Friday, 20 September 2013

PENILAI CINTA ( Sambungan)



Melihat ketegangan di raut wajah suaminya, Nazira mengambil keputusan untuk meredakan amarah itu. Dia harus ringan tulang dan membantu. Perlahan-lahan dia merangkak mendekati suami yang sedang fokus melipat kain.

“Ira tolong iya,” tawarnya seraya mengambil sehelai t-shirt di dalam bakul yang masih penuh dengan pakaian.
Amer Safuan senyap! Diam tanpa bicara! Namun anak matanya mencuri-curi pandang ke arah isteri yang tidak tahu mengerjakan kerja-kerja rumah. Hingga pakaian juga terpaksa dia yang cuci dan jemur. Dan kini dia sedang melipatnya pula. Nazira pula hanya memerhati, dan kini sedang cuba mendekati dirinya. Mahu memujuklah tu! Terbaik sangat!
“Saf...” Nada itu lembut. Namun dia belum lagi tergoda! Dari ekor mata, dia melihat isterinya sedang menarik sehelai baju di dalam bakul pakaian.
“Saf, nak lipat ni macam mana eh? Kanan ke kiri.. atau kiri ke kanan?” Nazira cuba memancing bicaranya dia yang masih lagi teruna. Bicara manusia yang tiba-tiba sahaja terpaksa berkahwin demi kerana memenuhi permintaan kedua orang tua wanita itu. Wanita yang kini adalah isterinya yang sah! Isteri yang tua bertahun-tahun darinya.
“Saf...” Sekali lagi namanya diseru dan dia masih lagi ligat melipat pakaian.  Enggan menghiraukan! “Saf, dengar tak Ira panggil saf ni?” Suara itu kedengaran merungut namun dihujung bicara itu, ada senyuman yang cuba diukir mesra.
Wajah dipanggung lalu raut berkerut isterinya direnung sekali lalu. Sesudah itu dia tertunduk, kembali menyambung kerja-kerja melipat lalu menghambur bicaranya. “Saf dengar... Ira nak apa?” Hendak tak hendak sahaja dia melayan.
“Ira tak tahu,” dengan jujur pengakuan itu dilafazkan. “Ira minta maaf,” dia bimbang suatu hari nanti suaminya mengubah angin lalu mencari perempuan muda untuk dijadikan isteri. Apatah lagi, dia sudah berusia tetapi tidak pernah menguruskan hal-hal rumah tanggnya. Ada dapur yang cantik, itu hanyalah hiasan semata-mata. Dan apabila Amer Safuan muncul, lelaki itu yang pertama kali merasmikan kabinet yang bersinar itu.
“Saf... marah lagi ke?” Nazira menyoal. Wajah tegang suaminya direnung tanpa berkelip.
“Saf dah penat! Tak larat nak buat kerja rumah, tapi kalau hari-hari macam ni, Saf takut Saf tak sanggup nak hadap.” Gumamnya perlahan dan Nazira terus sahaja mengetap bibir. Ah, segala firasatnya adalah benar!
“Lepas ni, Ira minta tolong Kak Surti kemaskan rumah.” Dia mencadangakan agar orang gaji di rumah mamanya dipinjamkan seketika.
“Jangan harapkan maid mama untuk kemas rumah kira,” hambur Amer Safuan menolak cadangan isterinya. Wajah sedari tadi lagi ditundukkan! Enggan melihat raut isteri yang cuba meraih simpati darinya.
“Ira tak biasa, lagi pun 33 tahun Ira hidup, orang gaji yang uruskan. Jadi, susah Ira nak mulakan sendiri.” Ajunya memohon simpati.
“Kalau Ira malas, terpulang! Saf malas nak tegur Ira lagi, lagi pun Ira dah besar panjang! Boleh beza mana yang baik dan mana yang buruk!” Dalam dia bersuara, tangan masih ligat melipat pakaian. Dan sebaik tangan menyentuh pakaian dalam isterinya,  Amer Safuan terdiam seketika.
“Tengok ni.... yang ni pun Saf kena bersihkan! Kena jemur dan kena lipat.” Dia bersuara tanpa mengalih pandangan ke atas ‘cermin mata’ bewarna merah jambu! Dan kerana rasa segan dan malu, lekas-lekas Nazira merampas. Dan Amer Safuan terus sahaja mengeluh perlahan. Tangan yang ligat bergerak, turut terhenti lalu raut isterinya ditatap dalam-dalam.
“Sampai bila Ira nak macam ni,” soal Amer Safuan lagi. Tidak  membahasakan dirinya ‘orang’ lantaran rasa amarah itu sudah berlalu pergi.
Kerana sedar akan khilafnya, Amira Nazira segera memohon maaf. “Ira minta maaf!”
“Hurmm.” Amer Safuan menyahut tanpa suara, terpaksa rela memberi maaf kepada isteri yang sebegini.
“Saf dah lipat, sekarang Ira pergi angkut dan susun dalam almari. Kemas elok-elok! Saf tak nak rumah kita bersepah, macam tongkang pecah.” Arah Amer Safuan lagi. Sejurus itu dia bangkit ke sofa dan alat kawalan jauh digapai. “Yelah, Ira pergi sekarang!” Amira Nazira juga bangkit lalu melangkah ke kamar bersama baju yang sudah berlipat. Sejurus selesai meletakkan pakaian tersebut, dia berura-ura mahu bersama suaminya. Dia mahu berbual dan berbicara seperti selalu. Seperti dulu-dulu!
“Saf tengok cerita apa?” Dalam keasyikan lelaki itu menonton rancangan TV, dia datang mendekati lalu melabuhkan duduk di lantai, manakala lelaki berusia 23 tahun itu pula sedang berbaring di sofa.
“Perang!” Tidak mahu diganggu, Amer Safuan menyahut ringkas.
“Saf,” Nazira bersuara sambil mengesot mendekati sofa yang dihuni suaminya. Sejurus itu lengan Amer Safuan digapai lalu disangkutkan ke bahunya.
“Saf....” Serunya bersama nada lunak. Ada sesuatu yang membuatkan dia bertukar sebegini.
“Hermm?” Malas-malas Amer Safuan menyahut. Mata masih menancap kaca TV.
“Malam ni Ira tidur dengan Saf ya,” pintanya sambil menahan perasaan malu. Amer Safuan yang pada mulanya acuh tak acuh, kini sudah terkedu dek permintaan isteri yang kedengaran aneh. Hesyy betul ke apa yang dia dengar? Arghh tak sanggup!
“Tak boleh, Saf nak bangun awal. Nanti Ira kacau Saf lagi,” dengan pantas dia menolak.
“Ala.. please...”  rengek Amira Nazira sudah mulai kedengaran. Gedik bunyinya menampar gegendang telinga Amer Safuan.
“Tak boleh,”  Amer Safuan leretkan nada suaranya. Berharap isterinya memahami.
“Kenapa?”
“Kan Saf dah beritahu tadi.” Amer Safuan malas mengulangi bicaranya.
“Ala.. Saf sebenarnya gay kan?” Tanpa diduga, perkataan itu terpacul keluar. Amira Nazria tekup mulut dan raut Amer Safuan diperhatikan lambat-lambat. Lelaki itu berkerut!
“Gay???”
“Err ha.. Saf gay! Betulkan?” Ulangnya perlahan namun ada tegasnya.
“Mana Ira dengar gosip tak berasas ni?” Sambil melayani bicara isterinya, Amer Safuan masih tekun menghadap kaca TV. Filem aksi Transformer yang diulang tayang, ditonton penuh khusuk. Sesekali dia hela nafas, terasa berat dadanya bila tuduhan serupa itu dilemparkan. Namun apabila sedar ianya mungkin satu kesilapan yang tidak disengajakan, rasa yang tidak senang itu segera dilontar ketepi.
“Ira agak je..” Tanpa mengangkat wajah, Nazira menyahut perlahan.
“Ira...” Kali ini suara sudah dileretkan. Dari berbaring, dia turut bangkit dan duduk memandang ke arah isterinya yang masih lagi bersimpuh di atas lantai berdekatan sofa yang dihuni. Dia mahu menyatakan sesuatu!
“Jangan mudah sangka yang bukan-bukan.. Saf bukan macam yang Ira fikirkan. Saf ni lelaki normal, ada kehendak dan  ada perasaan. Cuma Saf belum bersedia lagi, Saf rasa Saf terlalu muda untuk berkahwin.” Hamburnya perlahan, namun mengejutkan Nazira yang sedari tadi tunduk menekur lantai.
“Habis tu, kenapa dulu Saf kahwin dengan Ira? Kenapa?” Nazira rasa tercabar. Rupa-rupanya, Amer Safuan masih belum bersedia untuk berumah tangga. Hessy.. sah dia perigi kejar timba!
“Sebab papa Ira minta Saf terima Ira. Lagi pun papa risau Ira jadi anak dara tua. Maklumlah, umur dah 33, tapi calon suami tak ada! Sudahnya, Saf jadi mangsa! Huh kes naya!” Amer Safuan geleng kepala. Seolah-olah dia kesal yang amat sangat! Mahu mengusik! Namun dia sedar, pasti isterinya berkecil hati! Lihat sahaja  raut yang sudah bertukar cemberut itu, dia pasti Amira Nazira sedang dihambat kecewa.
“Fine,” isterinya menyahut lantas bangkit dan terus sahaja berlalu ke dalam  bilik.
“Eh.. Eh.. nak kemana pulak tu Puan Amira Nazira?” Amer Safuan bangkit berdiri, lalu menyeluk tangan ke dalam poket. Tubuh gebu isterinya dikerling dari ekor mata. Tak kurus tapi menyiurkan, tak gemuk tapi montok! Dia pula? Kurus melidi! Alahai saiz badan, standard budak lepas SPM! Bila berjalan dengan si Isteri, pasti ada yang menyangka dia berjalan dengan kakak kandungnya. Oh kesian! Dia tidak mahu isterinya dipersenda!
“Ira nak tidur!” Tanpa berselindung isterinya menyahut acuh tak acuh.
“Ehem.. tapi tu bilik Saf!” Sekali lagi dia senyum mengusik lalu melempar pandangan ke arah luar. Pintu lungsur yang tidak berkunci di renung sekilas.
“Bilik Saf ke... bilik Ira ke... sama aje! Kita dah sah, kalau Ira tidur dengan Saf, bukannya berdosa pun.” Wanita itu menjawab hambar.
“Ala.. Tapi Saf tak selesa tidur dengan Ira. Katil Saf kecik aje! Mana muat,” dia hambur alasan dan dengan segera isterinya menoleh. Berkira-kira mahu berbalas hujah!
“So Amer Safuan nak kata yang Amira Nazira ni gemuk ya?” Tebaknya bersama bibir yang diketap rapat.
“Eh, mana ada! Saf kata.. katil Saf kecik! Mana muat kita tidur sama-sama.” Ajunya perlahan.
“Tapi...” Suara itu bertukar syahdu. Perlahan-lahan Amer Safuan melihat isterinya datang mendekati. Wajah itu berubah sayu dan sekian kalinya cuba meraih sisa simpati yang ada di dalam dirinya. Wajah kembali ditundukkan dan nafas dihela lagi. Lantas anak mata dihala ke arah raut wajah itu, dia mahu Amira Nazira meneruskan bicara.
“Tapi apa?” Untuk menutup hening bicara diperdengarkan. Kening sudah terjungkit tinggi, dan dia sudah sedikit tertunduk cuba mengintai raut isterinya yang masih lagi tertunduk.
“Tapi.. Ira nak tidur dengan Saf. Saf kan hubby Ira.. takkan tak boleh tidur sama-sama?” Amira Nazira meminta. Dan kerana permintaan luar biasa itu, dia kembali termangu.
“Boleh ya Saf.. Ira nak tidur dengan Saf.” Pinta Nazira  sambil mengelus lengan dia yang sudah sejuk-sejuk dingin.
“Saaaff...” Suara itu sudah bertukar lunak. Panjang pula bila namanya yang seketul itu disebut oleh isterinya. Kerana dia diam membisu, wanita itu mendongak memerhatikan raut wajahnya.
“Oh a’ha... Ira nak apa?” Dia gugup seketika.
“Ira nak tidur dengan Saf!” Ujarnya perlahan namun ada nada manja yang terselit. Isterinya mahu menggoda dan digoda  namun dia tidak rela digoda seawal ini. Dia mahu fokus pada kerjaya dan membina nama terlebih dahulu.
Dan dia harus berterus terang, kemana hala tujunya pada esok hari. “Tak boleh Ira... esok Saf nak bangun pagi! Nak ke airport!?”
“Airport?” Hampir terjerit isterinya seketika tadi.
“Ha.. airport!” Apa ke peliknya airport? Hessy...!
“Buat apa kat sana? Tak boleh.. Ira tak mahu pramugara yang gay tu dekat-dekat dengan Saf.” Amer Safuan terpempam dan Amira Nazira pula sudah tayang muncung itik saiz 1 inci.
“Mana ada gay? Hessy... mengarut! Lagi pun, bila pula Saf nak mengurat gay-gay tu? Saf ke sana nak pergi Dubai. Ada date!” Ujarnya bersahaja dan sekali lagi isterinya terjerit.
“Dengan siapa pulak?” Soalnya tidak puas hati.
“Dengan business partner la sayang!” Dia masih tidak puas mengusik dan akhirnya meleraikan pegangan tangan isterinya lantas berlalu ke pintu lungsur. Mahu dikunci sebelum dia bergegas ke bilik tidur.
“Habis tu, Ira macam mana?” Dia menyoal tidak puas hati.
“Ira duduk rumah.. jaga diri jaga badan! Saf nak kerja, semua ni untuk masa hadapan kerjaya Saf. Ira takpelah, anak orang kaya! Saf ni, anak ketua kampung aje! Ada harta pun, Saf tak dapat nak waris. Sudahnya, Saf kenalah cari sendiri! Iya kan ?” Dia jungkit kening sambil pamer senyuman mesra.
“Tapikan Saf.. buat apa Saf nak kerja susah-susah! Ira kan ada, Ira boleh tanggung Saf.” Aju wanita itu segera merapati suaminya. Tubuh itu dipeluk dari belakang. Untuk menolak dia tidak sampai hati, untuk membiarkan, dia yang tidak keruan. Perlahan-lahan pelukan isterinya direnggangkan dan tubuh dipusing menghadap batang tubuh isterinya.
“Ira.. Saf kahwin dengan Ira bukan sebab harta!” Luahnya menyusun bicara.
“Habis tu sebab apa?” Soalan berbalas.
“Sebab Ira dah hampir expired... jadi Saf amik Ira sebagai wife Saf dan tinggal dengan Saf. Saf akan tanggung Ira, bagi duit untuk Ira shopping, bagi kereta untuk Ira merayap, bagi rumah untuk Ira selerakkan. Semua tu tanggungjawab Saf..  Ira tak perlu galas tanggungjawab yang bukan diwajibkan ke atas Ira. Semua tu Saf yang kena sediakan!
“Tapi Saf..” Isterinya masih mahu membangkang!
“Tak ada tapi.. tapi... Saf akan pergi ke sana dua bulan!”
“Dua bulan! Mak aih... lamanya! Kerja ke kahwin ke?” Amira Nazira mula curiga.
“Mana ada gay kahwin!” Dia mengusik.
“Jangan Saf.. dekat sana tu bersepah tau manusia kahwin sesama jantina!” Isterinya sudah berfikir jauh sampai ke Amerika, sedangkan dia hanya mahu ke Dubai. Mengikuti kursus, Real Estate untuk mendapatkan kemahiran dalam sektor hartanah sekaligus berpeluang membina kerjaya dimana sahaja dia mahukan. Dia mahu memiliki gelaran SR, surveyor! Sepertimana engineer mendapat gelaran IR, dan seperti mana seorang doktor mendapat gelaran DR.
“Hesyy.. Saf bergurau ajelah! Sudah, pergi tidur dulu... Saf nak tidur ni. Ira pergi bilik, tidur sampai subuh, dan esok tolong hantar Saf ke airport.” Ajunya bersama senyuman.
“Tak nak....!” Entah mengapa Amer Safuan mula tersedar isterinya sudah pandai membentak sambil menghentak kaki. Ni 33 tahun atau 3 tahun? Dia confiused!
“Amira Nazira... jangan degil!” Luahnya perlahan.
“Nak ikut...” Ucapnya memohon.
“Ira kan kerja? Mana boleh ikut!” Dia terpaksa menolak.
“Ala... nak ikut jugak! Ira sanggup berhenti kerja!” Keputusan segera dibuat.
“Ira.... jangan macam ni! Saf pergi sekejap je, dua bulan! Lagi pun papa Ira yang hantar Saf. Ira kenalah reda,” mohonnya bersama pandangan mengharap.
“Tak nak... Ira tak mahu jauh dengan Saf.” Luahnya mula hendak menangis. Tiba-tiba sahaja air mata bergenang! Hisssss.....
“Shhhh.... Ira jangan menangis macam ni. Saf nak kerja, demi masa depan kita!” Lantas tubuh isterinya dihampiri dan belakang kepalanya diusap perlahan.
“Saf pergi sekejap aje! Bukan lama pun,” dia senyum cuba meredakan gundah di hati isterinya. Sejurus itu tangan dijatuhkan dan wajah itu direnung lagi.
“Betul?” Dia cuba menyoal.
“Insyallah!”
“Janji tak curang?”
“Insyallah!”
“Janji tak kahwin lain?”
“Insyallah!”
“Tengok tu... Insyallah aje. Cubalah cakap betul-betul! Janji dengan Ira,” isterinya cuba meminta sesuatu yang dia tidak pasti.
“Ira.. dengar sini ya.” Dia berbicara lalu terdiam seketika sebelum kembali menyusun bicara.
“Jodoh, ajal, maut, rezeki kita tak tahu dimana bermula dan berakhirnya. Tentang jodoh, Saf tak tahu siapa jodoh Saf hingga Saf bertemu Ira. Tentang jodoh kedua dan seterusnya, itu pun Saf tak tahu. Andai suatu hari, tertulis takdir Saf untuk berkahwin lain. Apa tindakan Ira?” Dia cuba menyelami hati isterinya.
“Ira akan bunuh Saf!” Itu jawapan mudah seorang wanita berpaksikan emosi.
“Ajal Saf bukan ditangan Ira. Walau berkali Ira mahu bunuh Saf, walau berkali Ira cuba memaksa roh Saf meninggalkan jasad sendiri, namun andai malaikat maut belum ditugaskan mencabut nyawa Saf... bermakna Saf takkan mati. Dan kalau jodoh Saf tertulis dengan orang lain, Ira ada dua pilihan sama ada Ira redha atau Ira mengalah! Hanya itu sahaja pilihan yang ada! Ira pilih mana?” Soalnya perlahan.
“Kalau Ira sayangkan Saf.. Ira terpaksa redha! Kalau Ira kecewa dan bencikan Saf... Ira akan tinggalkan Saf.” Ucapnya lantas menjarakkan diri dan terus sahaja berpusing lalu meninggalkan ruang tamu yang sedikit hangat dengan topik paling panas di hati seorang wanita.
Dan kerana respon isterinya, Amer Safuan menghela nafas sambil menggeleng perlahan. Tidak sangka, dari Dubai mereka berlari ke topik perkahwinan! Topik paling sensitif di hati di dalam diri setiap wanita! Dan kerana wanita itu adalah isterinya, sesungguhnya dia tidak tergamak untuk melukakan!









2 comments:

  1. perangai ke semengah dua dua neh

    >><<

    ReplyDelete
  2. jauh benor beza umo dorang b2 tu ya.
    but its fun to read. lain dari yg sebelum ni.

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.