Sunday, 5 January 2014

PLASTER CINTA UNTUK BOS Bab 4 & 5


BAB 4
PLASTER CINTA UNTUK BOS
“Sekarang kita dah sampai Seksyen 13, so di mana rumah awak?” Soal Umran ingin tahu. Kereta merah hitamnya sedang berlegar-legar di sekitar kawasan seksyen 13 yang menempatkan stadium dan juga pasaraya Giant. Sesekali, Fiona yang sedang menggeletar dipandang sekilas lalu.

Melihat gadis itu hanya senyap membisu, Umran kembali menyoal. “Fiona, kita dah sampai ni, di mana rumah awak?”
Dalam menanti jawapan itu, Umran merenung raut wajah Fiona. Sengaja kening dijongket tinggi agar gadis itu segera bersuara. Tubuh pula sudah menyenget ke kanan. Fiona pula gelisah melihat tingkahlaku Umran, seolah-olah dia sedang ditelanjangi oleh sepasang mata bening itu.
“Err sebenarnya, saya.. saya...” entah mengapa rasa gugup itu hadir menjengah diri hingga menjadikan Umran yang berada di sebelah merasa ada yang tidak kena. Dengan segera kereta di belok ke arah kawasan meletak kenderaan terbuka, lalu enjin dimatikan. Tanpa berlengah lagi, soalan terus sahaja dilontar.
“Ada apa-apa yang tak kena ke?” Soalnya segera.
“Eh, taklah! Saya turun di sini, lagipun saya nak beli barang. Lepas tu bolehlah saya balik naik teksi! Dekat sini, tak susah cari teksi!” Ucap Fiona berdalih. Umran yang mendengar segera tersenyum, jarak keretanya dengan pasaraya Giant sekitar 500 meter. Sanggup Fiona berjalan demi mengelak daripada dihantar pulang. Entah apa yang disembunyikan. “Arghh.. lebih baik aku tanya sendiri pada dia!” desis hati yang keraguan.
“Fiona.. saya rasa awak cuba sembunyikan sesuatu daripada saya! Betulkan?” Tebak Umran tepat sekali. Fiona yang disoal, mati tingkah. Hanya jari jemari itu sahaja dielus satu persatu.
“Sekarang, tolong beritahu dimana rumah awak! Atau awak nak saya patah balik ke pejabat, dan ambil details awak dalam fail pekerja? Pilih, yang mana satu awak rasa paling sesuai dan paling selesa?” Getus Umran memberi kata putus yang tidak mampu dipilih oleh Fiona.
“Cepat!” gertak Umran lagi.
Kerana rasa terkejut, Fiona segera menyahut ringkas.
“Tolonglah Encik, jangan paksa saya! Turunkan saya di sini, saya boleh balik sendiri. Please...” rayunya lagi hingga Umran yang pada mulanya ingin menakut-nakutkan gadis itu tersentak tatkala raut keruh Fiona menerpa pandangan mata.
            “Fiona,” serunya bersama satu keluhan panjang. Enggan memanjangkan cerita, pintu kereta segera ditolak dari dalam. Keluar mencari udara segar!
            Ketika Umran merenggangkan urat-urat yang sengal, Fiona yang turut keluar dari kereta kelihatan menapak menjauhi. Dengan segera, kaki dihayun mengejar langkah itu.
“Fiona, please jangan macam ni. saya cuma nak hantar awak balik! Lagipun dah malam, rumah saya pun dekat-dekat dengan sini saja. Jadi tak salah kalau saya tumpangkan awak.” Pujuk Umran berharap Fiona terpujuk dan sudi dihantar pulang.

“Umran!” seorang gadis berbaju kurung moden bersama kain terbelah hingga ke paras peha datang mendekati.
“Syaza! You buat apa dekat sini?” soal Umran curiga. Fiona yang sedang melangkah pergi, turut menoleh ke arah datangnya satu suara. Langkah yang laju, terhenti dengan sendirinya apabila figura gadis anggun itu menerpa pandangan mata. Cantik!
“I beli barang dapur. You datang dengan siapa?” Soalan itu cukup sinis bersama pandangan yang cukup menjelikkan. Fiona telan liur, Umran pula buang pandang ke sisi kanan.
“You dengan siapa ni, Umran? Sekali lagi soalan itu meluncur laju dari celahan bibir mungil berwarna merah terang.
“My staff! Fiona!” jawapan itu ringkas dan kedengaran mendatar.
Staff?” ulang gadis itu bagaikan tidak mempercayai tutur kata Umran. Fiona di sisi Umran sekadar mengangguk, mengiyakan kata-kata ketuanya itu.
“Ya, saya staf Encik Umran. Perkenalkan, nama saya Fiona,” gumam Fiona sambil menghulur tangan untuk berjabat. Namun huluran tidak bersambut, dingin dan sepi sahaja.
“I rasa sesuatu yang tak kena!” sinis nada suara itu buat Fiona tidak sedap hati. Jangan-jangan dia sedang berhadapan kekasih majikannya sendiri.
“Oh no! Janganlah aku manjadi mangsa salah faham dua insan!” doa Fiona dalam hati.
“Dah maghrib, tak elok tegur yang bukan-bukan.” Balas Umran sekadar mengubah topik perbualan dan juga menutup rasa cemburu di hati wanita itu.
“I cuma tak suka bila tengok jaket you ada pada dia.” Ucap Syaza berterus terang.
“Kalau jaket I ada pada dia sekalipun, kenapa? Beri masalah pada you?” dengan nada bersahaja Umran menyoal kembali. Kali ini Fiona yang berdiri tidak jauh melihat air muka majikannya sudah bertukar tegang.
“She’s wearing your jacket, Umran!” bibir mungil itu melontar bicara. Fiona menelan liur, dan Umran pula menghela nafas.
So, what’s the problem Syaza?” Umran menyoal gadis bernama Syaza dengan soalan. Pertanyaan berbalas pertanyaan.
The problem is...” Syaza mendengus kuat. Wajah dipalingkan dari menancap keduanya.
“You tak kesiankan I, Umran? I cintakan you.. I rindukan you.. Dan I juga harap agar you layan I sama seperti you layan perempuan-perempuan yang lain! Tolong beri layanan mesra kepada I dan jangan terlalu dingin bila kita bersama.” Terang Syaza bersungguh-sungguh hingga getar di hujung bicaranya berjaya menyapa halwa telinga Umran dan juga Fiona.
            “Apa yang you merepek ni Syaza? Fiona just only my staff!”  terang Umran sekali lagi. Fiona pula sekadar mendengar, tersepit di antara dua individu yang sedang berperang dengan bicara masing-masing.
“I cemburu, Umran!”
Nonsense Syaza!” tukas Umran sepatah.
Nonsense you cakap!” Ulang Sayza sedikit terjerit. Tidak lama kemudian, gegendang telinga kembali disapa bicara Syaza yang seterusnya.
“Apa selama ni, tak cukup lagi I tunjukkan kesungguhan I pada you? Bertahun I tunggu you, sabar dengan karenah you dan setia dengan you. But.. huh!” bicara wanita itu terhenti dan pandangannya pula sudah berkaca-kaca.
“Stop it, Syaza! I tak suka you ungkit segala kebaikan dan jasa you pada I.” Cantas Umran sambil mendegus perlahan.
“I tak peduli, I bersusah payah raih kasih sayang dari you... but, you terlalu keras hati Umran! Sanggup you kecewakan I kerana perempuan seperti dia! Sepanjang kita kenal, you tak pernah prihatin. You tak pernah ambil berat pada I, apatah lagi layan I sebaik you layan dia ni!”
“Apa yang you merepek ni Syaza? You sedar tak, apa yang you cakapkan sekarang ni?”
“I sedar..”
“Kalau you sedar, tolong pergi dari sini!”
“No!”
“Yes... I tak suka you bertindak seperti orang hilang akal! Tolong jaga maruah you, dan tolong hormatkan I!”
“I tak peduli!”
“Ikut suka hati youlah Syaza!”
“You.. ada affair dengan boyfriends I kan?” Tebak Syaza kali ini berarah pula kepada Fiona yang tidak mengerti apa-apa.
“Eh, Syaza.. you ni kenapa ha? Kalau tak menyusahkan I sehari, memang tak tenang hidup you agaknya?” Protes Umran segera mendekati Fiona. Dia mahu melindung gadis itu dari diganggu oleh Syaza yang psiko.
“Fiona...”
Kerana kecewa dituduh sebagai pengganggu hubungan perempuan lain, Fiona bingkas memotong bicara majikannya.
 “Cik..Encik.. saya balik dulu! Saya minta maaf kalau wujudnya saya dalam syarikat Encik buat semua orang salah faham, dan menyebabkan sesetengah pihak rasa tidak selesa. Sebenarnya, saya jujur untuk bekerja! Saya datang ke sini untuk cari rezeki yang halal dan bantu keluarga saya di kampung! Tak pernah terlintas di hati saya untuk ganggu hubungan Encik dan Cik berdua, atau buat perkara yang tidak sepatutnya. Saya minta maaf di atas kekeliruan yang berlaku, salah faham yang terjadi bukanlah dengan niat saya.” Gumam Fiona panjang lebar. Dia yakin, dan dia sedar dia harus berterus terang tentang niat murninya itu agar tiada manusia lain bersalah sangka.
“No need Fiona, I akan hantar you.” Ucap Umran tegas.
“Takpelah Encik, saya boleh balik sendiri!”
“Boleh tak you dengar arahan I?” Soal Umran lalu menghala pandangan ke arah Fiona yang berdiri tidak jauh dari kedudukan mereka berdua.
“Saya tumpangkan awak, bermakna saya juga akan hantar awak balik. Dan saya akan pastikan awak selamat sampai ke rumah!” Tegas Umran sebaik sahaja melihat Fiona seakan-akan mahu melangkah pergi.
“Tak perlu Encik Umran, saya boleh balik sendiri! Lagipun, saya tak patut ganggu Encik dan girlfriend Encik!” sahut Fiona cuba menolak namun Umran segera membalas.
No, Fiona! Saya hantar awak balik!” tegas Umran lalu mendekati tubuh yang bersarung jaket kulit miliknya. Wajah pucat Fiona diperhatikan sekilas, sekali lagi rasa simpatinya tumpah!
“Masuk dulu, ada perkara yang belum selesai antara saya dengan Syaza. Pergilah, lepas ni I akan hantar you balik!” Suruh Umran lembut hingga Fiona tiada ruang untuk menolak lagi.
Kerana kebaikan majikannya, Fiona merasa malu sendiri. Umran ternyata lelaki yang cukup prihatin dan baik orangnya, namun dia sebagai perempuan tidak tega melihat Syaza mencemburui dirinya.
“Saya..”
Belum sempat Fiona melafazkan rasa, Umran terlebih dahulu bersuara.
“Pergilah masuk, saya perlukan privacy. Masuk dulu, ya.”
“Baiklah Encik,” akhirnya Fiona mengalah dan menurut. Ketika dia melangkah mendekati kereta Umran, jelingan tajam Syaza masih sempat menikam anak matanya. namun dia keraskan hati untuk terus melangkah dan membolosi tubuh ke dalam kenderaan berwarma hitam merah itu.
“Syaza.. I’m late. I balik dulu?”
“Not now, Umran!” tegah Syaza pantas.
“Why? Dah maghrib ni, Syaza! I sibuk,” aju Umran memberi alasan.
“Sibuk? Dengan dia tu?” Laju sahaja Syaza mengunjuk jari ke arah Fiona yang berada di dalam kereta. Sesudah itu, wajah Umran diperhatikan semula.
“Yes, I’m.” Bohong Umran agar Syaza segera mengerti penolakannya.
“I don’t believe you Umran! I tak sangka, dia tu taste you.” sinis Syaza seraya ketawa kecil. Ketawa yang dibuat-buat!
“Kenapa pun, dia pun manusia! Bukannya makhluk asing.”
“I tahu... tapi dia bukan citarasa you. I know your better, Umran.”
“So..?”
“I cuba untuk menjadi kekasih you, tapi I perlukan ruang dan peluang kedua.” Rayu Syaza bersama nada sayu. Umran yang mendengar terus sahaja mengukir senyuman sinis. Dia benci dengan janji-janji yang lahir dari kedua ulas bibir itu. Dia serik dan gagal untuk mempercayai buat sekian kalinya.
“Sudahlah Syaza, I ada kerja! So.. I balik dulu. take care, kalau apa-apa terjadi, tolong jangan salahkan I!” Gumam Umran lantas mengatur langkah mendekati Mini Cooper lalu meninggalkan Syaza bersama seribu satu kekecewaan yang tidak bertepi.
“Umran.. Wait... I perlukan you. Please Umran...” dari jauh, teriakan Syaza langsung tidak diendahkan. Hati lelaki sepertinya sudah tawar dan jiwanya juga sudah mati untuk insan bernama Syazarina. Insan yang menipu dan mengkhianati cinta dan kasih ikhlas darinya.



“Maaf Encik, tadi saya bohong Encik.” Akui Fiona tertunduk tidak berani melawan pandangan bening milik lelaki yang bergaya maskulin seperti majikannya ini. Rasa malu dan segannya bersatu sebaik sahaja kereta yang dipandu pengarah urusan U-Han Creative menyusuri lorong kecil di sebuah perkampungan kecil yang terletak di Padang Jawa.
“Awak malu?” soal Umran perlahan. Niatnya hanya satu, menghantar Fiona hingga tiba di muka pintu sebelum kembali semula ke kereta dan memandu pulang ke rumah.
“Malu dan segan, semuanya ada!” luah Fiona memandang wajah Umran untuk seketika sebelum pandangan dilempar jauh-jauh. Terasa perit tekaknya kala ini bila anak mata itu menikam tepat ke raut wajahnya.
“Tak perlu segan-segan, mana rumah awak? Tunjuklah pada saya,” nada suara dilunakkan agar Fiona tidak berasa rendah diri. Sesekali Umran memerhatikan persekitaran perkampungan yang dihuni oleh pekerja barunya. Cukup daif dan benar-benar membuatkan hatinya terusik dengan sendirinya.
“Sini... ikutlah saya.” Ucap Fiona lambat-lambat. Namun langkah kaki tetap di atur satu persatu menuju ke deretan bangunan kecil yang terletak memanjang ke belakang.
“Ni rumah saya,” aju Fiona sebaik sahaja tiba di hadapan pintu rumah. Umran yang mendengar sekadar mengangguk lalu meninjau-ninjau bahagian luar rumah yang disewa pekerja syarikatnya itu. Sempit dan agak semak denagn rumput-rumput liar diluarnya.
“Awak selesa tinggal di sini? Dengan keadaan macam ni?” soalan itu meluncur laju dari kedua ulas bibirnya bila melihat rumah bersaiz seperti kotak menerpa pandangan mata.
“Err...  herrm! Tak ada pilihan, Encik.” Ujarnya perlahan. Umran segera tahan rasa apabila raut keruh Fiona menerpa ruang mata. Terlanjur mempersoal! Jika diberi pilihan, tiada seorang pun manusia di muka bumi ini memilih untuk menjalani hidup dalam serba kedaifan.  Itu hakikat!
Sorry Fiona! Saya busy body!”terang Umran sedar pertanyaannya mungkin mengundang ketidak selesaan gadis yang berketinggian separas telinganya itu.
“Tak apalah Encik. Saya dah biasa,  oh ya... Encik duduk sini sekejap! Saya buatkan air,” ucap Fiona seraya menguntum senyum. Mahu menguji, adakah Umran sudi singgah atau segera ingin berlalu bila dipelawa minum. Dia mahu tahu, hati lelaki ini.
“Tak susahkan awak ke Fiona?” soal Umran tanpa riak.
`           “Eh.. taklah!” sahutnya menguntum senyuman mekar. “Duduk sekejap ya,” luahnya lagi disambut anggukan kecil Umran. Pemergian gadis ini dihantar melalui pandangan matanya sebelum Umran mengalih wajah lalu terpandangkan kerusi kosong berdekatan pintu masuk rumah kecil kepunyaan Fiona. Tanpa berlengah, Umran melabuhkan duduknya dan menebarkan pandangan ke seluruh kawasan perkampungan yang terletak di tengah kawasan membangun ini.
“Maaf Encik, buat Encik tertunggu-tunggu.” gumam Fiona menghalau pergi khayalan Umran yang sudah jauh melayang. “Minumlah Encik,” pelawa Fiona seraya menuang kopi hitam pekat ke dalam cawan bertangkai.
“Terima kasih,” balas Umran lalu menyentuh cawan dan diangkat dekat kepadanya.
“Awak tinggal dengan siapa dekat sini?” soal Umran sebelum meneguk kopi buatan air tangan Fiona.
“Saya tinggal dengan dua orang lagi. Mereka tak ada, kerja shift malam!” terang Fiona masih berdiri di muka pintu. Untuk duduk, kerusi panjang itu sudah di kuasai oleh Umran seorang. Rasanya tidak perlu dia menyempit di kerusi tersebut. Fiona sabarkan diri.
“Err... Fiona.. sorry kalau saya tanya sikit!” gumam Umran berkerut-kerut dahinya seketika.
“Ya.... tentang apa tu Encik?” laju sahaja Fiona menyahut. Ada debar dalam hati. Fiona senyapkan diri, menunggu Umran meneruskan kata.
“Kenapa kopi awak rasa pahit ya?” soalan Umran keluar juga. Hendak tak hendak, dia harus bersuara juga. Sesekali wajah terkejut Fiona dipandang silih berganti dengan cawan kopi yang masih berada di dalam pegangan.
“Yeke Encik?” tanya Fiona inginkan kepastian.
“Sini saya rasa,” cawan di dalam pegangan Umran digapai lalu diteguk tanpa sempat Umran menahan perbuatan itu.
 “Ha sudah.. silap haribulan dia duk ikut semua telunjuk aku. Kes naya ni!” bisik hati Umran hanya mampu melihat kopi yang berbaki di teguk oleh Fiona.
“Herrmm..” wajah itu berkerut dan tahulah Umran bahawasanya Fiona juga turut merasa apa yang dirasa olehnya seketika tadi.
“Kenapa pahit? Awak tak letak gula ke?” pertanyaan Umran akhirnya dijawab dengan anggukan kecil.
“Maaf Encik, saya bukan nak aniaya Encik! Tapi, saya cuma letak sedikit aje gula. Lagipun, gula berlebihan tak baik untuk kesihatan!” terang Fiona cuba menyakinkan majikannya. Sedangkan gula di rumah sudah kehabisan, dan hanya berbaki sedikit sahaja di dalam balang kaca.
“Oh, macam tu eh? Hermm okeylah, saya dah minum. So rasanya saya nak balik,” gumam Umran lalu bangkit dari duduknya. Wajah Fiona yang masih pucat diperhatikan lagi. Ada sesuatu yang harus diperkatakan!
“Encik nak kata apa-apa ke?” tebak Fiona sebaik melihat riak Umran yang tidak senang.
“Tak ada apa-apa, cuma esok saya akan datang jemput awak! Lagipun skuter awak rosak,” beritahu Umran. Niatnya hanya satu, mempermudahkan Fiona ke tempat kerja. Untuk mendapatkan perkhidmatan awam pasti melibatkan kos dan Umran sedar bahawasanya Fiona tersepit dengan masalah kewangan. Jika tidak, masakan sedaif ini kehidupan yang harus dilalui gadis berpenampilan selekeh ini?
“Tak perlu Encik!” tolak Fiona segera.
“Habis tu, awak nak ke kerja naik apa?”
“Saya naik bas!”
“Bas? Berapa banyak bas yang perlu awak tukar sebelum sampai ke office?” Soal bibir itu lagi.
“Dua encik, tapi saya tak rasa susah. Saya okey,”
“Tak perlulah awak naik bas, esok saya ambil awak, lagipun kita sehala!”
“Err...” belum sempat Fiona melontar bicara Umran terus sahaja memotong.
“Esok saya jemput. Dah lewat ni, saya balik dulu!” Umran terus sahaja melambai lalu menapak menuju ke keretanya hingga membuahkan keluhan panjang di bibir Fiona. Lelaki itu terlalu baik pada dirinya yang tidak seadanya. 




“Kenapa dengan you ni Umran, siapa dia ni? Semalam I tengok you hantar dia balik, now you dengan dia naik satu kereta.” hambur Syaza sebaik sahaja Umran keluar dari perut kereta. Fiona di dalam sana hanya mampu membatukan diri, dia takut berhadapan gadis segarang Syaza. Entah, tak tahu kenapa.
“Syaza, what’s wrong with you?” soal Umran lembut. Fiona dengar, nada suara itu mendatar tanpa intonasi keras.
Nothing!” sepatah Syaza membalas. Namun hatinya kuat menyatakan Umran punyai hubungan dengan gadis selekeh yang langsung tidak setanding dengan dirinya yang punya pesona dan anggun dalam berfesyen.
“I nak pergi kerja, tolong alih kereta you. Please..” gumam Umran melontar pandangan ke arah jalan raya yang semakin sibuk dengan kenderaan bertali arus. Sesungguhnya, dia enggan bertelagah dengan Syaza. Dia tidak perlukan kasih seorang perempuan apatah lagi cinta dari gadis bernama Syaza. Hatinya telah mati dari rasa cinta yang suatu ketika dahulu subur dan mekar untuk insan yang tidak sepatutnya. Umran hampa! Kisah lalu benar-benar membuatkan rasa cintanya mati di dalam hati!
“Umran, I really.. really love you! Give me one more chance..  I akan buktikan cinta I hanya untuk you. Terimalah diri I, I ikhlas sukakan you.” Bisik Syaza mendekati Umran yang sedang bersandar di belakang Mini Cooper.
“Syaza, perasaan I, dan hati I.. tak mampu dipaksa. I tak perlukan cinta, hidup I lebih bahagia seperti apa yang I lalui hari ni.” aju Umran perlahan namun membawa makna yang besar. Sungguh, Syaza tewas untuk mencairkan hati lelaki yang sudah keras, sekeras kerikil di jalanan. Dia tewas walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menakluk hati Umran, namun segala usahanya tetap menemui jalan buntu. Syaza ketap bibir, tanpa sedar juring matanya kembali hangat dengan air mata.
“Syaza, tolong jangan menangis lagi. I tak boleh paksa hati I.” Putus Umran sebaik sahaja anak matanya mula menangkap pandangan berkaca-kaca gadis berbaju kurung itu.
“Tolonglah  Umran, tolong beri I peluang kedua, I janji... I akan cinta dan kasihkan you melebihi rasa cinta dan sayang I pada diri sendiri.” Rintih Syaza mengharapkan Umran sudi memberi peluang kepadanya walaupun seketika. Dia rela, asalkan Umran sudi menjadi kekasihnya yang satu. Dia sanggup lakukan apa sahaja!
“Jangan Syaza, sayangkan diri you dulu! Then, baru you boleh sayangkan orang lain.” Umran luah rasa, namun di dalam dada dia akui rasa simpatinya kepada Syaza tidak dapat di nafikan lagi. Umran hela nafas, lemah bila air mata wanita gugur lagi.
“I nak pergi kerja,” terangnya pendek.
“Umran, you janji jangan buang I dari hidup you.. I akan tunggu you sampai bila-bila..” ucap Syaza bersungguh. Fiona di dalam kereta diam dan hanya memasang telinga. Begitu ekstrem gadis ini di pandangan matanya, bersungguh benar dia menagih cinta dari seorang lelaki seperti Umran. Dan yang menghairankan, tidakkah gadis secantik Syaza mampu menyentuh hati Umran? Anggun! Itu satu kata yang dapat digunakan untuk menggambangkan karakter gadis bernama Syaza.
“Syaza... jangan macam ni... kita tak tahu kesudahan hidup kita bagaimana...” balas Umran tanpa menoleh raut wajah penuh mengharap Syaza. Pasti hatinya rapuh lagi, bila air mata itu tersapa di pandangan matanya.
“I akan tunggu you.. tunggu hingga hujung nyawa I.”tegas Syaza di dalam sendu.
“Jangan Syaza,” larang Umran mula mengatur langkah menuju ke kereta.
“I akan tunggu you, Umran! Hanya you yang I mahukan!” tangis Syaza sebaik sahaja Umran berlalu masuk ke dalam perut kereta. Fiona ketap bibir, rasa simpatinya tumpah buat Syaza yang benar-benar mengharap.
“Encik, boleh saya tanya sesuatu?” gumam Fiona berhati-hati.
“Herrmm.” Balas Umran tanpa suara. Fiona lihat, Umran sedang mengenakan kaca mata hitam yang cukup ranggi sebelum menekan pedak minyal meninggalkan kawasan hentian R&R ini.
“Syaza tu kekasih Encik?” soal Fiona lambat-lambat.
“Tak.. dia isteri orang!” ucap Umran buat Fiona tersentak. Berkerut-kerut dahinya memikirkan fakta yang dihamburkan oleh bibir merah sensual Umran.
“Isteri orang? Macam mana boleh jadi macam tu?” soal Fiona hampir tidak kedengaran.
“Apa dia?”
“Err... maksud saya, macam mana dia jadi macam gitu?”
“Entah la.. mungkin wedding dia dulu diatur keluarga!”
“Saya tanya lagi boleh?”
“Boleh!”
“Dah lama Encik kenal dia?”
“Lama juga, zaman study..”
“Oh... macam mana dia boleh sukakan Encik?”
“Dulu dia bekas teman wanita saya, bila saya ambil keputusan untuk balik dan kerja di kampung. Hubungan kami terputus, dan sekarang saya dah kembali ke KL. Jadi, dia datang cari saya semula.” Ucap Umran berterus terang.
“Oh..” angguk Fiona sekali.
“Dia sayangkan Encik, saya nampak dia betul-betul sayangkan Encik!”
“Sayang pada orang yang salah, takkan kemana rasa sayang macam tu.”
“Maksudnya?”
“Dia dah ada suami, sayang dia harus pada suami dia. Bukan pada saya,” luah Umran bersama nada kesalnya.

BAB 5
PLASTER CINTA UNTUK BOS
“Kenapa dengan awak? Pandang –pandang saya dari tadi?” tutur Umran tanpa memandang Fiona yang sedang berkerut-kerut dahinya
“Eh, mana ada!” nafi Fiona akibat tersentak dengan teguran Umran
“Awak nak cakap apa-apa ke?” Umran menyoal lagi.
“Iya, sebenarnya.... saya nak tanya tentang skuter saya tu.” Aju Fiona lambat-lambat. Segan sebenarnya, tambah-tambah bila Umran pandang wajah dia yang kosong tanpa sebarang solekan.
“Motor awak tu? Saya minta tolong kawan saya uruskan!” luah Umran mendatar nada suaranya.
“Err.. apa yang rosaknya dengan skuter saya tu  Encik?” Fiona masih tidak puas hati. Ingin tahu keadaan sebenar skuter Lambretta kesayangannya.
“Semalam kawan saya call, katanya kena overhaul engine!” bicara Umran buat Fiona tersentak.
“Over haul? Biar betul? Aduh masalah.. masalah!” getus hati kecil mula rungsing dengan kos membaiki motosikal yang boleh tahan tingginya.
“Agak- agaknya kan... berapa ratus saya kena bayar pada kawan Encik tu?” ucap Fiona lambat-lambat.
“Dia kata dalam tiga atau empat ratus! Tengok pada kerosakannya!”
“Ha? Banyaknya!” lemah lutut Fiona kali ini.
 “Jangan risau, kalau awak tak ada duit, saya bayarkan dulu. Nanti bila awak dah ada duit, awak bayarlah mana yang awak termampu!” tutur Umran mahu hati dan jiwa pekerjanya kembali tenang.
“Betul ke Encik?” Fiona pandang Umran, rasa terharu mula mengambil tempat di sudut atas carta hatinya.
“Yes!” jawab Umran sambil kerling Fiona. Gadis ini tidak boleh dipandang lama-lama. Bahaya, dan mungkin akan mengganggu kesihatan matanya nanti.
“Terima kasih Encik!” ucap Fiona bersama senyuman mekar hingga menampakkan barisan gigi yang tidak sekata itu.
“Tolong jangan senyum,” luah Umran buat senyuman Fiona mati.
“Kenapa?”
“Errr...” Umran tidak sampai hati untuk berterus terang.
“Kenapa Encik? Saya dah gosok gigi pagi tadi...
“Errkk.. bukan sebab tu!”
“Jadi... Errr..  nafas saya berbau ke?” tebak Fiona segera buang perasaan malu.
“Bukan!”
“So?”
“Awak tak cantik bila senyum macam ni.” Huh lega!  Umran hela nafas panjang! Tak sangka dia berani sebut kenyataan itu di hadapan Fiona. Harap-harap Fiona tak kecil hati.
“Maksudnya?” Fiona masih gagal menangkap.
“Nanti saya bawa awak jumpa kawan saya! Dia doktor gigi, Insyaallah gigi awak akan cantik sama macam orang lain.” Ucap Umran pamer senyuman ikhlas.
“Kenapa dengan gigi saya?” soal Fiona perlahan. Tercari-cari cermin, ingin segera melihat gigi sendiri.
“Gigi awak dah okey cuma....” Umran tak jadi meneruskan kata. Nanti apa pula kata Fiona andai dia berterus terang tentang keadaan gigi Fiona yang nampak seperti gigi ikan pirana. Tajam-tajam dan nampak tidak sekata!
“Cuma apa Encik?” soal Fiona polos.
“Tak ada apa-apalah.” Senyum Umran mengakhiri bicara mereka. Kelajuan kereta ditingkatkan dan Mini Cooper terus sahaja dipecut laju.  Sedang mereka melayani perasaan, deringan telefon Fiona mengusik ketenangan pemanduan Umran.
“Excuse me, saya jawab telefon sekejap.” Ucap Fiona meminta izin. Umran sekadar mengangguk perlahan lalu jari jemari bingkas mendekati punat radio. Volume radio di perlahankan.
“Ya pak cik, nanti Fiona dapat gaji Fiona hantar ke kampung!” bisikan itu menerpa peluput telinga Umran. Walaupun perlahan, Umran masih dapat mendengarnya dengan jelas.
“Iya, Fiona janji!” ucap Fiona sambil mencuri pandang ke arah Umran. Bimbang perbualannya didengari majikan sendiri. Sudahlah kacak, bergaya.. baik hati pula tu! Memang lengkap pakej fizikal untuk dijadikan bakal suami.
“Fiona tak gaji lagi pak cik, hujung bulan baru masuk. Lagipun Fiona baru mula kerja!” tukas Fiona masih lagi memperlahankan nada suaranya. Sesekali dia tersenyum bila pandangan bos muda itu menikam wajah.   Laju sahaja anak mata dilarikan ke bahu jalan raya yang terbentang luas.
“Tolonglah pakcik, Fiona tak ada duit.” Rintihan itu buat hati Umran terkesan. Mungkinkah Fiona mengalami masalah kewangan hingga sayu benar nada suaranya melontarkan patah bicara kepada pemanggil di sebelah sana.
“Fiona janji, hujung bulan Fiona hantar ke kampung!”
“Ya, Fiona janji!” tekan Fiona lagi. Umran pasang telinga mencuri dengar.
 “Apalah agaknya krisis yang ditanggung budak pendek ni?” getus hati kecil Umran tertanya-tanya tanpa jawapan pasti.
“Baiklah, terima kasih pak cik! Assalammulaikum.” Talian diputuskan dan telefon bimbit di masukkan ke dalam beg sandang. Umran hanya membatukan diri, namun hati dan mindanya seakan-akan sibuk memaksa bibir meluah sebuah pertanyaan. Namun kehendak hati disabarkan sahaja! Umran, tak baik masuk campur hal orang. Pujuk Umran pada diri sendiri!
“Encik, saya minta maaf kalau suara saya tadi mengganggu Encik.” ucap Fiona lambat-lambat!
“Eh, tak mengapalah Fiona. Saya pun tak dengar dan tak jelas tentang apa yang awak bualkan tadi. Jangan risau okey,” gumam Umran seraya membelok Mini Cooper memasuki kawasan basement.



SAMPAI sahaja di pejabat, Fiona menuju ke bahagian unit lakaran manakala Umran pula terus sahaja bergerak ke bilik yang sudah lima tahun dijadikan bilik kerjanya. Tugas harian dimulakan, masih banyak kerja-kerja lakaran harus disiapkan segera lantaran terlalu ramai klien menggunakan khidmat nasihatnya dalam urusan mengubah susun atur dan hiasan dalaman. Dalam kesibukan itu, Umran dikejutkan dengan ketukan di muka pintu.
“Masuk,” ucapnya memberi respon terhadap bunyi ketukan yang bertalu itu.
“Encik, saya minta maaf ganggu kerja Encik!” luah Fiona sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kamar kerja Umran.
“Oh Fiona, ada apa ni?” Umran panggung wajah lalu raut wajah yang nampak gelisah itu direnung lama.
“Sebenarnya, tadi saya baru dapat call dari kampung! Pak cik saya kata, dia terlibat dengan kemalangan. Saya nak balik,” aju Fiona penuh tertib.
“Pak cik awak accident? Bila? Teruk ke?” soal Umran menghentikan kerja melakar. Pensil yang dikepit di celah jari diletakkan di atas meja.
“Saya tak pasti, tapi... saya mesti balik ke kampung sekarang.” Luah Fiona merasa cemas dengan berita yang baru dikhabarkan oleh mak cik Hasnah, isteri kepada pak cik-nya itu.
“Awak nak balik naik apa?” Umran menyandarkan tubuh di kerusi. Wajah Fiona ditatap dalam-dalam.
“Naik bas,” sahut Fiona pendek.
“Kalau macam tu, saya hantarkan awak ke stesen bas.” Tawar Umran disambut anggukan Fiona. Bukan mahu mengambil kesempatan, namun dia terpaksa menerimanya tanpa banyak soal lantaran skuter kesayangannya pula sedang sakit tenat dan masih mendapat rawatan di bengkel memperbaiki motosikal.
Sejurus menggapai kunci kereta, Umran dan Fiona beriringan keluar dari pejabat urusan U-Han Creative. Dan Mini Cooper bewarna hitam merah dipandu menuju ke Hentian Puduraya. Satu persatu kaunter tiket disusuri namun hampir kesemua tiket perjalanan menuju ke Tapah Perak telah habis terjual. Fiona yang resah kini bertukar sugul.
 “Fiona.. Saya tolong hantarkan awak ke Tapah?” tawar Umran buat Fiona menoleh perlahan-lahan. Raut wajah Umran diperhatikan memohon sebuah pengertian.
“Ya, saya hantarkan!” tutur Umran sekali lagi.
“Eh, tak payahlah Encik! Dah banyak sangat saya susahkan Encik hari ni.” Tolak Fiona enggan terhutang budi pada lelaki budiman seperti Umran.
“Saya tak kisah, jom saya hantarkan awak balik.” Ucap Umran bersungguh-sungguh. Dan melihat kesungguhan yang dipamerkan Umran, Fiona rasa sebak dan terharu. Tidak menyangka masih lagi wujud lelaki budiman di dunia yang fana ini!



“Pak cik!” jerit Fiona sebaik sahaja turun keluar perut kereta. Umran menoleh, ada tiga beranak sedang duduk di pangkin di bawah pohon jambu.

“Balik pun engkau!” gerutu suara garau itu buat Umran tersentak. Perlahan-lahan langkah kaki diatur mengekori Fiona yang sudah jauh ke hadapan.
“Pak cik kata, pak cik accident! Betul ke?” soal Fiona inginkan kepastian. Ada riak curiga di biaskan untuk tatapan lelaki lewat lima puluhan itu. Umran juga ingin tahu, sejauh manakah kesan kemalangan yang melibatkan pak cik kepada pekerjanya itu. Teruk benarkah, atau hanya cedera ringan!
“Betullah! Kau ingat, aku dah mampus? Atau... kau fikir tulang belulang aku ni dah patah riuk?” soalan kasar dihambur membalas pertanyaan Fiona. Fiona ketap bibir, untuk kali ini dia mula merasakan dirinya ditipu dan dipermain-mainkan oleh keluarga ini.
“Hah, jantan mana pula kau angkut bawa balik ni, Fiona? Kurang ajar, sengaja nak malukan aku!” satu tamparan melekat di pipi kanan Fiona hingga membuatkan kulit yang menjadi mangsa terasa pijar seketika.
“Pak cik, Fiona minta maaf! Ini..” belum sempat Fiona meneruskan bicara, sekali lagi tamparan singgah ke wajah! Dengan pantas, tangan menggosok permukaan yang terasa pedih. Kecewa dan terkilan mula bersatu, Fiona tahan rasa agar tidak menangis di hadapan lelaki sebaik Umran.
“Dah pandai melawan!” jerkah lelaki tua ini buat Umran rasa sakit hati. Entah mengapa, dia turut merasa pedih bila tamparan itu mengenai pipi mulus Fiona. Sesuatu harus dilakukan, Fiona harus dibela.
“Excuse me.. err maaf pak cik! Sebenarnya, saya ni bekerja satu tempat dengan Fiona.” Umran terpaksa mencelah tatkala keributan ini berlaku di hadapan matanya. Rasa kasihan tumpah untuk gadis yang tidak diberi peluang untuk berterus terang.
“Dia kerja apa dekat Kuala Lumpur tu? Ha... kau ni, siapa pula? Baik betul nak mengantar si Fiona ni balik! Umran ditebak soalan yang cukup kasar. Perlahan-lahan, jari dibawa ke telinga lalu pelipis itu diurut perlahan. Bagai cuba meredakan rasa amarah yang mula hinggap ke hati.
“Saya bekerja satu tempat dengan dia pak cik, kebetulan dia nak balik dan tiket bas pula habis. Jadi saya tolong hantarkan. Yang pak cik ni nak naik angin tak tentu hala kenapa?” soal Umran bersahaja. Riaknya nampak polos seperti tiada apa yang terjadi. Namun berlainan pula dengan Fiona, perasaan takutnya mula menghantui diri.
“Kurang ajar!” lelaki itu tarik tali pinggang yang melekat di seluar sebelum dihayun tinggi. Namun Umran masih sempat mengelak, Fiona juga dibawa ketepi.

“Pak cik, saya datang secara terhormat, boleh pak cik layan saya secara baik dan berbudi bahasa?” Umran mula bertegas.
“Kau siapa nak masuk campur urusan aku? kau siapa?” jerkah lelaki tua ini mula marah. Isterinya pula hanya memerhati, sesekali dia tersenyum sinis. Manakala seorang gadis sebaya Fiona sekadar menjeling tajam. Persis Umran punyai rekod kesalahan silam dengannya pula.
“Saya bakal suami Fiona!” jawab Umran buat Fiona hampir terlompat kerana terlalu terkejut. Lelaki tua itu turut terpempam dan isterinya juga terdiam. Masing-masing menghala pandangan ke arah Umran
“Jadi, saya tak suka kalau-kalau pak cik pukul bakal isteri saya.” Luah Umran kedengaran bersungguh namun dia sempat mengenyit mata ke arah Fiona yang memerhati menanti pengertian darinya.
“Siapa yang izinkan Fiona kahwin? Siapa? Sampai ke tua pun aku takkan lepaskan budak Fiona ni kahwin! Jangan berharap!” ucap lelaki tua ini kedengaran sinis.
“Bertahun-tahun aku jaga, aku bagi dia makan! Sekarang dah tiba masanya, dia kerja dan tanggung hidup aku anak beranak!” tokok bibir yang sudah berkedut itu. Umran menggeleng kesal, rasa kasihannya tumpah buat Fiona yang menjadi mangsa kezaliman lelaki tua ini.
“Pak cik, Fiona bebas untuk berkahwin dengan siapa sahaja yang di mahu. Saya harap pak cik jangan terlalu mengawal kehidupan Fiona. Dia ada kehidupan dia sendiri,” ucap Umran memandang sekilas ke arah lelaki berjambang itu. Sekali pandang, Umran bagai dapat meneka personaliti lelaki ini. Dengan jambang yang tidak terurus, kemeja lengan pendek yang tidak berbutang dan seluar yang sedikit menggeleber serta ditambah pula rambut yang panjang tidak disisir. Lelaki ini kelihatan seperti lelaki yang gemar berpeleseran.
“Aku dah cakap pada kau, aku takkan benarkan dia berkahwin! Kecuali kalau kau bagi aku duit lima puluh ribu.” Lelaki ini ketawa berdekah lalu disambut senyuman mengejek isteri dan anak gadisnya.
“Pak cik nak buat apa dengan duit tu? Berjudi lagi?” tebak Fiona setelah agak lama berdiam diri.
“Habis, apa lagi orang tua macam aku boleh buat selain berjudi?” soalan Fiona dibalas dengan soalan. Umran perhatikan lelaki yang disapa pak cik oleh pekerjanya itu. Sungguh tidak semenggah dipandangan matanya.
“Pak cik, kenapa cakap macam tu. Pak cik nak jual Fiona semata-mata untuk dapatkan duit dan berjudi?” soal Fiona sebak.
“Buat apa aku simpan kau lama-lama? Kalau ada orang nak beli, aku jual!” dia kembali menyambung tawa. Umran ketap bibir, terasa geram bila melihat Fiona dilayan begitu hina oleh keluarga ini.
“Pak cik, Fiona ni anak saudara pak cik!” ucapan Fiona benar-benar meruntun rasa simpati Umran, namun dia tidak terdaya untuk masuk campur dalam urusan melibatkan keluarga ini. tambahan pula, dia hanya orang luar yang tidak tahu pokok pangkal cerita yang sedang hangat dibahaskan.
“Ah, aku peduli apa? Selama ni, kau betul-betul menyusahkan aku! Setiap bulan berapa sen sahaja kau bagi pada aku? Berapa sen?” jerkah lelaki tua itu seraya menarik rambut Fiona hingga membuatkan wajah itu terdongak ke atas.
“Sakit pak cik,” rintih Fiona cuba mencari tangan lelaki yang mencengkam erat rambutnya ketika ini. Rasa pedih di kulit kepala tidak dapat dinafikan lagi.
“Stop it! Kita bincang!” pintas Umran cuba menenangkan lelaki yang sudah hilang akal. Untuk mendekati Fiona, Umran tidak berani apatah lagi lelaki tua ini memandang tajam ke arahnya. Dan tali pinggang pula masih tersemat di sisinya.
“Bincang? Tentang apa?” suara itu dikendurkan namun ada senyum sinis di pinggir bibir itu.
“Duit!” ucap Umran pendek. Berharap proses tawar menawar ini dapat mengurangkan penderitaan Fiona.
“Kau nak bagi duit?” tebak lelaki ini disambut anggukan kecil Umran.
“Lima puluh ribu?” soalnya lagi.
“Ya,” jawab Umran kedengaran yakin.
“Bagus, aku lepaskan dia!” perlahan-lahan rambut Fiona dilepaskan. Membiarkan gadis itu berlalu menjauhinya.
“Apa jaminan untuk pertukaran lima puluh ribu tu?” soal Umran mula berurus niaga.
“Jangan! Jangan buat Fiona macam ni pak cik, Encik!” ucap Fiona mula terasa dirinya adalah barang dagangan. “Sampai hati encik,” rintihan di hati tak siapa yang mendengarnya lagi.
“Kau diam!” gumam lelaki tua itu buat Fiona terkedu. Tiada gunanya lagi berharap pada lelaki yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur selama ini. Mungkin Umran sahaja mampu mengembalikan harga dirinya yang sering kali diperkotak katikkan.
“Encik, tolong jangan buat saya macam ni Encik,” pohon Fiona mendekati Umran dan cuba menarik perhatian Umran dari terus termakan kata-kata lelaki tua yang telah dianggap seperti darah dagingnya itu.
“Ini untuk kebaikan awak Fiona!” tegas Umran berbisik perlahan.
“Tolonglah jangan,” rayu Fiona mula sebak. Ada titis-titis air mata yang mengalir lesu dari tubir yang sedia memberat.
“Jangan risau, semuanya akan baik-baik belaka!” ucap Umran menyakinkan gadis yang mula dipagut sebak dan hiba.
“Dia bukan seperti apa yang Encik fikirkan!” tegas Fiona dalam sendu.
“Tolong jangan percaya kata-kata seorang penipu dan kaki judi!” tambah Fiona bersama derai air mata.

DIjemput baca karya saya yang telah tamat di blog...  
Dunia kita berbeza (Prekuel Plaster Cinta untuk Bos)
Dan juga cerpen di dalam Koleksi Cerpen

2 comments:

  1. sedihnya hidup Fiona :'(

    ReplyDelete
  2. ish, jahat betul pak cik Fiona. dgn tetamu pun tak layan elok2. tapi, tak sabar nak tunggu sambungan! :D

    ReplyDelete

Sign In