
“Saya tak tahu, yang saya tahu.... “ bicara itu disulami sedu sedan yang semakin berpanjangan. Umran tidak selesa, tersentuh hatinya melihat kesedihan yang ditanggung oleh gadis yang dikenali kurang 48 jam.
“.... Saya perlu kerja dan cari duit untuk rawatan Aidil! Pak cik tak nak tanggung kos rawatan Aidil, mak cik pula dah malas nak bekerja! Mereka sanggup tengok Aidil sakit daripada bersusah payah cari duit!” adu Fiona perlahan. Umran ketap bibir, terasa hampa dengan sikap kedua orang tua yang membesarkan Fiona.
“Aidil tu anak siapa?” soal Umran sesudah itu.
“Aidil tu anak pak cik dan mak cik! Adik kepada Laila,” ujar Fiona lagi.
“Kenapa mereka layan Aidil macam tu?”
“Sebab, mereka dah penat! Dah tak larat nak tanggung kos rawatan dialisis Aidil.”
“Jadi, awak bekerja selama ni semata-mata untuk bantu Aidil?” tebak Umran ingin tahu. Fiona mengangguk sekali, wajahnya masih terselindung dengan juraian rambut yang lepas bebas.
“Awak tak perlu susahkan hidup untuk orang yang tak reti bersyukur Fiona!”
“Saya terpaksa, Aidil sakit! Saya tak mampu bawa Aidil ke sini, dan satu-satunya cara.. saya harus kirim duit dan biarkan mereka menguruskan Aidil di kampung.”
“Cara awak tak betul, jangan terlalu bekorban hingga diri awak turut terkorban sama!” ulas Umran bersahaja. Pengalaman dan masa silam mengajar dirinya menjadi seorang insan yang mementingkan diri sendiri terutama dalam hal seumpama ini. Agartidak terlalu menurut kehendak alam yang menekan.
“Saya tak ada pilihan Encik, mereka dah besarkan saya! Mereka dah beri makan minum sampai saya besar, dan sekarang giliran saya untuk balas budi mereka!” balas Fiona bersungguh.
“Awak terlalu baik, hingga tak dapat beza antara membalas budi dengan terbeban  menurut kehendak manusia yang tak berhati perut!” ucap Umran kedengaran tegas. Sejujurnya, dia membenci sikap manusia seperti Fiona. Terlalu berserah dan terlalu baik hingga mudah dipijak serta dibuli.
“Saya terpaksa Encik,” sahut Fiona dalam esak.
“Sudahlah Fiona, ikut saya! Saya perkenalkan awak dengan nenek saya!” ujar Umran lalu menolak pintu kereta dari dalam. Tubuh ditegakkan dan nafas dihela. Pemandangan sawah yang sedang menghijau diperhatikan tanpa lepas. Hampir lima tahun tidak pulang ke sini, akhirnya hari ini dia sendiri melanggar pantang. Tambahan pula dia ke Tapah, rumah orang tua Fiona sebelum mengambil keputusan singgah ke Teluk Intan sebelum memandu pulang menuju ke Kuala Lumpur.
“Kesat air mata awak tu,” arah Umran setelah menyedari Fiona sudah keluar dari perut kereta.
“Baik Encik,” Fiona menurut. Sisa air mata diseka dengan belakang tapak tangan. Sejurus itu, wajah Umran dicari oleh kedua anak matanya.
“Jomlah, saya perkenalkan awak dengan nenek saya!” ucap Umran lalu mengatur langkah menuju ke titi kayu yang menyeberangi parit besar.
“Malulah Encik,” gumam Fiona mula terasa segan. Tambahan pula, pemakaiannya kurang bersesuaian. Dengan jeans dan kemeja kotak-kotak serta topi yang menutupi kepala, Fiona rasa dia telah salah mengenakan pakaian.
“Janganlah malu, nenek saya sempoi orangnya!” gumam Umran membalas lontaran kata Fiona. Tanpa berlengah, Umran mengorak langkah menuju ke halaman rumah papan dua tingkat seterusnya menuju ke muka pintu.
“Assaalammualaikum, nek! Oh nek... Umran balik ni!” sapa Umran sambil terjengul-jengul ke dalam rumah.
“Kosong je, tak ada orang ke?” bibir mengomel sendirian.
“Assalammualaikum nek, Umran balik ni.” sekali lagi Umran mencuba.
“Waalaikumussalam, Umran! Bila sampai, sekejap nenek buka pintu!” dengan bertelekung Fatimah membuka pintu kayu membenarkan Umran masuk.
“Nenek sihat?” soal Umran sebaik sahaja menyalami tangan yang sudah berkedut dimamah usia. Ada senyuman yang terbit di pinggir bibir itu.
“Alhamdulillah sihat, cucu nenek ni semakin tampan! Lama sungguh Umran tak balik,” ucap nenek tersenyum gembira.
“Kebetulan lalu tadi, Umran singgah kejap!”
“Kalau tak kebetulan, tak tahulah sampai bila Umran nak datang jenguk nenek!” rajuk itu kedengaran dari bibir tua nenek. Umran ketawa halus, bukan dia tak mahu melawat nenek tetapi dia enggan  bertembung dengan Pak Tam merangkap datuk sebelah ibunya. Lelaki itu cukup membenci dirinya dahulu, dan benci itu memang bersebab. Sebabnya hanya satu, tidak mahu dia dan Rose Fannan terlalu rapat. Namun kebencian itu lambat ditafsir oleh Umran sendiri. Akhirnya mereka terlanjur bercinta! “Sudah Umran, jangan dikenang lagi cerita yang dah lama berlalu.” Pujuk hati sendiri.
“Oh ya, yang ni siapa Umran? Buah hati ke?” bisik nenek di telinga cucunya itu membuatkan Umran tersentak. Hilang sudah lamunan yang bertamu seketika tadi.
“Hessy... bukanlah nek!”
“Habis tu?”
“Nanti Umran cerita, harap nenek tak terkejut!”



“Nek, Umran buntu!” aju Umran ketika duduk di anak tangga terakhir di anjung rumah papan itu. Fiona yang sudah tertidur di biliknya, dibiarkan seketika.
“Kenapa ni cu?” Fatimah juga turut duduk di sisi cucu yang kehilangan kasih ibu dari kecil dan tidak juga merasa kasih sayang seorang bapa dengan kata sebenarnya!
“Fiona!” sepatah kata Umran buat Fatimah tersenyum.
“Kenapa dengan Fiona?” nenek masih sama seperti dahulu. Mengambil berat dan cukup prihatin.
“Dia tu nek...” Umran lepaskan keluhan.
“Kenapa dengan dia?” nenek tersenyum lagi.
“Pak cik dia minta 50 ribu untuk lepaskan Fiona. Tapi...” sekali lagi Umran menghentikan bicara. Pandangan ditebarkan ke dada langit yang dipenuhi butir-butir bintang yang bersinar. Bulan sabit juga bersama kumpulan bintang-bintang itu, cukup indah dan mengasyikkan!
“Umran, Umran suka Fiona?” nenek mencantas. Umran tersentak lalu menoleh ke arah nenek yang sedang tersenyum. Riaknya bersahaja, cuma Umran yang tidak dapat menyembunyikan rasa yang bermain di hatinya kala ini. Benar, dia terkejut!
“Umran suka Fiona?” ulang nenek buat Umran menggeleng perlahan.
“Kenapa Umran tak suka dia?” satu soalan meluncur lagi. Umran tersenyum nipis mendengar soalan yang dilontar oleh wanita yang satu-satunya menjadi kesayangannya selama ini.
“Hati Umran ni nek.... dah kecewa!” ucap Umran perlahan. Namun terselit getar di hujung bicaranya. Fatimah mendengar, seperti biasa dia tetap setia di sisi cucu yang sering dirundung duka silih berganti.
“Hati Umran ni nek, sakit!” Umran tekap tapak tangan di dada. Lalu wajah dipanggung melawan pandangan bening dari nenek yang banyak berkongsi rasa. “Hati ni dah serik... Hati ni juga, dah tertutup untuk bercinta lagi nek!”
“Umran, yang dulu bukan kesilapan... yang dulu tu pengajaran! Pengalaman! Umran bangunlah, cari bahagia sendiri,” pujuk nenek lembut.
“Tak boleh nek, hati Umran ni dah mati!” ucap Umran membalas bicara neneknya.
“Jangan macam tu Umran, tak baik! Kahwin tu sunnah nabi.. berkahwinlah Umran, sesungguhnya separuh agama kita akan lengkap. Perkahwinan akan beri ketenangan dan kembalikan bahagia Umran.” Gumam nenek lagi. Umran hembus nafas, terasa berat sungguh dadanya bila diasak persoalan berkenaan alam perkahwinan.
Sejujurnya, hati lelakinya telah mati untuk menyulam cinta pada mana-mana gadis setelah perginya Syaza dan juga Rose Fannan! Dia serik, dan dia enggan kesilapan lalu berulang kembali.
“Umran suka Fiona?” sekali lagi nenek menyoal. Dan sekali itu jugalah, dia menggeleng enggan!
“Kenapa?”
“Dia bukan pilihan hati Umran nek!”
“Sebab dia tak cantik dan tak setanding Rose?” tebak nenek tidak disambut oleh Umran. Dengan kebisuan itu, nenek dapat meneka... hati Umran masih kuat pada Rose Fannan.
“Umran Hannan, dengar ni cu.” Nenek mula memasang bicara. Menyusun kata agar tiada hati yang terluka kala ini.
“Umran, cucu nenek...” nenek senyum dan Umran memandang sekilas sebelum melontar pandangan ke tengah halaman.
“Syaza memang cantik, menawan dan bijak! Tapi... takdir dan kehendak Allah tak boleh dinafikan lagi. Syaza dah jadi milik orang.” Tegas nenek bersama sebuah senyuman.
“Tapi Umran kena terima hakikat, jangan kerana kecewa Umran tutup hati untuk hidup bahagia. Jangan seksa diri! Jangan hidup kecewa dan rasa bersalah seumur hidup. Buka ruang untuk bahagia! Nenek tak sanggup tengok Umran begini.” Tutur nenek perlahan. Tanpa sedar, ada usapan lembut di bahu itu. Umran pejam mata! Benarkah dia telah menyeksa dirinya sendiri?
“Apa yang Umran kena buat sekarang nek?” akhirnya Umran bersuara.
“Kahwinlah Umran, mungkin dengan berkahwin... nenek dapat jumpa Umran nenek yang dulu. Ceria dan suka bergurau, bukan kayu dan keras macam batu!” ulas nenek tentang perubahan sikap cucunya itu. Umran pula masih berdiam diri, sesekali wajah berkedut itu direnung dalam-dalam.
“Dengan siapa nek?” Umran menyoal persis ketiadaan calon sesuai untuk dirinya.
“Fiona!”
“Fiona?” ulang Umran tersentak seketika.
“Kenapa?” soal nenek pada respon Umran yang sebegitu.
“Err... bukan Umran tak mahu... tapi..”
“Umran, jangan terlalu memandang paras rupa! Cinta pada kecantikan, kecantikan itu akan pudar. Cinta pada harta, harta itu akan lupus.” Ujar nenek bersahaja. Umran jeling wajah nenek, seperti biasa nenek tersenyum lagi.
“Fiona budaknya baik, berakhlak dan lemah lembut. Mungkin dia tidak secantik Syaza dan kekasih-kekasih Umran yang lain, tapi nenek mahu Umran sedar.” Fatimah menghentikan bicaranya seketika sebelum menyambung semula. “Cukuplah andai Fiona dapat menjadi isteri yang solehah! Itu sudah memadai untuk Umran! Fikirkanlah Umran,” gumam nenek lalu bangkit dan berlalu masuk ke dalam rumah. Umran hela nafas, masih memikirkan kata-kata yang terbit dari neneknya seketika tadi.

             

“Fiona, awak rasa 50 ribu tu berbaloi untuk lepaskan awak dari pak cik awak?” tanya Umran awal pagi itu. Fiona kalih pandangannya ke arah Umran, lidahnya bagaikan kelu untuk berbicara.
“Fiona, saya rasa saya sedang bercakap dengan awak. Awak dengar ke. Tidak?” Tanya Umran lagi. Dashboard kerata ditepuk sekali.
“Opocot!” gadis itu terjerit kecil.
“Saya tanya, awak dengar ke tidak?”
“Dengar...!”
“Habis, kenapa tak jawab?”
“Saya terleka sekejap!” sangkal Fiona kelam kabut. Umran sembunyi senyuman bila lihat keletah tidak diduga dari Fiona. Serabut sungguh!
“Tentang 50 ribu tu, saya tak ada duit nak bayar. Jadi Encik, simpan duit Encik  dalam tabung haji. Tahun ni dengar cerita, dividen tabung haji dekat-dekat lapan peratus. Untung Encik menyimpan tahu,” ucap Fiona bersahaja.
“Saya tak minta awak bayar,” balas Umran buat Fiona yang sedang mengenakan tali pinggang keselamatan menghentikan tingkah. Lambat-lambat raut wajah Umran dipandang dan ditatap menanti bicara seterusnya.
“Saya tak minta awak bayar, cuma saya minta awak tunaikan syarat saya.” Aju Umran bersama sebuah senyuman nipis.
“Syarat apa tu Encik?” Fiona ingin tahu.
“Mudah aje, awak kena...” Umran tersenyum mekar dan wajah Fiona dipandang penuh bercahaya. Namun senyuman mekar menguntum itu segera dimatikan apabila melihat Fiona juga tersenyum. Persis Pirana yang kelaparan! Arghh.... menakutkan!

 BAB 7
PLASTER CINTA UNTUK BOS
“Uishhh... macam mana nak cakap ni?” Umran menyoal dalam hati. Dari ekor mata, Fiona dikerling beberapa kali.
“Ala Umran.... cakap je kau suka dia!” cadang hati pada akal. “Melampau.... bila masa pula aku suka dekat dia?” Umran membalas kata-kata yang lahir dari hati. Menyangkal tuduhan dari sebahagian hatinya yang berbicara.
“Dah tu, macam mana aku nak cakap? Macam mana aku nak mulakan?” Umran garu kepala yang tidak gatal. Semalaman dia tidak tidur memikirkan kata-kata neneknya, Fatimah! Wanita itu mahu melihat dia berkahwin dan punyai keluarga sendiri. Dan dengan cara itu, neneknya yakin hati yang sakit akan kembali terubat dan sembuh seperti sedia kala. Namun tegarkah dia menjadikan gadis seperti Fiona sebagai isteri? Dengan gigi yang tidak tersusun, rambut yang tidak kemas potongannya, pakaian dan penampilan diri itu lagi. Umran bimbang, andai dia memilih Fiona menjadi ratu hatinya nanti, mampukah dia menerima Fiona dengan keadaan seperti itu?
“Tak baik fikir macam tu Umran! Dia pun manusia biasa,” tegur satu suara. Umran diamkan diri. Mengangguk sekali! Betullah, dia pun manusia biasa!
“Tapi.. dia selekeh! Langsung tak kena dengan citarasa aku! Aku ni, ramai kenalan! Kalau dia jadi isteri aku, berjalan seiring. Nampak sangat gaya kami macam langit dengan bumi! Jauh beza! Aku juga yang malu nanti!” bisik hati kecil melawan kata yang hadir seketika tadi.
“Kahwinlah dulu, kemudian kau ubahlah gaya dia! Tak kisahlah kalau kau nak jadikan dia Kim Kardhasian ke... Wardina Saffiya ke.. Tyra Bank ke... itu semua bisa diatur. Pokok pangkalnya, kau mahu ke tidak kahwin dengan Fiona AKA Piano tu?” suara tadi kembali menyoal. Umran picit dahi, pening pula memikirkannya.
“Kahwin dengan Fiona?” Umran ulang semula kata hati yang berbisik.
“Ya, kahwin dengan Fiona!” sahut suara itu yakin dan tegas.
“Boleh ke aku bertahan tengok senyuman dia tu?” bisikan hati kembali memenuhi ruang kosong di dalam jiwa.
“Kenapa pula tak boleh? Bukan semua orang ada kelebihan macam Fiona tu?
“Itu bukan kelebihanlah, itu kekurangan dia! Kalau di kokaknya leher aku... silap-silap boleh lebam, macam saiz kuih pau! Hehehe.. aku tak sanggup!” Umran ketawa dengan bisikan nakal hati sendiri. Tidak tahu bagaimana rupanya andai benar-benar dia digigit oleh Fiona. Pasti tanda merah sebesar saiz kuih pau kacang terbentuk di leher. Umran ketawa lepas! Ketawa dan terus ketawa hingga membuatkan Fiona yang sedang menyedut minuman di dalam botol itu menghentikan tingkah.
“Encik okey?” suara Fiona buat Umran tersentak. Tawanya terus mati, dan raut wajah Fiona yang bebas dari sebarang solekan ditatap dalam-dalam.
“Kenapa Encik pandang saya macam tu?” soal Fiona polos.
“Sebenarnya... sebenarnya saya ada sesuatu nak beritahu awak, Fiona!” aju Umran dalam rasa berdebar. Jari jemari dielus satu persatu, dan hati menyusun kata untuk meneruskan bicara.
“Tentang apa?” Fiona menyoal lagi. Sesekali wajah resah majikannya itu dipandang penuh tanda tanya.
“Tentang... err.. ha macam ni! Kawan saya baru buka klinik, jadi dia ada buat rawatan percuma untuk sehari. Apa kata,  kita ke sana buat pemeriksaan gigi?” ujar Umran mengubah bicara. Tidak sanggup melafazkan kehendak hatinya pada Fiona. Bimbang ditolak dan resah untuk menyuarakan lamaran yang tiba-tiba ini.
“Pemeriksaan gigi? Rawatan percuma? Waaaah menarik!” Fiona teruja, dan Umran hela nafas kelegaan. Lega kerana Fiona tidak menangkap maksud sebenar yang bermain di hatinya kala ini. Huh! Selamat kau Umran!
“Encik, sebelum tu... macam mana dengan Aidil?” soal Fiona lambat-lambat. Fiona ketap bibir, jari di elus satu persatu.  Rasa berdebar pula menanti jawapan balas dari lelaki kacak yang sedari tadi duduk termenung. Entah apa yang Encik Umran fikirkan!
“Awak rasa macam mana?” soal Umran sepatah. Wajah Fiona tidak dipandang dan kali ini Umran  menanggalkan dua butang baju paling atas. Panas mungkin! Fiona pandang jari jemari itu, lurus dan runcing! Kuku pula bersih dan tampak kemerah-merahan, kulitnya pula cerah dan tampak segar. Berbeza benar dengan dirinya, tona kulit tidak secerah mana. Jari jemari pula nampak seperti montel-montel, cukup zat. Jika dibandingkan dirinya dan juga Umran, bagai langit dengan bumi! Penampilan lelaki ini, usah dipertikaikan lagi! Bergaya dan nampak maskulin! Hurmm seksi bila hujung kolar baju bergerak-gerak dihembus desir angin dari kipas siling kedai makan yang sedang dikunjungi.
“Fiona, awak dengar tak?” soal Umran sebaris tanpa ton suara yang tinggi. Mendatar dan bersahaja.
“Oh.. a’ha! Ya.. saya dengar!” sahut Fiona kelam kabut.
“Tentang adik saya tu,” Fiona hela nafas. Terasa berat untuk melafazkan semuanya.
“Cakap aje, saya dengar!” ucap Umran melenyapkan suasana hening ketika ini. Fiona genggam jari jemari dan wajah dipanggung mencari wajah lelaki sekacak Umran. Auwww! Malu-malu! Bohonglah andai Fiona menolak kata hatinya yang benar-benar bersetuju jika lelaki seperti Umran diakui cukup kacak dan tampak bersahaja. Bukan budget macho seperti kebanyakan lelaki yang dikenali. Terutama sekali lelaki seperti Zarif Rizkin! Budget hot!
“Saya nak uruskan rawatan dia, tapi tak berkemampuan!” aju Fiona lambat-lambat. “Lagipun, gaji saya baru seribu tujuh ratus Encik, tak cukup untuk tampung kos hidup saya dan  rawatan Aidil setiap bulan.” Luah Fiona perlahan.
“Jadi, awak nak saya bantu awak?” soalan Umran dibalas dengan anggukan Fiona.
“Macam mana?” Umran ingin tahu. Dari berdiri, Umran bergerak menuju ke kerusi kosong di hadapan Fiona. Tanpa berlengah lagi, punggung dilabuhkan berhati-hati. Masih mencipta jarak kedudukan, hubungan belum sah! Umran sembunyi senyuman nakal!
“Encik,” seru Fiona buat Umran tersentak. “Jauh sangat tu Umran, stop dreaming!” bisikan hati kedengaran lagi. Lalu senyuman dipamer dan raut wajah Fiona direnung sebelum bicara dilontar.
“Macam mana saya nak tolong awak?” Umran jongket kening kanan. Wajah Fiona ditatap dalam-dalam, serentak itu juga Fiona menundukkan pandangan. Malu! Tambah-tambah direnung sepasang anak mata hitam pekat itu. “Aishhh.. astagfirullahhalazim, tolong jaga perlakuan kamu wahai Fiona!”  bisik hati menasihati diri sendiri.
“Err... awak okey?” Umran menyoal lagi. Hairan melihat Fiona tersipu-sipu seperti itu. Ada yang tidak kena dengan dirinya kah? Umran rasa pelik!
“Saya okey Encik, cuma saya rasa bersalah libatkan Encik dalam masalah peribadi saya.” Gumam Fiona akhirnya.
“Cakaplah Fiona!” ucap Umran perlahan, ada senyuman di pinggir bibir itu dan akhirnya Fiona mengangguk sekali.

“Saya nak pinjam duit Encik untuk rawatan Aidil, sebagai gantinya...” Fiona telan liur. Mencari kekuatan untuk meneruskan hasrat hati yang bermain-main di ruang mindanya sejak kelmarin lagi.
“Sebagai gantinya?” Umran memintas.
“Sebagai gantinya, Encik boleh potong gaji saya setiap bulan!” luah Fiona berharap benar Umran dapat mempertimbangkan permintaannya itu.
“Berapa banyak yang awak perlukan?” Umran bertanya lagi. Fiona mula rasa selesa, seperti ada sinar harapan buat Aidil yang menghidap sakit buah pinggang sejak lima tahun lalu.
“Tak tahulah Encik, saya rasa setiap bulan saya habiskan hampir-hampir seribu lebih!” ujar Fiona mencongak jumlah wang yang dikeluarkan untuk pembiayaan Aidil saban bulan. Banyak juga hingga berbaki sedikit sahaja untuk dirinya sendiri.
“Sebelum ni awak kerja apa, Fiona?” Umran menyoal pantas. Hairan bagaimana gadis ini mampu bertahan hidup dengan gaji yang kecil disamping membiayai kos rawatan adik saudaranya itu.
“Sebelum ni saya jurujual, ada jualan... ada komisen! Tapi sekarang saya dah kena buang, biasalah Encik... bukan semua suka kita. Walaupun kita buat kerja bagus, orang tuduh kita caras mereka! Sudahnya, saya kena buang! Sedih tu memang sedih, tapi nak buat macam mana? Lebih baik saya cari kerja lain dari terus tadah muka pada orang yang nyata tak suka!” gumam Fiona panjang lebar. Umrang angguk kepala, faham dengan dilema masalah yang ditanggung gadis ini.
“Tentang Aidil, awak jangan risau! Nanti saya keluarkan cek! Hermm jom saya hantarkan awak ke sana!” pelawa Umran setelah yakin dengan tindakan yang lahir dari hati. Tambahan pula, nenek sendiri sudah merestui dan menasihatinya mengambil Fiona sebagai isteri. Cuma dia sahaja belum menyuarakan kehendaknya itu terhadap Fiona! Jujur dari hati, Umran masih belum bersedia!



“Hah, mana lima puluh ribu yang kau nak bagi semalam?” sergah lelaki tua tu buat Umran hampir-hampir melompat terkejut! Baru sahaja dia keluar dari perut kereta, lantang bicara itu memukul gegendang telingnya. Lekas-lekas kaki menapak mendekati Fiona di hadapan kereta yang dihentikan di halaman rumah.
“Fiona, siapa nama pak cik awak ni? Dia tak belajar matapelajaran sivik ke?” soal Umran berbisik di telinga Fiona, geram dengan ‘kesopanan’ yang dipamerkan kala ini. Fiona gigit bibir, berfikir seketika.
“Fiona,” bisik Umran seraya menyiku lengan gadis itu. Termenung pula dia!
“Ya,” Fiona toleh ke arah Umran.
“Siapa nama dia? Dekat sekolah dulu, dia tak pernah belajar adab-adab menghormati tetamu?” soal Umran perlahan, masih lagi tidak berpuas hati dengan layanan dari lelaki itu.
“Nama dia Aliman, tapi orang kampung panggil dia Leman!” luah Fiona perlahan.
“Oh, Leman!” angguk Umran sekali.
“Kalau tak silap saya, pak cik tak pernah sekolah!”
“Patutlah!” sahut Umran sepatah.
“Apa yang kamu berdua bisik-bisikkan? Mana duit yang aku mahu?” bentak lelaki yang dipanggil Leman oleh orang kampung Fiona.
“Tak ada apa-apa pak cik!”sahut Fiona menafikan.
“Mana duit tu?” soal Leman kasar, dia bercekak pinggang di beranda rumah. Umran pula hanya memandang, belum mahu bersuara.
“Duit apa pak cik? Fiona bukan barang boleh dijual beli.” Ujar Fiona enggan memanjangkan isu lima puluh ribu seperti yang dikehendaki lelaki tua ini. Fiona rasa marah, namun untuk terus membenci dia tidak sampai hati. Lantaran, lelaki ini dan keluarganya juga yang membesarkan dirinya selama ini. Ah Fiona benar-benar rasa kasihan, tambahan pula rasa simpati masih berbaki di dalam diri. Ternyata dia tidak sampai hati untuk berkasar!
“Aku peduli apa? Kalau lelaki tu mahukan kau, dia perlu bayar lima puluh ribu! Itu syaratnya! Selebihnya, aku tak nak dengar! Kau faham ke tidak Fiona?”  soal Leman dengan kasar. Umran ketap gigi, cukup berang dengan bahasa yang digunakan oleh lelaki ini. Kasar dan menghangatkan hatinya sahaja!
“Faham pak cik, tapi Fiona dengan lelaki ni...” Fiona hentikan bicara. Dia belum lagi memperkenalkan siapa sebenarnya Umran kepada pak ciknya itu. Hubungan mereka hanyalah sekadar majikan dan pekerja, bukan seperti apa yang difikirkan oleh lelaki itu.
“Apa?” sergah Leman membuatkan Fiona terhinjut bahu.
“Pak cik awak ni ada penyakit agaknya!” bisik Umran tidak lama selepas itu. Kedua anak matanya masih menancap tepat ke arah raut wajah Leman yang berpeluh.
“Dia memang dilahirkan macam ni,” sahut Fiona perlahan.
“Fiona, aku tanya... kau boleh buat derkk.. aje? Melampau!” Leman turuni anak-anak tangga lalu menapak mendekati Fiona dan Umran. Wajahnya bengis, namun Umran tidak takut. Cuma... ya cuma Fiona sahaja menelan liur dan mata membuntang ke arah tubuh lelaki yang semakin mendekati dirinya.
“Pak cik, Fiona minta maaf!” aju Fiona pantas.
“Mana lima puluh ribu yang kau nak bagi semalam tu?” Leman tadah tapak tangan di hadapan wajah Umran.
“Apa syarat dan jaminan untuk  pak cik lepaskan Fiona?” soal Umran berani. Wajah Leman ditatap lagi.
“Kau ambil dia dan berambus dari sini!” gumam Leman kasar, sambil bergerak dua langkah ke hadapan. Umran hanya memerhati, ada rasa tidak puas hati bermukin di dalam jiwa lelakinya.
“Pak cik, sampai hati!” suara pilu Fiona menerjah ke gegendang telinga. Umran rasa kasihan, lalu Fiona dihampiri.
“Kita ikutkan permintaan dia, mungkin dengan cara ni awak tak perlu bersusah payah lagi.” pujuk Umran meredakan hati Fiona.
“Tak semudah tu Encik, saya kenal siapa pak cik saya!” aju Fiona bersama pandangan mata yang berkaca-kaca. Tubir itu sudah sedia memberat, perlahan-lahan jari dibawa menyeka kelopak mata. Cuba mengusir rasa pilu yang bertandang!
“Bagi duit, aku nak pakai sekarang!” Leman bersuara lagi. Wajah bengisnya sengaja ditayang di hadapan Umran, mahu menakutkan lelaki muda yang datang bersama Fiona. Gadis yang dipelihara semenjak kecil. Puas hatinya melihat penderitaan yang ditanggung oleh Fiona. Seaakan segala kesakitan hati dan rasa bencinya terbalas sedikit demi sedikit. Juga terasa puas bila acap kali air mata itu tumpah angkara perbuatan tidak bertanggungjawab darinya. Dia benar-benar puas mencipta kesengsaraan di hati gadis yang tidak mengerti punca disebalik perilakunya selama ini. Ah... ini harga yang harus dibayar oleh Fiona!
“Pak cik, Encik Umran ni hanya majikan Fiona! Bukan kekasih Fiona, tolonglah faham.... jangan buat Fiona macam ni pak cik!” rayu Fiona mengaharapkan pengertian lelaki bernama Aliman. Lelaki yang membesarkan dirinya selama ini!
“Majikan? Hahahaha...” Leman ketawa berdekah-dekah. Terasa lucu bila Fiona menyatakan Umran adalah majikannya. Sungguh tidak masuk akal!
“Pak cik..” seru Fiona perlahan. Air mata yang mahu gugur diseka dengan belakang tapak tangan.
“Fiona... Fiona.. sungguh pun aku orang kampung! Jangan sangka aku tak tahu apa-apa! Dia ni teman lelaki kau bukan?” bentak Leman keras. Terasa bagai Fiona mahu memperbodohkan dirinya pula. Bukannya dia tidak tahu, pasti keduanya punya hubungan istimewa. Jika tidak, masakan boleh pulang berdua? Arghh... Fiona memang sangka dia lelaki bodoh! Tak guna!
“Fiona tak tipu pak cik, ini bos Fiona! Iyakan Encik?” soal Fiona pada Umran.
“Ya.. saya majikan Fiona!” sahut Umran perlahan.
“Tapi...” Umran tarik nafas lalu dihela tenang. “Tapi... saya akan ambil Fiona sebagai isteri saya!” gumam Umran melafazkan kehendak hatinya dengan tiba-tiba. Fiona terpempam, terasa dunianya berhenti berputar dan semuanya kaku dan keras beku!
“Fiona... sila kahwin dengan saya?” ucap Umran perlahan namun tegas dipendengarannya.
“Ha?” Fiona tersentak. Wajah Umran ditatap dalam-dalam. “Aku salah dengar ke?” bisik hati bertanyakan sebuah kepastian. Arahan atau permintaan? Fiona gagal meneka!
“Tak payah nak melamar, sediakan lima puluh ribu! Lepas tu pergi berambus!” celah Leman membantutkan suasana romantis mereka kala ini. Hilang mood melamar gadis bernama Fiona! Hessy... potong stim betullah Leman ni!
“Baiklah, tentang majlis pernikahan saya dengan Fiona macam mana?” Umran hentikan niat melamar, ada perkara penting harus dipersoalkan pada lelaki bernama Leman.
“Kau buat sendiri! Aku tak nak masuk campur!” gerutu Leman tegas.
“Kalau pak cik tak nak masuk campur, tak mengapa! Saya tak mungkin beri lima puluh ribu!” ucap Umran tersenyum kecil.
“Kau peras ugut aku ya?” tebak Leman keras.
“Tak, tak pernah! Cuma sebagai satu jaminan untuk saya!” aju Umran bermain tarik tali. Wajah Leman dipandang tanpa berkelip.
“Kau...” Leman unjuk jari telunjuk ke muka Umran.
“Tolong jatuhkan tangan pak cik!” pinta Umran berhemah.
“Kau memang nak cari nahas dengan aku gamaknya?” marah Leman bengangkan Umran. Perlahan-lahan tangan dijatuhkan ke sisi. Demi kerana wang, Leman harus bersabar seketika!
“Oh ya, ini cek pendahuluan! Lima ribu ringgit! Sebagai deposit!” poket seluar diseluk lalu Umran keluarkan sekeping kertas tentera jumlah wang yang hendak diberikan kepada lelaki itu. Sekali lagi Fiona tersentak, anak matanya membuntang ke arah helaian kertas yang dihulurkan oleh Umran kepada pak ciknya, Leman.
“Ambillah!” unjuk Umran. Leman padang wajah itu dengan pandangan tajam sebelum menyentuh helaian kertas itu.

“Lima ribu?” soal Leman disambut anggukan kecil dari Umran. Tanpa berlengah lagi, cek pemberian anak muda itu dilipat dan dimasukkan ke dalam poket baju dibahagian dada.
“Selebihnya?” sesudah itu, bibir tua itu menyoal kasar.
“Saya akan beri nanti!” ucap Umran tegas. Fiona terpaku, urusan jual beli dirinya sedang berlangsung di hadapan mata. Tiba-tiba, hati dihimpit perasaan sebak.
“Baiklah, aku tunggu....” Leman ketawa senang namun tawa panjangnya mati bila Umran bersuara.
“Dengan syarat, Fiona jadi isteri saya!” ucap Umran tegas. Namun ada senyuman kecil tersungging di pinggir bibirnya.

INSYALLAH akan diterbitkan bulan February bersama karya Hayati Ahmad. Bodyguard from Taiping :)
sape nak order daripada saya, boleh tinggalkan pesanan di kotak fb saya.. (harga akan diberitahu kelak, ini sekadar booking belum lagi confirm :)
Facebook Aulia Iman atau tinggalkan mesej anda di dalam email saya. 
ahn3914@gmail.com atau di ruangan komen di bawah :)

3 comments:

  1. setuju dgn nenek umran... haha part gigi pirana tu mmg x boleh blah.. kahkahkah
    gud job writers.. teruskan usaha anda okey!

    ReplyDelete
  2. knp ulang balik, knp x siarkan sambunganyya....huhuhu

    ReplyDelete
  3. EDIT version kamilah :)
    Insyallah kalau xde aral boleh baca sambungan di versi cetak nanti ye :)

    ReplyDelete

Sign In