Sunday, 21 October 2012

keropok: : CINTA DI HUJUNG NODA

layankan CDHN okey... sebelum tu entry 38 JMPW dah published dekat bawah tu...




Siang tadi aku bersama Nia menikmati makan tengahari bersama-sama, terasa lega bila mana keinginan hati tercapai.  Dan kini aku sedang memandu kereta menuju ke I-CITY Shah Alam bandar bercahaya di mana artis yang juga pelawak terkenal iaitu Nabil pernah melangsungkan perkahwinannya di sini.


“Abang, mama dengan Neesa ke mana? Nia tak nampak pun tadi?” soal Nia sebaik kereta sudah memasuki perkarangan tempat meletak kereta di kawasan I-CITY ini. Aku toleh ke arah Nia seketika sebelum senyuman ku pamerkan buat dia yang sedang memerhatikan raut wajah ku menanti jawapan pada pertanyaannya tadi.

“Mama bawak Neesa berurut, Pak Deris yang  hantarkan!” gumam ku perlahan. Dengan berhati-hati kereta ku pandu memasuki kotak parking. Enjin ku matikan lalu jari jemari Nia ku sentuh dan ku raih ke dalam genggaman tangan.

“Jom sayang dah sampai ni!” ucap ku semakin teruja saat kereta sudah berhenti menghadap  bangunan Maybank yang merupakan salah satu kemudahan perbankkan yang disediakan di I-CITY ini. Kawasan meletak kenderaan ku perhatikan sekilas, semakin sesak dengan pelbagai jenis kenderaan empat roda dari pelbagai warna dan jenama. Pasti mereka juga turut meluangkan masa bersiar-siar di kawasan yang telah dibuka sejak tahun 2010 lagi.

“Sayang... tak nak turun ke?” soal ku saat melihat Nia masih tidak berganjak bahkan isteri ku ini seakan keras kaku di tempat duduknya.

“Yang...” aku sentuh bahunya lantas aku jatuhkan satu ciuman di pipi itu membuatkan Nia tersedar seketika.

“Jauh termenung, ingatkan siapa ni?” ungkap ku sambil mengelus wajah Nia yang sedang menatap wajah ku.

“Nia ingatkan mama, beruntung Nia dapat mama... makan minum dan sakit pening Nia sepanjang mengandung ni mama yang tengok-tengokkan. Untung Nia dan Neesa dapat mama sebaik mama abang,” gumam Nia senyum hingga menampakkan gigi yang tersusun rapi.

“Alhamdulillah, abang pun tak sangka yang mama dah banyak berubah! Betullah sayang, setiap yang berlaku mesti ada hikmahnya! Dan hikmahnya abang dah nampak  dan semakin jelas. Kalau dulu abang dan mama jauh dari agama dan kini abang kembali sedar.  Dan berpeluang kembali semula ke pangkal jalan! Alhamdulillah!” aku ungkap ucapan syukur ini di hadapan Nia sesungguhnya aku mahu Nia tahu aku benar-benar sudah berubah dari khilaf dan kesilapan dahulu.

“Alhamdulillah, Nia gembira dengan perubahan abang!” gumam Nia memeluk erat tubuh ku.

“Jom sayang, dah sampai ni!” ujar ku bersungguh. Pintu kereta ku tolak dari dalam, Nia juga lakukan hal yang serupa. Sesudah langkah kaki menjauhi kereta, alarm ku tekan perlahan. memastikan kereta dalam keadaan berkunci!

Menyusuri laluan yang dipenuhi cahaya lampu yang bergemerlapan, aku perhatikan seraut wajah Nia yang bagai teruja dengan keadaan ketika ini.

“Abang, kita nak kemana?” soal Nia ku sambut dengan senyuman.

“Kita jalan-jalan je sayang, tengok lampu dan abang nak snap gambar sayang banyak-banyak. Buat kenangan andai suatu hari nanti abang tak dapat nak pandang sayang lagi. At least masih ada gambar untuk abang tatap dan peluk!” Gumam ku tanpa maksud.

“Kenapa abang cakap macam ni? Tak baik tau! Nia akan bersama abang sampai bila-bila selagi Tuhan mengizinkan!” ucap Nia tegas. Aku senyum lantas bahunya ku peluk erat.

“Abang tahu sayang, tapi akan datang kita tak pasti dengan perjalanan hidup kita. Abang harap kita akan  kekal bersama sampai bila-bila,” sambut ku menenangkan Nia yang tampak tidak selesa dengan patah bicara ku tadi.

“Sayang... comel kan kaktus berduri tu?” aku ubah topik mengembalikan keceriaan Nia yang sudah tayang wajah muramnya.

“Kaktus? Mana? Nia tak nampak pun!” balas Nia meninjau-ninjau kawasan sekitar. Aku tersenyum lega,  akhirnya Nia dapat melupakan patah bicara yang terlanjur keluar dari bibir ku tadi.

“Belakang sayang tu, nampak tak?” soal ku lagi. Nia menoleh ke arah belakang lalu kaktus berbentuk bulat dan bewarna hijau disimbah cahaya itu diperhatikan lama.

“Ishh... comellah! Boleh tak kita beli dan letak depan rumah?” soalan Nia membuatkan aku ketawa besar.

“Nak buat apa letak depan rumah?”Soal ku dalam tawa yang panjang. Nia tersenyum melihat aku tertawa begitu.

“Saja-saja bang.... Nia suka!” balasnya sambil mendekati kaktus bewarna hujau itu.

“Kita letak dalam bilik tidur kita la sayang! Lepas tu 24 jam Nia boleh tengok. Kalau boleh tengok sampai lebam.” Ucap ku lagi disambut jegilan tajam mata bundar milik  Nia. Hilang sudah senyuman manis itu!

“Abang ni main-main tau!” Nia pamer rajuknya. Langkah diatur menjauhi aku yang masih sedia berdiri di sini bersama kamera digital yang kemas dalam pegangan tangan.

“Alolo... abang gurau je sayang!” pujuk ku bersama suara gemersik menggoda. Dia yang sudah jauh ke hadapan ku saingi segera.

“Suka buat Nia merajuk!” omel bibir itu bersama muncung yang panjang.

“Abang bergurau je pun... sayang janganlah  merajuk! Mama kata, kalau kita kuat merajuk,  nanti baby kita pun kuat merajuk juga. Susah abang nak pujuk nanti,” ucap ku cuba menghambat rajuk Nia agar tidak terus berpanjangan.

“Betul ke?” soal Nia inginkan kepastian.

“Entahlah sayang, dah mama cakap macam tu. Betullah kut!” aku sengih dan Nia senyum mendengar jawapan dari ku.

“Sayang jom ke sana,” aku tunjuk ke arah suatu kawasan di mana ramai orang sedang berkumpul namun belum sempat aku mengatur langkah. Deringan telefon kedengaran nyaring memecah keheningan malam.

“Hello, waalaikumussalam. Ya ada apa mama?” aku jawab panggilan dari mama lalu Nia ku jeling sekilas.

“Sungguh ke ma? Okey Attar balik sekarang!” gumam ku lantas mematikan talian.

“Ada apa bang?” soal Nia ingin tahu.

“Neesa nak bersalin. Lepas balik berurut tadi, dia ke bilik air . Mama kata Neesa jatuh di bilik air,” aku pimpin tangan Nia lantas ku hala langkah kaki menuju ke arah kereta.

“Teruk ke bang?” soal Nia dalam nada cemas.

“Entahlah sayang, mama kata mama dah ada di hospital. Kita ke sana ya sayang!” Nia angguk dan aku tekan alarm kereta lalu pintu kereta ku tarik dari luar. Tubuh ku henyakkan dan Nia juga lakukan hal yang serupa.

“Hati-hati bang, jangan laju sangat!” pesan Nia saat kelajuan kereta ku maksimumkan.

“Sorry sayang, abang tak sedar tadi!” aku akui kecuaian diri sendiri. Kelajuan ku perlahankan sedikit dan dengan hati yang dipanah gusar ini, aku titipkan doa agar Neesa selamat melahirkan bayinya nanti.

 Setelah hampir satu jam memandu meredah sesak akibat kemalangan di lebuhraya persekutuan tadi,  kereta bewarna hitam metalik ini akhirnya tiba di perkarangan hospital. Tanpa membuang masa lagi, aku dan Nia bergegas menuju ke bilik rawatan yang telah dikhabarkan oleh mama melalui SMS seketika tadi.

“Abah, macam mana keadaan Neesa?” soal ku pada abah yang baru tiba.

“Alhamdulillah semuanya baik, jomlah masuk! Abah baru sudah solat isyak dekat surau depan tu.” Gumam abah sambil tersenyum.

Bicara abah ku anggukkan sahaja, sambil menggenggam erat jari jemari Nia yang berdiri rapat dengan ku. 

Langkah ku atur mengekori langkah abah yang sudah mendahului.

Sebaik melangkah masuk ke dalam wad yang menempatkan Neesa, anak mata ini menangkap raut wajah pucat tidak bermaya Neesa. Di sisinya,  seorang bayi kecil sedang menghisap ibu jari. Terlena di dalam bedungan!

Aku dekati tubuh itu lantas duduk ku labuhkan di birai katil, mama dan abah turut berada sama. Pak Deris pula masih berdiri di hujung katil manakala Nia pula hanya berdiri di sebelah mama. Diam membisu kesemuanya!

“Neesa, you okey?” soal ku pendek dan wanita yang baru melahirkan zuriatnya itu sekadar mengangguk sahaja.

“Baby boy or baby girl?” soalan kedua terlafaz dari bibir ini.

“Baby girl,” suara Neesa masih kedengaran lemah dan tidak bermaya sesudah melahirkan bayi kecil yang belum bernama ini.

“Attar,  azankan bayi ni. Tahu tak macam mana caranya?” soal abah mendekati aku. Aku geleng kepala tidak tahu bagaimana cara yang sepatutnya yang harus aku lakukan.

“Pergilah berwudhuk, kemudian azankan di telinga kanan dan iqamatkan di telinga kiri. Cepat,” abah tolak tubuh ku agar segera berwudhuk dan kembali melakukan kelaziman untuk bayi yang baru lahir.

Aku bergegas ke tandas berdekatan, usai berwudhuk aku pangku si kecil lalu ku bisikkan azan dan iqamat di telinga bayi kecil itu agar dia mendengar seruan yang diperintahkan oleh Pencipta kepada hamba yang bergelar muslim. Agar nanti, dirinya membesar berlandaskan ajaran agama yang suci ini, tidak tersasar jauh seperti aku! Itu doaku pada si kecil yang suci tanpa dosa dan noda ini.

Sesudah itu, aku letakkan semula bayi kecil ini di sisi Neesa, raut wajah itu kelihatan basah dengan air mata.

“Attar, I nak  beritahu sesuatu pada you!” lirih suara itu. Aku hanya mengangguk perlahan namun pandangan Neesa yang silih berganti memerhatikan kesemua yang hadir bagai memberi isyarat dia perlukan ruang untuk berdua bersama aku. Hanya berdua!

“Mama keluar dulu ya, Nia mari ikut mama.” Panggil mama dan Nia menurut. Abah juga berlalu bersama Pak Deris. Faham akan maksud pandangan Neesa!

Suasana kembali sunyi dan sepi, masing-masing melayani kata hati yang sedang keresahan. Sedang aku leka memerhatikan raut wajah si kecil, suara Neesa akhirnya terlantun keluar. Walau lemah dan masih kekurangan tenaga, Neesa tetap ku lihat bersungguh untuk memperkatakan sesuatu. Apa agaknya? Aku sendiri gagal meneka!

“Attar... sebenarnya anak ni bukan anak you!” aku angguk sebaik Neesa tuturkan hal yang sudah ku tahu kebenarannya.

“I tahu Neesa, I tak pernah sentuh you....” gumam ku perlahan dan Neesa mengangguk kecil.

“Jadi, baby ni anak siapa?” soal ku lagi. Ingin tahu kebenaran yang telah sekian lama ku tagih dari wanita itu dan aku pasti kali ini Neesa akan berterus terang tentang hakikat sebenar bayi perempuan yang sedang terlena ketika ini.

“Neesa, jujurlah pada hati dan pada diri I juga. I mahukan penjelasan,” aku akhiri bicara ku dengan sebuah pandangan penuh mengharap pada Neesa. Aku inginkan sebuah penjelasan! Neesa panggung wajahnya, dan aku yang masih duduk di birai katil yang menempatkan dirinya dipandang dalam raut wajah yang keruh.

“Baby ni anak Shark!” bicara itu perlahan namun lirih pada pendengaran ku. Sejenak aku rasakan dunia ini bagai berhenti berputar. Lama berdiam diri, aku kuatkan semangat untuk terus bertanya kisah disebalik yang terjadi.

“Maksud you?” aku soal Neesa. Enggan memerhatikan wajah itu ketika ini. Amarah dan simpati ku bersatu. Nafas ku hela perlahan agar ombak kemarahan yang sedang berperang di dalam dada dapat ku hentikan segera. Entah bagaimana harus aku berhadapan dengan satu kenyataan pahit yang sekali lagi menghimpit! Satu keluhan kecil ku lepaskan.


“Baby ni anak Shark, dia yang lalukan semuanya pada I. I terperangkap!” gumam Neesa bersama esak tangisnya. Aku tekup wajah lalu ku raup rambut yang mula terjuntai ke dahi. Perasaan kesal pada tindakan Neesa membuatkan aku kesakitan. Ya aku sakit berhadapan kenyataan yang sebegini, dan aku seharusnya tidak terlibat dengan kisah hidup mereka. Mereka kejam pada aku! kejam! Jerit hati ini membuatkan aku kesedihan dalam diam.

“Attar, maafkan I.” Gumam Neesa perlahan. Air mata itu diseka dengan jari jemarinya. Aku bangkit, tidak betah lagi melihat Neesa di hadapan mata namun hal ini harus ku segerakan. Aku tidak mahu anak ini mempunyai sebarang ikatan dalam hidup ku. Aku enggan dia berbintikan aku sebagai bapanya!

“Kenapa baru sekarang you berterus terang Neesa? Apa, you tak nak Shark bertanggungjawab pada  kesalahan yang dia lakukan. You biarkan dia bebas tanpa sebarang tanggungjawab!” soal ku agak kecewa dengan tindakan Neesa yang membebani masalahnya pada bahu ku seorang diri. Memaksa aku menerima dirinya bersama kandungan milik dia dan Shark!

“Maafkan I, I tak sanggup bersama Shark! Pasti dia akan apa-apakan I andai I berterus terang akan kandungan ni. Dia mahukan duit dari I, I tak ada duit untuk menyara hidup dia yang kaki judi. Dan I cintakan you, I mengaku segala yang I lakukan kini semuanya atas dasar cinta dan sayang I pada you. Maafkan I Attar,” gumam Neesa lagi.

“Ya Allah Neesa, kenapa sayang dan cinta you membutakan mata hati  you? Kenapa you persiakan rasa sayang you pada insan yang tak cintakan you? You kejam pada diri you!” aku hamburkan rasa tidak puas hati terhadap sikap Neesa yang kurang matang menagih cinta dan kasih dari aku yang sememangnya tiada hati pada dirinya lagi.



 p/s: ada yg bertanya, okey ini dia review BAB 35 DARI CINTA DI HUJUNG NODA... info terkini mmskrip baru lulus penilaian. cuma saya x tahu bila akan diterbitkan. ehem.... jgn lupa layan JMPW yer.. :)

7 comments:

  1. moga cpt publish....
    x sabo nk baca full n3...

    ReplyDelete
  2. nnt kalo da diterbitkan, mintak satu wak hadiah blh?

    >>k<<

    ReplyDelete
  3. Lama x baca cite ni. Kala x silap akak last part masa Attar dah nazak dan masa tu Nia dah selamt melahirkan anak lelaki. Anak yang Attar tunggu setelah sekian lama. Lepas tu tak silap akak, Nessa yang bantu Attar jpa Nia kat spital kan? dah pernah hantar kat mana-2 pblisher ke? kalau belum, teruskan usaha adik.

    ReplyDelete
  4. Lamanyer tak baca cinta di hujung noda.... terubat rindu... nanti dah keluar jgn lupa bgtau tau!!!

    ReplyDelete
  5. wahhh ... tak sabar nak beli nanti . kak Aulia Iman hantar under syarikat KS ek ?!

    ReplyDelete
  6. tq u olls semua... ingatkan semua dah x ingatkan cite ni... sya anta dkt KN... :)

    ReplyDelete
  7. dah terjawab persoalan... siapa bapa kandung baby neesa.....

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.