Sunday, 8 January 2017

CINTA DI HUJUNG NODA 40 N 41

BAB 40
Hari berganti hari, Qalisya semakin  bertambah montel dan comel. Ada sahaja perbuatannya yang membuahkan tawa di pinggir bibir ini, dan ada sahaja kerenahnya yang membuatkan aku kerinduan untuk segera pulang dari tempat kerja. Nia pula masih sibuk dengan butiknya. Aku melarang dia dari terus melakukan kerja-kerja di butik, namun Nia bijak meminta kebenaran dengan kelembutan yang dia ada. Namun larangan ku tidak membuatkan dia menurut, katanya dia tidak betah duduk dan berehat sahaja. Dia kebosanan dan cepat keletihan tanpa membuat sebarang kerja, sudahnya permintaan untuk kembali ke butik ku turutkan jua. Katanya apabila di butik, masa yang terluang sedikit terisi.

Mama pula sudah tidak ke pejabat lagi lantaran Qalisya kini adalah keutamaannya manakala Aiman pula masih setia berkunjung ke rumah mengajar mama mengaji al Quran dengan ditemani Mak Mah dan Pak Deris yang turut menyertai kelas pengajian agama itu. Neesa pula baru sahaja membantu aku dipejabat setelah tiga bulan berehat di rumah.
“Attar, dah pukul lima ni! You tak nak balik ke? I dah rindu sangat pada Qalisya,” gumam Neesa sambil mendekati aku yang sibuk memeriksa butir-butir jualan. Wajah ku  panggung mencari wajah Neesa lalu pandangan kami bertaut untuk seketika. Sejurus itu, aku tundukkan wajah menancap butir-butir perkataan di atas kertas putih.
“Attar, you dengar tak? Sekarang dah pukul lima, jom balik!” gerutu Neesa tidak puas hati bila aku senyap tidak membalas bicaranya? “Attar,” dia memanggil nama ku sekali lagi.
“Herrmm...?” soal ku acuh tak acuh. Jari jemari ligat menulis sesuatu di atas sekeping kertas.
“Dah pukul lima, marilah balik!” gumam Neesa merengek-rengek bagaikan budak kecil.
“Pukul lima?” aku kerling jam, baru sahaja empat lima puluh petang.
“Hurmm.. pukul lima!” tekan bibir itu sedikit kuat.
“Neesa, lagi sepuluh minit baru masuk pukul lima,” tutur ku dalam nada meleret.
“Ala you ni berkira la, jomlah balik! I tak sabar nak jumpa Qalisya,” ucapnya lagi.
“Ishh you ni, jangan kacau kerja I la....” omel ku tanpa memandang wajahnya. Dia mendengus tidak puas hati lalu melabuhkan punggunganya di kerusi. Berdepan dengan aku yang sibuk memeriksa fail. “Jom balik,” ucapnya tegas. Permintaannya tidak ku endahkan lalu komputer riba ku sentuh pula.
“Attar, you nak buat apa pulak ni? Jangan kata you nak onn laptop!” marah Neesa bila melihat aku sudah menyentuh komputer riba itu.
“I nak check email, dari tadi I tunggu emel dari syarikat pembekal tu.” Gumam ku membalas pertanyaan Neesa.
“Jomlah balik, I nak jumpa Qalisya! You ni, dah pukul lima pun masih nak buat kerja!” sekali lagi Neesa merungut. Aku biarkan sahaja dia mengomel itu ini, emel yang ku nanti hingga ke saat ini masih belum kunjung tiba. Email yang ku akui cukup penting untuk masa depan syarikat.
“Attar, jomlah! I rindu Qalisya,” rayu Neesa lagi.
“I nak tunggu emel ni sekejap, you sabarlah.... Qalisya ada dekat rumah dengan mama.” Jawab ku selamba. Neesa pandang ku dengan pandangan tajam. Nampak gayanya, dia tidak puas hati terhadap aku!
“Yang you nak tunggu email tu kenapa? Rumah kita kan ada laptop, lima biji lagi! Siap ada wireless pula tu... sampai rumah nanti you periksalah email you tu.” Rungut Neesa tidak puas hati.
“Jomlah!” pujuknya lagi. Kali ini nada suaranya kembali kendur memujuk. Aku pandang wajahnya sekilas. Dia memang suka memaksa!
“Jomlah,  please....” Neesa merengek. Bosan mendengar dia mengomel dan merungut itu ini, aku turutkan sahaja. Lip laptop ku tutup lalu plug ku cabut! Sesudah itu, beg kerja ku gapai dan langkah kaki ku atur keluar beringian dengannya. Mahu menjemput Nia sebelum terus memandu pulang!
Sepanjang perjalan, aku rasa keadaan diri ku tidak berapa selesa. Tekak terasa perit dan pandangan ku kabur. Entah kenapa? Mungkin terlalu lama menghadap skrin komputer dipejabat atau mungkin tidak cukup tidur melayani karenah Qalisya yang sering berjaga malam. Kepala ku picit dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan masih lagi memegang stereng kereta.
“Attar, you kenapa? Tak sihat ke?” soal Neesa perlahan. Aku geleng sekali, mata masih ku hala ke hadapan. “I tengok you macam tak sihat je, muka pun pucat!” gumam Neesa lagi.
“I okey, cuma tak cukup rehat. You tahukan sejak akhir-akhir ni macam-macam karenah supplier. Ada yang baik, baiklah! Ada yang tidak, pening kepala dibuatnya!” terangku pada Neesa. Dia sendiri tahu bagaiman harus menangani dan berhadapan karenah pembekal yang pelbagai itu.
“I tahu, tapi you pun perlu jaga kesihatan diri you. Kerja... memanglah takkan habis, kalau you sibukkan kerja. Lama-lama you yang habis,” tutur Neesa lagi.
“I nak buat macam mana lagi Neesa,  I bukannya ada background dalam business. Lainlah you, memang ambil business study, I ni ha...  dah lari bidang! Jauh pulak tu!” tutur ku agar dia faham sememngnya aku tiada asas dalam bidang perniagaan. Terkontang kanting mencari pengalaman dari kesalahan yang sering kali aku lakukan dahulu. Disembur dan di maki hamun juga pernah aku lalui namuh semuanya pengalaman! Ya pengalaman  yang berguna sepanjang bergelar ahli perniagaan.
“Takpelah, I akan tolong you! You pun janganlah workholic sangat!” gesa Neesa lagi.
“Erm tengoklah nanti, kalau I dah tak  larat.... I berhentilah...” sahut ku buat Neesa mencebik.
“Macamlah mama nak izinkan you berhenti! Siapa lagi nak jaga syarikat tu? Nia memang tak minat nak uruskan business you ni, dia selesa uruskan butik.” Tambah Neesa lagi. Aku garu kepala, ada benarnya kata-kata Neesa tadi. Siapa lagi ingin diharapkan melainkan aku anak tunggal mama.
“Tengoklah macam mana nanti!” ucap ku sebelum terasa gatal di anak tekak. Tidak semena-mena, aku terbatuk lagi. Batuk yang semakin lama semakin kerap membuatkan aku tidak selesa, mata pula berair dan hidung juga kemerahan.
Sesekali aku seka mata yang berair dengan sapu tangan, Neesa kehairanan namun aku selambakan raut wajah. Aku tidak apa-apa, simptom biasa sebelum aku jatuh sakit. Aku sudah biasa, pasti dua atau tiga hari lagi aku akan demam jika tiada langkah pencegahan yang ku ambil.
“Attar, I risau tengok you macam ni! Apa kata you pergi klinik ... kut-kut you terkena jangkitan H1N1 ke.... tak pun virus SARS or apa-apa la.... bahaya tau tak!” tekan Neesa memaksa aku membuat pemeriksaan bila melihat keadaan aku sebegini.
“You ni agak-agaklah! Kalau nak suruh I mati sekalipun janganlah tragis sangat sakit yang you nak suruh I hidap!” aku sedikit terasa bila Neesa sebut segala macam penyakit yang tiada ubatnya itu.
“I bukan nak suruh you mati ke apa.... I risau you terkena virus tu. You tahukan virus macam yang I sebut tadi dah lama menular? I takut tahu tak!” Neesa pertahankan kata-katanya tadi.
“I takkan pindahkan penyakit I pada you, I jamin.” Gurau ku sedikit pun tidak membuatkan Neesa terusik.
“I serius, you pula main-main ya!” marahnya lagi.
“Habis you nak suruh I buat apa?” soal ku masih tenang memandu memasuki lebuhraya Persekutuan.
“I nak suruh you pergi buat pemeriksaan! Itu pun nak takut,” cemuh Neesa kuat di pendengaran ku.
“Bila masa pulak I takut?” aku nafikan kata-katanya.
“Kalau tak takut, pergilah periksa!” cabarnya buat aku tercabar.
“Okey, esok I pergi periksa!” cabaranya ku sambut dan Neesa mencebik bagai tidak mempercayai kata-kata ku tadi.
“I akan buktikan,” gumam ku sekali lagi sambil seka air yang meleleh ditubir mata. Pedih sahaja, di dalam dada senak mula menghimpit. Hulu hati juga sentiasa terasa pedih! Entah apa yang jadi pada ku saat ini.
“Attar, lepas ni I nak bawa Qalisya jalan-jalan dekat tasik. You nak ikut?” persoal Neesa teruja menyusun rancangannya untuk membawa si kecil bersiar-siar seperti kebiasaan.
“Malaslah, I tak larat! Letih sangat badan ni, you tengok I tak sihatkan? Dengan batuk ni semua, betul-betul buat I sempot,” aku jelaskan keadaan diri ku. Menghambur alasan untuk menolak pelawaannya!
“Kalau macam tu takpelah, I bawa Qalisya dengan Mak Mah! Ypu rehat aje dalam bilik!”  balas Neesa memahami keadaan aku yang semakin gelisah dalam kondisi tubuh yang semakin tidak selesa ketika ini.
“Eh, Nia tunggu dekat mana ni?” pertanyaan Neesa menyedarkan aku. Pagi tadi Nia berpesan agar menjemputnya di perhentian bas berhadapan SACC Mall. Katanya mudah sedikit aku ke sana dari menyusur jalan sempit dengan kenderaan yang diletakkan sesuka hati oleh pemiliknya.
“Dekat depan sana tu,” tunjuk ku pada perhentian bas yang rata-ratanya dipenuhi pelajar UiTM yang sudah kembali meneruskan pengajian setelah cuti semester berakhir.Dahulu,  aku juga seperti mereka, gemar berpeleseran sebegitu. Merehatkan minda setelah penat seharian menadah telinga mendengar dan menghadiri kuliah.
“Ishhh ramainya,” omel Neesa perlahan.
“Budak kampus, buat apa lagi selain cuci mata dekat sini.” Sambut ku arif dengan suasana ketika kampus memulakan pengajiannya setelah bercuti panjang. Petang dan hujung minggu pasti Plaza Alam Sentral, kompleks PKNS dan SACC Mall menjadi pilihan pelajar untuk mencari keperluan mereka. Ada juga yang ke sini sekadar mencuci mata dan ada juga mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dan tak kurang juga untuk mencari gajet-gajet terbaru.
“Nampak Nia tak?” soal ku pada Neesa. Mata ku kecilkan mencari kelibat itu di antara kumpulan pelajar yang agak ramai itu.
“Entahlah, I pun tak nampak! Nia tu rendah, susah nak cam!” aju Neesa turut sama memerhatikan ke arah hentian bas yang menjadi tumpuan golongan siswi. Mata masih meliar dan akhirnya senyuman ini terukir sendiri bila perut yang memboyot itu singah ke pandangan mata ku. Nia berada di celah-celah remaja yang sama-sama menunggu kenderaan awam bernama bas SERANAS dan Rapid KL.
“Tu Nia,” jerit Neesa sedikit kuat.
“I dah lama nampak!” ujar ku bangga.
“Ceh!” Neesa mencebik. Aku pamer senyuman lalu membelok menuju ke arah hentian bas itu.
“Nia, kenapa you tak tunggu dekat butik you je? Tak panas ke?” persoal Neesa bila dia kerimasan melihat anak remaja yang berduyun-duyun menunggu bas, pasti bila kenderaan yang ditunggu tiba mereka akan berlari-lari dan akan masuk ke dalam perut bas seperti ikan sardin. Mampat dan padat!
“Biasa je, I dah selalu naik bas sebelum ni, tak adalah penat sangat!” gumam Nia sambil menarik seat belt membelit tubuhnya di tempat duduk belakang.
“Nia nak kemana-mana tak? Abang tak larat, ingat nak balik terus dan rehat di rumah!” ucap ku perlahan sambil memasukkan gear kereta lalu pedal ku tekan perlahan.
“Abang tak sihat ke?” Nia bertanya pula, soalan ku dibiarkan tidak berjawab.
“Tak sihatlah tu, kalau tak... tak adanya dia nak batuk-batuk macam tu.” Neesa menjawab bagi pihak ku. Aku senyum hambar, anggukan kecil ku tuju untuk perhatian Nia.
“Kita ke klinik!” ucapnya. Aku geleng.
“Kenapa?” Sepatah dia menyoal, nada suara itu bersulam kerisauan.
“Esok abang pergi sendiri!” tutur ku lagi.
“Ala Attar ni degil! Bukan you tak kenal!” sinis Neesa lagi. Aku jeling dia sekali, ada sahaja rasa tidak puas hatinya pada aku.  Mendengar bicara Neesa tadi, membuatkan Nia tersenyum hambar.
“Jom kita pergi bang, bahaya dibiar lama.” Pujuk Nia ku gelengkan lagi. Sesekali batuk ini datang menyerang. Tekak kembali gatal walau tiada kahak yang keluar. Hairannya!
“Abang, jom kita ke klinik!” rayu Nia lagi.
“Takpelah sayang, esok abang pergi. Hari ni abang nak rehat je, letih sangat!” gumam ku mengelak, dan Nia tiada kudrat untuk memaksa aku yang sememangnya keras hati.
“Esok Nia teman abang ke klinik!” nada suara kebimbangan sekali lagi menerjah pendengaran ku. Aku  menggeleng, enggan ke mana-mana. Aku keletihan dan tidak selesa, apa yang ku mahukan saat ini hanyalah tidur. Melelapkan mata!
“Abang, jomlah kita ke klinik, Nia risau la tengok abang macam ni...” bimbang Nia ku balas dengan senyuman.
“Sayang jangan risaulah! Abang okey, ” sambut ku dibalas dengan cebikan tidak puas hati Neesa.
“Degil!” aku dikatakan degil oleh Neesa yang duduk disebelah aku yang sedang memandu.
“I nak rehat!”aku perjelaskan kehendak hati dan akhirnya kedua-duanya mengalah.
Kereta ku pandu memasuki lebuhraya sekali lagi sebelum berlalu menuju ke Country Heights di mana rumah yang kembali mambawa ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup ku setelah sekian lama hidup dihambat duka. Sampai sahaja digaraj, mama sudah sedia menunggu  di halaman rumah bersama Qasliya yang tersenyum-senyum menyambut kepulangan kami.
“Hi sweety! How are you today?” persoal ku sambil kucup pipi gebu itu hingga tawa si kecil yang kegelian menyapa pendengaran. Neesa juga mengambil dan memangku Qalisya manakala Nia pula sekadar menyentuh pipi Qalisya sambil mengelus lembut rambut yang mulai panjang itu. Dia tidak mampu mendukung Qalisya, kandungan itu membataskan pergerakkan.
“Mama, Attar naik dulu. Nak tidur sekejap letih sangat!” gumam ku. Mama kehairanan dan Nia tersenyum ke arah mama bagai mengerti maksud disebalik kerutan yang terpamer di raut wajah itu.
“Abang tak sihat ma,” ucap Nia dan mama mengangguk membenarkan aku berlalu pergi. Kaki ku atur meniti anak tangga lalu kamar ku tuju segera. Tubuh ku rebahkan seketika dan sebentar lagi aku akan bangun untuk menunaikan solat asar. Lelah ini cukup berlainan hingga aku merasakan aku tidak mampu lagi berdiri. Aku memerlukan tidur untuk seketika sebelum bangun menunaikan solat asar.









BAB 41
“Abang, kenapa ni? Nia tengok abang letih sangat, kita ke klinik ya,” pujuk Nia sambil mengusap lembut rambut yang sudah mencecah ke paras kening. Sesekali helaian yang terjuntai diselak ke belakang. “Abang okey,” balas ku perlahan.
“Abang.... Nia risaukan abang,” gumamnya lagi. Aku balas kerisauannya dengan sebuah senyuman, gelengan kecil ku pamerkan agar dia mengerti aku enggan ke tempat yang dimaksudkan tadi.
“Abang, tak kesian pada Nia? Kalau jadi apa-apa pada abang macam mana nanti? Siapa nak jaga Nia?” bibir mungil itu petah menghamburkan kebimbangannya. Aku bangkit dari terus berbaring, wajah Nia ku tatap dalam-dalam.
“Kalau apa-apa jadi pada abang, Nia kahwinlah lain. At least ada orang yang jaga Nia nanti, jangan bila abang dah mati Nia kecewa dan hidup pun tak terurus. Orang yang pergi akan tetap pergi, yang masih hidup perlu teruskan kehidupannya.”  Ucap ku perlahan. Tiada kudrat untuk bersuara lantang!
“Apa yang abang cakap ni? Nia tak faham la... dan Nia tak nak faham!” bekerut dahi itu menutur bicaranya. Hijab dan niqab yang selalu dipakai ditanggalkan segera lalu diletakkan kasar di sisi kirinya. Mungkin marah dengan tutur bicara yang ku hambur tadi.
“Hei sayang, kenapa nak marah ni? Abang bergurau je, janganlah ambil serius. Abang minta maaf okey,” pujuk ku sambil sentuh kedua bahunya lalu ku bawa menghadap pandangan mata ini. Wajah itu ku perhatikan penuh kasih!
“Shhhh.... abang minta maaf! Abang takkan bergurau macam ni lagi,” tubuhnya ku tarik rapat ke dalam pelukan. Belakang tubuh itu ku usap perlahan, meredakan amarah yang singgah ke hatinya tadi.
“Kenapa sejak akhir-akhir ni abang selalu sebut pasal mati? Abang tak sayangkan Nia? Memang nak tinggalkan Nia sendiri? Macam tu?” rungut Nia tidak terpujuk dengan pujukan mesra ku. Aku bungkam, dengan apa lagi untuk hati itu ku lembutkan. Hati itu mudah benar berkecil hati, jiwa itu cukup mudah tersentuh dan rajuk yang jarang-jarang itu terlalu sukar untuk dipujuk sejak dirinya berbadan dua. Satu keluhan ku lepaskan perlahan. Pelukan erat itu ku longgarkan lalu tubuh ku jarakkan sedikit.
“Abang, Nia buat salah?” persoalnya bila aku cuba mengelak membicarakn soal hati.
“Tak sayang, Nia tak ada salah apa-apa pun! Abang tak sihat, maaf.... cepat moody!” alasan ku hambur lalu kaki ku jatuhkan ke lantai. Buat seketika aku tegakkan tubuh lalu cuba berdiri dan melangkah meninggalkan katil. Jendela kaca ku hampiri dan langsir yang bebas ditiup angin petang ke selak sedikit. Di bawah sana Qalisya sedang bergelak ketawa bersama Neesa dan mama, Aiman juga turut ada bersama.
“Abang,” panggil Nia sambil mendekati tubuh ku. Perlahan-lahan sentuhan itu ku rasa membelit seluruh tubuh yang tidak berbaju.
“Ya, sayang..” balas ku perlahan.
“Nia minta maaf, Nia mudah terasa hati sejak akhir-akhir ni. Boleh abang janji dengan Nia?” permintaannya ku diamkan sahaja. Janji apa yang Nia inginkan dari aku?
“Janji?” sepatah aku ulangi permintaannya tadi.
“Ya janji, jani yang abang takkan tinggalkan Nia lagi. Cukuplah sekali dulu, dan Nia tak nak jadi untuk kali yang kedua.” Ucapnya lirih. Pedih dan kecewa masa dahulu ku akui cukup menjerat hati ini hingga aku lemah dan tunduk dengan kata hati.
“Sayang,” panggil ku. Pelukan erat Nia ku regangkan, lalu belakang tapak tangnnya ku gapai dan ku tarik hingga dia benar-benar berdiri di hadapan mata ku.
“Abang tak boleh berjanji sayang, tapi abang akan cuba sedaya upaya abang. Abang insan biasa yang tak tahu apa akan terjadi pada masa yang mendatang, masih di sinikah abang atau sudah tiada lagi. Abang tak tahu dan kita semua tak tahu,” bicara ku susun berhati-hati. Enggan membuatkan sekeping hati itu terguris lagi. Nafas ku hela, senyuman cuba ku ukir membalas pandangan redup dari wajah bujur sireh miliknya.
“Abang, Nia tak sanggup lalui semuanya sekali lagi. Kalau boleh biarlah Nia pergi dulu,” bicaranya ku cantas laju.
“Shhh... abang tak nak dengar semua ni. Abang yang akan pergi dulu, bukan Nia. Anak kita perlukan ibunya,” gumam ku sambil menahan perit yang mula menikam tekak. Batuk juga semakin kerap berlagu dan tubir mata ini kambali berair. Hingga pedih kembali terasa!
“Abang, kita ke klinik ya! Kalau abang sayangkan Nia, abang ikut Nia ke klinik boleh?” diri itu masih cuba memancing persetujuan ku untuk dirawat dan diperiksa di klinik. Kerisauannya ku balas dengan senyuman.
“Sayang, abang memang sayangkan Nia. Dan kalau Nia sayangakan abang, jangan paksa abang ya sayang,” balas ku buat Nia terperangkap dengan patah bicaranya tadi. Akhirnya dia mengaku kalah, tidak lagi mempersoalkan semua itu, bahkan memberi ruang untuk aku terus merehatkan diri.
“Abang dah asar?” soalannya ku angguk sekali.
“Dah sayang, tadi lepas abang bangun tidur abang dah solat. Kemudian abang sambung tidur semula,” terangku buat Nia menghela nafas kelegaan.
“Syukur abang dah banyak berubah sekarang ni,” tuturnya ku sambut dengan senyuman mesra. Aku juga sama sekali tidak menduga begitu mendadak perubahan yang ku alami setelah pelbagai peristiwa perit yang ku tempuh satu persatu.
“Nia harap abang istiqamah dalam ibadah, terus dan perbaiki amalan dari masa ke semasa.”
“Insyaallah sayang, abang harap abang akan berubah ke arah yang lebih baik dari dulu.” Sambut ku lemah menahan rasa pedih yang sesekali datang menujah jauh ke dalam hati.
Batuk ini semakin kuat berlagu dan semakin kerap bila cuba ku tahan, rasa gatal dan pedih bersatu hingga memaksa batuk ini berlarutan. Aku melangkah menjauhi Nia lalu bilik air ku hampiri, Nia pula mengekori dari arah belakang. Enggan menjadikan wanita itu kerisauan, aku rapatkan daun pintu lalu ku tekan punat kecil itu. Daun pintu terkunci rapat!
“Abang, kenapa ni?” Nia yang ku tinggalakn diluar menyoal sambil pintu bilik air berulang kali diketuk. Aku masih dengan batuk ku, dan ternyata ia sukar untuk dihentikan. Sedang batuk ini membuatkan pedih itu kembali terasa, aku lepaskan cecair yang menolak keluar dari rongga kerongkong. Sinki putih bersih itu tercemar dengan warna merah darah, aku tersentak dan sama sekali tidak menyangka cecair yang ku sangka kahak itu sebenarnya darah pekat yang sudah bercampur liur.
Terduduk aku di di sisi tab mandi, apa pula penyakit yang ku hidap waktu ini? Wajah ku raup dan rambut ku ramas kasar. Mungkinkah aku hidapi penyakit yang berbahaya? Aku meneka dan masih cuba menduga namun tiada jawapan yang aku perolehi melainkan pemeriksaan dari individu yang lebih arif.
“Abang, kenapa ni? Buka pintu bang,” Nia diluar sana masih cuba menarik perhatian ku untuk melihat keadan aku waktu ini. Tubuh ku tegakkan semula, sinki ku perhatikan dan kepala paip ku pulas. Perlahan-lahan cecair merah itu hilang di pusaran air yang menerobos masuk ke dalam saluran pembentungan tatkala air paip ku biarkan mengalir masuk ke dalam sinki.
“Abang, jangan takutkan Nia!” suara bercampur kebimbangan itu ku diamkan sahaja. Sesudah berasa sedikit lega, aku kemaskan keadaan diri. Raut pucat dan tidak bermaya ku perhatikan sekilas. Mungkin aku salah makan hingga keadaan dan kondisi diri tidak mampu menanggung sistem dalam badan. Andaian itu ku biarkan bermain di minda.
“Abang,” panggil Nia masih tidak putus asa mengetuk pintu bilik air.
“Ya sayang, sekejap abang keluar.” Balas ku cuba bertenang. Hal seumpama ini sama sekali tidak akan ku khabarkan pada Nia, pasti dirinya aku gusar dan aku takut andai menjejaskan kesihatan dan kandungannya itu. Biarlah hal sekecil ini ku tanggung sendiri!
“Abang kenapa?” pantas Nia bertanya bila daun pintu ku selak. Lengan ku dipaut dan dia membuntuti langkah yang sedang ku atur mendekati sofa di hujung bilik tidur ini.
“Tak ada apa la sayang, abang nak buang air! Tak tahan!” aku lantunkan sebuah penipuan dipendengarannya. Dari kerutan di wajah itu aku tahu Nia tidak mempercayainya!
“Kenapa pandang abang macam tu? Tak percaya?” aku soal dia dalam nada ceria disulami tawa halus ini. Sengaja mengusir resah yang bertamu di ruang hati itu. “Betul ke?” persoal Nia perlahan. Aku anggukkan sahaja, tiada kata yang mampu ku luahkan lagi.
“Jom makan, Nia dah masak untuk abang.” Pelawanya mengubah topik setelah keadaan aku yang mencurigakannya seelsai disiasat.
“Jom, abang pun dan lapar ni!” balas ku bersama senyuman walau hati ini mula berperang dengan persoalan berkaitan penyakit yang ku hidap.
“Yela.... balik tadi abang terus tidur, tak sempat nak makan apa-apa. Mujur solat abang tak tinggal!” gumamnya ku sambut dengan cubitan kecil di pipi tembam itu. Nia pura-pura menahan sakit sedang hakikatnya dia bahagia diperlaku sebegitu.
“Nia masak apa hari ni?” Aku sekadar menutup rasa tidak selesa yang semakin galak mengusik keadaan diri. Anak tangga ini ku langkahi berhati bimbang tergelungsur ke bawah, sakit yang ku peroleh nanti.
“Biasa-biasa je bang,” balasnya mendahului langkah ku. Bimbang melihat Nia yang aktif ke sana sini, satu pesanan padanya ku titipkan agar dia sentiasa beringat walau dimana dia berada nanti.
“Hati-hati sayang, sayang tu mengandung anak abang!” Bicara ku lewat petang begini disambuk anggukan kecilnya. “Insyaallah abang, jom mankan!” Balasnya bersama nada suara yang cukup ceria.
Sampai sahaja di meja makan, kesemua lauk pauk sudah sedia terhidang, mama yang mengatur kesemuanya. Neesa dan Aiman sedang  menapak masuk manakala Qalisya dilepas bebas bermain di atas karpet di tengah ruang tamu. Tawa halus dari si kecil sering kali menghiburkan hati ku, cuma hari ini aku tiada masa untuk diluangkan bersama dengannya. Sementelah aku tidak sihat sebegini, aku enggan mendekati bayi kecil itu. Antibodinya masih lemah, bimbang batuk ku bakal menjangkiti si kecil.
“Aiman jemput makan, malam nanti mama rasa tak perlu buat kelas. Ada makan-makan sikit, mama nak jemput kawan-kawan mama.” Gumam mama ku biarkan sepi. Nasi di dalam pinggan ku biarkan tidak terusik.
“Makanlah, nak lauk ni? I tolong cedokkan untuk you,” pelawa Neesa bila melihat lelaki itu malu-malu untuk menyentuh lauk pauk.
“Ke awak nak udang goreng ni?” kali ini Nia pula menutur bicaranya.
“Neesa, tolong pass pinggan ni pada Aiman.” Neesa menyambut huluran pinggan yang berisi udang dan sotong goreng bertepung ke hadapan Aiman. Lelaki itu menyambut lalu pinggan itu diletak di hadapan pinggannya. Aku diam, nyata dan terang saat ini hati ku terpagut dengan perasaan halus yang kecewa dengan tindakan keduanya tanpa mendahulukan aku yang lebih sepatutnya.
“Attar, kenapa tak makan lagi?” soal mama sambil meletakkan salad yang menjadi kegemaran aku dipinggir pinggan. Aku menoleh ke arah mama, seketika kemudian aku jatuhkan semula pandangan ini ke arah nasi yang masih tidak bersentuh.
“Baru nak makan,” tutur ku lemah dan perlahan.
“Nia, ambilkan Iman ulam tu?” pinta Aiman diturutkan sahaja oleh Nia. Senyuman lelaki itu mekar bila apa yang diminta dipenuhi oleh isteri ku Nia. Sesekali aku sedari, pandangan Aiman sering kali menikam raut wajah Nia yang masih kekal berniqab. Hanya pandangan itu yang berbicara, aku tidak mengerti apatah lagi menduga keduanya.
Nasi ku kuis-kuis, tiada selera menikmatinya lagi. Gelas berisi air suam ku teguk dengan sekali nafas lalu ku letakkan semula gelas yang hampir kosong itu di sisi pinggan. Sesudah itu garfu dan sudu ku biarkan terdampar di sisi pinggan lalu kerusi ku tolak sedikit ke belakang dan tubuh ku tegakkan. Mahu beredar segera, tidak selesa dalam keadaan sebegini. Aku bimbang andai ada yang ku tinju sebentar nanti. Mengelak itu lebih baik dari menghadapinya!
“Dah sudah ke Attar?” soal mama hairan.
“Abang, dah ke?” pertanyaan Nia pula menyusul.
“Yelah, Attar! You tak makan pun?” Neesa menyoal hairan.
“Tak selera! Nanti lapar, pandai-pandailah Attar cari sendiri!” gumam ku membalas bicara mama. Nia dan Neesa tidak ku endahkan lagi. Biarlah mereka melayani Aiman!

1 comment:

  1. Alahai..siannya attar... dh la tgh Xsihat... Xsalah pon dia jeles sket, gila Xjeles.. ada 2 bini pon dua2 X layan dia nk mkn..🙁😔 Tqvm a.i. utk smbgn ni 😊💐🌷

    ReplyDelete

There was an error in this gadget