Thursday, 22 May 2014

ARA & MR. PERFECT CHAPTER 6-7 (KOMPILASI JEJAKA PILIHAN HATI)


BAB 6
“Tolong jangan batalkan majlis Ara.”


“Ara!”
Satu suara mengejutkan aku, perlahan-lahan aku angkat wajah mencari pemilik suara yang menyapa diriku sebentar tadi.



Abang Naqi diseberang sana. Sedang berkira-kira melintasi jalan yang tidak begitu sibuk. Aku perhatikan keadaan dirinya. Masih lengkap dengan kemeja. Pasti baru pulang dari hospital tempat dia bekerja.

“Ara! Kenapa ni?” dia menyoal sebaik sahaja tiba dihadapanku. Aku diam lagi, otak dan mindaku bagaikan kosong. Aku tiada jawapan! Aku tak tahu jawapan apakah yang harus aku beri kepadanya.

“Dah macam orang tak betul ni apahal? Jalan kaki sorang-sorang, dengan rambut serabai? Ni keluar dengan siapa? Dengan Afif? Hah, dia kemana?” Abang Naqi menyoal sambil memerhati kawasan sekitar. Mencari Afif barangkali!

“Ara, abang tanya Ara ni!? Tak boleh jawab?” Abang Naqi sudah naik darah dengan kebisuan yang aku pamerkan.

Aku masih lagi berdiam diri, namun pandangan ini sudah berkaca-kaca. Bagaimana harus aku meluahkan segala-galanya. Tentang Afif yang memukul diriku, tentang dia yang mengeheret aku keluar dari kereta, dan tentang dia yang tergamak meninggalkan aku keseorangan di sini. Bagaimana? Jika aku berterus terang, pasti Abang Naqi akan membenci lelaki yang paling aku sayang. Aku tak sanggup bercakap sesuatu yang buruk tentang Afif.

“Ara, abang tanya ni. Ara buat apa dekat sini? Dengan siapa? Apasal jalan kaki? Kereta mana?” soal Abang Naqi bertubi-tubi.

“Ara...” aku angkat wajah dan memandang dirinya. Tiada kata mampu ku luahkan selain menghambur tangis di hadapannya.

“Kenapa ni?” suara Abang Naqi berubah nada. Perlahan dan lembut diperdengarkan. Rambut yang menutupi sebahagian wajahku diselak ke belakang. Tidak semena-mena, dia tersentak. Raut yang biasa-biasa bertukar tegang!

“Ni yang berdarah bagai, ni kenapa?” sekali lagi nada Abang Naqi berubah tinggi. Aku tahu dia terkejut melihat bibirku pecah dan bertukar kebiru-biruan.

“Siapa yang pukul? Cakap, biar abang ajar dia cuku-cukup!” Abang Naqi membentak. Dan aku pula terus sahaja dihambat perasaan hiba apabila abang yang selama ini menjadi pelindung bertindak membela aku yang teraniaya.

“Jawab Ara... siapa yang pukul? Afif?” dia menebak. Aku diam namun esakanku terlebih dahulu memberi respon. Dengan lambat-lambat, aku mengangguk beberapa kali.

“Tak guna punya Afif! Melampau!”
Abang Naqi sudah naik angin, lantas lenganku ditarik mengekori langkahnya menuju ke kereta yang diletakkan di seberang jalan sana. Sejurus aku dan dirinya masuk ke dalam perut kereta, enjin terus sahaja dihidupkan dan pedal minyak ditekan semahu-mahunya. Memecut laju menuju ke rumah orang tua kami.
Setibanya di rumah, abang Naqi terus sahaja memanggil mama dan papa turun ke tingkat bawah.
Menghambur segala rasa yang bermain di fikirannya.

 “Ada apa ni Naqi terjerit-jerit dari tadi?” soal papa sebaik sahaja melabuhkan punggung di sofa.

“Macam ni punya teruk Ara dikerjakan, papa masih setuju Afif jadi menantu papa?” Abang Naqi menyoal tanpa sempat membalas bicara papa.

“Mama... Naqi nak cakap sesuatu!” kali ini dia menoleh ke arah mama yang baru tiba ke ruang tamu.

“Ada apa ni Naqi?” mama juga menyoal hairan.
Abang Naqi mendengus lalu memerhatikan diriku seketika. Sejurus itu, dia menoleh ke arah mama dan papa. Bersedia untuk menceritakan perkara yang berlaku ketika dia bertemu dengan diriku di tepi jalan sebentar tadi.

“Bakal menantu papa mama tinggalkan Ara dekat tepi jalan! Tak cukup dengan tu, dia pukul Ara!” ucap Abang Naqi seraya mendengus tidak senang.

“Pukul Ara?” mama dan papa menyahut serentak. Beberapa saat kemudian, mama sudah mendekati aku lalu menyelak rambut yang menutupi wajah ini.  Pipiku diapit dengan kedua tapak tangannya lalu kesan lebam dipinggir bibir ini disentuh perlahan.

“Mama tengok sendiri apa yang Afif dah buat pada Ara! Kita batalkan majlis ni, dan Naqi tak setuju dengan keputusan mama dan papa untuk satukan Ara dengan Afif. Dari dulu lagi Naqi tak pernah setuju!” Abang Naqi menghambur sesuatu yang tidak pernah ku ketahui. Ternyata Abang Naqi tidak berkenan dengan lelaki yang menjadi pilihan hatiku.

“Kita batalkan saja majlis ni!” tokoknya tidak lama kemudian. Aku yang mendengar terus sahaja
menghambur tangis, aku tak mahu majlis yang dirancang bertukar sebegini. Aku mahu berkahwin dengan Afif bukan dengan orang lain.

“Ara nak kahwin dengan Afif, tolong jangan batalkan majlis ni.” gumamku bersama esakan kecil.

“Jangan jadi bodoh Ara, sebelum kahwin pun sudah dipukul. Lepas kahwin nanti, tak tahulah apa lagi yang dia sanggup buat!” Bidas Abang Naqi marahkan tindakan Afif. Aku tak salahkan Afif dan aku tahu dia bertindak sebegitu kerana kecewa dengan perbuatan aku yang agak melampau.

“Mama... Ara nak kahwin dengan Afif. Tolong jangan batalkan majlis Ara.” Aku merayu dan mama mengangguk mengiyakan.

“Mama... Naqi tak-kan benarkan majlis ni berlangsung! Naqi tak setuju!” abang Naqi tetap dengan keputusannya.

“Naqi!” papa menegur Abang Naqi yang tadi membentak. Aku lihat, Abang Naqi yang sedang bercekak pinggang segera membuang pandang ke arah lain. Riak wajahnya tegang.

“Esok papa nak berjumpa dengan keluarga Afif! Kita berbincang!” tekan papa tidak ku ketahui maksud disebaliknya.

“Untuk apa lagi papa? Terang-terang si Afif tu pukul Ara? Nak berbincang apa lagi?”
Abang Naqi tetap tidak setuju.

“Naqi, kita orang melayu yang ada adab dan sopan santun. Kalau ada cara yang lebih baik, kita gunakan cara tu. Yang penting, jangan ikut emosi dan perasaan. Nanti, kita juga yang rugi.” Tukas papa mendatar nada suaranya.

“Tapi papa...” belum sempat Abang Naqi menghabiskan bicaranya, telefon rumah berdering. Aku yang berada di sebelah meja yang menempatkan telefon segera menjawab.

“Hello.” Ucapku bersama nada serak.

“Ara, I ni Afif!” individu disebelah sana memperkenalkan diri.

“Afif!” perkataan itu meluncur laju di kedua ulas bibirku. Abang Naqi yang mendengar segera menoleh dan aku lihat dia segera menapak mendekati. Seolah-olah mahu bercakap dengan Afif.

“Naqi.. biarkan dulu!”
Papa menegur perbuatannya, memberi ruang kepada aku berbicara dengan Afif. Aku pula kembali memberi fokus terhadap panggilan yang diterima dari Afif.

“Ara.. I’m so sorry. I ikut perasaan.” Tukasnya jauh disebelah sana.
Aku kesat air mata, aku yakin tindakan Afif seketika tadi hanyalah kerana dorongan emosi yang tidak terkawal. Aku tahu Afif tidak tergamak memukul aku jika aku tidak dahulu memulakan provokasi terhadap dirinya.

“Afif.. I pun minta maaf pada you.” ucapku dalam esakan. Mama yang berada dekat di sisiku bergerak sedikit menjauh, memberi peluang kepada aku berbicara dengan Afif. Mama benar-benar faham dengan privasi yang aku mahukan.

“Lagi dua minggu kita kahwin. Tailor suruh kita datang ke butik untuk fitting. Esok you free tak?” soalku sambil mengesat air mata dengan belakang tapak tangan.

“Ara...” suara Afif kedengaran lemah.

“Afif.. Esok kita pergi ya, tadi tak sempatkan?” ucapku lagi. Semakin lama semakin sebak.

“Ara.. I call hanya untuk minta maaf. Bukan untuk bincang tentang majlis kita.” Terangnya bagai menyentap tangkai hatiku.

“Tapi, dua minggu lagi kita kahwin.”

“I tahu...” jawab Afif lambat-lambat.

“Jangan tinggalkan I Afif..” rayuku diiringi air mata yang berjejeran.

“I tak boleh nak janji apa-apa. Sekejap, mummy I nak bercakap dengan mama you.” gumamnya ku sambut dengan anggukan. Lambat-lambat aku serahkan gagang telefon kepada mama.

“Kenapa ni Ara?” soal mama curiga.
Aku membalas perlahan. “Mummy Afif nak bercakap dengan mama.” Tukasku seraya melepaskan gagang telefon kepada mama.

Entah apa yang mama dan mummy Afif bualkan, aku tidak tahu. Dari air muka mama, ternyata ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Ah, aku malas ambil pusing. Yang aku tahu, dua minggu lagi majlis akan berlangsung dan terlalu banyak perkara yang masih belum selesai.

“Sudahlah Ara... jangan mengharapka Afif lagi! mulai hari ni, Ara bukan tunang Afif.” Gumam mama setelah meletakkan gagang telefon.

“Apa mama cakap ni?” soalku kembali dipagut hiba.

“Mummy Afif dah putuskan pertunangan Ara dengan anaknya. Jadi, Ara bukan lagi tunangan Afif! Faham!” ujar mama dengan nada marah bersulam kecewa.

“Kenapa ni Zahda?” papa bertanya kepada mama. Abang Naqi pula menapak, mendekati aku dan mama.

“Kenapa ni mama? Mak Afif tu cakap apa?” Abang Naqi juga menyoal ingin tahu.

“Jaslina putuskan pertunangan Afif dengan Ara, katanya anak dia tak serasi dengan Ara.” Gumam mama dengan mimik muka yang tegang.

“Tak serasi? Lagi dua minggu nak kahwin baru dia cakap tak serasi? Apa jenis alasan yang diorang bagi ni, mama?” abang Naqi sudah mula naik angin. Aku lihat dia kepal penumbuk.
Aku halakan pandangan ke arah papa yang sedang menghambur rasa.

“Cakap macam tu je? Melalui telefon?” papa turut menyoal. Nada papa kedengaran hampa.

“Macam orang tak tahu adab! Masa mahukan anak kita, datang berkunjung ke rumah, bila tak mahu tinggalkan anak kita tepi jalan. Mereka ingat anak kita ni sampah ke apa?” mama mendengus tidak puas hati.

“Nak putus, senang-senang bercakap pakai telefon! Tak payah datang dan bincang elok-elok! Kalau dah tak mahu anak kita, pulangkan dengan cara baik! Bukan dengan cara begini!” mama masih merugut.

“Mama.. kenapa ni?” soalku bagaikan orang bingung.

“Ara..” mama memandang wajahku lalu digenggam erat jari jemari ini.

“Kenapa ni mama?” hatiku mula sebak bila mama berkelakuan sebegini.

“Ara.. Ara dengan Afif dah tak ada apa-apa hubungan. Ara bukan lagi tunang Afif, jadi Ara tak boleh kahwin dengan Afif.” Ucap mama mengkhabarkan perkara itu dengan tenang.

“Tapi dua minggu lagi majlis kami mama. Takkan Afif tergamak tinggalkan Ara?” soalku tidak percaya. Kenapa tiba-tiba sahaja Afif membuang dan membenci diriku. Apa salah dan dosaku pada dirinya?

“Memang dia tergamak tinggalkan Ara.  Afif tak layak untuk Ara!”

“Tapi Ara sayang Afif! Dan memang Afif yang layak untuk Ara!”

“Tak layak! Sejak dia pukul Ara, sejak itulah dia tak layak bersama Ara lagi! Memang patut perkahwinan ni dibatalkan! Afif bukan yang terbaik untuk Ara! ” Hambur Abang Naqi tegas.

“Tapi Ara sayangkan Afif! Jangan tekan Ara macam ni... Ara perlukan Afif!” gogoiku sudah tidak mampu menahan tangis sendiri.

“Jangan ikut perasaan! Move on! Masih banyak lelaki yang lebih baik diluar sana!” bidas Abang Naqi tanpa sedar mencalar hatiku.

“Naqi... tak elok cakap macam tu pada Ara. Dia tak stabil lagi, masih terkejut! Jangan paksa dia terima keadaan ni secara mendadak.” Ucap papa meredakan suasana tegang namun aku sudah tidak mampu berfikir waras. Di hatiku hanya ada Afif dan cinta Afif. Tiada orang lain mahupun lelaki lain.

“Naqi nak buat laporan polis! Naqi nak ajar jantan tak guna tu, supaya dia tahu macam mana cara terbaik melayan perempuan!” tegas Abang Naqi membisukan papa dan mama.



BAB 7
“Tak malu ke tidur depan rumah orang? Pergi balik? Atau aunty report polis!”

Ketukan di cermin kereta mengejutkan diriku dari lena. Perlahan-lahan aku pisat mana dan menghala pandangan ke arah kanan. Wajah bengis aunty Jaslina menerpa pandangan.
Dengan tergesa-gesa, aku turunkan cermin kereta dan memandang ke arahnya.

“Ara buat apa dekat sini? Baliklah, aunty nak keluarkan kereta.” nada suara aunty Jaslina kedengaran tidak senang.

“Aunty, Afif ada?”
Dia mendengus.

“Afif tak ada! Ara ke sini untuk apa lagi?”

“Ara rindukan Afif. Nak jumpa dengan dia sekejap boleh tak?” aku selak rambut yang menutupi wajah.

“Tak boleh! Hari dah malam! Tolong pergi dari sini. Tak malu ke tidur depan rumah orang?” soalnya sinis.

“Ara nak jumpa Afif. Tolonglah aunty... Ara sanggup melutut kalau itu yang aunty mahu. Tolong kesiankan
Ara.” Balasku tanpa menjawab pertanyaannya.

“Hei Ara... kau faham bahasa ke tidak? Aku kata pergi, lebih baik kau pergi sebelum aku report polis!” Herdikkan aunty Jaslina tidak mematahkan semangatku. Aku benar-benar rindukan Afif dan kerinduan ini hanya akan terubat melalui Afif. Ya hanya dia yang mampu mengubati kerinduan yang sarat menghuni dalam dadaku.

“Afif tak ada! Dia nak kahwin dengan Jue! Sekarang kau balik, atau aku panggil polis halau kau dari sini.” Tutur aunty Jaslina menggores hatiku. Dalam sedar tak sedar, air mataku bergenang juga. Hatiku sebak!

“Ara sayangkan Afif... kenapa aunty buat Ara macam ni?” esakku sudah mengambil tempat. Aunty Jaslina
yang berpeluk tubuh sekadar menjeling lalu melepaskan keluhan kasar.

“Ara.. Ara.. rupa-rupanya kau masih tak sedar diri. Memang kau tak layak bersama anak aku.” tukasnya perlahan. Dari ekor mata, aku melihat dia menggeleng dalam senyuman sinis.
Aku tatap wajahnya, memandang dia dan memohon sedikit ehsan namun apa yang aku peroleh adalah herdikan yang tidak sudah-sudah.

“Perempuan macam kau, tak layak untuk anak aku! Baliklah Ara, pergi dari sini. Jangan musnahkan hidup dan kebahagiaan Afif. Kau tak boleh bahagiakan anak aku. Pergi!”
Usirnya ku sambut dengan titis air mata. Cepat-cepat aku keluar dari kereta dan menapak mendekatinya. Aku sentuh lengannya namun dia merentap kasar.

“Tolonglah aunty, jangan buat Ara macam ni! Ara janji akan berubah dan ikut cakap Afif. Ara akan patuh cakap aunty! Ara janji!” ucapku berselang seli dengan esakan halus.

Kerana sayang, aku rendahkan ego lalu tunduk dan melutut di hadapannya. Aku renung wajahnya dan aku
pohon sedikit kesempatan agar dia memberi ruang itu kepadaku. Namun apa yang aku perolehi hanyalah layanan sebegini.

“Berambus!” halau aunty Jaslina tanpa memperdulikan perasaanku.

“Aunty..” cepat-cepat aku paut kakinya dan dia segera menolak tubuhku hingga aku jatuh terduduk. Sakit kesan terhentak tidak ku pedulikan lagi.

“Aunty...” aku bangkit dan merangkak mendekatinya. Sekali lagi aunty Jaslina menolak tubuhku agar kedudukan dirinya dan juga diriku tidak terlalu hampir.

“Jangan dekat dengan aku!”

Aku tahan hiba, walau air mata sudah berjuraian jatuh ke lurah pipi.

“Mummy!” suara itu bergema. Itu suara Afif. Cepat-cepat aku seka air mata dan wajah yang lembab dengan tangisan, ku hala ke arahnya.

Dengan tergesa-gesa, Afif keluar dari kereta yang diletakkan di bahu jalan. Tanpa sepatah kata dia mendapatkan diriku lalu membantu aku bangkit dan berdiri.

“Mummy buat apa ni?” soal Afif seraya mengesat air mata yang berlinang di pipiku.

“Suruh dia balik! Mummy tak nak tengok dia menyemak depan rumah ni lagi!” gumam aunty Jaslina tanpa memandang ke arahku.

“Mummy.... please.” Afif merayu.

“Mummy tak nak tengok muka dia lagi! Ingat pesan mummy.”
Afif tertunduk dan akhirnya dia mengangguk juga.

“Suruh dia balik! Buat malu dengan jiran-jiran saja!”

“Yelah!” ucap Afif diiringi anggukannya sekali lagi.
Sejurus itu, aunty Jaslina terus sahaja menapak masuk ke dalam rumah. Meninggalkan aku dan Afif di hadapan pintu pagar.

Aku renung wajah Afif,  namun pandanganku kabur dek kerana kolam mataku yang dipenuhi air mata.

“Afif, I datang.” Gumamku sebaik sahaja Afif memandang diriku.

“Ya, I tahu.” sahut Afif perlahan. Nadanya kedengaran hiba.
Dia ku pandang tanpa lepas, senyuman pula sudah menghiasi bibir ini cuma pandangan yang digenangi air mata tetap tidak mampu ku halang setiap kali wajah yang ku rindu menyapa pandangan mata.

“Ara, you buat apa dekat sini?” Afif sembunyikan nada pilu. Dipandang wajahku tanpa lepas.

“I rindukan you.” Ucapku tentang rasa yang sarat menghuni dalam dada. Aku kesat air mata yang bergenang.

Hari ni 15 Jun, hari sepatutnya kami disatukan namun majlis terpaksa ditunda kerana persiapan belum selesai sepenuhnya. Itu kata mama dan papa, aku turutkan sahaja asalkan majlis tidak dibatalkan. Aku rela walaupun terlewat sedikit.

“Ara..” suara Afif yang kedengaran serak ternyata tidak dapat disembunyikan lagi.

“Ya? You rindukan I kan?” soalku turut menahan perasaan sebak.
Afif angguk.

“Ya, I rindukan you.” Jawabnya perlahan. Afif tertunduk mengelus jari jemarinya.

“Kenapa you buat I macam ni Afif?” aku bertanya. Tidak semena-mena air mata mula menitis tanpa sedarku.
Mendengar pertanyaan yang ku lontar, Afif cepat-cepat panggung wajah mencari wajahku.

“Sumpah I tak berniat buat macam ni pada you. Maafkan I, Ara!” Tukas Afif pendek. Ketika ini Afif kembali tertunduk memerhatikan jalan berturap hitam.

“I dah lama maafkan you.. apa yang I mahu, kita sama-sama macam dulu. I cintakan you, Afif.” Ajuku bersama bibir bergetar menahan perasaan.

“Ara… kita tak boleh macam dulu. You bukan tunang I lagi.” Ucapnya kembali merenung wajahku.

“Kenapa?” aku menyoal. Tidak faham sebenarnya!

“Jangan macam ni, Ara. I sayangkan you, kita tak ada jodoh! I minta maaf kerana mungkir janji I pada you. Ampunkan I dan maafkan segala dosa-dosa I pada you.” Tutur Afif turut menahan perasaan.

“I sayangkan you.” Balasku bersama tangis.

“Shhhh.. jangan macam ni, Ara. I tak mahu you menangis.” Bisiknya seraya menyeka air mata yang berjejeran di lurah pipiku.

Tidak lama selepas itu, Afif sentuh jari jemariku. Digenggam dan dibawa ke bibirnya.

“Ampunkan dosa I pada you. I minta maaf kerana mungkir semua janji yang pernah I ucapkan dulu.” Luahnya seraya mengucup belakang tapak tangan ini. Entah mengapa aku terasa hangat, rupa-rupanya air
mata Afif mengenai kulitku.

“Baliklah Ara, dah malam ni. I hantarkan you balik ya.” Afif mencadangkan. Aku angguk saja, kerana aku mahu bersama Afif. Dia memalingkan wajah, namun dapat ku lihat dia menyeka air matanya secara sembunyi-sembunyi.

Perlahan-lahan Afif lepaskan pegangan tangan kami lalu dia membuka pintu kereta. Dengan senyuman hambar, dia memberi isyarat agar aku masuk ke dalam kereta.

Di dalam kereta, Afif tak henti-henti meluahkan kekesalannya. Aku tahu dia tidak sengaja!

“I akan ke Rusia.”

“You nak tinggalkan I lagi?”

“Tak.. bukan macam tu Ara.” Laju Afif menafikan.

“Habis?”

“Qistina perlukan I di sana. Lagipun…” Afif tidak menghabiskan bicaranya lalu aku lihat dia menggeleng
perlahan.

“I hantar you balik.”  Tegasnya seraya memandang wajahku sekilas. Ada senyuman yang terlakar namun aku
tahu senyumannya, senyuman yang penuh penderitaan. Penderitaan yang ku tanggung turut dirasai olehnya juga.

**

Sejak Afif menghantar aku pulang tempoh hari, sejak itu jugalah Afif gagal aku temui. Keretanya ada, namun mummy Afif kata anaknya tiada di rumah.

Hari ini sudah masuk hari ketiga aku bersiang dan bermalam di dalam kereta menanti Afif. Aku hanya mencuba, kalau-kalau usaha ku membuahkan hasil. Kerana rasa rindu ini sudah tidak tertahan memukul jiwaku yang sedang sepi.

“Ara…” satu suara menyeru namaku. Cepat-cepat aku turunkan cermin kereta lalu memandang ke luar sana.
Mummy Afif sedang berdiri di sebalik pagar setinggi dua meter. Tanpa berlengah, aku keluar dari kereta dan mendapatkannya.

“Aunty, Afif ada?” soalku teruja.

“Dia tak ada!”

“Dia pergi mana?” soalku ingin tahu.

“Kenapa Ara sibuk nak ambil tahu. Ara bukan tunang Afif lagi.” Gumam mummy Afif membuatkan aku tersentak. Tidak semena-mena tubir mata ini kembali hangat. Sensitif apabila perkara itu diperdengarkan sedangkan cincin tunang masih lagi melekat di jari manis.

“Baliklah Ara. Jangan malukan aunty dengan jiran-jiran! Afif dah pilih Jue. Ara perlu terima hakikat.” Tutur aunty Jaslina ringkas.

“Ara sayangkan Afif.” Ucapku mengingatkan wanita ini tentang aku yang mencintai anaknya.

“Maaf, aunty tak mahu dengar! Tolong beredar, sekejap lagi saudara mara Afif akan datang.  Tak elok orang tengok!” hamburnya tenang namun pedih diperdengaranku.

“Afif?”

“Afif nak ke masjid! Hari ni majlis pernikahan Afif!”

“Afif bernikah dengan siapa?” soalku terperanjat besar.

“Kan aunty dah cakap hari tu! Afif bernikah dengan Jue!”

“Dengan Jue?” ulangku hampir tidak percaya. Mungkin aku yang terlupa atau aku sudah tidak mengingati apa-apa.

Aunty Jaslina mengangguk lalu melirik ke arah orang gajinya yang sedang mengangkut hantaran masuk ke dalam but kereta.

“Sebelum aunty terlupa, ini kad jemputan. Kalau Ara tak kisah, Ara datanglah!” gumam aunty Jaslina seraya menghulur sekeping kad kepadaku.

Lambat-lambat aku menyambut lalu kad yang tidak bersampul ku buka. Di situ, nama Afif dan seorang perempuan bernama Julia menerpa pandangan mata. Bukan Ara Diyana tetapi Julia Aslam, dia yang bakal menjadi suri di hati Afif.

‘Tergamak kau buat macam ni pada aku.’ Hatiku merintih dalam sendu.

“Datanglah, majlis baru nak bermula. Jue bernikah di masjid dan majlis pula diadakan di hotel Art & View. Majlis Afif dekat situ, Ara datanglah bawa kawan-kawan.” Ucap aunty Jaslina tersenyum bahagia.

Aku pula sekadar mampu membisu, hotel yang dimaksudkan oleh aunty Jaslina adalah hotel yang pernah menjadi pilihan untuk meraikan majlis perkahwinan aku bersama Afif. Tidak ku sangka, Afif berada di sana bersama wanita lain. Bukan aku yang pernah menjadi tunangannya!

“Aunty pergi dulu.” Tutur aunty Jaslina seraya menuju ke keretanya.
Aku pula hanya mampu berdiri di tepi pintu pagar melihat wanita itu berlalu bersama keretanya. Dengan kudrat yang tidak begitu kuat, aku gagahi diri memandu ke hotel yang dimaksudkan. Benarkah Afif akan berkahwin dengan Jue? Aku mahu melihat dengan mata kepalaku sendiri. Jauh di sudut hati, aku masih berharap semua yang berlaku adalah sekadar gurauan untuk mengusik hatiku.

Dua jam menanti di dalam kereta, akhirnya Afif dan Jue kelihatan keluar dari sebuah Mercedes Benzs yang dihias dengan reben yang indah. Kedua-duanya diarak masuk ke dalam dewan. Jue memakai busana yang pernah ku gayakan sewaktu berada di butik pengantin, manakala Afif pula segak dengan pakaian yang cukup terletak di tubuhnya. Sama cantik sama-sama padan! Mereka saling tersenyum sambil berpegangan tangan melangkah masuk.

Ya Tuhan... aku tertipu! Mereka melukakan hati ini. Afif, kau kecewakan aku! Kau bunuh kepercayaan dan juga kesetiaan aku! Tergamak kau Afif.. tergamak kau......
Ternyata tiada air mata yang mampu keluar lagi setelah kebenaran terhadap di hadapan mata.

“Ara, kita balik ya dik!” abang Naqi muncul di sisi kereta. Aku panggung wajah, menatap raut wajahnya. Tak semena-mena pandanganku berkaca-kaca.

“Abang... Afif tipu Ara!” tuturku cuba menahan esakan. Abang Naqi senyap, dia membuka pintu keretaku. Tanpa bicara, kepalaku ditarik rapat ke dadanya.

“Afif tipu Ara! Dia bohong Ara... ” dalam tangis aku mengadu kepadanya.

“Shhhh.. kita balik dulu ya!” kepalaku dielus lembut oleh tangan sasanya. Aku tahu dia turut berasa sedih melihat keadaan ku ketika ini.


SESIAPA BERMINAT BOLEH ORDER DI
inspirasiidea@gmail.com
harga RM25 tidak termasuk pos. Hanya dijual secara online :)

6 comments:

  1. ade sebab disebalik arahan ibu afif...makin kesian plak kat ara dik...taktik jer kot...utk memisah kn ara dn afif...hai lah ara...

    ReplyDelete
    Replies
    1. HEHE nantikan yg seterusnya ek kak :)

      Delete
  2. Replies
    1. BOLEH order dgn Ameera Elisha.. atau fb Inspirasi Idea :)

      Delete
  3. Buku ni masih ada x?

    ReplyDelete
    Replies
    1. maaf awak.. dah sold out :) cuba cari secondhand dari org lain. mungkin ada :)

      Delete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.