Wednesday, 30 March 2016

CINTA DIHUJUNG NODA BAB 35






Sedang aku leka melakukan kerja-kerja pejabat, deringan telefon kedengaran nyaring menyapa gegendang telinga. I-phone ku keluarkan dari poket seluar lantas punat hijau yang terang bercahaya ku tekan laju.

“Nia!” sepatah perkataan itu terungkap dari dua ulas bibir yang tadi dibasahi kopi pra campuran yang disediakan oleh Lili.
“Hello,” ucap ku kepada pemanggil di sebelah sana.
“Hello, Assalammualaikum Encik Attar. Nia ni,” gumam Nia ceria di hujung sana.
“Hai sayang, buat apa tu?” aku ketawa kecil sebaik suara Nia menyapa. Gembira pula hati ini apabila sesekali  mendapat panggilan telefon  dari Nia
“Nia rindu abang,” gumam Nia gemersik. Aku senyum segaris walau Nia tidak dapat melihatnya.
“Abang pun rindukan Nia, lama kita tak makan tengahari berdua. Nia datang ofis abang boleh tak? Kita lunch sama-sama,” pinta ku ingin bermanja dengan Nia.
“Nia tak bawak kereta bang,” balas Nia di hujung corong telefon.
“Oh abang lupa, kereta Nia masuk workshopkan! Okey macam ni, sekejap lagi abang jemput Nia dekat butik. Pakai lawa-lawa tahu,” pesan ku sengaja mengusik dirinya. Ada tawa halus yang kedengaran di sebelah sana.
“Oh... selama ni khemah bergerak macam Nia ni tak cantiklah ea?” tebak Nia masih dalam tawanya. Aku turut ketawa saat Nia menyamakan dirinya yang berjubah seperti khemah bergerak. Tak terjangka minda ku untuk berfikir hingga ke tahap itu.
“Memanglah tak cantik! Tapi....” sengaja ku lambat-lambatkan bicara.
“Tapi apa...?” Nia masih melayani gurau senda dari ku. Ceria sungguh Nia hari ini, asyik ketawa sahaja. Senang hati ini!
“Tapi sweet dan cute, abang rindu!” ungkap ku penuh makna.
“Nia memang cute dan sweet, abang je yang tak perasan tentang kecomelan dan kemanisan Nia.” sekali lagi aku dengar Nia ketawa halus. Seronok benar dia memuji diri sendiri, dan aku juga gemar mendengar dan melihat Nia seperti ini. Tenang hati ku tatkala mendengar gelak ketawa Nia. Bagai hilang segala masalah yang terbeban sejak akhir-akhir ini.
“Yelah sayang, sayang abang ni memang comel dan manis. Hari-hari pandang Nia, mesti abang boleh jatuh sakit!” gumam ku selamba dan Nia hentikan tawanya sejenak.
“Kenapa pulak abang boleh jatuh sakit?” soal Nia, nada suaranya bagai kehairanan dengan patah bicara ku tadi. Aku senyum lagi!
“Sebab sayangkan manis, tengok lama-lama boleh hidap diabetis.” Gurau ku membuatkan Nia kembali ketawa.
“Abang ni, main-main tahu! Nia ingatkan betul-betul boleh hidap diabetis,” tawa itu masih kuat di pendengaran ku.
“Hasihhh.. cukup-cukup. Jangan ketawa sangat, sekejap lagi abang datang jemput Nia di butik. Jangan lambat ya sweety,” gumam ku lagi.
“Okey Mr. boyfriend, Nia tunggu abang.” Balas Nia di sebelah sana.
“Okey abang sayangkan Nia, ermmmuuuuwaah!” aku rapatkan bibir dan bunyikan sebegitu untuk Nia ibarat mengucup isteri ku sendiri.
“Eii... malulah Nia. Gatal!” gumam Nia perlahan.
“Gatal dengan  isteri sendiri. Digalakkan dalam hubungan!” sambut ku bersulam tawa kecil.
“Sayang abang juga, love you.” Balas Nia perlahan.
“Abang letak dulu,” pinta Nia agar aku menamatkan talian terlebih dahulu.
“Nia la.... abang tak boleh letak! Nanti rindu,” ucap ku menolak.
“Abang letak dulu, Nia tak biasa!” balasnya pula.
“Abang lagilah tak biasa, Nia letak dulu! Abang nak dengar sayang letak phone,” ucap ku dalam senyuman.
“Nia pun nak dengar abang letak phone, abang letak dulu okey,” pinta Nia namun aku enggan menurut.
“Kalau macam ni, sampai bila tak habis, abang... abang!” gumam Nia dalam tawa halusnya.
“Okey, macam ni la! Nia letak dulu, sebab Nia yang call abang.” Aku cadangkan pada Nia dan sekali lagi dia menolak.
“Kalau Nia dah call, abang la letak pula. Kesian dekat Nia bang,” rayunya memancing simpati ku.
“Hessyyy macam mana ni?” hati kecil ku berbicara.
“Okey, kita kira sama-sama boleh? Lepas tu kita letak serentak!” usul ku dan dipersetujui oleh Nia.
“Satu.... dua... tiga.....” Aku dengar Nia letak ganggang telefon. Aku ketawa, akhirnya Nia terperangkap juga. Sukar sebenarnya untuk menamatkan panggilan telefon bila suara Nia yang ku dengar! Memang aku benar-benar angau pada wanita itu!
I-phone ku letakkan semula di sudut kanan meja, kerja yang tergendala tadi ku mulakan sekali lagi. Sebentar lagi waktu rehat tengahari, aku akan bergegas ke Shah Alam untuk menjemput Nia dan ingin ku bawa Nia menikmati makan tengahari bersama-sama setelah berkali-kali keinginan ini terhalang oleh masa dan situasi.
Menjengah jam satu petang, aku kemas meja yang bersepah, fail ku letakkan di rak, manakala kertas-kertas conteng yang bertaburan di atas lantai ku kutip satu persatu lalu ku sumbat ke dalam bakul sampah.
Kemeja yang tersarung ku kemaskan sedikit, butang lengan baju ku tanggalkan lalu ku lipat hingga ke paras siku. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, aku hayun langkah menuju ke lobi dan seterusnya bergerak ke arah parking kereta mendapatkan kenderaan itu.
Enjin AUDI  telah ku hidupkan, cermin sisi dan cermin pandang belakang telah ku betulkan kedudukannya. Sejurus itu, kereta bewarna hitam ini ku pandu menuju ke Shah Alam untuk menjemput Nia di sana.
Setengah jam terperangkap di atas jalan raya yang sesak, kereta yang ku pandu tiba di perkarangan SACC Mall, Shah Alam. Nia sudah berdiri di seberang jalan sana sambil melambai-lambai ke arah ku. Aku membalas lambaian darinya dan dengan langkah lemah gemalainya, Nia datang mengorak langkah mendekati kereta yang ku hentikan di bahu jalan.
“Hai sayang, dah lama tunggu? Sorry, jalan sesak tadi.” Gumam ku sebaik Nia membuka pintu kereta dari arah luar.
“Baru je abang,” tangan ku digapai lalu dikucup penuh mesra. Itulah sikap Nia yang cukup menyenangkan hati ini. Sejuk dan tenang sahaja bila dia lakukan sebegitu saban hari!
“Kita nak makan di mana ni?” soal ku lantas menghidupkan enjin kereta. Pedal minyak ku tekan perlahan lalu menyusur AUDI di atas jalan raya yang dipenuhi kenderaan namun trafik masih bergerak lancar seperti biasa. Sesekali aku kerling Nia dan seperti biasa Nia membalas jelingan ini dengan sebuah senyuman.
“Nia tak kisah, abang nak makan apa hari ni?” soalan di balas dengan soalan.
“Abang rasa nak makan asam pedas, dah lama teringinkan asam pedas. Di  mana nak dapatkan asam pedas yang sedap eh sayang?” soal ku sambil telan liur. Terasa terliur pula dengan tiba-tiba.
“Setahu Nia dekat Setia Alam ada kedai yang jual asam pedas, mee bandung Muar pun ada. Nia teringin nak makan mee bandung Muar.” Gumam Nia teruja.
“Sedap sangat ke mee bandung tu sayang?” aku pandu kereta berhati-hati. Sesekali mata meliar memerhatikan pemakaian Nia yang tampak berbeza kali ini.  Penampilannya kelihatan menawan dalam persalinan ibu mengadung yang bewarna hijau pucuk pisang dan sehelai tudung bawal tiga tona yang tampak pelik dan tidak sekata warnanya. Mungkin ini fesyen tudung yang terbaru, aku sendiri tidak mengikuti fesyen-fesyen yang mula mengambil tempat di hati kaum wanita. Tahu-tahu sahaja, muncul pelbagai jenis design dan cara pemakaian yang saban hari semakin aneh pada pandangan mata ku.
“Sedap sangat! Abang cubalah nanti, mesti abang pun suka.” Tambah Nia lagi.
“Tak naklah, abang nak makan asam pedas jugak. Dah lama abang cari, tapi tak jumpa-jumpa. Apa nama kedai tu sayang?” aku tidak sabar lagi untuk ke sana. Kecur sudah dirasakan dan keinginan ini melonjak-lonjak untuk segera menikmati kesedapan asam pedas yang dimaksudkan.
“Seingat Nia nama kedai tu Masakan Melayu Johor. Wah tak sabarnya nak makan mee bandung, abang bawa la laju sikit!” ucap Nia memaut erat lengan ku.
“Eh, mana boleh macam tu, bahaya! Jalan pun sesak ni!” sambut ku bersungguh-sungguh!
“Ala Nia gurau je! Luculah abang tayang muka terkejut macam tu!” ucap Nia dalam tawa yang bersisa. Aku geleng kepala, Nia sudah pandai bergurau sejak akhir-akhir ini. Satu pekembangan positif!
“Okey sayang, meh peluk abang kuat-kuat. Sejuk tiba-tiba,” aku tersengih sengaja menunjukkan gigi yang tersusun kemas. Nia menampar dada ku sekali sambil merebahkan kepalanya ke bahu ini.
“Abang ni mengarutlah! Sejuk? Tengah-tengahari yang panas macam ni abang boleh kata sejuk? Pelik!” Ujar Nia bersama senyuman.
“Hehe... sejuk bermakna sayang, bukan sejuk tanpa sebab!” gumam ku membuatkan Nia mencebik. Aku ketawa kecil melihat reaksi Nia, sudah lama aku tidak bergurau mesra bersama Nia apatah lagi sering kali kasih ini teruji dengan pelbagai masalah yang entah dari mana munculnya.
“Abang jangan nak fikir bukan-bukan ya, kita nak pergi makan tau.” Ucap Nia tegas sambil jari telunjukknya bermain-main dengan tali leher yang masih lagi tersangkut di leher.
“Abang tahu kita nak pergi makan tapi tak salah kalau tiba-tiba abang terfikir yang bukan-bukan. Dengan Nia, abang memang tak tahu malu!” balas ku cuba menyakat Nia. Dan reaksi yang ku terima sama seperti yang aku jangkakan.
“Ishhh.... malulah Nia. Abang takpe la... memang tak tahu malu.” Getus Nia mencubit pinggang ku sekali.
“Aduh sakit Yang,” aku pura-pura sakit minta dipujuk dan dirayu oleh Nia.
“Nia sayangkan abang,” pujukan yang ku pinta tidak dilayan tetapi Nia sedang menuturkan sesuatu yang cukup aku inginkan ia disebut berulang kali dari dua ulas bibir mungil itu. Tangan kanan itu ku raih lalu ku bawa rapat ke bibir , sebuah kucupan ku jatuhkan di setiap jari jemarinya yang runcing. Senyuman itu terbias di wajahnya, aku pandang dirinya penuh kasih yang semakin dalam berakar umbi di hati.
“Abang sayangkan Nia juga, malam nanti abang nak bawa Nia jalan-jalan. Nia mesti ikut, abang tak nak Nia bagi alasan. Keputusan abang muktamad! Sayang wajib ikut abang malam ni,” Ucap ku masih tenang memandu. Jari jemarinya masih ku genggam erat. Tidak mahu berpisah walau sesaat!
“Kemana?” pendek Nia bersuara.
“Kita jalan-jalan di I-CITY. Banyak kali abang nak bawa Nia ke sana, tapi selalu sangat tak jadi! Sayang minat tak?” soal ku berharap Nia mempunyai keinginan untuk ketempat seperti itu. Sepanjang hidup bersama Nia, belum pernah lagi aku membawa Nia ke tempat-tempat  seumpama itu,  dan mahukah Nia menurut  jika aku mempelawanya.
“I-CITY? Boleh jugak, kita tengok lampu! Mesti cantikkan!” ucap Nia teruja. Kepalanya di jarakan dari bahu ku lantas wajah ku dijamah dengan pandangan tajam Nia. Sekejap sahaja tingkah Nia berubah! Apa pula kali ini agaknya?
“Abang nak bawa mama dan Neesa sekali ke?” pertanyaan Nia membuahkan senyuman di bibir.
“Taklah sayang, kita berdua je. Insyaallah abang tak bawa siapa-siapa, kalau boleh abang nak berdua dengan Nia.” aku terangkan duduk perkara sebenar dan ketika ini Nia tampak lebih tenang dari tadi. Wajah itu ku pandang sekilas, bagai ada sesuatu yang terkurang di situ.
“Eh, mana purdah sayang? Tak pakai ke hari ni?” dan akhirnya keanehan yang cuba ku cari terjawab juga. Niqab yang selalu menemani wajah itu kini tidak pula kelihatan.
“Nia tak pakai hari ni bang,  muka Nia berpeluh... sejak mengandung ni Nia cepat rasa panas dan tak selesa. Maafkan Nia ya abang,” mata bundar itu memerhatikan raut wajah ku penuh mengharap.
“Abang tak perlu beri maaf pada perkara yang tidak mendatangkan dosa. Lagipun sayang tak pakai purdah bersebab,  lagipun muka bukannya aurat. Abang tak kisah, cuma abang ada rasa  cemburu bila ada yang pandang sayang lama-lama.” Aku hamburkan kata hati yang cukup terseksa andai kecantikan Nia menjadi habuan dan tatapan lelaki mata keranjang.
“Terima kasih abang.” Aku dengar Nia mengungkap kata-kata itu. Aku hanya senyum sebagai menjawab patah bicara yang dilontarkan tadi. Pemanduan ku teruskan hingga melewati tempat meletak kenderaan, enjin ku matikan dan Nia ku pandang bersama sebuah senyuman mesra.
“Dah sampai ni, jom turun. Tak sabar nak makan,” Nia juga bangkit lalu menolak pintu kereta dari arah dalam setelah kereta ku parking di lot hujung sederet dengan kenderaan lain. Suasana panas Setia Alam ku perhatikan sekilas, lalu Ray Ban yang terletak di dashboard kereta ku gapai lalu ku sarungkan.
“Nia, cuba tengok! Kacak tak?” persoal ku pada Nia. Dia mendekati tubuh ku lalu cermin mata yang tersarung ditanggalkan lalu mata ini bertentang dengan pandangan mata bundarnya!
“Kacak sangat!” jawab Nia sepatah lalu meletakkan semula Ray Ban ke tempat asalnya.
“Kacakkan!” sambut ku sambil memperkemaskan kedudukan Ray Ban yang disarungkan oleh Nia sebentar tadi. Aku tersenyum Nia juga pamer senyuman bersulam tawa halus.
“Abang.. abang, macam-macamlah!” ungkapnya ku sambut dengan riak selamba. Memuji diri sendiri tiada salahnya!
“Jom abang,” tutur Nia! Dengan berpimpin tangan, aku melangkah masuk ke dalam restoran yang menyajikan makanan kampung ala masakan Johor sambil mata meliar memerhatikan lauk pauk yang banyak tersaji di hadapan mata.

note: sambungan yang dulu.. cerita ni raw, tak diedit dan x diubah apa-apa. maaf ye if byk typo or apa2 yg tak kena. manuskrip ni tahun 2012 masih baru2 menulis. of course la byk kesilapan ye dok?
assalamualaikum. bye 
 

4 comments:

  1. Seronoknya akak dpt bc sambungan CDHN ni. Tqvm aulia. Ada harapan novel ni akan dicetak tahun ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi.. xde terbit pun. saje belanja readers saya cite lama ni :)

      Delete
  2. Citenye bestt.. tpii hmmn xjmpe lh bab 32,33,34

    ReplyDelete
  3. Citenye bestt.. tpii hmmn xjmpe lh bab 32,33,34

    ReplyDelete

There was an error in this gadget