Tuesday, 8 May 2012

CINTA DIHUJUNG NODA 2


 “Kau buat apa dekat sini,” suara ku kasar bergema di seluruh ruang bilik sederhana besar itu. Mak Mah yang tidak kelihatan sedari tadi baru sahaja menapak masuk menghampiri tubuhku. Takut-takut sahaja lagak wanita tua itu, aku peduli apa dengan mereka semua!

“Aku tanya, kau buat apa dalam bilik ni?” soal ku kuat. Dia masih senyap tidak berkutik sedikit pun. Aku mulai baran tatkala pertanyaan ku dibiarkan sepi. Tidak semena-mena mataku menancap beberapa biji bantal yang elok tersusun di kepala katil lantas aku lempar tepat mengenai wajah yang terlindung disebalik purdah bewarna krim cair.

“Maaf tuan, saya jaga tuan! Tuan tak sihat,” balasnya lembut setelah mendapat habuan. ingatkan sudah bisu! Mak Mah turut angguk bersama satu senyuman mesra buat ku. Aku paling wajahku, tidak berminat ingin manatap wajah-wajah itu dengan lebih lama. Selimut yang tadi masih elok menutupi kakiku ku singkap sedikit. Aku ingin bangun dan membersihkan diriku, sementelah hari sudah menginjak tengahari. Baru sahaja aku ingin menggerakkan sedikit kakiku, tubuhku terasa berat. Sekali lagi aku cuba namun hampa. Saat itu aku rasakan ada sesuatu yang tidak kena pada diriku, aku pandang Mak Mah dan Nia dengan pandangan tajam. Keduanya menundukkan pandangan tidak berani mengangkat wajah.




“Kenapa dengan kaki aku?” selimut itu ku tolak hingga melepasi pergelangan kaki. Kedua betis kakik ku pandang lama. Tiada apa yang berbeza, lantas sekali lagi aku cuba menggerakkan sedikit kaki itu namun sekali lagi aku hampa. Berat bagaikan besi!

“Kenapa dengan kaki aku ni?” soalku kasar. Belum sempat Mak Mah menjawab wajah mama dan papa terjengul di muka pintu. Sejak bila mama dan papa ku pulang? bukankah mereka sentiasa sibuk 24 jam?

“Hai anak mama, bangun pun! Mama ingat Fiqri Attar ni dah tak nak bangun,” suara mama ku kedengaran nyaring sahaja. Aku palingkan wajahku tidak berminat ingin menatap wajah itu. Papa ku pula hanya menguntum senyum mendengar kata-kata yang terluah dari bibir mama. Dari ekor mata aku lihat penampilan mereka sama seperti dua bulan lepas sebelum bertolak ke England untuk urusan perniagaan selebihnya aku sukar sekali untuk melihat keduanya berada di rumah.

“Attar dah bangun, lega sikit hati mama ni. Kalau tidak tak senang mama dengan papa nak buat kerja!” mama ku sudah duduk di sisi bersebelahan aku yang masih lagi memandang ke luar tingkap. Bahu ku dielus lembut bagaikan pernah suatu masa dahulu dilakukan kepada ku.

“Sherry, kita dah lambat ni! Nanti terlepas flight,” gumam papa perlahan. Bahu ku ditepuk perlahan lantas kad kredit diunjukkan ke hadapanku. Aku biarkan sepi tidak bersambut lantas papa segera menyerahkan ia kepada Nia. Aku hanya diam tidak berminat ingin tahu kelakuan keduanya, aku sudah tawar hati bahkan sudah hilang rasa sayang buat keduanya!

“Nurse, tolong tengokkan Attar ya! Saya busy sikit, ada urusan dekat luar. Apa-apa hal, terus contact saya dengan Puan Sri. Oh ya, pastikan Attar buat terapi yang doctor sarankan. Semua urusan Attar saya serahkan pada nurse,” gumam papa pada Nia. Aku kalih pandangan mencari wajah Nia, mama, papa dan Mak Mah. Ada perhitungan yang ingin aku persoalkan.

“Apasal pulak nak hire nurse bagai untuk jaga Attar ni?” soal ku tidak puas hati. Mama memeluk erat bahuku, namun ku tepis perlahan.

“Attar jangan macam ni, Attar tak sihat macam mana nak uruskan diri sendiri?” soal mama menambahkan beban perasaanku saat itu. aku ketap gigi, apa yang ingin mama sampaikan sebenarnya? Aku tidak tahu, perasaan cuak mulai menerjah hatiku ketika ini.

“Attar sihat, apasal pulak tak boleh nak uruskan diri sendiri.” soalan ku jawab dengan soalan.

“Attar jangan degil boleh tak, kaki tu dah lumpuh! Tak boleh jalan, so dengar cakap mama ni! Mama ada kerja tak boleh nak jaga Attar 24 jam,” bait-bait kata yang mama luahkan menyentap tangkai hatiku. Aku lumpuh? Tak mungkin, tapi bagaimana aku boleh lumpuh?

“Apa yang mama merepek ni,” laju aku geleg kepala tidak percaya dengan perkhabaran itu.

 “Mama tak merepek Attar, anak mama tak sihat! Attar lumpuh sebab terkena tembakan malam parti hari tu. Berapa hari anak mama ni masuk ICU, mujur sekarang dah sihat. Attar, mama nak gerak ni. Kalau ada hal penting contact mama ya,” mama sempat lagi mengucup dahiku lantas hilang bersama papa menuju ke garaj kereta. Dari ekor mata aku melihat Mak Mah dan Nia turut berlalu meninggalkan aku bersama seribu tanda tanya di benak. Bunyi enjin kereta kedengaran perlahan-lahan meninggalkan perkarangan banglo mewah ini.  Tahulah aku yang mama dan papa sudah bergerak menuju ke airport tanpa sedikit pun perasaan untuk menenangkan rasa bingung ku saat mendapat perkhabaran ini. Tegarnya mama dan papa membiarkan darah daging ini menanggung derita sensara sendirian.


“Mak Mah, hoi Mak Mah! Kau pergi mana hah? Aku lapar tahu tak!” makian dan jeritan sering kali bergema di ruang bilik ku ini. Aku rasa sepi dan sunyi kala ini, rakan-rakan yang dahulunya bergelak ketawa tidak sekalipun datang menjengah melawati aku bahkan untuk bertanya khabar di telefon juga tidak pernah. Aku benar-benar dipinggirkan sahabat sendiri.

“Mak Mah solat, saya bawakan makanan untuk Tuan. Tuan makan kemudian ambil ubat ni,” Nia menghampiri ku sambil meletakkan dulang berisi makanan tengahari di atas meja berhampiran kepala katil. 

Baru sahaja dia ingin menghulurkan kepada ku, ku tepis kasar hingga kuah yang masih berasap tipis itu tumpah mengenai lenganya. Aku lihat mata itu berkerut menahan panas dan pedih akibat melecur. Aku butakan mataku dan pekakan telingaku, perlahan-lahan Nia bangun meninggalkan ku sendirian. Aku tersenyum puas sekurang-kurangnya aku mahu dia merasa derita yang aku tanggung.

Dari apa yang Mak Mah ceritakan, aku terkena tembakan sewaktu memukul Shark hingga pengsan dan tanpa aku sedari salah seorang rakan ku yang sudah mabuk turut berada di dalam bilik Nia melepaskan tembakan tepat mengenai tubuhku. Nah kini, saraf ku tidak lagi seperti dahulu hingga aku terlantar lumpuh sebegini hanya kerana ingin menyelamatkan maruah seorang gadis bernama Nia.

“Mak Mah, aku panggil kau buat pekak ya? Kau buat apa hah dekat bawah tu?” soalku kasar. Jika dahulu aku hanya kasar kini aku sudah menggunakan kata-kata kesat bagi melepaskan amarah ku. Namun Mak Mah masih sabar melayani karenah ku yang sudah 10 tahun dijaganya.

“Maaf tuan, Mak Mah masakkan sup untuk tuan. Tadi Mak Mah balutkan luka Nia, tangannya melecur teruk tuan,” jawab Mak Mah lambat-lambat. Takut benar dia dengan aku. Mendengar nama Nia aku mulai rasa tidak sedap hati, sedangkan tadi aku sudah tumpahkan kuah panas ke lengannya. Pasti dia tengah menahan sakit, aku ketap bibir. Tiba-tiba perasaan bersalah menjengah hati!

“Panggilkan Nia sekarang,” arahku perlahan. ada anggukan kecil diwajah Mak Mah sebelum ku lihat tubuh renek itu bergerak menuruni tangga yang betul-betul bertentangan dengan pintu bilik yang sedang ku huni.

“Nia, tuan Attar panggil! Hati-hati, jangan buat dia naik angin ya Nia! biasalah orang sakit memang macam tu,” Nia angguk sahaja. Dia memang tahu perangai Attar yang panas baran namun masih tetap disabarkan juga kerana dia benar-benar sudah terhutang budi terhadap lelaki itu hingga tanpa sedar Attar juga terbabit sama.

“Aku mesti jaga Attar sampai dia sembuh, ini janji aku walau macam mana buruk sekalipun layanan yang Attar beri nanti,” Nia bertekad dalam hati. Tambahan pula Attar sudah tidak ada sesiapa lagi melainkan dia dan Mak Mah. Rakan-rakan sudah lama pergi, ibu dan ayah juga sibuk menguruskan perniagaan, saudara-mara tidak pula Nia dan Mak Mah kenali. Jadi hanya dia dan Mak Mah sahaja tempat yang Attar ada untuk menumpang kasih dan perhatian. Perlahan-lahan anak tangga didaki bersama dulang yang berisi makanan buat Attar, Mak Mah yang suruh Nia hantarkan sekali lagi. Nia hanya menurut, jika dilempar oleh Attar sekalipun, Nia tidak akan pernah serik! Itu janjinya!

“Lambatnya kau sampai, aku nak mandi ni!” wajah Nia yang masih kekal dengan purdahnya datang menghampiri aku. Dulang yang ditatangnya tadi diletakkan di atas meja, memang tidak pernah serik perempuan ini aku mengomel sendiri. Kerusi roda yang terletak di sudut pintu luncur di tolak menghampiri ku. Perlahan-lahan tubuhku dipapah untuk bangun dan duduk di kerusi roda. Menyeringai wajah itu menahan berat badan ku, aku peduli apa!

“Kau nak intai aku mandi ke?” soalan itu sengaja aku lemparkan buat Nia yang masih lagi pegun berdiri di muka pintu bilik air. Cepat-cepat daun pintu ditarik dari luar, aku tekan punat di tombol tidak mahu sama sekali tubuhku menjadi santapan mata Nia. Mana adil, aku hanya dapat tatap matanya dan dia pula dapat lihat keseluruhan tubuh aku. Memang tidak adil!

Sedang aku berusaha menggapai shower gel, dan ubat gigi tidak semena-mena botol itu jatuh ke lantai lalu terpelanting di sudut yang sukar untuk aku gapai. Apa lagi nama Nia berkali-kali aku laung, tombol pintu aku pulas dari luar dan kedengaran daun pintu ditolak perlahan. Nia sudah tegak berdiri dihadapan mataku.

“Shower gel aku jatuh, tolong ambilkan,” saat ini ,memang sejujurnya aku malu dilihat sedemikian oleh Nia. Aku tahu dia juga malu apatah lagi sedari tadi melangkah masuk ke bilik mandi di mana aku juga turut berada di dalam bilik yang sama.

“Ni tuan punya shower gel, saya nak letak kat mana?” soalnya pendek. Aku garu kepala tidak tahu mahu letak dimana.

“Ha, letak atas tu!” gumamku saat mata terpandang akan bekas berbetuk seperti gayung. Memang itu sebenarnya gayung, aku sahaja yang lupa.

Laju-laju Nia meletakkan shower gel itu lansung menapak keluar dari bilik air. Aku lihat tergopoh gapah sahaja cara dia berjalan sama seperti tanah sudah tidak cukup untuk dipijak.

Usai bermandi manda sekali lagi aku memanggil Nia, dia datang lantas menolak kerusi roda ku keluar dari bilik air. Pakaianku sudah disediakan di atas katil, tuala kecil bewarna putih di ambil dari penyangkut lantas kepalaku yang masih lagi basah di balut bagi mengeringkan air yang masih bersisa di rambut.

 “Aku tak nak pakai baju tu, ambilkan aku shirt dengan jean! Aku nak keluar hari ni, kau drive!” perintahku tanpa bertanya terlebih dahulu.

“Errr… Pak Deris ada dekat bawah tuan, nak saya suruh Pak Deris hantarkan?” ucapnya perlahan tapi masih lembut menusuk ke pendengarannku

“Aku tak nak Pak Deris, aku nak kau yang drive!” keputusan sudah ku buat, hendak atau tidak Nia perlu menurut tambahan pula dia sudah dilantik menjadi jururawat peribadiku merangkap Personal Assiatant.

“Baiklah tuan,” dia mengalah juga. Aku tersenyum sinis, semua kehendak aku perlu dipenuhi tidak kira apa sekalipun. Jika aku mahukan hitam, hitam jugalah yang aku dapat, biar datang kelabu, biru atau kuning sekalipun semua itu sudah tidak lagi bermakna buat aku!

“Errr… mana boxer aku? Kau nak suruh aku keluar tak pakai underwear?” sergahku kuat. Terhinjut bahu Nia tatkala suaraku keluar tadi. Aku senyum dalam hati, lucu melihat reaksi gadis polos dihadapan mataku ini. Laju sahaja dia menapak  mendapatkan boxer ku di dalam almari pakaian. Selesai bersiap, Nia papah tubuhku menuruni tangga. Hampir 20 minit masa yang aku ambil untuk tiba ke bawah, dahulu tidak sampai lima minit aku sudah terguling bersenang lenang di sofa ruang tamu. Memang payah, aku sendiri tidak pernah jangkakan namun hari ini baru aku sedar penderitaan OKU yang mengalami nasib sama seperti aku. Susahnya untuk turun tangga!

“Mak Mah, aku nak keluar dengan Nia! Bagitahu Pak Deris sama, jaga rumah ni elok-elok,” gumamku disambut anggukan kecil Mak Mah.

“Nia, yang kau tercegat dekat situ apahal? Ambik kunci kereta aku, panaskan enjin!” tekanku kuat. Dia hanya menurut, bagus sungguh PA aku ni.

Pak Deris membantu aku hingga benar-benar duduk selesa di seat sebelah pemandu, buat pertama kalinya Audi aku dipandu oleh seorang perempuan. Arghhh….. tensionnya! Namun kerana ingin menghilangkan sedikit bosan ini, terpaksa jugalah aku korbankan nilai-nilai sentimental yang dah lama aku simpan untuk membenarkan hanya perempuan yang benar-benar isteri aku sahaja dapat memandu kereta ini. Hari ini semuanya sudah berkubur, ehtah-entah tiada siapa pun yang sudi mengahwini lelaki cacat seeperti aku.

“Kita nak ke mana ni tuan?” Nia tiba-tiba bertanya. Aku kalih pandangan mencari wajahnya, macamlah aku boleh lihat raut wajah itu namun dalam hati kecilku ingin juga melihat raut wajah sebenar Nia disebalik purdah yang setia menutupi bahagian itu. Jangan-jangan Nia  mempunyai masalah kulit hingga malu dipandang orang. Jika tidak pun, mungkin gadis itu mempunyai tanda lahir yang buruk!

“Aku nak ke pantai, bawak aku Port Dickson!” tuturku kuat. Nia hanya mengangguk sahaja namun tiba-tiba dia bersuara. Bertaut keningku mendengar soalannya.

“Saya tak tahu jalan, tuan tunjukkanlah!” pintanya. Aku mencebik dan hanya senyap namun jari ku masih lagi mengisyaratkan jalan yang harus diambil untuk ke Port Dickson.

Sampai sahaja ke Port Dickson, Nia mematikan enjin kereta. Pintu kereta ku tolak membiarkan angin dari pantai menyapa wajahku. Benar aku sedikit tenang di sini, hanya Nia sahaja yang tampak kekok berada berdua-dua dengan ku. Dalam keadaan aku yang lumpuh ini mana mungkin untuk aku mengapa-apakan dia. Dan jika benar, sudah ku biarkan sahaja tubuh Nia dijamah oleh Shark namun aku bukan lelaki begitu yang tahu menganiaya insan lain. Sekeji-keji aku, aku tidak sesekali melakukan seks tanpa nikah. Itu prinsip dan pegangan hidupku, kerana aku benar-benar takut akan virus AIDS dan HIV.

Langit yang cerah sudah bertukar mendung dan tidak semena-mena hujan turun selebat-lebatnya mencurah ke bumi beserta tiupan angin kencang. Enjin kereta dihidupkan lantas Nia memandu masuk ke jalan besar, beberapa kereta kelihatan berpatah balik. Nia masih lagi menruskan pemanduan hingga tiba di sebuah jalan yang sudah dirintangi oleh beberapa pokok tumbang.

“Kita nak ke mana ni tuan?” soal Nia cemas! Sementelah hari sudah menginjak malam, pokok-pokok yang masih tumbang belum lagi dialihkan. Aku sudah kesejukan laju sahaja air cond kereta ku matikan Nia hanya beriak selamba, mentang-mentang jubah dan tudung bulatnya yang labuh itu mampu menyerap haba, tidak sedikit pun ku lihat gadis itu kesejukan hanya beberapa kali keluhan kedengaran dari bibir itu.

“Kita check-in,” gumam ku pendek. Bulat mata itu ku lihat, aku tahu dia tidak setuju. Kereta masih dipandu hingga melewati sebuah perkampungan nelayan. Entah di mana aku sendiri tidak pasti, namun beberapa ketika kereta Audi kesayangan ku itu sudah berhenti  berhampiran parking surau yang kelihatan lengang tiada jemaah.

“Aku bukan nak apa-apakan kau, lagipun lelaki cacat macam aku apalah sangat yang aku boleh buat,” tutur kataku menyebabkan Nia sedikit tertunduk. Rasa bersalah barangkali hingga menyebabkan aku berkecil hati ketika ini.

“Kalau kau tak nak, kita stay dalam kereta ni. Aku nak tidur sekejap, sejuk!” dia hanya diam tidak bersuara menyebabkan aku sedikit gusar.

“Sekejap lagi masuk maghrib, saya nak turun solat!” pintanya lembut aku hanya mengangguk sahaja.

“Kereta aku tak ada payung, so kau tunggu hujan reda sedikit barulah kau boleh turun. Kalau sekarang kau turun mesti basah kuyup,” selarku perlahan langsung mengalih pandangan ke luar tingkap. Kepala ku lentokkan ke sisi cermin. Berat sahaja mata ku saat ini, entah bila aku sudah terlena.

Dalam sedar tidak sedar aku dengar tangisan seseorang, mata yang kuyu ku pisat berkali-kali mencari arah tangisan seseorang.

“Cik, kami mintak maaf! Ni kawasan surau, apa pun alasan cik berdua kami tidak boleh terima tambahan cik berdua-dua di rumah Allah. Ini boleh menimbulkan syak wasangka! Seharusnya jika cik memakai purdah, biarlah akhlak yang cik tunjukkan mencerminkan peribadi cik yang anggun berjubah dan berpurdah. Bukan menyembunyikan keburukan melalui  pakaian cik ni,” tegur satu suara. Aku bingkas tercelik, siapakah yang memberi tazkirah kepada Nia. Aku tundukkan sedikit wajah mengintai ke arah cermin tingkap di sisi Nia. Sah sudah, satu lagi bala menimpa!

“Encik, apa hal ni? boleh saya tahu?” tegur ku ke arah beberapa lelaki yang mungkin baru sahaja selesai menunaikan solat di surau itu.

“Encik, dekat sini rumah Allah. Kalau boleh tak elok berdua-dua dalam kereta macam ni, menimbukan syak dan fitnah! Lagipun, cik berdua tiada ikatan, jadi lebih baik kami serahkan cik pada jabatan agama!” gumam satu suara lagi. Aku mulai panas hati, tiada apa pun yang berlaku antara aku dan Nia namun siapa yang ingin percaya? Pada siapa untuk aku buktikan dan dengan apa yang aku boleh buktikan bahawa aku tidak melakukan apa-apa yang terlarang bersama Nia.
Aku buntu, di sisi kereta kelihatan beberapa penduduk kampung  sudah mengerumuni kenderaan ku.

“Encik, saya ni cacat! Saya tertidur, nak bangun pun saya tak mampu apatah lagi nak buat perkara tak senonoh! Tak boleh ke encik consider sikit?” soalku sakit hati. Wajah mereka ku tatap satu persatu dengan pandangan tajam.

“Ini bukan persoalannya encik, encik dah buat perkara tidak manis dikampung kami. Jadi wajarlah encik bernikah sahaja!” aku tepuk dahiku kuat. Mana mungkin aku terima semua ni dengan hati terbuka. Siapakah aku untuk Nia terima sedangkan jelas dan terang aku lelaki cacat! Hanya masa sahaja yang dapat tentukan kesihatan aku kembali seperti dahulu.

“Tak boleh encik, ni tak adil buat kami!” aku menolak dengan keras. Namun aku tahu aku sudah tiada apa lagi dapat dilakukan tambahan pula sudah banyak mata memerhatikan aku dan Nia. Ada juga yang mengkeji Nia tidak berkahlak seperti mana penampilan alim yang dilihat oleh mereka.

Berwalikan hakim dan bersaksikan beberapa orang penduduk kampung aku dinikahkan dengan Farhanatul Nadia Abdullah di surau tersebut jika aku enggan sudah pasti kes ini akan dibawa ke mahkamah syariah dan semakin galak aku ditertawakan oleh rakana-rakanku. Aku tidak mahu itu semua terjadi! Sungguh sama sekali tidak aku duga perjalanan hidup aku semakin berliku. Dan buat pertama kalinya aku mengetahui nama dan sedikit latar belakang hidup Nia yang tidak seindah hidupku yang penuh warna warni.

“Nia, aku mintak maaf sebab tak dapat nak elak semua ni! kalau aku tahu aku tak ajak kau datang sini, sure benda ni semua takkan jadi,” aku raup wajahku perlahan. Nia masih lagi menagis, sedih tatkala menyedari dirinya dinikahkan dalam keadaan aib sebegitu.

“Tolong rahsiakan dari sesiapa Nia, aku tahu aku cacat! Aku pun tak nak seksa hidup kau dengan keadaan aku yang macam ni, dah lah jangan menangis! Aku rungsing tahu tak,” tidak semena-mena aku memarahi Nia yang sedari tadi menangis tidak henti.

“Maafkan saya tuan,” ucapnya pendek! Aku mulai rasa bersalah, bagaimana untuk aku meneruskan hidup dalam kedaan cacat ini, untuk ke kuliyah dan untuk menguruskan diri sendiri pun aku tidak mampu apatah lagi menjaga Nia.
Arghh….. serabutnya hidup aku! Memang hidup aku malang sejak bertemu Nia!


2 comments:

  1. jgn lah rahsiakan pernikahan diorg ni...

    ReplyDelete
  2. bez nya cite nie ..,
    fantstic st0ry ..!

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.