Thursday, 2 March 2017

Cinta Paling Padu BAB 1 & 2

USOP HANTU
CIK BUNGA













BAB 1




Nama lelaki itu Yusuf Abid, namun mesra disapa dengan panggilan Usop Hantu. Sebut je Usop Hantu, satu kampung kenal dengan figura lelaki itu. Dan Usop Hantu adalah salah satu hantu yang tidak digeruni oleh penduduk kampung kerana hantu sebegitu sebenarnya payah nak jumpa. Mengikut sejarah silam, panggilan Usop Hantu yang diperoleh lelaki itu bukanlah kerana dia pernah bertemu dengan mana-mana jenis hantu, tetapi, hal ini berlaku kerana perangai Yusuf Abid sebenarnya telah menyamai  perangai hantu yang suka mengusik.


Sejak kecil lagi, tabiat Usop Hantu memang tak sama seperti kedua abangnya. Bila dibawa ke pasar, Usop Hantu akan buat sesuatu yang menjadikan mulut ibunya tak senyap walau sekejap.

Jika lalu di kawasan penjual ikan, Usop akan cucuk mata ikan-ikan tersebut dengan gembiranya. Jika lalu di kawasan penjual sayur pula, tangan Usop ligat menggapai buah tomato untuk dilambung-lambung seperti bola. Jika ibunya singgah di gerai menjual pakaian, Usop tak segan silu menanggalkan pakaian yang tergantung di penyangkut baju dengan seronoknya lalu dilempar ke merata tempat.

Oleh kerana kenakalan Usop, orang ramai gemar memanggilnya dengan gelaran Usop Hantu. Lagi pula, di kampung tempat Usop tinggal memang ramai jejaka sebaya bernama Yusuf. Tak tahulah kenapa, mungkin ketika waktu itu nama Yusuf adalah sebaris nama yang paling sedap disebut-sebut. Mungkin, dan aku pun tak tahu sejauh mana kebenarannya.

Bercakap mengenai Usop Hantu, lelaki itu memang selalu buat darahku menyirap. Apa tidaknya, sejak kecil, meniti remaja, hingga aku dewasa, Usop Hantu tak pernah jemu mengusik. Lawaknya kasar, dan guraunya menyakitkan hati.

Baru-baru ni Usop perli aku.

“Ceh, belajar tinggi-tinggi, sampai ke oversea, end up jadi cikgu taska juga.” Komen Usop tanpa memandang manusia yang sedang diperli-perli.

Ketika aku diperli, aku butakan mata dan pekakkan telinga sambil pilih cili-cili segar untuk dibawa balik ke rumah.

“Kalau akulah jadi kau, dah lama aku sembunyi dalam hutan. Malu weh, belajar jauh-jauh, takde keja pastu terperap dekat taska. Buat duit mak bapak je.”

Bila Usop dah kaitkan mak bapak, darah aku yang tadi menyirap kini sudah menggelegak dan meruap-ruap. Karang, tak fasal-fasal ada juga yang telan cili merah ni mentah-mentah. Mulut takde insurans!

“Aku rasa kau dah buat kesalahan besar dengan belajar kat luar negara. Eh, sepatutnya kau tak belajar pun takpe, yelah kau kan nak jadi cikgu taska je?” Gelak Usop betul-betul uji sabar aku. Cili yang aku pegang, aku hempas ke tempatnya lalu aku berpaling ke kiri sambil bercekak pinggang memandang Usop yang berwajah selamba.

“Usop, kau kalau tak menyakitkan hati aku tak boleh ke? Kau tak penat ke kutuk aku, keji aku, hina aku? Kau tak penat?”

Dengan bersahaja Usop membalas pertanyaan aku.

“Penat? Mana ada penat. Aku seronok!” Usai dia bercakap, Usop terus berlalu ke kaunter untuk membuat bayaran meninggalkan aku terkulat-kulat di situ.

Usop memang hati kering, dia boleh mengutuk aku, menghina dan buat perkara yang menyakitkan hati wanita aku, tapi dalam masa yang sama dia boleh tayang muka selamba dan muka selenga dia tu. Geram? Memang aku geram, haih entah bagaimanalah untuk aku ajar mamat selengan ni daripada terus menyakitkan hati aku. Setiap kali berjumpa, setiap kali tu Usop akan cari pasal dengan aku.Dah kenapa dia jadi macam tu? Pelik betullah!


BAB 2

            “Dah habis kelas ye cikgu Bunga?”
          Macam biasa, mamat yang sering buat hati aku meletup buat-buat ramah bertanya. Nak cari gaduh dengan aku lagilah tu.
            “Taklah, mana habis lagi. Esok baru habis.” Sahutku dengan ayat sarkastik dan aku ingat Usop akan terus senyap, rupanya tidak. Ada pula idea dia nak perah limau kat luka yang belum sembuh.
            “Oh patutlah, yelah gaji cikgu taska bukan boleh beli kereta pun kan?! Maka haruslah bekerja sampai esok!”
            Aku ketap bibir dan pejamkan mata untuk sejenak. Dalam hati sudah beristighfar berkali-kali mohon Allah kuatkan jiwa dan raga aku untuk berdepan dengan makhluk bernama Usop Hantu.
            “Memang betul pun tak boleh beli kereta, kenapa kalau saya tak beli kereta pun? Awak ada masalah?” Soalku dengan mata membulat. Lembut sikit bahasa aku kali ni, tak berengkau dan beraku seperti selalu.
            Usop pandang ke lain, dia senyap dan beberapa saat kemudian aku dengar dia tergelak kecil sebelum dia luahkan ayat yang memang betul-betul buat hati aku sakit bagai direjam lembing tumpul.
            “Memang ada masalah, yelah… tiap-tiap hari menyemak jalan kaki depan kedai orang. Kalau beli kereta kan mudah, tak sakit mata ni tengok orang yang sama lalu lalang pagi petang siang malam.”
            Ya Allah dia ni, manusia ke apa? Kerjanya nak sakitkan hati aku je. Kau tunggu, orang macam kau memang harus disekolahkan.
            “Helo, awak fikir jalan ni jalan siapa ek?”
Usop tak menjawab bahkan dia buat pekak dengan pertanyaan yang aku hamburkan. Usop ni memang jiwa dia kontang agaknya.
“Untuk pengetahuan awak, saya akan selalu dan sampai bila-bila pun akan gunakan jalan ni. Untuk ilmu tambahan, jalan yang saya pijak ni bukan jalan mak bapak awak tau. Jalan ni digazetkan untuk kegunaan orang ramai. Jadi tak timbul istilah saya menyemak atau menyakitkan mata awak. Faham? Kalau tak faham, tolong banyakkan membaca.” Gerutu ku lantas mengayun langkah kaki dengan lebih laju meninggalkan perkarangan bengkel motosikal Usop Hantu. Bengkel kesayangan mamat tulah!
            Alah, apa yang Usop boleh buat pun selain buka bengkel motosikal. Iyalah, dia kan lepasan SPM je. Mana layak nak sambung belajar dengan keputusan yang cukup-cukup makan. Lainlah aku, bumi Europe pun aku dah pijak, jadi tak patut dia perlekehkan aku yang lebih educate dari dia.
            Kejap! Kejap! Kejap! Memanglah aku lebih educate daripada dia, tapi dia dah ada business sendiri. Aku pula terkial-kial nak cari kerja. Haih, itulah Mawar Aisyah, suka sangat pandang rendah pada orang lain. Sedangkan orang yang kau pandang rendah tu, sebenarnya lebih berjaya daripada apa yang kau fikirkan.
            “Kalau nak jalan ‘mengencot’ pun, boleh tak jangan buang sampah merata-rata. Sila kutip tisu hingus awak ni Cik Bunga.”
            Suara itu bergema lagi. Aku yang dah berjalan dekat 50 meter ke hadapan, terpaksa menghentikan langkah lalu berpaling ke arah Usop Hantu. Bibir ku ketap dan lelaki itu aku dapatkan.
            Kaki sudah ku angkat dan hentak persis orang berkawad dalam masa yang sama mahu menyampaikan isyarat kepada Usop Hantu yang sebenarnya aku tengah diamuk kemarahan. Siap kau Usop!
            “Kutip tisu hingus ni! Geli!” Muka Usop sama seperti tadi. Tiada reaksi dan berwajah selamba namun tidak aku yang sudah merah padam menahan marah. Sabar Ecah, sabar!
“Ehem!”         
            “Kutip tisu tu! Tak payah berdehem-dehem.”
Memang menyakitkan hati. Takpe, kau tunggu apa yang aku nak cakapkan ni.
“Excuse me, Usop Hantu. Ini bukan tisu hingus, ini tisu lap muka sebab lalu depan kedai awak ni memang banyak habuk! Jadi sila betulkan statement awak! Jangan buat kesimpulan pada perkara yang tak pasti. Boleh jadi fitnah tau!” Gumamku lantas tunduk mengutip tisu yang sudah ku renyuk.
Haih, kalaulah Usop Hantu boleh dikeronyok, dah lama aku keronyokan dia lepas tu aku lontar masuk tong sampah supaya dapat dibawa ke tapak pelupusan sebelum dilupus buat selama-lamanya.
            
Usop Hantu vs Cik Bunga

2 comments:

  1. Hehehe jgn marah sgt cik bunga oiiii.. kot2 nti usop hantula yg awak terjatuh cinta 😆😂😂 thx AI for a new story 🌹🌷

    ReplyDelete
  2. nampak gaya cik bunga akan berjodoh dgn usop hantu tu juga nanti..

    ReplyDelete

There was an error in this gadget