Wednesday, 11 January 2017

CINTA DIHUJUNG NODA BAB 42-44



BAB 42

Malam ini aku sendirian di dalam bilik, dada semakin sesak bagai udara tidak lagi mencukupi untuk ku hirup. Mata ku pejam, dada ini ku sentuh perlahan dan kerut wajah ini tidak mampu ku sembunyikan lagi. Air mata yang mengalir perlahan ku seka dengan belakang tapak tangan, kudrat yang masih bersisa ku gunakan untuk menggapai air kosong di sisi katil. Penutup botol ku buka, lalu ku teguk penuh seksa walau untuk menelan air masuk ke kerongkong. Sakitnya memeritkan! Seksa terasa.

“Nia... Nia....” sebaris nama isteri kesayangan,  ku laung namun yang terlontar keluar hanyalah suara yang jauh kedalam sana.
“Nia... Nia...” sekali lagi aku mencuba.
“Ya abang, Nia datang ni!” susuk tubuh itu semakin mendekat. Perut yang memboyot itu pertama yang singgah ke pandangan mata ini. Dirinya sedang melurut lengan baju yang disinsing tadi.
“Abang kenapa? Sakit ya,” dahi ini disentuh perlahan. Anggukan kecil ku persembahkan di hadapannya walau aku tahu anggukan lemah tidak bertenaga itu yang terzahir kini.
“Abang sejuk,” gumam ku lagi.
“Nia selimutkan abang ya,” selimut tebal berbunga merah hati itu ditarik hingga menutupi seluruh tubuh ini. Aku biarkan sahaja perbuatan Nia, sangka ku selimut itu mampu mengurangkan  rasa sejuk ini, namun telahan ku salah belakan. Kesejukan ini semakin menggigit seluruh permukaan kulit yang sudah ku kenakan baju tebal.
“Nia, abang sejuk.” Tutur ku dalam nada serak memohon simpati.
“Abang, Nia hantar abang ke klini ya! Nia risau bang!” kebimbangan Nia semakin jelas. Anak mata itu dan raut wajahnya juga sudah berkerut menahan gusar yang mula singgah bertamu di hati.
“Abang, nak tidur sayang! Sini tidur dengan abang!” panggil ku sambil mengisyaratkan dirinya untuk berbaring di sebelah ku.
“Abang, Nia risau tengok abang macam ni! Kenapa dengan abang?” persoal Nia sambil merebahkan tubuhnya. Seketika kemudian, tubuh ku dipaut erat menghilangkan rasa sejuk yang sekian lama bersarang di dalam diri.
“Abang, demam ni! Badan abang panas,” tutur Nia perlahan berbisik.
“Kita ke hospital,” pujukan itu aku biarkan sahaja. Aku tidak mampu untuk berdiri hatta untuk kemana sekalipun. Seluruh urat dan sendi ini bagai mencucuk-cucuk pedih, sendi-sendi ini pula terasa lenguh dan seluruh anggota ini terasa sakit bila disentuh.
“Abang...” panggil Nia sambil usapan itu masih belum berhenti menari di sekitar dahi dan rambut hitam pekat ku.
“Shhhh... abang nak tidur. Izinkan abang tidur ya,” pinta ku buat Nia mengalah. Keadaan selimut diperkemaskan lagi. Kali ini Nia memeluk tubuh ini dengan lebih erat lagi walau aku tidak mampu membalas pelukan itu namun usapannya tidak pernah berhenti sehinggalah aku terlena dengan sendirinya.
**
Awal pagi itu, senyuman Nia menyapa pandangan ini.  “Abang dah sihat ke? Kalau belum sihat, tak perlu ke pejabat. Kalau jadi apa-apa nanti, buat Nia risau je.” Bicara Nia ku sambut dengan senyuman kecil.
“Tak ada apa-apalah sayang, abang okey! Dah sihat dan dah kuat!” tutur ku meyakinkan Nia yang kebimbangan. Raut wajah itu berkerut-kerut bila itu yang aku ucapkan.
“Abang ni degillah, rehatlah sehari dua lagi. Lagipun itu kan syarikat abang, bukan syarikat orang lain pun. Kalau abang bercuti, tiada siapa yang nak marahkan! Nia tak mungkin pecat abang!” Alasan itu dicadangkan kepada ku namun aku menggeleng perlahan. Membuatkan Nia semakin tidak selesa dengan sikap keras kepala ku.
“Tak boleh la sayang, kerja abang banyak.” Sebab utama yang memaksa aku pergi ke tempat kerja seperti biasa sudah ku lontar keluar. Aku mahu Nia mengerti mengapa aku tidak betah bercuti dan bersenang lenang di rumah hatta syarikat pula masih belum stabil kedudukannya.
“Tapi...” leret suara Nia ku cantas. Jari jemarinya masih memintal-mintal hujung tali leher ini  sambil wajah itu tunduk menekur hujung tali leher yang ku padankan dengan kemeja berjalur halus.
“Tak ada tapi- tapi lagi sayang! Abang okey, dan abang sihat! Sayang doakan abang ya,” gumam ku sambil menarik jari jemarinya rapat ke bibir. “Jangan risau ya sayang,” ucap ku lalu menjatuhkan ciuman di belakang tapan tangannya.
“Abang,” seru Nia sepatah.
“Ya sayang, abang okey! Jangan risau iya.” Ucap ku cuba menyakinkan dirinya.
“Baiklah, Nia akan doakan abang sentiasa sihat walafiat.” Ujar Nia mula mempamerkan riak cerianya.
“Ha.. macam itulah isteri abang! Senyum pun!” aku cuit dagunya sebelum menjatuhkan kucupan di dahi itu. “Abang pergi dulu, jaga diri dan baby baik-baik ya,” perut itu ku usap penuh kasih.
“Insyallah bang. Abang pandu kereta tu berhati-hati ya, jangan laju-laju sangat! Bahaya!” pesan Nia ku anggukkan sahaja.
“Oh ya, Neesa kata dia masuk pejabat  sebelah petang. Nak bawa Qalisya ke klinik!” pesanan Neesa pada Nia disampaikan kepada ku.
“Kenapa? Qalisya sakit ke?” persoal ku cemas. Nia tersenyum bila mana aku pamerkan reaksi begitu. Lengan ku disentuh lembut menjadikan aku terbuai seketika.
“Bukanlah, setiap bulan Qalisya kena jumpa doktor. Doktor nak pantau kesihatan dia,” terang Nia membuatkan aku menarik nafas lega. Risau juga andai Qalisya jatuh sakit, pasti tak senang duduk aku dibuatnya.
“Jom sayang, kita turun! Abang dah lambat ni,” lengan Nia ku gapai lalu ku tarik agar dia mengekori langkah ku turun ke tingkat bawah. Hari ini selera ku tertutup, sarapan ku biarkan sepi di atas meja. Mama  pula tidak menunggu seperti biasa, katanya mahu berjoging di padang bersama abah. Neesa juga tidak kelihatan, mungkin sudah tiba di klinik panel bersama Qalisya
“Abang tak nak sarapan?” persoal Nia bila langkah ini semakin menghampiri muka pintu.
“Tak nak la sayang, tak selera! Kalau lapar nanti, abang suruh Lili belikan!” ujar ku buat Nia tersenyum.
“Kesian Lili,” tambahnya pula.
“Ala... dia kan setiausaha abang, lagipun... bukannya payah! Dia telefon buat pesanan, kemudian sepuluh hingga lima belas minit, pesanan dah sampai ke meja. Herrmm... sayang jangan risau okey,” tekan ku lagi sambil sebelah tangan  menyentuh lembut ke arah wajahnya.
“Kalau abang dah kata macam tu, takpe la...” sambut Nia. Aku peluk bahu itu rapat ke tubuh ini. Haruman tubuh  Nia buat aku terbuai.
“Jangan nakal-nakal tahu, abang pergi kerja!” pesanan serupa dan saban hari aku lontarkan kepadanya ku ulang lagi untuk hari ini. Dan ternyata, Nia mencebik lantas menyimpul senyuman selepas itu.
“Abang ni, takkan la Nia buat macam tu? Lagipun Nia kan duduk di rumah hari ni?” kata-katanya ku sambut dengan tawa kecil.
“Oh abang terlupa,” gumam ku membalas kata-katanya tadi. Jam tangan ku kerling sekilas, sudah memasuki jam lapan pagi. Sudah terlambat!
“Dah lambat ni sayang, abang kena pergi pejabat!” tutur ku kalut. Kereta ku hampiri lantas pintu itu ku tarik dan ku tutup semula. Sejurus itu,  enjin kereta ku hidupkan segera. Nia mendekati sisi AUDI yang menjadi kenderaan kesayangan ku ini.
“Abang pergi dulu ya sayang! Take care,” pesan ku sambil menguntum senyum. Tangan ini dijabat oleh Nia, dan kucupan di belakang tapak tangan ku buat hati ini syahdu tersentuh.
“Hati-hati ya bang,” dia turut menitipkan pesanan buat ku. Lalu dahinya ku kucup penuh kasih dan dia ku tinggalkan dalam senyuman.

**

Pulang sahaja dari mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah syarikat yang bekerjasama dengan syarikat mama, aku pandu kereta menuju ke pejabat. Lili tidak ku bawa bersama. Batuk yang berlarutan ini akhirnya sampai ke tahap aku tidak mampu lagi menanggung perit dan sesekali darah pekat  mengiringi setiap batuk yang menjadikan aku tidak selesa. Kereta ku pandu menuju ke hospital swasta yang berdekatan, aku mahu memeriksa keadaan diri bila terasa semakin banyak darah yang keluar mengiringi batuk yang sejak tadi tidak berhenti-henti.
Sampai sahaja di perkarangan hospital, aku menyusun langkah mendekati kaunter pesakit luar. Nombor giliran ku dapatkan dan perlahan-lahan aku atur langkah mendekati kerusi kosong yang tersedia, punggung ku labuhkan di situ sementara menunggu giliran dipanggil.
Tidak lama kemudian, nombor giliran untuk aku berdenting dan bilik bernombor 15D ditunjukkan untuk aku mendapatkan rawatan di situ. Dengan langkah longlai dan kesihatan yang masih tidak pulih sepenuhnya, bilik rawatan itu ku dekati dan tubuh ku hala masuk ke dalamnya. Senyuman doktor awal lima puluhan itu ku sambut hambar.
 “Doktor, apa penyakit saya?” aku labuhkan punggung di kerusi berhadadapan dengan doktor yang masih menulis sesuatu di atas kertas. Butang baju ku kemaskan setelah tadi ku buka untuk menjalani imbasan ultra sound.  Keadaan denyutan jantung, tekanan darah serta sampel darah ku turut diambil. Aku kehairanan namun dalam memastikan rawatan ini tidak terganggu, aku turutkan juga segala prosedur yang berkait. Sementara menunggu doktor itu membuka bicara, satu keluhan ku lepaskan perlahan. Tubuh ku sandarkan ke kerusi dan mata ku biarkan meliar memerhati seluruh bilik rawatan ini.
“Encik Attar, dari pemeriksaan kami.. encik berkemungkinan menghidapi kanser hati! Tapi jangan risau, ini hanya pemerhatian awal dari pihak saya.” Ayat yang terlontar keluar dari bibir doktor itu nyata membuatkan aku terpempam seketika. Benarkah penyakit yang tiada ubatnya itu sedang menghuni di dalam diri ini. Aku terdiam, suara bagai tidak mampu meniti di bibir ini lagi. Ya Allah benarkah sakit itu yang ku hidapi? Aku raup wajah, rambut ku ramas kasar dan mata ku pejam rapat.
“Encik Attar, kami dah ambil sampel yang diperlukan. Insyallah dalam dua atau tiga hari lagi penyakit Encik dapat dikenal pasti. Cuma simptom-simptom yang Encik alami memberi petunjuk bahawasanya Encik menghidapi kanser tersebut.” Bicara doktor itu membuatkan aku kaku seketika.
“Betul ke doktor?” soal ku lambat-lambat. Perasaan curiga dan tidak percaya bersatu dan berpadu. Benarkah aku menghidap kanser hati? Atau doktor ini tersalah meneka? Aku bungkam!
“Encik, saya harap encik sabar. Masih ada jalan penyelesaian, tapi bagaimana sekalipun encik perlu tabah dan kuat. Penyakit seumpama ini perlukan motivasi dan sokongan, encik perlu sentiasa bertenang dan redha dengan ujian yang kita terima.” Aku masih diam, tidak membalas atau menyangkal segala kata-kata yang terluah dari bibir doktor itu.
“Saya akan mati ke doktor?” setelah agak lama berdiam diri, persoalan itu aku lontarkan perlahan. Doktor itu masih tenang dan masih mampu tersenyum. “Kita semua akan mati, tak kira bila dan di mana.” Patah bicaranya buat aku terkedu.
“Kita semua akan mati encik Attar, cuma masa dan keadaan yang membezakan! Jadi jangan takut pada kematian, mati itu pasti!” ucapnya lagi.
“Saya nasihatkan encik Attar banyak-banyak bersabar, penyakit encik masih boleh dirawat kalau encik ada penderma yang bersesuaian. Encik kena yakin, encik akan sihat seperti dahulu dengan syarat encik kuat dan tabah. Dan yang penting, encik perlu cari penderma dengan kadar segera.
“Tapi siapa doktor?” persoal ku tidak mampu berfikir.
“Pihak hospital ada menerima organ yang didermakan oleh orang ramai, tapi untuk kes encik ni saya akan rujuk unit berkenaan. Sampel darah dan kesesuaian tubuh encik juga akan diambil kira. Kami tidak boleh sewenang-wenangnya menjalankan prosedur tanpa kebenaran dari pihak hopsital. Encik jangan risau, Insyaallah saya akan rujuk kes encik di unit yang bertanggungjawab kendalikan kes seumpama ini.” Penerangan panjang lebar doktor itu ku sambut dengan anggukan kecil.
“Encik, sabar dan tabah itu perlu! Sebagai seorang Islam, qada dan qadar itu salah satu rukun yang perlu kita percaya dan akui. Saya harap encik mampu jalani kehidupan seperti biasa, jangan risau Tuhan bersama hambaNya yang bersabar!.” Pesannya lagi. Aku balas bicaranya itu dengan anggukan kecil.
“Macam mana dengan sakit yang saya perlu tanggung sekarang ni doktor? Ianya mengganggu kerja saya, saya tak ada selera makan. Batuk dan mudah letih!” aku jelaskan keadaan kesihatan diri yang mengganggu tugas seharian ku sejak akhir-akhir ini.
“Saya akan bekalkan ubat, dan encik pastikan setiap ubat yang diberi diambil mengikut masa yang ditetapkan. Dan jangan lupa bawa kertas ni ke unit farmasi. Dapatkan ubat di sana ya!”
“Terima kasih doktor,” ucap ku perlahan.
“Baiklah, kalau ada apa-apa perkembangan pihak hospital akan hubungi pihak encik. Pastikan minggu depan encik datang sekali lagi untuk pemeriksaan dan rawatan yang akan kita mulakan nanti.” doktor itu tenang bersuara.
“Terima kasih doktor,” aku bangkit lalu sehelai kertas yang menunjukkan catatan doktor itu ku gapai dan ku pegang kemas. Lantas langkah ku atur menuju ke unit farmasi, ubat- ubatan yang disenaraikan perlu ku dapatkan segera. Sekurang-kurangnya sakit ini dapat ku redakan sedikit.
Unit farmasi ku hampiri dan kertas itu ku unjuk ke hadapan petugas kaunter, senyuman mesra mereka buat aku tenang dalam menerima khabar yang cukup memeranjatkan diri ini. Namun seperti yang diperkatan doktor itu, kematian itu pasti. Yang membezakannya adalah  masa dan keadaan, jadi tidak perlu takut pada sebuah kematian! Kerana setiap manusia yang hidup pasti akan mati dan dijemput kembali oleh Tuhan yang Esa.
“Encik Attar, ini senarai ubat yang encik perlu ambil. Pastikan setiap jenis ubat ini, encik ambil ikut masa dan ikut sukatan. Lagi satu, ubat yang ini akan menyebabkan encik mengantuk. Jadi saya cadangkan encik jangan ambil bila encik mahu memandu, mungkin membahayakan diri encik nanti.” Ubat di dalam botol itu ku perhatikan. Persis ubat batuk namun aku tidak tahu ianya ubat batuk ataupun tidak.
“Lagi satu, mengikut catatan di kertas ini.. encik perlu datang dan ambil ubat setiap minggu. Jadi ubat yang hospital bekalkan cuma bertahan untuk tempoh seminggu. Jadi encik jangan lupa datang kembali ke sini,” pesanan juru farmasi itu ku sambut dengan anggukan kecil.
“Semoga cepat sembuh, “ ungkapnya bila plastik berisi ubat-ubatan itu ku gapai.
“Terima kasih,” aku lafazkan ucapan penghargaan ke atas kata-kata semangat yang dihulurkan.  Aku teruskan langkah kaki ini, dengan kudrat yang tidak berapa kuat dan dengan langkah yang tidak berapa teguh, koridor itu ku susuri perlahan. Anak mata ini ku biarkan memerhati seluruh persekitaran hospital. Ada yang berkerusi roda, ada yang bertongkat dan ada yang hanya duduk melihat ikan-ikan di kolam kecil di tengah padang. Begitukah aku nanti ketika menghabiskan sisa hidup ku ini? Persoalan hati bermain di benak, aku tiada jawapannya.
Deringan telefon mematikan lamunan panjang yang sekian lama bertamu di hati, i-phone ku gapai lalu punat itu ku tekan perlahan. Suara Neesa jelas di sebelah sana!
“Hello, hai tuan pengurus! Tak masuk pejabat ke?” nyaring suara itu membuatkan telinga ini kesakitan.
“Nak masuklah ni, you dah masuk pejabat ke belum?” persoal ku pula. Dalam diam, hati kuat untuk menyembunyikan penyakit ini dari pengetahuan sesiapa pun, hatta mama mahupun Neesa dan juga Nia. Biarlah sakit ini ku tanggung sendirian, lantaran sudah terlalu banyak beban hidup ku sebelum ini ku kongsi bersama mereka.
“Mestilah sudah, bila you nak masuk pejabat? Klien kita dah sampai!” gumamnya jauh  di sebelah sana.
“Klien yang mana?” aku tidak dapat mengingati klien yang dimaksudkan oleh Neesa.
“Klien yang you deal throuhgt email last day. Ingat tak?” aku diam cuba memikirkan semula kata-kata Neesa.
“Oh okey, baru I teringat! I balik sekarang!” gumam ku disambut dengusan kecil dari wanita itu.
“Cepat sikit,” Neesa matikan panggilan dan I-phone ku masukkan ke dalam poket seluar. Lantas langkah kaki ku hayun laju menuju ke tempat meletak kenderaan.

            ***
“Tahniah Attar, akhirnya you berjaya juga dapatkan pelaburan tu! Tahniah!” sekali lagi ucapan Neesa kedengaran teruja melafazkan ucapan itu.
“Thanks Neesa, itu pun sebab you yang tolong I. Oh ya, lepas ni you drive sendiri boleh tak? I nak balik lewat, tak boleh balik macam selalu,” aku luahkan kehendak hati ini. Aku mahu Neesa pulang sendiri ke rumah, tanpa menunggu aku yang membawanya pulang seperti kebiasaan.
 Penyakit ini seharusnya aku rahsiakan sahaja dari pengetahuan mereka apatah lagi pada Nia  yang sedang sarat dan pada abah juga pada mama yang kini menghidapi penyakit jantung.  Aku bimbang dengan penjelasan ini mungkin akan membuatkan kesihatan mereka terjejas. Aku tidak sanggup melihat insan yang amat ku sayang dan ku cintai sepenuh hati terluka dan terhiris hingga mereka pula terganggu kesihatannya. Aku tidak rela sama sekali mereka merasai derita yang ku tanggung! Cukup-cukuplah dengan apa yang pernah terjadi sebelum ini.
“Kenapa pula?” kerut dahi Neesa buat aku tersenyum.
“I kan dah sibuk sekarang ni, you kenalah baik dulu! Lagipun you selalu sangat nak balik awal, kerja I pulak semakin bertambah. Nanti you jemputlah Nia sekali ya,” sempat pula aku sampaikan pesan untuk dia menjemput Nia.Aku yakin Neesa tidak akan membantah, dia sudah banyak berubah setelah dirinya dan Qalisya ku terima sebagai sebahagian dari hidup ku.
“Yelah-yelah,” walau tidak berpuas hati Neesa tetap bersetuju.
“Thanks Neesa, I hargai jasa baik you.” Gumam ku membuahkan tawa di pinggir bibir itu.
“You ni kan... peliklah! Buang tabiat ke apa?” persoal Neesa sambil tawa itu mekar di bibir mungilnya.
“You ni, tak boleh I nak tunjukkan bakat sastera yang I ada. Sikit-sikit nak kondem, huh tak sporting langsung!” aku lepaskan rungutan ini dan Neesa pula semakin galak mentertawakan aku.
“You ni sejak bila pula pandai sensitif? Hessyyy memang you dah buang tabiat la Attar. Petang ni I balik macam biasa, nanti I jemput Nia.” gumamnya sambil duduk di sofa. Aku juga turut bergerak ke sofa lalu melabuhkan punggung di situ.
“Nia tak kerjalah hari ni, dia cuti!” ucap ku pada Neesa.
“Tak kerja? ?? I tak nampak pun tadi.” kata-kata Neesa membuatkan aku dipagut curiga. Adakah Nia keluar bersama Aiman? Ah tak mungkinlah!
“Dalam bilik kut, katanya sakit pinggang!” alasan mengapa Nia bercuti hari ini ku ulang sampaikan kepada Neesa.
“Oh mungkinlah, orang yang mengandung memang cepat sakit pinggang!” sambut Neesa sambil mengangguk-angguk kepalanya.
“Eh, I nak buat kerja I la... berbual dengan you, sampai bila pun tak habis!” omel Neesa seraya bangkit lalu mengatur langkah menuju ke pintu keluar.
“Siapa suruh you datang menyibuk di bilik I? Bukan salah I okey,” balas ku perlahan.
“You ni, memang berlagak tahu!” marah Neesa bila kata-katanya ku balas sinis. Aku ketawa sambil membiarkan dia melangkah keluar, nyata raut wajah itu tidak berpuas hati dengan aku waktu ini. Neesa.... Neesa!
Hari ini aku lakukan kerja yang ditinggalkan dengan tekun, suatu hari nanti... akan ku tinggalkan segalanya dengan baik agar mereka yang mengambil alih akan terus memperkembangkan perniagaan ini. Hari menginjak petang, jam di dinding ku perhatikan. Sudah menjengah enam petang, pen yang masih melekat di celah jari ku letakkan perlahan di atas meja. Tubuh ku sandarkan ke kerusi, dan mata ku pejam rapat! Wajah pula ku raup lama, dan nafas ini ku hela panjang.
“Ya Allah, dugaaan apakah ini? Mengapa aku tidak sudah-sudah diuji? Mengapa aku insan yang kerap menerima ujian dari Mu?” hati ini berbisik perlahan.
“Attar, kau insan terpilih menerima ujian dariNya. Ujian yang menyaksikan betapa sayangnya TuhanMu kepada hambaNya. Dia ingin menguji sejauh mana iman dan taqwa seorang hamba, Dia ingin melihat rintih dan rayuan hambaNya. Dan DIA ingin engkau selalu mengingatiNYA! Percayalah Attar, kasih TuhanMu akan sentiasa berada dekat di sisi mu. Percayalah Attar.” Gema suara yang tidak diketahui dari mana datangnya buat aku panggung wajah! Ya...  Allah sayangkan aku, dan ingin melihat aku dekat kepadanya lalu diturunkan satu persatu ujian yang akan membuatkan aku menadah tangan memohon kasih sayang dariNya. Hanya ibadah yang mampu mendekatkan aku pada Tuhan ku, ya hanya ibadah!

Aku raup wajah, aku perlu redha dan terbuka dengan semua ini, aku perlu tabah dan kuat. Diluar sana masih ramai insan yang teruji dan masih ramai yang menderita lebih teruk dari apa yang ku alami. Mengapa aku yang hanya sedikit teruji, lemah dan mengalah? Tidak seharusnya aku begitu dan tidak sewajarnya jalan hidup yang harus ku tempuh ku persiakan dan ku ratapi. Aku tidak layak mempersoalkan ketetapan hidup ini, aku tidak layak menyangkal apa yang sudah tertulis di Lof Mahfuz lagi. Beg kerja ku gapai, lalu meja yang bersepah ku ku tinggalkan begitu sahaja.
Masjid berhampiran pejabat ini ku dekati, lantas wudhuk ku sempurnakan lalu solat ku dirikan. Penuh  khusuk! Usai bersolat, tangan ku tadah, mengharap kasih sayang dari Allah agar aku dikurniakan ketabahan dan redha dengan ketentuanNya. Ya kini aku sudah terima segala dugaan ini dengan hati yang terbuka, aku tahu Allah yang mencipta hambaNya sama sekali tidak akan kejam pada makhluk yang dicipta. Aku yakin Allah menyayangi ku lalu diberi ujian yang semakin hari semakin mendekatkan aku padaNya. Ini rahmat yang mula aku sedari dari hari ke hari! Kerusi kosong berhampiran taman di tengah masjid itu ku hampiri, duduk ku labuhkan dan kanak-kanak yang riang bermain ku perhatikan dengan sebuah senyuman.
“Attar kan!” satu suara menegur. Aku menoleh, Erin dan Shasha sedang tegak berdiri dibelakang ku.
“You all buat apa di sini?” aku menyoal keduanya dan mereka atur langkah mendekati aku dan duduk berhadapan tanpa disuruh.
“I tengok anak saudara I, tu yang baju kuning tu...” gumam Erin tersenyum mesra. Hanya Shasha sahaja yang tidak betah memandang raut wajah ku. Mungkin masih malu angkara peristiwa dia tertangkap dengan bapa tiru ku dahulu.
“Sha, duduklah! I dah lupa hal tu, tak perlulah ungkit lagi.” Gumam ku buat Shasha panggung wajahnya mencari kebenaran di sebalik patah bicara yang terlontar.
“I minta maaf Attar,” ucapnya jauh menusuk ke dalam hati ini. Walau marah, walau pedih dan terhiris...  maaf itu harus aku dahulukan. Sampai bila aku harus menyimpan perasaan marah terhadapnya? Sedangkan mama juga sudah kembali bahagia, kami sekeluarga sudah kembali bersatu. Maka, tiada gunanya aku menyimpan rasa marah terhadap dirinya lagi.
“I dah lama maafkan you, tiada dendam  yang I simpan pada you!” Jawab ku jujur. Shahsha kelihatan sebak, mungkin wanita ini sudah banyak berubah. Penampilanya juga semakin jauh berbeza, pasti dia juga sudah meninggalkan kehidupan silam yang jauh menyesatkan itu.
“Hei you all ni, janganlah sedih-sedih! Dah lama kita tak jumpa, boleh pulak buat drama air mata dekat sini!” suara ceria Erin buat aku kembali mengukir senyuman. Shasha juga membuang jauh sebak yang mula hadir!
“Sorry Erin,” balas ku pendek.
“It’s okey Attar, you buat apa ni? Dari tadi I tengok termenung jauh! Untunglah beristeri dua,” giat Erin buat aku geleng kepala dalam senyuman. Entah dimana untungnya, aku sendiri tidak tahu.
“Untung you kata? Part mana yang dikatakan untung?” persoal ku buat Erin ketawa besar.
“Tak adalah, I gurau je Attar. By the way, I bangga dengan you! Umur baru je 26 tahun, sudah beristeri dua. Tak silap I, dah lama juga you beristeri dua kan?” tebak Erin lagi. masih galak menyakat aku.
“Sejak dua tahun lepas, I pun tak tahu macam mana boleh terkahwin dua.” Usul ku membuahkan senyuman Erin dan Shasha. “ Biasanya lelaki beristeri dua bila umur menginjak 40, you belum apa-apa dah pasang dua! Melampau!” sekali lagi Erin luahkan kata hati disusuli tawa yang panjang.
“You ni.. memang tak berubah!” jawab ku turut membalas tawanya. Erin yang gemar menyakat, masih sama seperti dahulu.
“Aunty, dah senja! Jom balik!” seorang kanak-kanak berbaju kuning datang menerpa sambil sebelah tangannya memegang belon.
“Anak buah you?” soal ku pendek sambil mengukir senyum ke arah kanak-kanak itu.
“Yup,” balas Erin sepatah.
“Comel!” gumam ku disambut sengihan Erin. Shahsha pula sekadar diam menjadi pemerhati.
“Comel macam I kan...  oh ya, I dengar isteri you pregant?” Erin mengubah topik. Kali ini dia tampak bersungguh pula.
“Ha’a betullah tu. Menunggu hari,” sambut ku dalam nada ceria.
“Wah, bestnya muda-muda lagi bakal jadi daddy, I ni bila la nak jadi mummy kan Sha!” Erin menyiku perut Shasha. Menyeringai wajah Shasha menahan sakit di siku oleh Erin.
“Aunty, jomlah balik! Ustazah Aris kata.. senja-senja syaitan keluar bersiar-siar! Jadi, kita kena masuk ke rumah, nanti terjumpa mereka! Kita juga yang susah!” bicara kanak-kanak yang membahasakan dirinya dengan panggilan Aris buat aku tersenyum.
“Okeylah Attar, lain kali kita borak lagi iya. Risau pulak kalau-kalau Aris ni terjumpa syaitan!” gurau Erin buat aku ketawa kecil. Ada-ada sahaja dia ni!
“Okeylah, I pun nak balik juga!” aku bangkit lalu bersama-sama menuju ke tempat meletak kenderaan. Lantas kereta ku dapatkan dan ku pandu AUDI itu membelah lebuhraya untuk pulang ke rumah!






















3 comments:

  1. wahhh.., xsabar nak tunggu ending ni..
    marathon dr bab 1 sampai bab y latest ni...,
    xsangka ni penulis Jika Mawar Pudar Warna.., novel fevret tu.., xjemu baca berulang kali..., hihihi.., semoga ada sambungannya lg CDN ni.., japgi nak baca yang lain pulak.. hihi.., tq... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks dear sudi drop komen. sejuk sikit hati kita ni hhehehehe :-D

      Delete
  2. Be strong attar😓 patutnya kongsi mslh dgn famili🙁 at least dgn abah.. tqvm a.i. utk smbgn cdn ni.. ☺💐🌷

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.