Wednesday, 8 March 2017

USOP HANTU VS CIK BUNGA BAB 3 (cinta paling padu)





“Mama, tolong belikan kereta untuk Ecah.” Gumamku sebaik sahaja menanggalkan kasut. Mama yang tengah menyiram pokok bunganya petang-petang sebegini, menoleh dengan muka hairan.
                “Tolong belikan kereta untuk Ecah.” Rengekku lagi dan mama terus meletakkan gayung yang dipegang ke dalam baldi.

                “Ecah nak kereta apa? Kenapa tiba-tiba minta kereta?”
                “Tu ha… Usop Hantu tu ma. Tak habis-habis nak kacau Ecah.”
                “Dia kacau Ecah? Kacau yang macam mana?”
                “Usop cakap, mata sakit tengok Ecah lalu lalang depan bengkel dia tu ma.”
                Mama tersenyum dalam gelengan.
                “Kenapa mama senyum-senyum ni? Ecah tengah stress dengan mamat selenga tu ma.” Gerutuku sambil meletakkan payung yang kuncup ke sisi kanan. Tanpa menunggu lama, pungung ku labuhkan ke anak tangga teratas sambil menanti jawapan balas mama di bawah sana bersama pokok-pokok bunganya.
                “Ya, mama tahu Ecah marahkan Usop! Tapi Ecah buat-buat tak tahu sudahlah. Jangan dilayan sangat si Usop tu. Dia memang suka mengusik!”
                “Masalahnya usikan dia menyakitkan hati.”
                “Ecah, orang yang suka mengusik ni memang tujuan dia nak sakitkan hati mangsa usikan dia. Kalau Ecah buat tak tahu, mesti dia takkan usik Ecah lagi. Agaknya Ecah pun suka melawan, tu yang si Usop tu bertambah-tambah suka mengusik!”
                “Tak kira la mama, sekarang Ecah nak minta kereta. Tolong belikan untuk Ecah. Please…”
                “Ecah dah kerjakan? Apa kata Ecah kumpul duit dan beli sendiri. Baru manis hasilnya.”
                “Tak cukuplah ma. Gaji Ecah kecil.”
                “Takpe Ecah, esok kita ke pekan tengok kereta.” Tiba-tiba suara abah mencelah.
                Aku senyum gembira dan menoleh ke arah datangnya suara itu. Abah sedang menapak menuju ke beranda rumah mendapatkan aku di sini. Aku senyum bila abah beri maklum balas sebegitu. Yes, abah memang insan yang betul-betul memahami aku.
                “Betul ni abah?”
                “Betul, tapi Ecah boleh drive ke? Lesen kereta ada? Abah rasa Ecah belum lagi ambil lesen.”
                Aku mengangguk dalam rasa kecewa. Ya, aku tiada lesen memandu. Kalau ada kereta tapi tak ada lesen, tak bermakna juga.
                “Kalau macam tu, apa kata esok abang bawa Ecah ke pekan daftar sekolah memandu. Bila ada lesen nanti, abang belikan kereta untuk Ecah.” Cadangan mama pada abah buat aku tersenyum.
                “Kalau begitu, esok Ecah ikut abah ke pekan. Lepas daftar driving school, kita ke pusat jualan kereta. Tengok-tengok kereta apa yang Ecah berkenan.”
                “Kereta apa je bah?”
                Abah mengangguk namun dia sempat bersuara selepas itu.
                “Kereta yang mampu abah belikan. Kalau kereta mewah, awal-awal lagi abah minta maaf, abah tak mampu.”
                “Takpe bah, dapat kereta Axia pun Ecah dah happy.” Ucapku memberi jaminan kepadanya.
                “Kalau begitu, esok kita tengok kereta Axia ya.”
                Erk, aku beri perumpamaan je tapi tak sangka abah bersetuju pula. Kereta Axia pun, kereta Axia la, janji ianya kereta. Yang penting rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari!


***
                Tengahari itu abah datang menjemput aku di taska untuk dibawa ke pekan. Sementara rehat panjang, aku dibawa mendaftar di sekolah memandu. Sesudah itu, abah singgah ke pusat pameran kereta di pekan yang sama. Mahu membeli kereta untuk aku katanya.
                “Eh, Pak Mad buat apa kat sini?” Suara yang cukup aku kenal menegur abah. Aku yang masih membelakangi keduanya, enggan memusing tubuh. Jujurnya hati ini rasa malas untuk memandang ‘hantu’ yang suka menyakitkan hati aku tu.
                “Pak Mad tengok-tengok kereta untuk Ecah.”
                “Oh, Ecah nak beli kereta ke?” Usop buat-buat bertanya.
Semalam dia juga yang kata aku ni menyemak lalu lalang depan bengkel dia, nanti bila aku dah pakai kereta, jangan nak tuduh asap kereta aku buat premis perniagaan dia berjerebu pulak. Mahu aku tinju muka dia tu!
“Haah Usop, Pak Mad kesian tengok dia pergi kerja jalan kaki. Nak suruh bawa motor, dia tak pandai menunggang. Nak harapkan Pak Mad hantar, memang tak boleh. Pak Mad pagi-pagi lagi dah keluar ke kebun. Nak minta Mak Siti hantar, Mak Siti kamu pun tak reti bawa motor.” Gelak abah sayup-sayup sampai ke pendengaran aku.
Aku yakin, lepas ni modal Usop untuk menyakitkan hati aku akan bertambah dengan berlipat kali ganda. Abah sengaja nak bocorkan rahsia aku ke apa? Kalau bersembang dengan orang lain, aku tak kisah sangat. Bila abah berbual dengan Usop, secara automatik aku rasa tak selamat.
“Eloklah macam tu Pak Mad. Tak adalah Cikgu Bunga ni penat tiap-tiap hari berjalan ke taska tu. Tapi kan Pak Mad, berjalan kaki ni ada bagusnya. Sambil berjalan dapat manfaat bersenam. Iyalah, Cikgu Bunga pun dah semakin gemuk, mungkin dengan berjalan berat badan tu akan lebih terkawal. Jadi, tak payah susah-susah nak workout kat gym.”
Dengar tu, aku dah agak dah! Mesti dia nak sakitkan hati aku. Ni, baru je beberapa saat kami bertembung, dia dah berani kutuk badan aku depan-depan abah. Abah pula gelak-gelak je dengar apa yang si Usop ni kata. Abah, Usop kutuk anak dara abah tau! Abah boleh pula gelak! Ish, ni yang buat Ecah sedih ni abah!
“Betul juga tu Usop, tu kat TV Pak Mad tengok orang dok sibuk berkempen ‘Berjalan 10 000 Langkah Sehari. Amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.”
“Sekarang kerajaan kita memang menggalakkan rakyat bersenam dan ubah gaya hidup yang kurang sihat kepada kehidupan sihat yang berkualiti. Tentang berjalan 10 000 langkah sehari tu, Ecah belum mencapai target. Setakat dari rumah ke Taska, baru 1 000 langkah je Pak Mad. Patutnya Ecah kena berlari, baru lemak cepat terbakar.”
Kurang asam betul mamat ni. Semakin menjadi-jadi pula dia ya.
“Nak buat macam mana Usop, rumah Pak Mad kalau ikut jalan besar memang jauh, tapi kalau ikut jalan kecil tu, sekejap je dah sampai. Jalan pintas banyak.” Ucap abah membalas kenyataan Usop.
“Ya, baru saya perasan. Oh ya, Pak Mad nak beli kereta apa ni?”
“Pak Mad baru nak tengok-tengok. Mungkin kereta Axia, murah pun murah, minyak jimat dan sesuai untuk Ecah yang bujang ni.”
“Kalau Ecah dah kahwin nanti, tukar kereta pula ke Pak Mad?” Soal Usop menyibuk nak tahu. Suka hati akulah nak tukar ke, nak pakai sampai reput ke? Yang dia sibuk kenapa? Nak cari ‘point’ untuk mengusik akulah tu.
“Kalau dah kahwin, pandai-pandailah Ecah bincang dengan suami dia nanti. Betulkan Ecah?”
“Apa bah?” Aku yang kurang jelas segera bertanya. Raut abah dan Usop aku perhatikan silih berganti.
“Ni Usop tanya, kalau dah kahwin nanti, Ecah nak tukar kereta ke tidak?”
“Err… tak terfikir lagilah bah!”
“Bagi abah, kalau ada keperluan, Ecah bincang dengan suami dan tukarlah. Kalau tiada keperluan, pakai apa yang ada pun boleh.”
Aku senyum malu. Sampai ke situ pula abah fikir sedangkan, calon pun belum ada. Bagaimana untuk aku berkahwin dan punya pasangan.
“Ish abah ni, jauh sangat tu bah! Ecah pun tak terfikir hingga ke situ.”
“Aik, Ecah takde calon lagi ke?”
Abah ni, kenapa pula tanya soalan cepumas tu depan Usop? Nanti dia dapat idea untuk kenakan aku seperti selalu.
“Bah…”
“Ecah, umur tu dah 25 takkan calon suami tak ada lagi?”
Sebelum menjawab pertanyaan abah, ekor mataku sempat mengerling wajah Usop. Lelaki itu senyum senget. Mesti Usop fikir aku perempuan tak laku hingga calon suami pun belum ada.
“Ecah…”
Panggilan abah buat aku tersentak. Cepat-cepat aku pandang abah dan menyuarakan isi hatiku yang sebenar-benarnya.
“Ya bah.”
“Soalan abah belum berjawab.”
Aku senyum lantas menggosok bahu abah dengan manja.
“Ala bah… Ecah tak nak buang masa bercinta dengan orang yang tak pasti. Kalau boleh, Ecah tak mahulah bercinta bagai nak rak, tiba-tiba tak jadi. Nanti-nanti, Ecah juga yang frust.”
“Kalau dah tahu begitu jadinya, berkawan biasa-biasa sudahlah. Tak payah bercinta bagai nak rak, kalau rak tu runtuh terhempap kat badan. Ecah juga yang sakit.”
Eh abah ni, boleh pula dia bergurau. Aku serius kut, dia buat lawak pula.
“Bah, Ecah belum bersedia nak jadi milik orang. Ecah tak puas nak bermanja dengan abah.” Aku lentokkan kepala kat bahu abah dengan harapan abah mengerti perasaan anak tunggalnya ini.
“Abah ni dah tua Ecah, bila-bila je Allah boleh jemput. Sebelum apa-apa terjadi pada abah dan ibu, Ecah mesti kahwin. Sekurang-kurangnya, bila ibu bapa dah tiada, Ecah masih ada yang jaga.”
Abah….” Rengekku lantas menegakkan kepala dan memandang wajah abah.
“Abah bercakap perkara yang betul.”
“Ya, Ecah tahu semua orang akan meninggal. Tapi boleh tak kita cakap tentang topik ni di lain masa. Yelah, sekarang Ecah tengah happy nak beli kereta, abah buat adegan air mata pula kat sini. Rosak mood Ecah tahu.” AKu pura-pura merajuk dana bah terus tersenyum.
“Yelah, terlupa pula abah. Tapi ingat, cari calon suami.”
“Nantilah bah….”
“Ke Ecah terlalu sombong sampai lelaki takut nak dekat?”
Eh abah ni, macam tahu-tahu je peel anak dia ni. Ecah bukan sombong tapi Ecah lebih kepada berjaga-jaga. Tambahan pula, lelaki zaman sekarang bukan boleh percaya. Ramai yang kasanova dan ramai juga yang menipu status.
 Yang bujang nampak selekeh, tak sedap mata memandang. Yang kacak bergaya, kemas dan mampu mencuri perhatian pula, biasanya terdiri daripada lelaki yang sudah berkahwin. Memang mampu menggegar tulang rusuk, bahkan tiang rumah juga mampu bergoyang dek penampilan dan pembawakan diri yang nampak sempurna di mata anak gadis. Masakan tidak, segala keperluan zahir dan batin telah dipenuhi isteri-isteri yang dinikahi.
“Ecah bukan sombong bah, tapi Ecah malas nak layan.”
“Kenapa pula?”
“Lelaki yang nak dengan Ecah semuanya gedik-gedik, suka sangat nak tunjuk tahap ‘admire’ pada Ecah tu melampau-lampau.”
“Apa salahnya, kalau mereka dah suka, Ecah terima ajelah. Jangan sombong sangat, takut orang nak dekat.”
“Betul tu Pak Mad. Lelaki ni memang tak suka perempuan sombong. Menyampah!”
Aik, Usop ni menyampuk pula. Ni diskusi anak beranak, dia tak boleh masuk campur.
“Dengar tu apa yang Usop cakap.”
“Ya abah, Ecah dengar. Usop cakap jangan menyombong, nanti lelaki tak suka. Yang Usop tu, tak kahwin-kahwin dah kenapa? Ramai sangat ke perempuan sombong?”
Dalam aku menyahut bicara abah, sempat lagi aku kenakan Usop. Nak lihat bagaimana reaksi dia menjawab pertanyaan aku sebentar tadi.
“Sebenarnya perempuan tak sombong tapi saya yang menyombong. Okey saya pergi dulu Pak Mad.” Balas Usop bersahaja sambil memperbetulkan topi yang senget di atas kepalanya lalu melangkah pergi setelah dipanggil oleh jurujual kereta yang melayaninya seketika tadi.
                **

                “Nak beli kereta?”
“Opocot mak kau!”
Aku dengar gelak ketawa Usop di belakang tubuhku. Huh, sukalah tu bila tengok aku terkejut beruk macam ni.
“Hermm, ada hati nak beli kereta. Tu, kaki tu sampai ke nak pijak padel minyak?” Suara Usop bagaikan dekat dengan telinga aku.
Aku gosok telinga yang terasa gatal. Usop macam nak cari gaduh dengan aku je? Kejap Usop, kejap. Bagi aku bernafas dulu.
Aku yang sedang membongkok mengintai ke dalam kereta segera menegakkan tubuh dan berdiri di sisi kereta Axia yang terbuka pintunya.
“Apa awak tanya tadi?” soalku berbahasa-basi.
“Saya tanya, sampai ke kaki awak nak pijak padel minyak?”
                “Ehem, kalau kaki saya tak sampai sekalipun, ada masalah ke dengan awak?” Soalku memerli dirinya.
                Usop tersengih sebelum menjawab pertanyaan aku.
“Memanglah bermasalah. Bahaya tahu tak.”
                “Bukan saya bahayakan awak pun. Tak perli risau okey.” Tuturku lembut sambil mengetap kedua bibir dan membuang pandang ke tempat lain.
                “Saya tak risaukan awak, tapi saya risaukan diri dan kepentingan saya. Maklumlah, mungkin jodoh saya ada di luar sana dan ada kebarangkalian awak melanggar mereka-mereka yang bersepah kat luar sana?”
                Ish, Usop ni memang kuat perasanlah. Entah siapa-siapalah jodoh dia. Takkan jodoh dia berkeliaran kat jalan raya kut hingga takut aku bahayakan nyawa mereka semua?
                “No comment. Sebenarnya saya nak tanya, awak pula buat apa kat sini? Jangan kata awak pun nak belik kereta?”
                “Ya memang saya nak beli kereta pun!”
                “Awak memang suka meniru apa yang saya buat ya?” Soalku dengan mata tajam dan nada yang mengugut.
                Usop tidak menjawab pertanyaan aku bahkan dia tergelak pula. Ah, geramnya.
                “Saya nak beli kereta sama macam kereta awak.”
                “Axia?”
                Usop mengangguk.
                “Eh, apasal awak tiru saya ek?”
                “Siapa yang tiru siapa? Saya yang beli dulu, awaklah yang datang meniru.”
                Eiii geramnya aku. Takkan aku meniru dia pula? Tapi kalau aku fikirkan, memang Usop yang datang dan dia baru je selesai berurusan. Aku? Aku baru je sampai setengah jam di sini dan abah sedang berjumpa denga agen jualan di dalam pejabat di hujung sana.
                Whateverah! Saya punya Axia colour silver, full spec and automatik. Dan tentu pilihan kita tak sama kan?”
                Usop gelak sebelum menjawab sangkaan-sangkaan aku.
                “Awak rasa?”
                “Tak sama!”
                “Awak silap. Semuanya sama. Sebijik!”
                “Takkan kut! Kenapa awak suka meniru saya?” Aku hampir terjerit.
                “Kebetulan mungkin. Whateverlah, bye Cikgu Bunga, petang ni jangan lalu depan bengkel saya lagi okey. Kalau awak lalu, saya curah minyak hitam kat jalan tu. Biar licin dan awak tergolek macam sosej di dalam kuali berminyak.”
                “Macam sosej dalam kuali berminyak?”
Usop mengangguk dengan wajah sebeknya.
“Huh, awak memang busuk hatikan? Sanggup curah minyak hitam supaya saya tak lalu depan bengkel awak tu. Awak memang hantu! Usop Hantu!” Hampir-hampir sahaja aku terjerit namun aku sabarkan hati dan kawal marah sebaik mungkin. Maklumlah kat tempat awam, takkan nak terjerit-jerit pula kut!
                Bye Cikgu Bunga! Kalau tak nak jadi sosej goreng, tolong jangan lalu depan Bengkel Usop Kacak okey.” Usop berlalu dengan siri-siri kejayaannya yang berjaya menyakitkan hati aku. Dia berjaya lagi untuk kali ke 111!

3 comments:

  1. Hahaha cam budak2 gaya ysop mengusik ecah.. ecah pulak cpt sgt sentap 😆😅😂 thx AI for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  2. ke ucop yg belikan kereta utk ecah ni

    ReplyDelete
  3. jeng jeng kena tunggu ye posting seterusnya :)

    ReplyDelete

There was an error in this gadget