Friday, 30 November 2012

CERPEN: RINDU YANG BERSEMADI



~Rindu yang Bersemadi ~



AULIA IMAN


Runcing jari-jemari yang sedang menari-nari di papan kekunci direnung lama, cantik dan mulus kulit itu. Seketika kemudian, pandangan beralih pula ke arah kuku yang dipotong pendek. Bersih kemerah-merahan warnanya. Tidak puas memerhati, kali ini pandangan dikerah menghala wajah yang sedang tertunduk memerhatikan skrin komputer. Adam menelan liur, pertama kali gadis bertudung litup ini berjaya mengusik ketenangan di dalam hati kecilnya. Aneh dan menghairankan! Bukan seperti kebanyakan gadis-gadis yang pernah ditemui sebelum ini, namun entah mengapa yang tertutup dan berbungkus seperti ini juga berjaya menjentik tangkai hatinya. Tangan dibawa menongkat dagu, kaunter pertanyaan itu menjadi saksi dirinya sudah jatuh sayang kepada insan yang berbungkus tidak diketahui namanya!


“Encik, In Shaa Allah dalam sepuluh minit lagi pasport encik akan siap. Sementara saya siapkan dokumen encik,” gadis itu hentika bicara seraya memanggung wajah menancap wajah pelanggan yang sedang berurusan dengannya ketika ini.

“Encik boleh duduk dulu,” sebuah senyuman diukir dan wajah dimaniskan semanis madu yang diambil segar dari sarang lebah. Adam bagai terkena renjatan elektrik tatkala senyuman berlesung pipit itu menyerlah diruang mata. Indah mempersona!

“Encik,” panggil gadis yang tidak diketahui nama kembali membawa diri itu ke alam realiti.

“Err.. ya saya! Apa dia?” ucap Adam menyembunyikan canggung tingkahnya yang terpesona pada lemah lembut bicara juga perwatakan itu.

“Saya ambil masa sepuluh minit untuk proses pasport encik, jadi sementara saya sediakan semuanya, encik boleh duduk dulu. InsyaAllah tak lama, dalam sepuluh minit! Encik duduk dulu ya,” tutur bahasa yang lembut dan sopan santun yang dipamer menjadikan Adam semakin cair dan semakin berkeinginan untuk mendekati si gadis ayu bertudung biru penuh kelembutan mempersona.

“Sepuluh minit? Cepatnya!” ujar Adam bagai tidak puas untuk berada lebih lama di kawasan jabatan imegressen itu.

“Mengikut polisi jabatan, setiap pelanggan yang berurusan perlu disegerakan tindakan. Jadi saya bekerja mengikut polisi, dan layanan untuk pengguna adalah keutamaan.” Tutur itu sekali lagi menyapa hati. Jatuh cinta kali kedua.

“Oh... okey! Saya duduk dulu!” Adam bersuara lalu menguntum senyum sebelum lambat-lambat melangkah menuju ke deretan kerusi yang tampak penuh dengan kehadiran orang ramai yang mahu berurusan. Sepuluh minit sudah berlalu, kelibat gadis yang melayaninya tadi masih tidak kelihatan, sembunyikah dia. Atau diri itu sedar anak matanya sedari tadi mencuri pandang wajah itu tanpa henti.

“Encik Adam Aiman,” panggil satu suara. Seraya itu juga Adam menoleh! Gadis ayu itu sedang tersenyum dan berdiri di sebalik cermin kaunter yang memisahkan ruang dalam dan luar bahagian itu.

“Ya saya, errmm...” Adam bangkit lalu mendekati kaunter. Berpura-pura menoleh jam tangan, mahu mengusik dan memanjangkan bicaranya bersama gadis yang sudah terpikat oleh sekeping hati yang baru mengenal apa itu cinta.

“..... Saya rasa dah lebih sepuluh minit.” Tutur Adam berwajah manis bersulam senyuman indah untuk tatapan si gadis tidak bernama. Namun senyuman yang diukir sebagai isyarat menggoda tidak mendapat sambutan apatah lagi gadis ini menundukan pandangan tidak membalas pandangan darinya. Adam kecewa!

“Maaf encik, kelewatan tadi disebabkan berlaku kesilapan pada cetakan nama encik. Maafkan saya,” ujar bibir mungil bewarna merah lembut. Hujung hidung comel itu juga berwarna merah jambu walaupun tidak ketara warnanya.

“Its okey, by the way... what is your name miss?” keberanian terluah. Ini mungkin langkah pertamanya untuk mengenali si gadis dengan lebih rapat.

“Secret sir!” sahut gadis itu cuba menolak permintaan Adam yang ingin benar mengetahui sebaris nama kepada gadis genit ini.

“Tak nak beritahu saya?” soal Adam mula mencari helah. Senyuman beserta gelengan kecil itu terbias, dan tahulah Adam gadis itu belum bersedia berkongsi nama dengan dirinya.

“Saya rasa, penjawat awam perlu mempamerkan tanda nama? Its it right?” duga Adam dalam senyuman. Tahu dirinya akan menang kali ini.

“Yes, thats true!” merdu suara itu lembut menyahut bicaranya tadi. Kali ketiga Adam jatuh sayang!

“Awak tak pakai pun?”

“Maaf encik, tanda nama saya belum siap. Saya baru dua hari bekerja! Maaf ya encik, urusan kita sudah selesai. Masih ramai yang sedang menunggu giliran, jika tak keberatan boleh encik....”

“Nevermind, saya faham! Terima kasih,” ucapan penghargaan di luah. Keluhan bersama senyuman dilepas lagi, memang sukar untuk mendekati namun Adam pasti yang sukar itu sebenarnya mahal harganya dan tinggi nilainya!

“Sama-sama,” sahut gadis itu juga dalam senyuman indahnya.


***

“Adam... Adam..!”

“Dari dapur ibu terjerit-jerit nama Adam tahu! Adam tak dengar ke?” soal Suhani kepada anak bongsunya yang bernama Adam Aiman.

“Eh ibu,” Adam tersedar bila sentuhan lembut wanita pertengahan lima puluhan itu mengenai kulit lengannya yang terdedah. Suhani bingkas bergerak ke sofa bersebelahan sebelum mengalih pandangan ke arah Adam yang masih berbaring.

“Kenapa termenung je dari tadi? Anak ibu tak sihat ke?” Suhani bimbang bercampur gusar melihat tingkah Adam yang tampak berbeza kali ini. Pulang sahaja dari menyediakan passport antarabangsanya lewat petang tadi, anak terunanya kelihatan banyak berkhayal dan termenung. Belum pernah lagi situasi seumpama itu dilihatnya sebelum ini.

“Bu.... kalau Adam tangguhkan ke oversea boleh tak bu?” Adam bangkit dari berbaring di sofa. Wajah tua Suhani ditatap dalam-dalam memohon pengertian dari ibu yang melahirkannya.

“Kenapa Adam?” ujar Suhani dalam kerut wajah yang tidak dapat disembunyikan lagi. Bimbang andai anak bongsunya itu mengubah haluan dan perancangan yang sudah diatur rapi.

“Adam rasa... Adam tak sedia lagi la bu! Adam.. Adam...” apa lagi alasan yang seharusnya dimaklumkan kepada si ibu tentang hasrat sebenarnya yang berat hati untuk pergi setelah hati ini disapa keanggunan seorang gadis yang mempersona itu.

“Adam apa? Hisshh pelik-pelik Adam ni? sejak bila anak ibu ni gagap?” luah Suhani tertawa kecil. Kerut di dahi Adam dan peluh halus yang terbias buat hati tuanya disapa lucu.

“Ibu... Adam sebenarnya...” Adam mengesot mendekati Suhani yang sedang duduk di sofa bersebelahn sofa panjang yang menjadi alas tidur lewat petang itu. Ada sesuatu yang ingin diutarakan dan pendapat wanita yang terlebih dahulu hidup dari dirinya harus diperoleh. Mungkin dengan ini, ketenangan yang terusik kembali reda dan keadaan yang diri yang dihimpit perasaan halus itu dapat diperjelaskan segera.

“Adam.. kenapa ni? belum pernah ibu tengok anak ibu kusut sampai macam ni sekali? Adam ada masalah ke?” lembut bicara Suhani membuatkan Adam akhirnya tertunduk menekur lantai. Kepala dijatuh beberapa kali sebagai tanda mengiyakan telahan ibunya sebentar tadi.

“Tentang apa ni Adam? Beritahu ibu, kalau ibu dapat bantu.... In Shaa Allah ibu bantu. Kalau ibu tak mampu, hanya doa sahaja yang dapat ibu usahakan.” Terang Suhani penuh kelembutan seorang ibu yang melahirkan.

“Bu... sebenarnya Adam dah sukakan seseorang.” Luah Adam malu-malu namun perasaan ini membuatkan dirinya hilang malu apatah lagi keinginan untuk memliliki gadis itu semakin kuat mengheret kehendaknya menurut kata hati.

Suhani tersentak namun untuk seketika, ruang dan peluang untuk Adam bercerita harus diutamakan terlebih dahulu. Dan tahulah dirinya, perubahan Adam berpunca dari rasa cinta pada seseorang. Dewasa sudah anak bongsunya kini!

“Adam...” lidah kelu untuk berbicara soal hati dan perasaan apatah lagi ini kali pertama keadaan yang cukup tidak selesa dilalui. Wajah diraup dan rambut diramas kasar. Bagaimana mahu menyatakan pada si ibu tentang kehendaknya memiliki si gadis yang tidak diketahui nama dan juga asal usulnya itu? Adam buntu!

“Siapa orangnya? Siapa yang buat anak ibu kusut sampai macam ni sekali?” Suhani memujuk agar Adam terbuka untuk berkongsi cerita walau dirinya tidak bersetuju andai anak lelaki tunggalnya bercerita tentang segala apa yang berkaitan dengan cinta dan  kecintaan selagi mana cita-cita belum diraih dan didakap erat. Cita-cita adalah keutamaan, cinta adalah kemudiannya!

“Kerani di imegresen tadi bu.” Luah Adam berharap Suhani memahami rasa hatinya yang sedang berkocak hebat.

“Adam.. ibu bukan mahu menghalang! Tapi Adam harus ingat, pelajaran adalah keutamaan dalam keluarga kita. Tambahan pula Adam satu-satunya anak lelaki yang bakal mewarisi perniagaan ayah. Jadi Adam harus lengkapkan diri dengan ilmu secukupnya, cinta bila-bila boleh datang dan bila-bila boleh pergi Adam. Ibu tak nak Adam kecewa dengan cinta,” ucap Suhani membuatkan Adam sekali lagi tertunduk. Kali ini wajah disembunyikan dari dijamah pandangan si ibu yang nyata tidak menyokong kehendakknya.

“Adam... dengar sini.....” jari jemari Adam disentuh dan digenggam kemudiannya.

“Adam... carilah yang sekufu dengan kita Adam. Pilihan Adam jauh berbeza dengan kita, susah untuk dia sesuaikan diri nanti. Adam juga mungkin susah untuk bergaul dengan ahli keluarganya nanti. Fikirkan Adam, fikirkan baik dan buruknya tentang perasaan Adam. Bagi ibu Adam perlu capai cita-cita, sesudah itu Adam carilah calon isteri yang sepadan dan sekufu.” Gumam Suhani panjang lebar. Sedarlah dirinya Adam menyukai gadis yang bekerja sebagai kerani di jabatan imegresen itu. Wajarkah sampai ke tahap itu Adam mencari calon isterinya? Bagaimana pula dengan tahap pendidikan gadis itu? sudah tentunya tidak setinggi mana ilmu yang diri itu ada. Dan bagaimana pula latar belakang gadis itu? Pasti jauh benar bezanya antara kehidupan gadis itu dan juga kehidupan mereka sekeluarga.

“Bu.. Adam bukan nak bantah kata-kata ibu. Tapi tolonglah bu, Adam sukakan dia!’ ucap Adam lembut memujuk. Entah mengapa, hatinya benar-benar terusik dengan kelembutan yang dipamerkan sebentar tadi. Indah dan cukup mendamaikan rasa!

“Adam... hentikan apa yang Adam katakan sekarang ni. Fokus pada pelajaran terlebih dahulu, tentang cinta dan perasaan.... nanti-nantilah Adam!” tekan Suhani berharap Adam tidak lagi menimbulkan isu tentang gadis yang tidak diketahui siapa gerangannya.


****

~ TIGA TAHUN KEMUDIAN~


Tubuh dipusing ke kiri dan ke kanan, melegakan rasa lenguh dan sengal diseluruh urat sendi. Seketika kemudian, tubuh ditegakkan kembali dan nafas dihirup lalu dilepaskan penuh ketenangan. Setelah tiga tahun berada di perantauan, akhirnya Adam kembali juga ke bumi tanah tumpah darahnya!


“Adam,” laung satu suara di sebalik orang ramai yang sedang menunggu ketibaan individu yang dinanti. Senyuman diukir statkala wajah itu menerpa pandangan mata namun senyuman itu mati dengan sendirnya bila melihat kelibat ibu, ayah juga kakak keduanya turut berada sama. Menyambut kepulangannya setelah tiga tahun membawa diri menuntut ilmu.

“Adam,” seru Zulaikha mendekati tubuh adik bongsu yang lama menyepi. Susuk tubuh Adam kelihatan jauh berbeza, lebih matang dan tampak tegap dengan otot yang diidamkan ramai jejaka diluar sana.

“Kak Zu,” sahut Adam menggenggam erat jari jemari Zulaikha lalu dikucup penuh hormat.

“Adik akak sihat?” soal Zulaikha teruja setelah sekian lama mereka tidak bersua.

“Alhamdulillah sihat! Akak sihat?” kali ini Adam pula menyoal.

“Sihat! Tu pergilah jumpa ibu dan ayah! Kak Sofi pun ada!” tambah Zulaikha mengarahkan Adam mendapatkan ahli keluarganya yang lain. Gembira rasa hati mula diragut kebahagiaanya bila reaksi Adam dingin dan beku.

“Adam...” seru Zulaikha bila melihat Adam masih statik tidak berganjak. Marahkan atau masih terasakah Adam pada mereka semua.

“Adam, janganlah macam ni. Adam tak boleh lupa lagi?” tebak Zulaikha cuba meneka rasa hati adik yang pernah terluka dahulu.

“Bukan tak boleh, tapi susah nak lupa.” Luahan rasa terkilan dihambur perlahan. Dan tahulah Zulaikha tentang perasaan Adam yang belum pulih sepenuhnya!

“Adam, pergilah dapatkan ibu dan ayah. Kalau Adam tak boleh nak berbaik, cukuplah andai Adam tak menyakitkan hati mereka. Pergilah salam ayah dan ibu. Juga Kak Sofi, dah lama mereka tunggu Adam balik.” Pujuk Zulaikha lembut.

“Pergi ya?” bahu itu dielus pula.

“Pergi ya Dam, kesiankan ibu dan ayah!” pujukan demi pujukan dihambur dan akhirnya anggukan kecil itu terbias di raut bening milik Adam.

Tangan ibu dan ayah, juga kakak kedua yang suatu ketika dahulu lantang menegah dirinya dari meneruskan rasa cinta pada gadis itu disalami silih berganti. Tiada senyuman tiada juga pelukan erat membalas dakapan dari mereka kesemuanya. Hati itu sudah beku, jiwa itu sudah keras, dan dengan apa lagi mampu dilenturkan sebuah hati yang dingin dan beku itu?

Usai bersalaman, Adam terus melangkah membontoti Zulaikha yang jauh kehadapan. Ibu, ayah dan Sofi juga ditinggalkan begitu sahaja, cukuplah dirinya merendahkan ego bertemu kesemuanya dari cuba menyakitkan hati tua itu dengan bahasa yang kasar lagi kesat!

Kali ini dirinya tidak terus pulang ke bumi Damansara bahkan dirinya mengubah haluan menuju ke pulau di pantai timur. Mencari sebuah ketenangan untuk berhadapan ibu bapa yang pernah meninggalkan luka yang berparut dalam pada sekeping hatinya dahulu.

Diri dibawa mendekati balkoni yang menghadap lautan, manakala pintu luncur sengaja di buka laus  membiarkan angin menderu memasuki ruangan bilik sederhana besar itu. Lembut menyapa, dingin terasa namun dibiarkan sahaja serata kulit yang terdedah tanpa dilindungi baju itu dijamah angin petang. Mungkin di sini hatinya akan pulih dan kedukaan lampau kembali sembuh dan terawat sepenuhnya.

Sejenak ingatan kembali terusik kepada gadis bernama Isabella. Suatu ketika dahulu, insan itu pernah dibawa ke rumah untuk diperkenalkan. Ikatan pertunangan dijanjikan! Dan akhirnya ini yang terjadi.

 “Apa nama kau?” Sofi bertanya acuh tak acuh. Isabella tertunduk seketika juga tersentak dengan layanan yang diterima.

“Eh, dah bisu ke budak ni?” sinis Sofi bersuara. Isabella terkedu!

“Nama saya Isabella, Nur Isabella!” luah Isabella masih sopan seperti biasa.

“Kau belajar sampai ke tahap mana? SRP? SPM? PMR? Ke UPSR?” sinis bicara Sofi kedengaran lantang bergema di ruang sederhana besar itu. Isabella menelan liur, kata perlian Sofi benar-benar menghiris sekeping hatinya.

“Do you deaf?” tebak Sofi sengaja membakar rasa di hati gadis bernama Isabella. Senyap tanpa tindak balas dari Isabella benar-benar menyentap tangkai hati Sofi yang sedari tadi cuba memprovok gadis itu.

“Oh, I see.... sorry... sorry!” Sofi merapatkan kedua tapak tangannya lalu digosok berkali di antara satu sama lain. Pandangan sengaja dialih ke arah Isabella walau gadis itu cuba melarikan pandangan matanya ke arah lain.

“Kau bukan belajar tinggi mana pun, manalah faham bahasa inggeriskan?” Sofi ketawa kecil. Ketawa penuh mengejek!

“I forgot something. Aha... macam ni la... boleh aku tahu background kau?” soal Sofi kali ini berpeluk tubuh. Isabella yang berdiri sedari tadi masih dibiarkan terus berdiri,  sedikit pun tiada keinginan untuk menjemput gadis itu duduk di sofa yang kosong tanpa penghuni.

“Kau asal mana eh?”

“Perak.” Sepatah Isabella menjawab.

“Perak tu luas! Tapi dekat mana?” nada suara ditekan geram bila gadis itu memberi jawapan terlampau umum. Hingga tidak tahu diceruk mana gadis itu menetap.

“Tapah, Perak!” sahut Isabella perlahan. Manahan sebak dan rasa terguris di hati. Pertama kali dilayani kasar sebegini.

“Oh, I see... kisah Pak Kanduk yang kalah judi. Kemudian meratap di tepi sungi kemudian jumpa ikan yang ada emas di dalam perut dia tu? Dan akhirnya Pak Kaduk bersumpah bahawasanya ikan itu tak boleh dimakan oleh keturunannya? Betulkan?” tebak Sofi kembali menceritakan kisah dongen zaman dulu kala.

“Kalau tak silap aku.....” Sofi bawa jari jemarinya menyentuh  dagu. Berfikir akan hikayat dongeng zaman kanak-kanaknya dahulu.

“Aha..  nama ikan tu, ikan tapah? Betulkan! So kau ni keturunan Pak Kaduk ke?” semakin sinis Sofi melontar kata.

“Err... saya... saya...” Isabella kehabisan kata. Sedangkan dirinya tidak mampu lagi bertahan lebih lama berada di kalangan ahli keluarga Adam yang cukup berbeza tingkahnya dengan lelaki itu. Patah bicara mati bila kelibat seorang wanita mula melangkah masuk ke dalam ruang tamu serba mewah itu. lidah pula kelu untuk berbicara!

“Isabella, hurmmm ini orangnya! Not bad,” Suhani datang menatang dulang berisi jus oren berserta buah-buahan segar.

“Come, and seat!” pelawanya ramah. Namun Isabella hanya berdiri, berat untuk melangkah mendekati wanita yang tampak anggun dalam persalinan yang cukup mewah pada hematnya.

“Jangan malu, sini duduk sebelah aunty!” gamit Suhani bersahaja. Sofi tersenyum sumbing, lucu kadangkala melihat tingkah Isabella gadis yang menjadi kesukaan adik lelakinya itu. Bagaikan rusa masuk ke kampung, tercangak-cangak! Langsung tidak tahu membawa diri!

“Aunty nak tanya pada Isabella, penting sebenarnya.” Luah Suhani mengalih posisi duduknya menghadap gadis yang berjaya menambat hati Adam hingga anak bongsunya bercadang untuk tidak meneruskan pengajian jika hubungan dengan gadis itu tidak direstukan.

“Tentang apa aunty,” sahut Isabella lembut menyusun bicara.

“Tinggalkan Adam.” Pendek namun sudah cukup membuatkan hati Isabella luka terhiris. Permintaan apakah ini, bukankah kehadirannya pada hari ini atas permintaan keluarga itu juga. Kata Adam, ibu dan juga ahli keluarganya mahu melihat sendiri calon yang menjadi pilihan hatinya, namun apa yang diperoleh hari ini hanyalah kata-kata hinaan dan cerca yang tidak sudah-sudah. Bahkan dirinya diminta untuk meninggalkan sahaja lelaki itu.  Apa maksud pertemuan mereka petang itu! Isabella keliru bercampur sendu! Dirinya diperkotak katikkan oleh keluarga itu!

“Tinggalkan Adam, Isabella dan Adam tak sekufu! Jauhi Adam, dia ada masa depan yang cerah! Jangan rosakkan masa depan Adam kalau Isabella benar-benar sayangkan Adam. Tolong tinggalkan Adam!” pinta Suhani lebih kepada mengarahkan Isabella melupakan Adam dan memutuskan hubungan yang baru terjalin kira-kira sebulan lalu.

“Isabella tak sesuai dengan keluarga kami, lihat keadaan aunty sekeluarga. Aunty yakin Isabella tak boleh sesuaikan diri dengan kehidupan kami, dan aunty juga yakin yang Isabella sebenarnya bukan cintakan Adam tetapi lebih cintakan wang ringgit Adam! Tak begitu Isabella?” teka Suhani bersama kening yang dijungkit tinggi dan kali ini Isabella benar-benar terkedu dengan tuduhan berat seumpama itu. Persahabatan dan juga perhubungan dengan Adam adalah atas dasar cinta bukan kerana wang ringgit. Itu bukan matlamat dalam hubungan yang dicipta. Ya Tuhan fitnah apakah ini!

“Maafkan Isabella aunty, Isabella sayangkan Adam bukan kerana harta Adam tapi kerana hati budi Adam sendiri. Sungguh Isabella tak tahu yang Adam sebenarnya anak orang berada, Isabella tak tahu.” Lirih dan sebak bersatu hingga suara yang terlontar kedengaran bergetar menahan sendu yang mula merajai hati.

“Huh, alasan!” sampuk Sofi mencebik. Alasan tipikal gadis-gadis yang mahu mengambil kesempatan.

“Isabella... sedar diri kau? Cermin dulu keadaan hidup kau! Kerani mahu bersama bakal bos besar syarikat antarabangsa? Jauh bezanya! Buat malu Adam je nanti,” tekan Sofi sinis menikam hati nan lara.

“Sudahlah budak kampung, nak speaking pun terkial-kial....  ada hati nak bersuamikan lelaki kaya? Hishhh.... ada juga spesis macam ni dalam dunia yang luas ni?” hambur Sofi menjeling tajam ke arah Isabella yang tertunduk menyembunyikan wajah akibat kata hinaan dan cerca keduanya. Dihina hanya kerana berasal dari kampung dan berjawayan kecil. Tidak sedarkah mereka, setinggi mana sekalipun tahap pendidikan seseorang, rasa saling hormat dan menghormati juga sopan santun itu perlu. Biarlah mereka memburuk-burukkannya, bukan semua kerani seperti dirinya tidak berpelajaran! Biar mereka salah menduga!

“Isabella,” panggil Suhani mendatar. Ada sesuatu yang ingin diberikan sebagai galang ganti agar gadis itu meninggalkan anak terunanya dalam kadar segera. Tiada majlis pertunangan yang dijanjikan, itu hanyalah sekadar mengaburi diri Adam yang sudah angau dilamun cinta. Mana mungkin kehendak Adam yang mahu bertunang dengan gadis bernama Isabella itu diturutkan, anak lelakinya masih mentah! Baru meniti usia 21 tahun dan masih muda remaja! Pertunangan tidak seharusnya terjadi!

“Baliklah! Tapi sebelum tu,” Suhani berdehem seketika. Sekeping kertas berlipat dikeluarkan dari poket blazer yang tersarung.

“Nah, ambil ni dah jauhi Adam! Jauhi Adam! Tolong aunty, jauhi Adam. Biarkan Adam capai cita-cita dia terlebih dahulu, dan aunty yakin ada yang lebih layak untuk Adam. Isabella baliklah, dan jangan jumpa Adam lagi. Ingat tu pesan aunty!” ucap Suhani bangkit seraya mendekati Isabella yang masih berteleku di atas sofa. Cek tertera perkataan sepuluh ribu ringgit itu disua tepat ke hadapan wajah gadis yang sudah berkaca-kaca menentang pandangan mata darinya. Sepuluh ribu sabagai tanda hubungan cinta mereka berakhir! Hina dan keji diperlakukan keduanya bagai dirinya tiada lagi maruah untuk dipertahankan.


“Maaf aunty, saya tak sehina itu. Saya akan lupakan anak aunty, dan pesan pada Adam jangan cuba cari saya lagi.” luah Isabella perlahan-lahan bangkit lalu menghamburkan bicaranya. Sesudah itu langkah kaki diatur meninggalkan perkarangan rumah yang tersergam indah dari luarannya.

Suhani hanya memerhati, cek tidak bersambut bahkan gadis bernama Isabella itu pergi begitu sahaja. Satu kebodohan yang cukup nyata pada pandangan matanya. Senyuman diukir, memang benar, gadis itu tidak sekufu dan selayaknya bergandingan dengan Adam.

“Ibu, mana Isabella?” Adam yang baru pulang dari pasar mendekat Suhani. Hairan melihat Isabella yang ditinggalkan, sudah tidak dilihat lagi.

“Ibu, mana Isabella?” soal Adam curiga. Kali ini wajah ibunya Suhani kelihatan bersahaja, manakala Sofi pula pamer riak selamba. Tidak pada Zulaikha yang baru tiba, wajah itu bagai menunjukkan simpatinya pada Adam.

“Ibu, mana Isabella? Mana dia bu?” soal Adam keras membuatkan Suhani tersentak pertama kali Adam meninggikan suara padanya hanya kerana mempertahankan seorang gadis yang bukan sesiapa pada pandangan matanya!

“Adam jangan melampau! Sejak bila jadi anak derhaka ni hah? Sejak bila? Ini mesti perempuan tu yang ajarkan!” keras juga Suhani melawan bicara Adam. Kali ini dirinya sudah tegak berdiri melawan baran amukan Adam yang tajam memerhatikan dirinya tanpa sedikit pun berganjak.

“Kurang ajar!” bidas Suhani lagi. Zulaikha hanya senyap, tidak berani mencampuri urusan keduanya. Manakala Sofi pula masih selamba menonton rancangan di kaca TV. Sedikit pun fokusnya tidak terganggu!

“Apa yang bising-bising ni Su?” soal satu suara dari arah luar. Serentak mereka menoleh, kelibat Mustapha sedang dilihat menapak masuk ke dalam ruang tamu. Briefcase di jinjit kemas.

“Anak awak dah pandai melawan! Degil! Ni mesti budak kampung yang belajar tak tinggi mana tu yang hasut! Ajar dia jadi kurang ajar! Awak tengoklah,” hambur Suhani marahkan Adam yang dikatakan memperlajari sikap tidak beradab itu dari Isabella.

“Cukup bu, jangan hina lagi Isabella!” pertahan Adam keras.

“Adam!” Mustapha memintas. Benar kata isterinya, Adam sudah berani meninggi suara melawan bicara.

“Ayah dah buat keputusan! Esok juga Adam akan ke Belanda! Esok! Tiada alasan dan penolakan! Keputusan ayah muktamad! Kalau Adam berdegil, janganlan salahkan ayah kalau apa-apa terjadi pada Isabella!” ugut Mustapha tahu bagaimana menangani keadaan meruncing tika itu. Isabella adalah kelemahan Adam, dan kelemahan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mematahkan kedegilan anak terunanya itu. Anak yang baru mengenal dunia cinta!

Keesokan harinya, Adam berlepas ke tanah Belanda tanpa sempat bertemu Isabella! Perginya demi menyelamatkan gadis itu, tidak mahu dan tidak tegar memperjudikan nasib Isabella ditangan kedua ibu bapanya yang langsung tiada hati perut.

Dan kehidupan mereka diteruskan secara rahsia, cinta juga air mata yang dilalui bersama hanyalah sekadar di dunia maya. Gadis itu hanya wujud tanpa suara juga tanpa bicara melainkan utusan email juga titipan kata di YM. Sungguh pahit meneruskan hubungan yang terlarang itu, namun apa lagi  pilihan yang ada buat keduanya melainkan sebuah kesabaran juga ketabahan?

Seiring masa berlalu, tiada lagi khabar berita yang diterima, Isabella diam membisu. YM tiada lagi berbicara, email juga sudah tiada mengganti diri. Adam kesepian dipalit kerinduan, namun demi sebuah kepastian jasa baik Zulaikha dipohon agar menjejak Isabella yang ditinggalkan jauh di tanah air sana.

Hati yang kuat juga mampu goyah, hati yang tenang juga mampu resah begitu jugalah keadaan hiba dan pilu tatkala perkhabaran yang diterima cukup menjadikan dirinya lemah untuk berdiri dan kalah untuk terus berjuang. Isabellah terlebih dahulu pergi membawa cinta yang tidak kesampaian. Cinta yang terlarang dan kasih yang tidak mungkin mengenal erti sebuah restu dan kebahagian namun kenangan bersama gadis itu tetap utuh tersemat disanubari. Sukar sebenarnya melupakan kepedihan itu walau kekesalan orang tua juga tidak mampu memulihkan rasa bahagia yang terusir jauh dari hati.

***

Ketukan dimuka pintu kedengaran sayup-sayup. Perlahan-lahan Adam menoleh. Seraya itu langkah kaki diatur menuju ke muka pintu dan daun pintu diregangkan. Wajah insan yang mengetuk daun pintunya terpacul!

“Adam, boleh ayah masuk?” Mustapha bersuara. Pulau Perhentian dijejaki bilamana Adam tidak terus pulang ke rumah bahkan menuju ke Pantai Timur. Tanpa suara, Adam meluaskan daun pintu! Dan dari ekor mata, kelibat ibu juga kedua orang kakak kandungnya terlihat!

Suasana hening kembali, Adam tinggalkan mereka lantas bergerak ke balkoni. Membiarkan angin bayu menyapa tubuh. Tahu akan tujuan hadirnya mereka hingga sejauh ini! Apa lagi selain memohon sebuah kemaafan!

“Adam, maafkan ibu ya nak!” patah bicara itu disambut sepi.

“Ayah tahu, ayah sedar ayah tak sepatutnya halang Adam bersama Isabella. Ayah mengaku salah dan silap ayah pada Adam dan Isabella!” luah Mustapha pula.  Kesal bila mendapat tahu Isabella terkorban setelah pulang dari pejabat pos hanya semata-mata mengirimkan baju melayu hasil jahitan tangannya sendiri kepada anak bujangnya yang jauh di seberang laut. Ketegasan dirinya yang memisahkan Adam dan Isabella menjadikan keduanya menjalani hubungan cinta secara rahsia tanpa pengetahuan sesiapa. Mengecap rasa bahagia walau dalam sembunyi dan jika diturutkan sahaja kehendak keduanya,  pasti tiada yang terkorban. Sudahnya, hati anak sendiri yang merana tiada berkesudahan!

 “Maafkan Kak Sofi ya Adam,” kali ini kakak keduanya juga turut melontar kata kemaafan. Meluahkan kesal yang beraja dihati! Adam masih membisu, keras dan dingin seperti selalu.  Untuk apa kemaafan itu? semuanya sudah berakhir, kini dirinya hidup di dalam kerinduan yang bukan sedikit. Rindukan insan yang sudah tiada! Perit dan menyakitkan!

“Adam,” seru Zulaikha pula. Tahu hati adik lelakinya hancur dan kecewa yang ditanggung amat payah untuk di lupakan sekelip mata.

“Ini pemberian Isabella, ibu dia serahkan pada Kak Zu.” Adam menoleh seketika. Kotak kayu berukiran flora itu disambut perlahan.

“Apa ni Kak Zu?” soal Adam mendatar. Suara itu jauh ke dalam sana, sebak dan lirih bersatu. Hati lelakinya tidak kuat menghadap pemberian dari Isabella sedangkan sepanjang setahun menjalani hubungan jarak jauh itu, hanya sehelai selendang sahaja yang sempat dihadiahkan. Tidak pada Isabella, gadis yang sudah tiada itu sering kali mengutuskan hadiah juga kad serta hiasan hasil buatan tangannya! Kata gadis itu, andai mereka tidak bertemu lagi... sekurnag-kurangnya ada kenangan untuk Adam mengingati dirinya nanti! dna benarlah, kenangan serta ingatan dari gadis itu membuatkan dirinya bertambah derita merindui!

“Kak Zu tak tahu, tapi ibu kepada Isabella minta Kak Zu sampaikan pada Adam.”

“Terima kasih Kak Zu.” Luah Adam membawa kotak kayu itu rapat ke tubuh. Mata pula masih menancap permukaan kayu yang terukir cantik.
“Ibu, ayah... Sofi, mari kita keluar dulu.” Pelawa Zulaikha memberi ruang untuk Adam bersendirian.




***


Assalamulaaikum......
Buat ingatan insan tersayang....
Adam....
Maafkan diri Isabella kerana pergi tanpa pesan... menghilangkan diri selama sebulan tanpa khabar berita. Ketahuilah Adam, Isabella bertabah untuk melawan kesakitan ini. Dan andai Isabella pergi dulu, pasti surat ini menjadi pengganti diri.

Adam....
Kadangkala kepahitan itu mengajar kita erti sebuah ketabahan
Kadangkala...
Kepahitan itu juga mampu meranapkan sebuah impian...
Kadangkala ..
Kepahitan itu juga bisa menggoyahkan hati dari terus bertahan..
Kadangkala
Kepahitan itu mampu menguji sejauh mana seorang hamba menerima ketentuanNya..
Kadangkala...
Kepahitan itu sukar untuk ditelan dan payah untuk diluah
Kadangkala...
Kepahitan itu datang bersama sebuah kemanisan...
Kadangkala...
Kepahitan itu seharusnya dilupakan...
Dan kadangkala..
Kepahitan itu membawa seribu penawar kedukaan...

Adam...
Isabella bukan penyajak yang bisa mengayam buih-buih ombak dijadikan puisi indah...  Isabella juga tidak mampu memetik bintang untuk dijadikan hiasan terindah...
Apa yang ada pada Isabella hanyalah sekeping hati yang luhur menyintai Adam sepenuh hati... dan jangan kerana Isabella...  Adam derhakai ibu bapa Adam..... cinta Isabella cinta yang menanti sebuah restu.. jika restu itu jauh dari kita... jangan sesekali palingkan wajah dari ibu bapa Adam..... mereka tetap ibu bapa Adam walau beribu kali Adam menafikan.
Adam...
Apa yang lahir dari hati Isabella hanyalah sebuah ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana Adam sudi bersama Isabella walaupun hanya untuk seketika... mengenali Adam membawa Isabella mengenal erti sebuah ketabahan dan kesabaran. Sungguh di hati ini, tiada sekelumit perasaan marah dan dendam pada keluarga Adam. Harapan Isabella, Adam dapat memaafkan mereka dan kembali bersatu seperti sebelum Adam mengenali Isabella. Anggaplah Isabella hanya sepotong mimpi yang kini sudah tiada lagi. Binalah kehidupan baru dan sayangilah insan-insan yang menyayangi Adam sepenuh hati.
Akhir kata... salam permisi... doakan Isabella jauh di sana....
Salam sayang dari Isabella...



*******


“Adam maafkan semua... walau sebanyak mana Adam membenci... sejauh mana Adam larikan diri, kecewa dan terkilan tak mungkin lenyap dari hati Adam.... Isabella tak mungkin kembali lagi. Tak mungkin! Dan Adam sudah kehilangan Isabella selama-lamanya! Untuk apa lagi Adam membenci, hanya menambah kesakitan pada hati Adam! Maafkan mereka Adam! Maafkan ibu bapa kita! Maafkan mereka!” luah Zulaikha memujuk hati pemuda yang direnggut kebahagiaannya dahulu.

“Hati Adam sakit kak! Hati Adam ni hancur  dan hati Adam ni luka tak mungkin sembuh lagi.” luah Adam sebak. Sukar sekali menahan rasa bila bicara tentang sebaris nama itu meniti di bibir.

“Adam... terimalah ketentuan Ilahi. Jodoh Adam dengan Isabella tiada, terimalah dik!” pujukan dilontar lembut. Pasti Adam sukar untuk menerima kepergian kekasih hati lambat diketahui. Sebulan berlalu barulah Adam mendapat tahu Isabella telah bersemadi buat selama-lamanya. Meninggalkan dirinya hidup di dalam kenangan yang pernah dicipta bersama.

“Maafkan mereka ya Adam. Itu permintaan terakhir Isabella! Kalau Adam sayangkan Isabella, turutlah kehendakknya dan sedekahkan doa untuk arwah. Insyallah rasa sarat rindu dan pedih di hati Adam akan terubat sedikit demi sedikit. Cuba ya dik!” Zulaikha enggan putus asa dalam memujuk Adam. Keras sungguh hati Adam namun keras itu bisa dicairkan jika kena pada tempatnya.

“Adam rindukan Isabella,” sebaris ayat diluah penuh lirih. Ada getar dihujung suara Adam dan ketika ini Zulaikha tahu Adam benar-benar diuji dan teruji. Ketika ini Zulaikah hanya mampu melihat, Adam meraup wajahnya lama, menangsikan adik lelakinya itu?

“Adam... jangan macam ni dik!” pujuk Zulaikha berusaha mengusir kesedihan hati Adam.

“Adam tak minta apa, cukuplah sekali Adam bertemu dengan Isabella walau dalam mimpi sekalipun asalkan terubat rindu Adam pada dia kak!” luah Adam bersulam getar pada nada suaranya.

“Berdoalah Adam, semoga Allah perkenankan permintaan Adam.” Itu sahaja yang mampu difikirkan oleh Zulaikha. Untuk menyeru Isabella hadir, itu mustahil kerana gadis ayu itu sudah bersemadi tenang di alam sana. Hanya doa tanda ingatan tulus ikhlas yang mampu dihadiahkan kepada gadis itu. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah!

“Adam... Kak Zu keluar dulu ya.” Gumam Zulaikha memberi ruang untuk Adam bersendirian.

Mengenangkan kesedihan itu masih terasa hingga ke saat ini, Adam membawa diri menuju ke bilik air. Wudhuk disempurnakan, solat sunat perlu didirikan agar permintaanya untuk memperoleh ketenangan hati diperkenankan oleh yang Maha Esa.

Doa dititipkan dan amarah yang bersisa pada ibu dan bapanya dilupakan, sudah tiba masanya mereka semua kembali bersatu dan kedukaan itu diusir jauh. Sudah tiba masanya untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih bahagia selepas ini. Tidak adil untul membebani takdir yang tersurat pada bahu kedua ibu bapanya lagi.

***

Bilik kedua ibu bapanya dikunjungi, dan kali ini tekad dan azam sudah dipateri ke dalam hati. Tiada lagi dendam, amarah mahupun kesal yang bersisa. Kemaafan dendam yang terindah! Dan kemaafan juga akan meleraikan segala keksusutan yang terjadi hampir dua tahun ini.

“Ibu... ayah, maafkan Adam! Maafkan dosa Adam!” luah Adam menyalami keduanya. Kesal kerana pernah meletakkan keduanya jauh dari hati sendiri.

“Ibu dan ayah juga mohon maaf pada Adam. Maafkan kami!” luah Suhani bersyukur akhirnya Adam terbuka hati memaafkan kesilapan lampaunya.

Sedang mereka meluahkan kesal yang bertamu di hati, loceng di pintu kedengaran. Serentak pandangan dikalih ke muka pintu.

“Adam, tengoklah.... ayah rasa makanan yang ayah tempah tadi dah siap. Bukakan pintu,” pinta Mustapha sedang bersantai di kerusi urut.

“Sekejap,” sahut Adam bila loceng kedenagaran buat kali kedua. Daun pintu dihampiri dan tombol disentuh sebelum diluaskan.


“Good afternoon, your order sir!” tutur gadis hotel bersih dalam persalinan putih.

“Isabella!” sepatah nama itu terpacul keluar saat wajah itu menyapa pandangan matanya. Serentak itu juga Mustapha dan Suhani mendekati.

“Isabella?” kedua-duanya turut melontarkan sebaris nama itu dan kerutan di dahi gadis hotel itu semakin bertambah jelas.

“Sorry.... my name is Nabila. Not Isabella!” tuturnya lemah lembut. Adam terkesima, Mustapha keliru manakala Suhani tergamam. Wajah persis gadis yang pernah dicintai oleh anaknya dahulu. Sedikit pun tidak berubah melainkan ketinggiannya sahaja yang berbeza.

Adam terdiam, doanya termakbul. Walau bukan Isabella namun wajah itu seiras dan persis kepunyaan gadis yang suatu ketika dahulu pernah dicintai.
“Isabella? It is right?”

“No! My name is Nabila. Nabila Ahmad.” Ucap gadis itu menafikan. Dan tahulan Adam, gadis dihadapannya ini insan seiras wajah namun berbeza identiti dan latar belakang. Juga tiada kaitan dengan kekasihnya yang telah pergi dahulu!




p/s: semoga terhibur hendaknya ya.... :)

11 comments:

  1. Cite yg best.....mungkin ibubapa dan sofi ingat...kubur drg nnt akan berlapik dan ditibus dgn harta drgkan...sombong nak mampus......nasi yg drg makan pun petani juga yg tanam. Ngok ngek btl...upss teremosi pulak hehehe

    ReplyDelete
  2. cinta yg tk kesampaian dek perbezaan taraf!kaya miskin tetap hamba disisi ALLAH SWT.so pikir lh sndri ape pun asal n keturunan kamu bile ajal di jemput dn sampai ke liang lahad kite ttp sama bile disisi nye.ape beza nye bila dikafan kn ngan kain putih gak!so usah ikut sngt nafsu sombong tu,hingga melibat kn jiwa ank sndri merana!huh..mmg tk bleh blah kalu mak bapak masih nk jg taraf keturunan bile nk carik menantu..hehe emo dek aulia........

    ReplyDelete
  3. salam dik..

    Sebuah cerpen yg mencuit hati kita..keinginan seorg anak terhadap cinta yg didambakan pada seorg gadis yg berlainan latarbelakang dan pencapaian akademik ditentang oleh ibu ayah dan salah seorg kakaknya yg menyebabkan sianak kehilangan gadis yg dicintai kerana kemalangan jalanraya . Betapa hati anak itu begitu tegar membelakangkan kedua ibubapa nya kerana rasa marah dan terkilan kerana tidak dapat memilikki sekeping hati itu walaupun ibu bapanya kini sedar dan insaf akan kesalahan diri mereka.
    .akhirnya sepucuk surat dari arwah kekasihnya dan kakaknya telah membuka hati dan menyedarkan dirinya betapa selama ini dia telah menyakitkan hati kedua ibubapanya dengan perilakunya..dan memohon kemaafan dari kesilapan yg telah dia lakukan kerana perilakunya membuat kedua ibubapanya tersinggung.
    Akhirnya kemungkinan dia menemui cinta sejatinya walaupun sigadis yg bernama bella tetapi Nabila..

    ReplyDelete
  4. kau buat aku menangis! sedey cerita awak! tapi best! ada pengjaran!

    ReplyDelete
  5. same goes with me... serupa dan sama seperti kisah aku lima tahun lepas... sampai hari ni rasa sakit hati dan terkilan . susah utk memaafkan! tapi aku maafkan jugak sebab mereka mak bapak aku. yes! turutkan kehendak ibu bapa, yes mereka berjaya menjadikan aku insan berkaliber n bkerjya! but mereka dah bunuh hati aku. cinta aku! now, pintu hati aku tertutup. tak mungkin terbuka lagi! dia dah pergi. semoga dia tenang di sana. dan aku tetap cinta dia sampai mati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sabar ye awak! mungkin tiada jodoh! bukalah hati terima insan lain yg mungkin sdg menunggu awak! btw awak ni betul ke wujud? ingatkan kisah dongeng! boleh berkenalan ;p huhuhu sorry ye awak! sya bergurau semata2.... ;-D

      Delete
    2. sempat lagi cik anon yea..hehe
      en putra saya tumpang simpati..
      semoga dia aman disana.. amin

      Delete
  6. haha... ada yg terkena ya.. maaf ye! cerita ni hanya rekaan berdasarkan realiti semasa. masih ada, dan masih terjadi. btw tq reading n leave your komen. semoga terhibur ye. xmow sedih k :)

    ReplyDelete
  7. nangis sye kak.best gilerr. good job :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. jangan lupa baca cerpen curang... harap anda akan rasa sedih2 lagi hihi :)

      Delete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.