Monday, 3 September 2012

JIKA MAWAR PUDAR WARNA 5


“Kau buat apa ni Amira?” gemersik suara itu membuatkan tidurnya terganggu. Amira celikkan matanya seketika, wajah Taufiq berada hampir dan rapat ke wajah bujur sirehnya. Dalam keadaan terkejut, Amira bangkit lantas mengesot ke tepi dinding.

“Awak buat apa ni?” soal Amira cemas. Tubuhnya dipeluk erat, terasa dingin dan sejuk malam bagai menggigit permukaan kulitnya kali ini. Selimut yang terlondeh tadi kembali di tarik menutupi seluruh tubuh sambil anak mata tidak lepas dari memerhatikan raut wajah Taufiq yang tampak tegang menahan baran.

“Aku tanya kau! Kau buat apa dekat dapur ni? Sengaja nak buat aku marah?” tebak Taufiq hilang sabar dengan karenah Amira yang tidak mendengar kata.


“Bila pulak saya buat awak marah?” soal Amira selamba. Wajah dipalingkan ke sisi enggan menatap Taufiq yang duduk berteleku di hadapannya. Dalam dingin malam, Taufiq merasakan suhu badanyya naik mendadak dengan perbuatan Amira yang bagai mencabar kredibilitnyai sebagai seorang lelaki.

“Apasal kau tidur dekat dapur ni? Aku suruh kau tidur di bawah, bukan tidur dekat luar bilik! Kau memang sengaja nak buat ibu aku marahkan aku! konon-kononnya aku tak berperikemanusiaan pada kau! Kau memang sengaja kan!” bentak Taufiq keras. Dari duduk, Taufiq kini sudah tegak berdiri sambil bercekak pinggang. Amira palingkan wajahnya ke arah lain, enggan melayani amarah Taufiq yang datang menyerang tiba-tiba.

“Kau dengar ke tidak!” bicara Taufiq keras.

“Dengar!” sepatah Amira menjawab namun wajah masih tidak dipalingkan ke arah Taufiq.

“Kau memang sengaja buat aku naik angin! Nak sakitkan hati aku dan nak buat keluarga aku porak peranda!” tuduh Taufiq yang menyangka perbuatan Amira hanyalah sekadar membalas dendam dengan menjadikan ibunya sebagai jalan pintas untuk dendam itu dilaksanakan.

“Dan kau memang mahukan ibu marah dan bencikan aku! kau memang....” Taufiq unjuk jari telunjuknya di hadapan Amira dan seketika kemudian kata-kata itu terhenti lalu jari jemari itu dijatuhkan semula ke sisi.

“Eh tolong sedarkan diri awak tu! Bila masa pula saya suruh ibu awak marahkan awak? Awak jangan pandai-pandai menuduh dan memfitnah saya!” gumam Amira bertegas


“Habis, apa benda semua ni!” selimut dan bantal milik Amira dirampas kasar lantas di hempas semula ke lantai. Pandangan tajam Taufiq bagai tembus membelah ketakutan Amira waktu ini, seketika dia tertunduk,  lutut dirapatkan ke perut lalu dipeluk erat keduanya.

“Kau memang.....” Taufiq hampiri Amira, bahu itu ditolak kasar.

“Astaghfirullahala’zim, Taufiq! Apa ni nak? Ya Allah....” Salmah datang ke dapur lalu mendekati Amira, menenangkan menantunya yang terkejut dek layanan kasar anak lelakinya ketika ini. Taufiq diam tidak terkata, terkejut juga terpaku dengan kehadiran ibunya ke dapur bersama Firdaus yang sedari tadi hanya diam menjadi pemerhati.

Tidur yang sepicing itu terganggu dengan patah bicara dan suara keras milik Taufiq. Dan kali ini dia tidak menyangka sama sekali terhadap kelakuan Taufiq yang sudah berubah laku sedangkan sebelum ini  anak lelakinya cukup dikenali dengan sikap hormat dan punyai budi pekerti yang baik. Namun malam ini, kesemua itu bagai telah lama hilang dari diri anak yang sudah menginjak angka 27 tahun itu.


Salmah kecewa dan dalam hati seorang ibu, perubahan Taufiq cukup membuatkan hatinya dipagut gusar andai Amira tinggal bersama anaknya nanti. Dan dia tidak sanggup sekiranya Taufiq mengapa-ngapakan Amira pula.

“Ibu....” panggil Taufiq perlahan. Salmah diam membisu. Hatinya masih kecewa!

“Bu... Maafkan Fiq,” gumam Taufiq memohon kemaafan dari ibunya.

“Kenapa minta maaf pada ibu! Fiq bukan bersalah papa ibu!” ujar Salmah enggan melihat raut wajah Taufiq. Anaknya itu wajar diajar!

“Ibu...” Taufiq bersandar ke dinding. Amira pula mengesot menjauhi Taufiq yang berdiri berdekatan dia yang sedang tunduk menekur lantai.

“Kenapa berkasar dengan Amira? Ibu tak faham  dengan sikap Fiq,” soalan bersama keluhan keluar dari bibir  Salmah. Dia tidak percaya namun matanya sendiri menangkap kekasaran yang dilakukan oleh Taufiq  dan jika dia lambat ke dapur tadi, entah apa lagi yang akan dilakukan oleh anaknya itu ke atas menantunya itu.

Salmah geleng kepalanya sekali, kesal dengan sikap Taufiq yang ketara berubah sejak akhir-akhir ini tambahan pula, anak lelakinya ini bukanlah seorang yang gemar berkasar dengan wanita. Namun mengapa kejam benar Taufiq dalam melayani Amira? Entah salah apa yang Amira lakukan hinggaTaufiq jatuh benci pada isterinya sendiri!

“Ibu tanya Fiq, kenapa Fiq berkasar dengan Amira? Apa salah yang Amira buat pada Fiq?” soalan bertalu-talu dihambur kepada Taufiq. Lelaki itu hanya diam tidak bersuara!

“Ibu tak faham,  hanya Fiq seorang je yang faham!” gumam Taufiq perlahan.

“Amira, masuk.... aku ada hal nak cakap dengan kau!” ucap Taufiq sambil berlalu pergi dari ruang dapur. Salmah hanya mampu menggeleng kepala dengan perbuatan Taufiq yang sudah banyak berubah!

Seketika kemudian,  salmah menunduk lalu bahu Amira disentuh lembut membawa diri itu berdiri menghadapnya.

“Maafkan anak ibu, ibu pun  tak faham mengapa Taufiq berkasar dengan Amira. Pergilah masuk, dengar apa yang nak disampaikan.” Gumam Salmah menyedapkan hati Amira yang mungkin kerisauan dengan perbuatan Taufiq sebentar tadi.

Amira angguk sekali, mahu melangkah menuju ke bilik di mana Taufiq menghuni, namun langkah yang baru di atur terhenti dengan sentuhan lembut ibu mertuanya.

“Taufiq baik... percayalah cakap ibu.” Ujar Salmah tersenyum lalu mengisyaratkan agar Amira meneruskan langkah itu masuk ke kamar milik Taufiq.

 Sebaik melangkah masuk, Amira menoleh ke arah Taufiq yang sedang berdiri di jendela. Lelaki itu termangu sendirian, Amira teruskan langkahnya lalu duduk di birai katil dan hanya diam menanti patah bicara Taufiq.

“Aku tak suka kau libatkan keluarga dalam urusan kita, lepas ni aku nak kau tutup mulut dan jangan sesekali cuba libatkan sesiapa pun dalam hal berkaitan dengan kita.” Gumam Taufiq masih lagi berdiri di jendela. Rintik-rintik hujan yang baru turun membasahi bumi, direnung sekali imbas.

“Mulai esok, kau ikut aku ke KL. Dan aku akan bawa kau jumpa mama dan abah, mereka akan jelaskan semuanya! Semoga kau bertabah nanti!” ucap Taufiq lagi yang sedang bersandar di dinding papan.

“Saya tak nak balik,” ucap Amira pendek.

“Apasal?” Taufiq berpusing

“Suka hati saya la..” jawab Amira selamba lantas berbaring di atas katil. Selimut ditarik hingga ke paras dada, mata cuba dipejamkan namun sentuhan tangan Taufiq di jari jemari kakinya membuatkan Amira bingkas bangun dari terus berbaring.

“Aku tidur atas ni, kau turun ke bawah!” gumam Taufiq menekan suaranya sedikit perlahan bimbang di dengari oleh ibunya lagi. Kini dia sudah berdiri berdekatan hujung katil sambil memerhatikan Amira yang tiada tanda untuk menurut katanya.

“Tak mahu!” balas Amira tegas.

“Turun sekarang!” bisik Taufiq sambil mengetap bibirnya. jari telunjuk di unjuk ke arah lantai beralas tikar getah.

“Tak nak!” Amira masih berdegil.

“Kau nak turun  sendiri atau aku humban kau ke lantai?” amuk Taufiq tidak mampu bersabar lagi. Amira telan liurnya, kata-kata Taufiq kedengaran bersungguh lalu perlahan-lahan kaki dijatuhkan ke lantai.

“Cepat!” sergah lelaki itu membuatkan bahu Amira terhinjut akibat tersentak dengan suara Taufiq yang bergema kuat.

Laju-laju langkah kaki di atur menuju ke sudut hujung bilik, bersandar sambil mata masih menancap wajah Taufiq yang beriak selamba.

“Nah ambil ni!” sebiji bantal di baling laju, mujur sempat disambut oleh kedua tangan Amira, bibir diketap geram namun Taufiq hanya tersenyum sinis sebelum terus berbaring tanpa memperdulikannya lagi.




“Hei kau sumbat  apa dalam beg ni hah? Angkut sendiri, tak kuasa aku nak heret beg kau!” beg beroda bewarna merah jambu di humban ke tepi koridor. Orang ramai yang lalu-lalang di sepanjang laluan jeti Lumut yang menghubungkan Lumut dan Pulau Pangkor tidak lagi dipedulikan. Taufiq naik angin setelah beg beroda milik Amira terpaksa di jinjing akibat roda yang sedia ada telah tertanggal dari kedudukannya, lalu menyukarkan pergerakan dia yang ingin segera pulang ke KL.

“Tunggulah!” jerit Amira sebaik Taufiq berjalan jauh ke hadapan namun jeritan Amira sengaja tidak diendahkan bahkan langkah kaki terus di atur laju  menuju ke tempat meletak kenderaan di bangunan tiga tingkat itu.

“Terhegeh-hegeh!” selar Taufiq setelah langkahnya dihentikan, wajah berpeluh Amira dijeling tajam. Menyusahkan!

“Awak tak nampak ke beg ni besar dan berat!” Amira tolak beg yang sedang dipegang ke lantai lalu disepak sekali.

“Memang aku nampak. Tapi sengaja aku buat tak nampak! Cepatlah perempuan! Aku dah lambat!”  Taufiq seluk poket seluarnya lantas memandang Amira tanpa perasaan.

“Kalau kau lambat, kau  balik sendiri!” gertak Taufiq lagi.

“Eleh, awak ingat saya hadap sangat nak tumpang awak? Tak kuasa!” Amira bercekak pinggang melawan pandangan lelaki itu. Orang ramai yang memandang tidak lagi dipedulikan bahkan, mereka masih lagi berkeras tidak mahu mengalah.

“Okey fine!’ gumam Taufiq lantas berpusing lalu bergegas meninggalkan perkarangan kawasan jeti. Amira diam terpaku melihat tubuh itu terus berlalu meninggalkan dirinya keseorangan bersama sebuah beg beroda yang agak besar dan sarat dengan pelbagai pakaian dan alat soleknya!

“Tak guna! Tak guna! Tak guna!!!!” jerit Amira sambil sepak beg rodanya berkali-kali. Dadanya kini berombak kencang  menahan amarah yang menggunung tinggi dengan layanan Taufiq yang tidak bertimbang rasa.

Hatinya sebal, dalam mengheret beg ke hentian bas ekspress itu, matanya masih liar mencari kelibat Taufiq namun batang tubuh itu sudah tidak kelihatan lagi. Pasti sudah memandu keretanya pulang ke KL meninggalkan dia terkulat-kulat di sini!



“Mama... abah! Mira dah balik!” suara jeritan Amira kedengaran nyaring bergema di perkarangan rumah mewah milik Dato Amri.

“Anak mama dah balik, sini peluk mama!” sambut Datin Hamidah tersenyum mesra. Amira hanya diam sambil mengetap bibir. Panas hatinya saat ditinggalkan Taufiq sendirian, dan akhirnya dia terpaksa memilih perkhidmatan bas ekspress sekiranya mahu pulang ke Kuala Lumpur.

“Tak perlu peluk Mira, sekarang Mira nak mama dengan abah jelaskan semua ni. Kenapa mama tawarkan jawatan peneraju Kristal Property pada Taufiq? Dia tak layak! Dan apa kaitan jawatan tu dengan perkahwinan Mira. Mama peralatkan Mira!” tebak Amira bersama air jernih yang bergenang di tubir mata.

“Mira... jangan cakap macam tu pada mama dan abah! Mama buat semua ni demi kebaikan Mira juga.” Gumam Datin Hamidah cuba memujuk hati anak perempuan yang sedang hangat dihambat perasaan amarahnya.

“Mira... dengar dulu cakap abah!” ucap Dato Amri yang sedang tegak berdiri di anak tangga.

“Apa lagi bah? Abah gadai maruah Mira dengan beri jawatan pada Taufiq. Apa kepentingan yang abah dapat dari perjanjian yang Mira sendiri tak tahu apa-apa?” dalam amarah air mata Amira tumpah membasahi pipi mulusnya. Laju sahaja diseka dengan belakang tapak tangan!

“Abah buat semua ni demi menjaga maruah Mira, apa Mira dah lupa perkara tu?” ucap Dato Amri berharap Amira menyedari kejadian yang amat memalukan tempoh hari hingga memaksa dia serta seluruh isi keluarganya berpakat untuk mengahwinkan Amira dengan Taufiq lelaki yang sudi menerima Amira secara bersyarat.

“Mira tak kisahlah bah, kalau tak kahwin sekalipun Mira tak peduli!” hambur Amira bersama tangis yang masih enggan berhenti.

“Mira jangan cakap macam tu  nak, percayalah semua ni demi kebaikan Mira.” Pujuk Datin Hamidah menyentuh lembut bahu Amira yang sedang dirundung kesedihan yang menggunung. Namun  sentuhan itu ditepis kasar oleh Amira, dia tidak sudi diperlakukan sebegitu setelah diri dan maruahnya diserahkan serendah itu kepada Taufiq yang sememangnya  jijik pada dia yan g kotor dan hina ini.

“Mira... mama minta maaf! Semua ni demi kebaikan Mira...”  Datin Hamidah sudah sebak bila mana Amira enggan disentuh dan dibelai seperti selalu.

“Mama... mulai hari ni jangan cari Mira lagi. Abah pun jangan cuba jejak kemana Mira pergi! Perbuatan abah dan mama sudah keterlaluan, Mira tertipu dan Mira diperguna!” air mata berlinang bersama esak tangis yang sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Amira jangan macam ni nak!” pujuk Dato Amri mendekati tubuh itu, wajah basah Amira di tatap dalam-dalam, walau anak perempuannya ini tidak sudi lagi membalas pandangan dari seorang lelaki bergelar bapa. Namun apa yang sedang dilakukan ini akan memberi sinar harapan kepada anak perempuanya pada akan datang. Biar Amira tidak nampak semuanya pada hari ini, dan apa yang ingin ditunjukkan akan diperoleh pada masa hadapan. Dia yakin dengan kata hatinya!

“Jangan mengakui Mira sebagai anak kalau abah hancurkan hidup anaknya sendiri!” bentak Amira berundur sedikit kebelakang.

“Mira, apa yang Mira cakapkan ni!” tegur Datin Hamidah mengingatkan Amira tentang bicara yang terlafaz tadi. Dia tidak mahu Amira menjadi anak yang tiada akhlak dan budi pekerti yang baik hanya kerana mengikut kata hati yang marah. Emosi sudah mengatasi akal fikiran hingga apa yang terluah bukan lagi datangnya dari akal yang waras.

“Mira tak nak jadi anak abah dan mama lagi!” Amira undur langkahnya lalu berpusing ingin segera meninggalkan rumah yang baginya sudah tiada ketengannya lagi.

“Opppssss...” Amira panggung wajahnya seketika. Senyuman sinis Taufiq pertama menikam pandangannya dan kali ini Amira sudah terperangkap di dada lelaki yang cukup dibenci!

“Mira dah balik?”  Kedua tanganya kemas di dalam pegangan Taufiq yang masih lagi tersenyum –senyum. seketika kemudian, Taufiq kalihkan pandangan matanya lalu kedua ibu dan bapa mertuanya di pandang penuh hormat.

“Maaf mama, maaf abah... Fiq balik dulu. Semua baju dan barang-barang milik Mira, Fiq dah kemaskan! Ada masa mama dan abah singgahlah ke rumah kami.” Gumam Taufiq tersenyum mesra namun tidak bagi Amira nyata terpempam dengan patah bicara Taufiq.

P/S: terima ksaih memberi komen. tq pada kak ida, akak2, para anonymous, kak nz, kak norihan, dan adik2 sekalian. komen anda amat berguna utk memperbaiki jalan cerita ini. sekian ~

8 comments:

  1. Kenapalah buruk sgt nasib si Amira dan buruk sgt perangai si Taufiq. So unbecoming for a gentleman.... Tak suka suami memperlakukan isteri sedemikian walaupun dipaksa kawin dan tak sukakan isteri.... This is not only a mental torture, it also involves physical torture by asking the wife to sleep on the floor.... Not a gd example for the general public...

    ReplyDelete
  2. semoga pahit akan manis juga akhirnya.

    ReplyDelete
  3. entah sape mangsa dlm konflik ne ye dek?tp akak tetap berpihak pd Amira.cian kat mira!tabah kn ati n teruskn kehidupan yg berlandas agama ye mira.tampa lelaki akak yakin Amira leh terus hidup ngan sempurna n beriman.mungkin ALLAH akn pertemu kn Mira ngan lelaki yg lebih baik dari Taufik,yg bakal membimbing Mira ke jln yg diredhai ALLAH.maap ye dek!akak leh emo lh dek tiap kali baca crite ne...hehe sori ek kalu akak terlebih komen...

    ReplyDelete
  4. Hmmmmm bila la taufiq nk baik2 ngn Amira kn...kesian plak kt Amira :(

    ReplyDelete
  5. SIAN AMIRA..HOPE AMIRA INSAF N BERUBAH KE JLN YG LEBIH BAIK..TAUFIQ TU BIAR JE NGADA2 SGT.HEHEHE

    ReplyDelete
  6. syarat2 aper yng ader dlm perjanjian tu? kenape Taufiq benci sgt dgn mira sedangkan mira tak tau aper2... Next entry please..

    ReplyDelete
  7. salam ..membaca E3 ni..ada berbagai bagai emosi yg akak rasakan.. petama kenapa Taufik begitu kejam tingkah lakunya pada Amira..kata kata yg terluah dari mulutnya penuh sinis dan penuh sindiran..walaupun dihadapan ibunya..apakah perjanjian yg telah dibuat oleh Taufik dan pada kedua ibu bapa Amira..yg membuat akak..tertanya tanya..adakah perlakuannya bersebab..hanya untuk menyedarkan Amira yg mmmg lama telah terpesong jauh dan kedua ibu bapa serta abangnya tidak dapat menolongnya..
    Disini akak melihat sisi Taufik yg lain ..dimana dihadapan kedua ibubapa Amira..dia melakonkan watak suami mithali ..penuh tanggung jawab dan penuh kasih sayang pada Amira..
    Kenapa pulak kedua ibubapa nya merelakan satu satu anak perempuannya dinikahi dan membiarkan Company bapa Amira diterajui oleh Taufik..dan apakah sebenarnya trajedi hitam yg menyebabkan keluarga Amira mengambil tindakan drastik untuk mengahwinkan Amira dan Taufik menjadi kambing hitamnya..

    ReplyDelete
  8. Kejadian ape yg brlku kat mira smpai family dia kwinkan dia yeeeee????????

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.