Tuesday, 30 October 2012

DUNIA KITA BERBEZA 2





“Err… awak ni cucu Pak Tam? Betul?” Umran meneka lagi. “Ehem boleh tahan cun!” hati berdetik dan senyuman tersungging menanti reaksi gadis ayu bertudung litup.

“Saya cucu Pak Tam, awak ni siapa?” gadis bernama Rose menyapa. Umran tersenyum lagi sambil memperkemaskan kolar baju yang terlipat. Seketika kemudian, jari jemari dikalih ke rambut yang tercacak, merapikan sedikit bilah-bilah rambut yang telah dielus gel rambut awal pagi tadi.


“Saya Umran Hannan, oh ya nama kita hampir serupa. Awak Rose Fannan saya Umran Hannan! Serupakan?” sapa Umran menayangkan senyuman meleretnya. Rose Fannan menjeling sekilas, hairan melihat lelaki di hadapannya ketika ini.

“Serupa tapi tak sama,” sambut Rose  Fannan pendek. Umran mengangguk perlahan, sebenarnya nama mereka tidak punya persamaan pun hanya sekali dengar bagaikan serupa. Namun jika diteliti, Hannan dan Fannan hampir-hampir sama namun keduanya memang tidak serupa.

“Nenek kata awak jemput saya, jadi boleh kita balik sekarang? Panaslah!” sahut Rose Fannan sambil mengibas-ngibas hujung selendang yang jatuh melurut dari bahu.

“Saya tak biasa panas-panas macam ni. Tak selesa,  melekit-lekit dah badan saya.” Rungutan demi rungutan terdengar di bibir mungil Rose Fannan, Umran hanya diam memerhati. Cucu Tok Imam, Rose Fannan merungut? Heh, anehnya!

“Awak, boleh hantar saya balik? Saya tak tahan, tengok kulit saya dah gelap! Sunburn, memang kampung ni panas ya?” soalan demi soalan dilontar. Umran menggaru kepalanya buat seketika.

“Kalau macam tu, kita balik la! Kesian pula awak, tak pasal-pasal rentung kena bakar dengan matahari.” Sinis Umran jengkel dengan sikap Rose yang mengada-ngada. Sesekali wajah Rose dikerling melalui ekor mata, selamba sahaja riak wajahnya.

“Ha tu la... siapa suruh kutuk-kutuk kampung aku! kan dah kena!” gerutu hati kecil umran sedikit panas hati mendengar kutukan dari Rose berkenaan kampungnya itu.

“Ini kereta awak?” ujar Rose saat mereka menghampiri Nissan Sunny jenis lama itu! Umran mengangkat wajah, Rose Fannan di sebelah sana dijeling tajam. Berlagak betul minah ni!

“Buruk!” sepatah namun menikam hati. Pedas dan panas!

“Ni bukan kereta saya, ni kereta Tok awak! Kereta Pak Tam!” ucap Umran menerangkan hal yang sebenar. Sengaja dipinjam kereta Pak Tam, malas mahu menggunakan keretanya menyusuri laluan berlecak angkara dicemari tanah-tanah bendang yang melekat lalu jatuh dari kebota yang membajak sawah.

“Err? Kereta Tok saya?” ulang Rose tersenyum sumbing, manakala Umran pula menguntum senyuman sinis. Huh, tahu pun!  Kereta buruk ni kereta datuk kau! Bukan kereta aku, aku manalah main kereta buruk macam ni! kalau rosak tengah jalan, aku tinggal je!” kutuk hati kecil Umran tidak habis-habis dengan senyuman sinisnya.

“Masukklah, nanti lambat sampai. Awak kan panas? Badan awak kan melekit-lekit, cepatlah masuk!” ujar Umran memulangkan paku buah keras. Rose Fannan mencebik, sesekali wajah Umran yang sedang tersenyum sinis itu diperhatikan. Memang tak sayang mulut!

Kereta jenis lama itu dipandu membelah jalan raya yang tidak rata, sesekali rungutan Rose Fannan menyapa peluput telinga. Ada sahaja yang dibebelkannya.

“Saya nak tanya sikit boleh tak?” soal Umran masih tenang memandu dengan kelajuan 50 kilometer sejam. Lambat benar untuk tiba ke rumah mereka.

“Tanyalah, tapi sebelum tu boleh tak lajukan sikit. Dari tadi lagi awak pandu 50 kilometer sejam! Lenguh badan saya ni,” omel Rose Fannan memicit-micit pinggangnya. Umran menoleh seketika, jika diikutkan kata hatinya mahu sahaja di tekan pedal minyak hingga rapat ke lantai kereta, biar Nissan Sunny ini selaju Ferrary namun dirinya harus sedar diri. Kereta milik Pak Tam ini hanya mampu mencapai kelajuan setakat 50 kilometer sejam, dan jika melebihi had kelajuan pasti kenderaan itu bergegar-gegar. Payah pula andai ada yang bersepai di tengah jalan, dan susah pula dirinya andai ada komponen yang harus diganti nanti.

 “Kereta ni tak boleh laju-laju, nanti saya juga yang susah!” sahut Umran sedari tadi berusaha untuk memotong lori sawit yang berada di hadapan mereka.

“Ha tadi awak nak tanya apa?” ulang Rose Fannan berkerut-kerut dahinya bila tayar kereta yang dipandu Umran Hannan melalui jalan berlopak. Entah jalan raya mana yang dilalui oleh lelaki ini.

“Awak ni betul ke cucu Pak Tam?” soal Umran pendek. Dari kata hatinya, dia yakin Rose Fannan ini bukanlah cucu sebenar Pak Tam tambahan pula wajah itu persis pelakon Juliana Evans. Wajah kacukan! Sedikit pun tidak menunjukkan baka dan gen dari Pak Tam yang berkulit hitam manis dan agak rendah orangnya berbanding Rose Fannan yang putih melepak dan agak tinggi orangnya.

“Kenapa awak tanya?” soal Rose Fannan sambil meleraikan selendang yang dipakai. Kerongsang yang terletak di bawah dagu ditanggalkan lalu selendang yang melitupi seluruh rambut itu ditarik melurut ke peha.

“Eh, awak buat apa ni? jangan nak perangkap saya pulak!” ucap Umran cemas bila melihat Rose sudah menanggalkan selendangnya.

“Siapa nak perangkap awak? Saya panas okey, ni aircond kereta ni rosak! Tingkap pula tak boleh buka, saya panas!” gumam Rose sambil mengibas-ngibas wajah dengan selendang yang sudah terlerai. Buat seketika Umran menelan liur, bimbang pula andai Pak Tam melihat. Naya dirinya nanti!

“Baik awak pakai, nanti Pak Tam ingat saya buat yang bukan-bukan pada awak!” arah Umran cemas. Pak Tam bukan boleh dibuat main, pak imam merangkap tok kadi di perkampungan itu cukup digeruni anak muda termasuklah dirinya. Rekod Pak Tam boleh tahan juga, pantang sikit melihat maksiat di hadapan mata inikan pula di dalam kereta sendiri. Mati dia nanti!

“Shhh.... saya takkan perangkap awak. Saya panas, nanti dah dekat nak sampai ke rumah. saya pakailah selendang ni semula. Awak jangan risau,” gumam Rose Fannan tersenyum-senyum. Umran hanya mampu memandang, buat seketika matanya terarah kepada helaian rambut gadis itu. Merah keperangan!

“Awak, kenapa warnakan rambut?” soal Umran ingin tahu, tidakkah gadis itu sedar bahawa datuknya itu merupakan imam dan juga tok kadi. Jika sesiapa melihat pasti jatuh air muka orang tua itu. kesiahn Pak Tam nanti!

“Mana ada saya warnakan rambut, ni natural beauty!” sahut Rose dibalas cebikan Umran.

“Macam la saya tak tahu mana satu natural beauty dengan sengaja diwarnakan. Awak tu cucu tok imam! Ingat sikit, nanti tak pasal-pasal ditarbiyahkan orang tua tu baru awak tahu.” Nasihat Umran dibalas dengan jelingan tajam.

“Habis tu yang awak jemput saya ni tak kena terbiyah pula?” Rose Fannan mula berhujah.

“Dah terpaksa, kaki Pak Tam dah sakit! Tak boleh nak berjalan, kalau dia boleh berjalan jangan haraplah nak suruh orang lain jemput cucu dia.” Sahut Umran lagi.

“Eh, baik awak pakai selendang tu. Kita dah nak sampai ni!” gumam Umran sambil membelok masuk ke simpang tiga lalu meneruskan pemanduannya hingga melewati lorong-lorong kecil di tengah sawah yang terbentang luas.

“Mana kerongsang saya tadi? ala... waktu-waktu macam ni la dia nak hilang.” Rose menunduk memerhatikan lantai kereta beralas karpet berbentuk empat segi.

“Eh cepat la, dah nak sampai ni!” tegur Umran juga cuak buat seketika.

“Hentikan kereta ni sekejap! Saya nak cari kerongsang saya!” pinta Rose Fannan masih menatap permukaan lantai kereta sambil jari jemari menyentuh lengan Umran yang terdedah tanpa sedar.

“Astagfirullahhallazim!” laju tangan ditarik lalu disorok ke belakang. Rose yang tersedar segera mengangkat wajah memerhatikan Umran dan seketika kemudian wajah dilarikan ke luar dari tingkap kereta. Malu buat seketika, ini pertama kali sentuhan darinya ditolak oleh seorang lelaki. Jika tidak, dia yang selalu dikejar!

“Okey, awak carilah kerongsang awak tu. Saya dah berhentikan kereta ni,” tutur Umran perlahan masih berjaga-jaga andai Rose Fannan kembali menyentuhnya lagi. tidak sanggup andai diparangkan oleh Pak Tam. Ngeri!


“Okey, sekejap ya.” Rose Fannan menolak pintu kereta lalu beg tangan dibawa keluar mahu melihat tempat duduknya.

“Oh, ini pun dia!” kerongsang berbentuk mutiara itu digapai lalu dibawa ke bawah dagu. Selendang yang dipakai segera dipinkan.

“Okey, saya dah siap. Jom kita balik,” ucap Rose Fannan tersenyum mesra.

Umran menghidupkan enjin kereta milik Pak Tam lalu meneruskan pemanduan menuju ke rumah orang tua itu. Sebaik kereta sampai ke perkarangan halaman rumah yang dituju, enjin dimatikan dan mereka beriringan keluar dari perut kereta.


“Assalamualaikum tok, Rose dah sampai.” Gumam Rose Fannan lemah lembut. Disalami dan dikucup mesra tangan keduanya. Umran yang melihat bagai tidak mempercayai apa yang sedang terlihat di ruang matanya. Lemah lembut sungguh tingkah cucu Pak Tam.

“Waalaikumussalam, cucu Tok dah sampai. Lama ke menunggu tadi?” soal Pak Tam senyum hingga ke telinga. Suka benar mendapat kunjungan cucunya, seketika kemudian senyuman itu mati saat pandangan mata bertaut dengan sepasang mata Umran.

“Rose tunggu sekejap je, abang Hannan yang tunggu lama.” Tutur Rose Fannan membuatkan Umran yang berdiri dekat di antara ketiganya terbatuk kecil. Tersedak bila dirinya dibahasakan sebagai abang. Kembang pula tekaknya!

“Abang Hannan? Siapa?” soal Mak Semah kehairanan.

“Ini la abang Hannan! Takkan nenek tak kenal?” soal Rose Fannan tersipu-sipu.

“Oh. Yang ni nenek panggil Umran. Senang sikit nak sebut!” terang Nek Semah lagi.
“Yeke? Rose tak tahu pulak. Oh orang panggil abang Hannan ni dengan panggilan Umran. Jadi Rose panggil abang Umran, boleh tak?” tutur Rose Fannan menekup mulut menahan tawa yang dibuat-buat. Umran yang melihat, tersenyum kecil. Aneh sungguh sikap Rose Fannan, menggeltis sahaja tingkahnya.

“Sudah tu, mari masuk! Tak elok anak dara duduk diluar! Tambah-tambah tengah-tengahri buta macam ni.” gumam Pak Tam sambil menjeling tajam ke arah Umran. Umran yang melihat hanya mampu menelan liur. Gerun dengan pandangan tajam orang tua itu.

“Sudah tu, Rose pergi masuk dulu. Sekejap lagi nenek masuk,” arah Nek Semah menyuruh Rose Fannan masuk ke dalam rumah mengikuti langkah suaminya Pak Tam yang sudah jauh ke hadapan. Untuk seketika Nek Semah kembali memerhatikan Umran Hannan yang kaku berdiri di sisinya.

“Umran, Nek Semah minta maaf dengan sikap orang tua tu. Tadi Nek Semah yang suruh nenek kamu sampaikan pada kamu. Minta tolong jemput Rose di stesen bas, bukan apa Pak Tam tu tak sihat! Kakinya sakit, tak boleh nak berjalan sangat. Jadi, tu yang Nek Semah minta tolong Umran jemput Rose.

Minta maaf dengan sikap Pak Tam, terima kasih ya. Kirim salam pada nenek!” terang Nek Semah akan kelainan sikap Pak Tam. Patutlah masam mencuka sahaja raut wajah itu, rupa-rupanya lelaki itu tidak mengetahui dirinya menjemput cucu perempuannya di pekan sana. Jika awal-awal lagi diketahuinya, pasti mati hidup semula tidak akan dibenarkan!

“Takpelah nek, memang Pak Tam dari dulu anti dengan Umran! Dia kan tak suka pada Umran!” sahut Umran patah hati. Patah hati bila sejak kecil lagi orang tua bernama Pak Tam seakan membenci dirinya. Hinggalah dia sudah menginjak remaja dan dewasa sikap benci yang ada pada dirinya masih bersisa dan sukar sekali dikikis. Entah apa yang tidak digemari lelaki itu!

“Umran janganlah macam ni, Nek Semah minta maaf ya! Terima kasih jemput Rose di pekan tadi. Umran balik dulu, nanti ada masa kita bual-bual lagi.” ucap Nek Semah dianggukkan sahaja oleh Umran.

***


“Ni kenapa tunjuk muka monyok ni Umran? Ada yang tak kena ke?” soal Fatimah sambil menatang dulang berisi kopi panas lalu diletakkan di hadapan Umran Hannan yang sedang memandang kaca televisyen. Namun Fatimah sedar, minda cucunya tidak ke arah itu dan raut wajah itu tegang sedari tadi lagi.

“Nek, apasal dengan Pak Tam tu? Anti sangat dengan Umran? Ada apa-apa yang Umran tak tahu ke sampai benci sangat orang tua tu pada Umran?” rungut Umran sambil menegakkan kedudukannya lalu cawan digapai dan teko disentuh. Mahu menuang kopi!

“Manalah nenek tahu, Umran ada buat apa-apa yang tak kena ke pada orang tua tu?” soal Fatimah dalam senyuman.

“Kalau ikutkan hati Umran yang panas ni nek, nak je Umran bawa lari cucu dia ke Siam. Nikah dekat sana, tak pun kalau susah sangat nak je Umran sepak kereta buruk dia tu.” Gumam Umran menahan rasa amarahnya.

“Amboi sampai ke situ Umran fikir ya,” Fatimah tergelak kecil.

“Kenapa nenek gelak-gelak ni? Umran kan tengah marahkan Pak Tam tu!” ucap Umran lagi, mahu Fatimah juga marahkan lelaki tua itu.

“Lagipun Umran mana boleh berkahwin dengan Rose.” Sahut Fatimah lagi. umran mencebik, jika diberi percuma sekalipun dirinya tidak sanggup mempunyai datuk mertua yang bongkak seperti Pak Tam. Huh tak suka!

“Tak mahu Umran! Tapi kenapa dengan Pak Tam tu nek? Tak boleh ke dia layan Umran ni baik-baik? Bukannya Umran buat jahat pada dia!” bebel Umran tidak berpuas hati dengan layanan dari Pak Tam. Pilih kasih berbanding cucu-cucunya neneknya yang lain. Akrab dan tampak mesra, Cuma dengan dirinya sahaja lelaki itu garang dan membenci! Hairan!


“Habis nenek nak buat apa Umran? Nak suruh nenek cubit dia ke?” Fatimah semakin galak ketawa tatkala wajah cemberut Umran semakin jelas kelihatan.

“Nek.... Umran serius ni nek! Tolonglah cakaplah kenapa Pak Tam tu anti sangat dengan Umran?” rayu Umran sudah bangkit lalu mendekati tubuh tua neneknya yang sedang meraut daun kelapa untuk dijadikan penyapu lidi.

“Manalah nenek tahu Umran, kamu tanyalah pada ayah kamu. Nenek tak nak masuk campur!” gumam Fatimah lalu bangkit dan masuk ke dalam rumah meninggalakn daun kelapa dan pisau kecilnya di atas pangkin. Umran yang mendengar terpinga-pinga, apa pula kaitan ayah dan Pak Tam? Ada skandalkah mereka berdua!




 P/S: tq for reading :)

7 comments:

  1. best..nape pak tam xsuke umran eik??
    smbg lg yer..:-)

    ReplyDelete
  2. kesian umran...... kenapa pak tam tu tak suka pada umran.....
    alahai rose..... gedik je... tak padan jadi cucu tok imam...

    ReplyDelete
  3. manja la rose ni.... pndai berpura2 mesti watak rose ni nakal kn kn kn?

    ReplyDelete
  4. msti ayah umran pena tolak ank pak tam dlu...biasa lah org tua2 kn suka kenenkn dgn ank2 dorg..

    ReplyDelete
  5. semakin menarik ni..... best3,,, nk lagiiiii

    ReplyDelete
  6. ayah dan Pak Tam ? skandal...hahaahahhahahah

    ReplyDelete
  7. hehe nape umran tak caye kerrr rambut rose bukan celop lah,but ori eh..alahai! cian nye kat umran nape lah plak pak tam wat cam tu!!!kot2 nye terlerai andai umran leh up jadi cucu menantu pak tam hehehe.suke lah dek aulia santai jerrrr.

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.