Friday, 20 January 2017

CINTA DIHUJUNG NODA BAB 45-46



BAB 45

Sudah sebulan masa berlalu, sakit yang ku hidap bagai tiada tanda-tanda untuk sembuh seperti sedia kala. Waktu ini, aku perlu fikirkan tentang keadaan insan yang masih menyayangi diri ini. Aku tidak perlu pentingkan diri dan biar mereka menderita melihat aku yang semakin tiada upaya meneruskan kehidupan. Kesedihan mereka pasti akan membuatkan aku bertambah derita! Aku tidak rela mereka juga merasa perit yang terpaksa ku tanggung. Mereka harus aku lepaskan, biarlah mereka menyimpan dendam dan biarkan juga mereka salah menyangka. Tapi aku pasti jalan dan ketentuan yang bakal ku pilih ini bakal memberi kebaikan kepada mereka, kerana aku tahu aku tidak betah melihat ada air mata yang gugur andai derita yang ku tanggung ini, ku kongsi bersama.

Genap sebulan Nia cuba ku hindari, aku lebih selesa menghabiskan masa bersendirian. Memujuk kata hati dan belajar meredhai ketentuan Ilahi. Hampir subuh baru kelibat ini tiba di rumah. Dan sudah tentunya Nia menyambut ke pulangan ku dengan sebuah senyuman tanpa syak dan wasangka. Memang Nia seorang isteri yang didambakan oleh semua lelaki di dunia ini, jarang menimbulkan amarah dan sukar juga untuk beremosi seperti kebanyakan wanita lain. Sabar dan tabahnya Nia, buat aku kagum pada diri itu.
 “Abang... dah subuh-subuh macam ni baru abang balik, abang kemana?” tanya Nia sebaik aku menapak masuk ke dalam bilik yang suram berteman cahaya lampu tidur. Aku diamkan sahaja pertanyaan Nia, lantas langkah kaki ku atur mendekati almari. Tuala yang tersangkut kemas ku gapai, lalu ku pusingkan tubuh untuk bergerak ke bilik air namun Nia menahan. Pegangan lembutnya di lengan ini ku perhatikan sekilas sebelum ku kalihkan pandangan ke arah lain.
“Abang kemana ni?” tanya dia sekali lagi. Aku tetap diam membisu, berat untuk membuka mulut melontar bicara.
“Abang.... Nia tanya abang ni. Abang kemana? Abang dah solat subuh?” sekali lagi Nia masih lembut bersabar dengan karenah ku. Aku batukan diri, tidak tahu apa yang harus aku lakukan saat ini.
“Abang, tadi Erin ada call! Dia tanya abang dah sampai rumah atau belum? Abang dengan dia kemana?” pertanyaan itu berbaur curiga dan aku sedikit lega dengan keadaan sebegitu.
“Nia rasa abang dan Erin kemana sepanjang malam?” aku tanya dirinya kembali. Jelas raut wajah yang masih bersarung telekung itu kelihatan sedikit tersentak. Aku sembunyi rasa bersalah di dalam hati kerana terpaksa melukai sekeping hati itu untuk sekian kalinya.
“Abang keluar bual-bual dengan Erin ya? Takpe Nia tak kisah, Erin kawan abang jugak!” Nia cuba menyedapkan hatinya sendiri dan aku pula hamburkan ketawa sinis walaupun hati sedang menangis kerana terpaksa menghancurkan hati Nia.
“Nia rasa abang Cuma berbual je? Tak rasa lebih dari tu?” sengaja membakar hati yang masih tenang melayani sikap dan karenah ku yang semakin menjengkelkan saban hari. Tidak betah duduk di rumah hatta pada hujung minggu sekalipun, tiada lagi masa yang ku peruntukkan buat dirinya mahupun Neesa dan si kecil bernama Qalisya. Dan tiada juga masa buat mama ataupun abah, masa yang ada hanya ku peruntukkan buat diri ku sendiri. Mencari ketenangan dan mencari petunjuk apa yang seharusnya aku lakukan saat ini.
“Suami Nia ni... bukannya manusia paling baik yang Nia pernah jumpa! Abang ni perangai macam setan! Takkan Nia tak tahu lagi kemana abang pergi?” usul ku menambah rasa curiga di pinggir hati itu. Nia ketap bibir, perlahan-lahan dia menghampiri aku lalu berhadapan dengan ku.
“Abang, kenapa cakap macam tu? Nia tahu, abang dah berubah! Abang tak buat benda yang bukan-bukan.” Luah Nia bersama sebuah senyuman seraya lengan ku diusap penuh kasih!  Aku sambut senyumannya dengan pandangan sinis. Kening ku jongket sebelah, mahu melihat reaksi Nia yang begitu yakin pada ku.
“Really?” soal ku seakan mengejek.
“Yup, Nia yakin abang tak buat semua tu.” Tutur bibir itu bersama anggukan kecil.
“Whatever Nia, dahlah jangan pegang-pegang lagi! Nak mandi, panas!” gerutu ku sebelum menolak sentuhannya.
“Abang, kenapa ni?” Nia tarik pergelangan tangan ini ketika aku mahu melangkah pergi.
“Nak apa lagi? Tak faham bahasa ke?” Ucap ku kedengaran merungut! Sejujurnya aku rasa bersalah kerana memperlakukan Nia sebegini. Ya, Allah ampunkan aku.
“Abang, ni lipstik siapa? Nia tak pakai lipstik, dan ini bau perfume siapa? Ni bukan perfume abang, ini perfume perempuan!” curiga Nia akhirnya terserlah juga. Aku senyum sinis! Sengaja kemeja ini ku cemarkan dengan lipstik dan perfume milik Erin.
“So, Nia dah tahu apa yang abang buat? Kenapa nak tanya lagi?” aku tolak tangan itu dari melekap terus di tangan ini dan langkah kaki ku atur memasuki bilik air. Nyata wanita itu tergamam dengan perubahan aku yang makin kasar, dan bagi ku biarlah Nia berfikiran sedemikian. Aku ada sebab dan alasan untuk semua itu!
Usai membersihkan diri, aku keluar dari bilik air dan menapak mendekati almari pakaian. Semuanya sudah tersedia di atas katil namun aku enggan sama sekali memakai pakaian yang disediakan Nia. Wanita itu entah dimana waktu ini? Mungkin di bawah menyediakan sarapan seperti biasa. Aku dekati cermin solek, aku perhatikan seraut wajah yang sudah mati serinya. Ya wajah ini tidak lagi bercahaya seperti dahulu.
Keputusan sudah ku bulatkan, biar pun ada hati yang patah dan ada insan yang membenci... aku tekad dengan keputusan ku! Ini jalan terbaik buat aku dan dirinya, bahkan buat masa depan dia juga. Setelah keyakinan dan kekuatan bersatu, aku gagahkan langkah kaki menuruni anak tangga. Kesemua mata memanah tepat ke arah ku. Aku tetap selamba dan beriak tenang, sedang di dalam hati resah dan pedih itu sudah bersatu.
Aku kini berdiri di hadapan Nia, dan seluruh isi banglo mewah tiga tingkat ini. Aku perhatikan raut wajah mereka satu persatu. Ada sebak yang bertamu, namun aku harus bertabah! Nafas ku tarik sedalam-dalamnya lalu ku hela perlahan bersama satu keluhan berat. Bibir ini bergerak dan bakal melontarkan sesuatu yang cukup payah untuk ku lontarkan. Cuba melakonkan watak yang penuh ketenangan di hadapan mereka semua. Walaupun jiwa ini sudah bergelora menahan rasa hati yang sudah separuh hancur.
“Attar, mari makan nak.” Seru mama. Aku hanya menggeleng.
“Kenapa tak nak makan?” Neesa pula menyoal. Aku tetap membisu.
“Attar... pucat je muka tu. Sini makan dulu,” panggil abah bersahaja. Aku ketap bibir, aku harus segera melafazkannya. Aku bimbang, andai aku terus di sini pasti hati ini kembali rapuh dan berat untuk bertindak.
“Nia, sebaik anak kita lahir.. jatuhlah talak satu. Kita berpisah!” bicara ini akhirnya keluar juga dan seperti yang aku jangkakan, mereka semua tergamam dan tersentak dengan keputusan mendadak ini.
“Attar, apa ni!” mama terjerit akibat terkejut dengan patah bicara ku.
“Astagfirullahhala’zim!” abah pula beristghfar. Neesa pula terpempam dengan ucapan yang keluar dari bibir ku seketika tadi.
“Abang,” panggil Nia seraya meninggalkan meja makan lalu mengorak langkah mendapatkan aku. Wajah itu dipanggung melawan pandangan redup ku. Mata itu kelihatan berkaca-kaca.
“Apa salah Nia pada abang, abang.....” suara Nia tersekat-sekat. Aku tahan hati, jiwa ini luluh bila air mata itu kembali menghiasi pandangan ini. “Abang.. tolonglah cakap... apa salah Nia? Kenapa abang ceraikan Nia?” soal Nia menuntut penjelasan ku.
“Sebab abang tak cinta Nia!” bohong ku berusaha keras menutup rasa sebak yang semakin menghimpit dada. “Kenapa sekarang? Kenapa bang?” Nia menyoal lagi. Dia mendekati aku namun aku mengundur langkah!
“Kalau hati tak sayang, buat apa kita bersama lagi?” pertanyaannya ku balas dengan pertanyaan. Aku tiada jawapan yang kukuh untuk menceraikan Nia selain mahu melihat dia bahagia dengan hidupnya. “Abang... betul ke abang tak sayangkan Nia lagi?” bibir itu memohon kepastian. Aku mengangguk lalu melempar pandangan ke arah lain. Hati ini tidak kuat melihat raut wajah itu, aku terluka sendiri!
“Abang,” panggil Nia menahan sendu. Lengan ku disentuh namun aku menepis kasar. Menjadikan mata itu semakin berkaca-kaca. Aku tahu dia sedang dipagut kesedihan yang bukan sedikit, namun kesedihan itu pasti akan membenihkan bahagia buat dia di masa akan datang. Maafkan aku Nia!
“Kenapa buat Nia macam ni bang? Apa salah Nia,” raungan Nia buat aku sebak dan sedih. Aku tidak sepatutnya berada di sini, hati ku tidak kuat berhadapan dengan semua ini. Ini jalan yang terbaik untuk aku dan Nia dan lebih tepat untuk Nia dan anak yang sedang dikandungkannya ketika ini.
“Attar apa ni? Talak bukan boleh dibuat main, Nia mengandung! Apa ni Attar,” marah mama kuat bergema di ruang tamu. Abah juga begitu, dan Neesa yang sedang memangku bayi yang berusia enam bulan itu juga turut terkedu. Perlahan-lahan Qalisya dilepaskan ke lantai,  lalu merangkak menghampiri diri ini. Aku sambut tubuh kecil itu dan aku kucup pipi gebu itu. Aku palingkan wajah lalu air mata yang bergenang ku tahan dari gugur ke bumi! Aku tidak mahu mereka melihat aku terluka dalam keadaan sebegini. Cukuplah andai aku seorang yang menanggung pedih ini sendiri.
“Anak daddy jangan nakal-nakal, jaga mummy dengan aunty Nia. Bila dah besar nanti jadi anak yang solehah,” ucap ku berbisik di telinga kecil bayi perempuan milik Neesa dan Shark. Namun aku tumpahkan kasih sayang kepadanya persis dia adalah zuriat ku sendiri.
“Attar, apa yang you buat ni?” soal Neesa mendekati aku. Neesa masih isteri ku dan mama mahukan dia terus tinggal di rumah ini setelah melahirkan Qalisya, sekurang-kurangnya wujudnya Qalisya mengurangkan rasa sunyi mama setelah Neesa keluar membantu aku di pejabat manakala Nia pula menguruskan butiknya di Shah Alam.
“You tak happy Neesa? Bukan ini yang you mahukan?’ aku menyoal dirinya tanpa memandang wajah itu. Hanya Qalisya yang singgah di hati dan minda ku saat ini. Nia yang sudah lama rebah di dalam pelukan mama hanya diam dan meratapi keputusan tiba-tiba ini.
“I tak pernah suruh you ceraikan Nia, kalau dulu... itu mungkin! Tapi lepas I lahirkan Qalisya, I tak minta semua tu Attar. Cukuplah you tumpahkan kasih sayang you pada Qalisya! Dia perlukan kasih seorang ayah, tentang I..  semua tu dah tak penting. Hanya Qalisya keutamaan I, tapi kenapa you buat macam ni?” tanya Neesa saat aku masih enggan membuka bicara. Biarlah sebab ini hanya aku sahaja yang mengetahuinya, tak perlu sampai ke pengetahuan Nia mahupun sesiapa sekalipun. Ini rahsia aku, ini kesakitan aku... biarlah aku sendiri yang menanggungnya!
“Kenapa I buat macam ni?” aku tergelak sendiri mendengar soalan Neesa. tawa ku sinis walaupun hati ku sedang menangis. “Attar,” tegur Neesa keras.
“I serius, you tak sepatutnya main-main dalam hal macam ini Attar!” tegas Neesa bersuara.
“You tahukan betapa peritnya ditinggalkan orang yang disayangi saat diri tengah mengandung! I rasa semua tu Attar, I tahu perasaan sedih yang Nia tanggung! Please, explain! Jangan buat Nia macam tu,” pinta Neesa lagi sambil menarik lengan ku menjauhi ruang tamu.
“Tak ada apa yang perlu I explain Neesa! I tak cintakan Nia, dan I tak pelukan dia lagi!” tutur ku bertegas dengan pendirian sendiri.
“Habis... kenapa you tak ceraikan I? You sayangkan I lah macam tu?” soal Neesa tidak percaya. Sedikit sebanyak tutur bicara Neesa kedengaran mengejek ku pula. Dan tutur kata itu juga sedikit sebanyak telah membuatkan aku diam, mati akal untuk bersuara.
“Sudahlah Neesa, I nak naik atas! Jaga Qalisya elok-elok,” ucap ku sambil serah Qalisya ke dalam pelukan Neesa. Bayi itu merengek tidak mahu berenggang dengan ku, namun aku kuatkan semangat agar semua ini dapat ku tinggalkan segera.
Langkah ku atur menuju ke bilik dan beg pakaian yang terletak di atas almari ku gapai. Kemudian, beberapa helai pakaian ku masukkan ke dalam beg lantas beg yang kempis tadi kembali kembung. Memastikan semuanya kemas teratur, aku jinjing beg tadi lalu aku hampiri muka pintu, tombol ku pulas perlahan mahu mengatur langkah keluar dari kamar yang banyak menyimpan kenangan aku bersama Nia. Seketika langkah kaki terhenti, aku palingkan wajah menatap segenap ruang bilik, rasa sebak singgah di hati namun segera ku usir pergi agar sedih dan pilu itu dapat ku buang jauh dari hati yang bakal mati.
“Attar nak kemana ni?” soal mama cemas saat melihat aku menuruni anak tangga sambil menjinjing beg pakaian.
“Attar nak keluar dari rumah ni, nak duduk sendiri!” tutur ku sambil cuba pamer senyuman. Namun aku yakin senyuman ku tidak semanis mana, hambar! Aku kerling mama, sudah jauh dan banyak berbeza! Sejak Qalisya lahir, mama juga kembali pulih sepenuhnya. Mampu berjalan seperti biasa dan abah pula semakin kerap datang melawat mama dan Qalisya. Tentang Nia, perut itu semakin memboyot sedang aku tidak seharusnya meninggalkan dia dalam keadaan begini, namun aku terpaksa lakukan semua itu demi dia.  Ya, demi dia dan masa hadapannya. Aku tahu, ada seseorang yang bakal membahagiakan Nia suatu waktu nanti. Dan individu yang aku maksudkan, sudah tentunya Aiman. Ya, lelaki itu adalah bekas tunangan Nia!
“Abang jangan tinggalkan Nia bang...” Nia merayu diri ku.
 “Abang, abang tak sayangkan Nia?” tanya Nia menapak mendekati aku. Aku geleng kepala dan aku tatap wajah itu dengan pandangan kosong, sekosong hati ku yang sudah kehilangan sebuah rasa bahagia. Ya, Allah tabahkan hati ku. Aku tidak mahu mereka derita melihat aku sengsara.
“Kalau abang tak sayangkan Nia, tolong sayangkan anak ni bang... dia perlukan abang!” pujuk Nia menyentuh lenganku. Air mata sudah merembes di pipi mulus itu, jauh disudut hati ingin ku seka dan ku hapus air mata itu. Namun aku tak terdaya! Biarlah ku kuatkan hati ini agar tidak mudah lemah dan berundur dari keputusan yang sudah dibuat.
“Semua yang aku lakukan ini bersebab Nia, bukan kehendak aku. Aku terpaksa! Tapi semua ni demi masa depan kau nanti!” aku pejamkan mata mendengar bicara hati yang aku harapkan Nia juga dapat mendengar dan memahaminya. Namun aku tahu, semua itu sia-sia. Nia tidak perlu tahu alasan disebalik semua ini.
“Abang tak sayangkan Nia, cinta abang pada Nia dah lama berlalu! Abang dah penat nak tanggung semua ni, abang harap Nia terima dan redha dengan semua ni!’ tutur ku keras. Sengaja mencipta benci di hati Nia. Dan aku mula melangkah untuk beredar.
“Abang... jangan tinggalkan Nia bang! Kesiankan Nia bang,” rayu Nia sudah melurut memeluk erat kaki ku.
“Sudah! Jangan menagis lagi, aku benci dengar kau menagis, aku benci!” ucap ku semakin deras dan Nia semakin bertambah pilu dan air mata itu juga semakin laju mengalir. Hati ini sebak, aku lemah dengan esak tangis Nia lalu mata ku pejam erat agar kekuatan hati ini dapat ku pertahankan dan Nia dapat ku tinggalkan segera!
“Sudah, jangan ganggu aku lagi!” pautan Nia ku rentap. Lalu aku melangkah menjauhinya, tangis itu semakin kuat bergema.
“Attar, apa ni? Tak baik cakap macam tu!” tegur mama sudah berdiri dekat dengan tubuh ku.
“Attar, kenapa ni nak? Apa yang jadi ni?” soal abah pula. Masih berlembut dan tenang walau perbuatan aku sudah dianggap keterlaluan!
“Attar benci dia bah, sejak Attar kenal dia! Attar tak pernah rasa bahagia, dia bawa malang dalam hidup Attar! Dan Attar tak perlukan perempuan macam ni lagi! Tak perlu!” tutur ku lantang namun perlahan pula pada ayat-ayat terakhir. Sungguh aku juga terluka menutur patah bicara seumpama ini pada insan yang masih menjadi kesayangan ku. Aku juga sedang melukakan hati ku sendiri!
“Sampai hati abang, sampai hati abang!” esak Nia menyapa pendengaran ku. Menjadikan aku dihambat rasa sakit dan pedih! Sungguh aku tidak tergamak mengatakan ia di hadapan Nia, namun aku tahu ini pilihan yang aku ada. Hati itu perlu ku patahkan walau dengan apa cara sekalipun!
“Sudah jangan nak menangis, aku benci kau Farhanatul Nadia! Aku benci kau!” suara ku bergema lagi.
“Jangan ganggu hidup aku! Aku tak perlukan perempuan malang seperti kau!” lancang mulut ku menghamburkan kata-kata penuh pembohongan itu.
Panggg! Satu tamparan tepat mengenai wajah. Abah melayangkan tapak tangan tepat ke wajah ku. Aku gosok pipi yang terasa pijar dek tamparan kuat dari abah. Aku senyum sinis, cuba menerbitkan rasa benci di hati mereka semua.
“Sedar sikit apa yang sedang Attar cakapkan! Dia tetap isteri Attar selagi talak belum jatuh!” keras nada suara abah seaakan-akan mahu menyedarkan tingkah ku. Aku tahan air mata yang mahu gugur. Biarlah abah salah faham, biarlah mama bersalah sangka dan biarlah Nia memikirkan yang bukan-bukan tentang aku. Sejujurnya, perit ini biar aku sahaja yang menanggungnya sendirian!
“Attar, shall we move right now!”soal satu suara. Aku panggung wajah mencari pemilik suara itu, yang lain juga lakukan hal yang sama. Shasha dan Erin berdiri di muka pintu mungkin juga menyaksikan adegan tadi. Adegan aku ditampar oleh tangan bapa ku sendiri.
“Attar buat kerja lama tu lagi ya? Betulkan?”  keras nada suara mama buat aku tersentak, lambat-lambat aku jatuhkan kepala. Mengiyakan telahannya! Aku terpaksa berbohong agar mereka tidak curiga dengan perbuatan ku ini.
“Astaghfirullahal a’zim! Attar, apa nak jadi ni? Apa nak jadi ni Attar!” marah mama kuat. Abah juga sudah memicit kepalanya, hanya Neesa sahaja masih tenang memerhatikan raut wajah ku dan wajah Shasha serta Erin silih berganti.
“Attar dah bosan dengan cara hidup yang macam ni!” tutur ku pendek. Mendengar patah bicara ku tadi, mama segera menggapai beg yang ku letakkan di lantai lalu kembali tegak memerhatikan seraut wajah ku. Dengan pantas lengan ini digapai dan ditarik hingga melewati pintu utama. Beg itu dicampak ke tengah laman dan mama menolak tubuh ku keluar dari rumahnya hingga membuatkan aku jatuh terduduk.
“Berambus, keluar dari rumah mama! Mama tak nak tengok Attar selagi Attar tak kembali berubah!” gumam mama bersama amukannya. Aku terkesima, namun aku bersyukur sekurang-kurangnya aku dibenci mama dan tindakan ini sedikit sebanyak akan menjayakan rancangan yang ku atur lama.
“Mama... jangan buat abang macam ni mama. Nia sayangkan abang, ma!” Nia berlari mendapatkan aku.
“Nia, masuk! Mama kata masuk, baik Nia masuk!” larang mama pada Nia.
“Tak ma, Nia sayang abang! Nia tak nak abang pergi, Nia tak nak abang tinggalkan Nia!” ucap Nia mengharapkan pengertian mama. Pandangan itu berkaca-kaca memandang aku dan mama silih berganti.
“Nia jangan berdegil, sini masuk!” arah mama keras. Lengan Nia dilelar lalu tubuh itu diheret masuk ke dalam rumah. Melihat Nia diperlakukan sebegitu, hati ku semakin rapuh untuk terus berada di tengah-tengah kemarahan mama.
“Tolonglah mama, jangan pisahkan Nia dengan abang!” rayuan Nia disusuli esak tangis namun mama tidak mengendahkannya. Mama, wanita besi yang ku akui cukup tegas dan ego. Sudah tentunya tidak akan goyah dengan rayuan seperti itu. Aku cukup kenal siapa Sharifah Azilah yang sebenarnya!
“Masuk Nia, mama tak izinkan Nia jumpa Attar selagi dia tak berubah!” tegas mama seraya melepaskan pegangannya. Nia teresak lalu memandang aku dengan pandangan yang sukar aku mengertikan.
“Attar, jom!” Erin mencelah tatkala merasakan keadaan semakin tidak terkawal. Mungkin dia juga hairan dengan apa yang terjadi. Perlahan-lahan aku bangkit, namun Nia sekali lagi meluru mendapatkan aku.
“Abang jangan tinggal Nia bang! Jangan bang.... Nia memeluk tubuh ku. Namun saat itu, saat di mana semua mata tertumpu ke arah ku. Shasha dan Erin datang membantu aku bangkit.
“Lepaskan!” ucap ku perlahan. Nia mendongak ke arah ku lalu aku menggangguk perlahan. tidka tegar untuk terus mendera hati itu.
“Lepaskan abang!” ucap ku tegas namun perlahan.
“Kenapa?”
“Jangan tanya kenapa, yang penting... lepaskan abang!” rintih ku menahan rasa.
“Tolong lepaskan abang!” ucap ku benar-benar mengharapkannya. Perlahan-lahan Nia melepaskan pautan tangannya di tubuh ku.
“Sudah Nia, mama tak mahu Nia merayu Attar! Biar dia teruskan hidup dia, selagi dia tak berubah! Mama takkan terima dia kembali ke rumah ni! Nia tetap ada mama, mama akan jaga Nia walau Nia bukan isteri Attar lagi,” pujuk mama meredakan sendu di hati Nia.
“Tapi Nia sayangkan abang, Nia mengandungkan anak abang! Mama please halang abang, Nia sayangkan abang!” sedu sedan Nia merayu aku agar tidak meninggalkannya cukup menyentap tangkai hati ini. Perit hingga membuatkan ada air hangat mula bergenang di tubir mata ku.
“Aku tak sayangkan kau lagi, pergilah! Aku tak nak hidup dengan kau lagi!” gumam ku dalam sebak yang semakin tidak tertahan.
“Nia tak kisah kalau abang tak sayangkan Nia, tapi Nia perlukan abang! Anak Nia perlukan ayah!” rayu Nia memeluk tubuh ku kembali.
“Pergi, aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau! Aku benci kau!” aku kalih pandangan ke sisi tidak kuat untuk melihat air mata yang semakin laju gugur di pipi mulus itu.
“Nia. Ke  sini! Ikut mama,” mama datang menarik Nia menjauhi aku. Pegangan kejap Nia di lengan ini juga dileraikan oleh mama. Pandangan mata antara aku dan mama bertaut seketika, serta merta aku tundukkan wajah, hati ku tercalar pedih!
Dalam esak tangis dan titis air mata itu, guruh berdentum di dada langit! Tidak semena-mena hujan turun selebat-lebatnya, aku angkat wajah menatap dada langit yang hitam dan suram seperti hati ku kala ini. Dan air mata lelaki ini akhirnya tumpah juga bersama derai hujan yang semakin mencurah-curah ke bumi.
“Nia, bangkit nak! Mari masuk, nanti sakit pulak,” mama papah tubuh Nia agar dapat bangkit dan berlalu ke tempat teduh. Aku curi pandang pada seraut wajah yang cukup ku sayangi, namun sayang ini membuatkan aku tekad meneruskan segalanya.
“Maafkan abang Nia, abang sayangkan Nia! tapi sayang yang abang beri sering kali teruji dan sakitnya cukup hebat. Abang tak sanggup heret Nia bersama kesakitan ini!” hati kecil ini berbicara lagi.
“Attar, mulai hari ni mama tak izinkan Attar sentuh walau satu sen harta mama selagi mana Attar tak berubah! Mama haramkan!” ucap mama tegas. Aku masih lagi berdiri, tubuh ini masih lagi disimbah air hujan. Kulit yang terasa pedih ditimpa hujan ku biarkan begitu sahaja, kerana aku tahu hati ini menanggung kesakitan yang lebih dahsyat dari itu!
“Sherry, apa ni? Tak baik cakap macam tu! Attar tu anak kita,” tegur abah melarang mama membuat keputusan dalam emosi yang tidak terkawal.
“Sherry tak suka dia kembali kepada perangai lama dia bang, dapat isteri sebaik Nia diceraikan semata-mata nak buat kerja jahat tu! Sherry tak izinkan!” gumam mama menyebut perkataan itu buat kali kedua.
“Astaghfirullahal a’zim! Apalah nak jadi dengan semua ni. Neesa ambil Qalisya bawak masuk ke dalam, nanti demam pulak!” arah abah saat melihat Qalisya merangkak sampai ke muka pintu. Tempias hujan juga sudah mengenai wajah mereka yang berlindung di bawah gazebo berhampiran muka pintu. Tentang Qalisya, mungkin bayi perempuan itu mahu mengucapkan selamat tinggal kepada papanya ini.
Saat Neesa mencempung tubuh kecil itu, Qalisya menagis kuat, bagai enggan melepaskan aku pergi, tangan itu bagai menggapai-gapai mahu mendapatkan aku. Nia pula masih teresak di bahu mama meratapi tindakan nekad ini. Aku pandang tubuh yang kebasahan disimbah hujan, berat hati untuk melangkah pergi namun aku tahu tiada lagi tempat untuk aku di sini dan aku juga tahu ini adalah satu-satunya rancangan yang ku atur namun kepedihan diusir oleh ibu sendiri cukup menikam hati ini walau ia sudah lama ku jangkakan.
Aku angkat kaki yang terasa berat lantas kunci kereta ku letakkan di sudut meja kecil di sudut garaj, lalu beg yang sudah basah disimbah hujan ku capai dan ku jinjit perlahan menuju ke arah kereta Erin yang diletakkan di luar pagar.
“Jangan kembali selagi Attar tak berubah!” peringat mama melawan bunyi hujan yang menderu turun.
“Ya, Attar akan kembali! Akan kembali, bila tiba masanya kelak! Hanya jasad tanpa nyawa!” bisik ku perlahan.
**

“Attar, apa yang jadi sebenarnya ni? Aku tak fahamlah!” tanya Erin tenang memandu. Shasha yang pernah tertangkap dengan perbuatan kejinya bersama papa tiriku dahulu sudah banyak berubah bahkan lebih baik dari sebelum ini hanya memandang ku sekilas.
“Nah, ambillah tisu ni! Kalau kau nak sarung jaket tu ambiklah!” ucap Shasha sambil hulur kotak tisu ke arah ku. Aku sambut namun untuk membuka cerita tentang kisah sendiri terasa berat untuk dilafazkan.
“Tak apalah Attar, aku tak paksa! Kalau ada apa-apa yang kau perlukan, just contact je, kitorang datang! Mana yang boleh kitorang bantu, kitorang buatlah! Aku harap kau sabar ya!” gumam Erin tenang. Hati itu mungkin tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi, biarlah mereka meneka sendiri. Tidak sesekali untuk aku membuka bicara tentang hal ini lagi.
“Thanks Erin thanks Sha, nanti hentikan aku dekat sana ya!” unjuk ku ke arah sebuah pondok perhentian bas. “Kau nak kemana ni Attar?” Erin menyoal.
“Eh, biarlah kitorang yang hantar kau!” protes Shasha buat aku tersenyum kecil.
“Entah! Biar ajelah kitorang yang hantarkan kau Attar!” sokong Erin bersungguh-sungguh.
 “Tak perlulah Rin. Aku rasa cukup sampai dekat situ, selebihnya pandai-pandailah aku!” aku tolak pelawaan Shasha dan Erin dengan baik.
“Up to you. Aku tak nak paksa kau!”
“Thanks Sha,” balas ku perlahan.
Setelah kereta di hentikan, aku menapak lesu menuju ke pondok menunggu bas. Ingin mendapatkan teksi. Seketika teksi yang ku tahan berhenti dan aku melangkah mendekati kenderaan itu.
“Encik nak kemana?” soal pemandu teksi itu saat aku sudah duduk di tempat duduk penumpang.
“Wangsa Maju, apartment Kristal!” tutur ku dan dia angguk sahaja lantas memecut menuju ke destinasi yang ku katakan tadi.

Hari ini 25 May 2012, aku kembali semula ke rumah ini. Rumah yang bertahun aku tinggalkan dahulu dan kini aku kembali untuk menetap di sini lagi. Beg pakaian ku letakkan di atas kusyen yang kelihatan berhabuk, dan dihujung deretan kusyen ini kelihatan sebuah kabinet kayu yang tersusun buku-buku sejak zaman persekolah ku lagi.
Sedang aku membelek buku-buku itu, terasa pandangan mata ku berpinar dan terasa bagai ada cecair mengalir melalui rongga hidung. Mungkin aku sudah selsema terkena hujan sejak tadi lagi. Aku seka cecair yang mengalir dengan sapu tangan yang pernah dihadiahkan oleh Nia. Apa yang ku jangkakan meleset sama sekali. Cecair merah itu sedang mencemarkan warna putih sapu tangan ini. Aku berpaling lantas aku dekati beg pakaian. Bekas kecil yang terkandung butir-butir pil bewarna warni itu ku gapai.















BAB 44

Aku hela nafas yang terasa berat menghimpit dada, sakitnya hanya tuhan yang tahu. Ya Allah, kuatkan dan tabahkan hati ini. Semoga aku dapat terus bertahan sehingga sampai masa untuk aku kembali kepadaMu. Berikan aku kesempatan untuk aku melihat zuriat ku sebelum KAU jemput aku pulang kepadaMU. Kerana aku benar-benar rindukan kehadirannya dan aku amat ingin sekali mengendong darah dagingku walaupun untuk sekali itu.
Guruh masih berdentum di dada langit, aku perhatikan langit yang kelam. Hujan masih mencurah-curah membasahi bumi yang beberapa hari ini kering kontang, sesekali rindu terhadap insan yang pernah bersama ku dahulu datang menjengah. Apa khabar agaknya Nia dan buah cinta kami, Qalisya dan Neesa, mama juga abah. Semuanya insan yang amat ku rindu dan amat ku kasih hingga mendorong aku lakukan semua ini. Apa yang ku harapan nanti, agar mereka tidak terlalu bersedih dan berduka berhadapan takdir itu. Aku mahu mereka redha akan kepergian ku nanti! Dan ketika itu, aku mengharapkan agar mereka semua memahami sebab disebalik keputusan yang ku ambil.
Keputusan telah ku buat, sebaik Nia melahirkan zuriat aku nanti secara automatiknya akan jatuh talak yang ku lafazkan padanya. Ini yang terbaik buat Nia, aku mahukan anak ku nanti berayah dan Nia dijaga dan disayangi oleh seorang lelaki yang sudi dan ikhlas menerimanya setelah ketiadaan ku nanti. Dan Aiman mungkin dia lelaki yang terbaik buat Nia kerana lelaki itu cukup serba serbi. Ya dia sempurna pada perkiraan ku berbanding aku yang serba kekurangan ini.
Jam peringatan berdering ketika aku sedang melayani khayalan ini. Mengingatkan aku pada temu janji yang pernah dibuat.
“Encik Attar, kami memerlukan persetujuan encik untuk teruskan pembedahan mencegah penyakit yang encik tanggung sekarang ini. Apa yang pihak kami perlukan, encik harus memenuhi syarat yang ditetapkan. Jika tidak, pembedahan ini tidak dapat dilaksanakan dan kemungkinan risiko penyakit encik merebak akan bertambah tinggi, dan pada tahap ini kami berharap agar encik dapat berbincang dengan ahli keluarga tentang apa yang kami cadangkan. Kami hanya mampu bertindak jika encik bersetuju, jika tidak kami tidak mampu melakukannya sendirian.” Kata-kata doktor pakar itu terngiang-ngiang sekali lagi. Dari mana dan bagaimana mencari ia dalam masa terdekat ini? Pada siapa untuk aku bergantung harap? Pada mama? Semua itu tidak mungkin, harta dan wang ringgit tak mampu mengembalikan kesihatan aku seperti sedia kala. Jika dahulu aku lumpuh, aku sakit dan kembali pulih kerana kekayaan yang membuatkan aku boleh lakukan apa sahaja, namun kali ini Allah membuka mata aku. Harta dan kekayaan melimpah ruah bukan jaminan sebuah kesihatan. Dan aku akur dengan ketetapan yang telah tersurat buat ku.
“Doktor tak ada cara lain lagi ke? Tolonglah doktor, usahakan sesuatu untuk saya.” Rayu ku benar-benar berharap hingga terlupa doktor juga manusia biasa, bukan Tuhan yang mampu memberi segala apa yang ku pinta.
“Encik Attar, maafkan kami. Kami hanya mampu berusaha, cuma ini sahaja jalan yang boleh menyelamatkan Encik. Kami harap encik bersabar dan boleh memberi keputusan dalam masa yang terdekat. Berbincanglah dengan ahli keluarga, dan dapatkan sokongan mereka. Insyaallah encik lebih bersemangat meneruskan hidup,” gumam doktor itu lagi.
“Doktor, saya tahu ini jalan terakhir yang saya ada... tapi dari mana dan dari siapa untuk saya dapatkannya? Saya buntu doktor!” jawab ku terus terang dan doktor yang sudah berusia awal lima puluhan itu diam seketika. Aku tahu, dia juga buntu apatah lagi penyakit yang ku alami bukan penyakit yang akan sembuh hanya apabila aku memakan ubat. Hanya pembedahan sahaja mampu mengurangkan risiko dan kesan buruk penyakit ini.
“Maaf encik Attar, pihak kami hanya mampu menasihati Encik. Segala keputusan yang berkaitan adalah dibawah tanggungjawab Encik sendiri. Nasihat saya, Encik balik dan tenangkan fikiran, dan bila Encik ada jawapannya nanti, sila maklumkan kepada pihak kami. Dan kami akan bertindak secepat mungkin demi kesihatan pesakit dibawah kendalian pihak hospital kami.” Aku mengangguk sekali. Faham dengan patah bicara doktor itu dan aku juga tahu serta mengerti bahawasanya harapan aku untuk hidup sihat seperti sedia kala amat tipis. Penderma organ yang ada tidak bersesuaian dengan kondisi tubuh ini, pada siapa lagi harus aku taruhkan harapan itu? Wajah ku raup, mengumpul kekuatan untuk terus bertahan lalu nafas ku helan perlahan. Bicara ku atur semula.
“Baiklah doktor, kalau macam tu saya balik dulu!” ujar ku seraya bangkit dan berjabat dengan doktor itu. Dia pamerkan senyuman seraya menepuk belakang tubuh ku.
“Banyakkan bersabar dan bedoalah kepada Allah,” pesan doktor itu tenang berbicara.
“Insyallah doktor,” balas ku bersama anggukan kecil. “Saya keluar dulu,” tutur ku lagi.
“Baiklah, silakan!” mesra layanan doktor itu buat hati ku kembali tenang dari resah yang sedari tadi datang bertandang.
Aku atur langkah yang lemah dan tiada semangat ini menyusuri koridor yang terbuka luas. Kanak-kanak bermain di padang permainan ku perhatikan lama, senyuman ku ukir di bibir. Keletah dan tingkah si kecil bersama pengawasan ibu bapa ku perhatikan dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Mungkin Qalisya juga begitu bila di bawa ke padang permainan dan mungkin juga zuriat ku nanti akan ketawa keseronokan sebegitu. Namun jauh disudut hati, masih adakah ruang dan peluang untuk aku nikmati semuanya nanti? Kali ini aku tertunduk menekur lantai, hati ini semakin dihambat rasa pilu yang mencengkam. Rasa bersalah juga menghimpit dada bila Nia ku tinggalkan saat wanita itu memerlukan aku! Ya Allah, ampunkan segala dosa ku pada Nia dan pada semua yang masih menjadi tanggungjawab ku! Aku lari dari amanahMU. Ampunkan aku Ya Allah!
Langkah kaki terus ku atur satu persatu menyusuri trek pejalan kaki menuju ke hentian teksi. Beberapa ketika, kelibat teksi yang ku tunggu berhenti di hentian itu.
“Nak kemana ni encik?” pemandu teksi tenang bersuara sebaik melihat aku masuk ke dalam perut teksinya.
“Wangsa Maju pakcik,” gumam ku perlahan.
“Muka encik pucat, sakit ke?” aku angguk sahaja sebagai respon persoalannya.
“Sakit apa?” tenang diri itu berbicara, menjadikan suasana sunyi tadi terisi dengan perbualan.
“Kanser hati pakcik,” jawab ku cuba mengikis sebak yang singgah. Sebak kerana menghidapi penyakit yang berbahaya seperti penyakit kanser ini. Tertunduk seketika memerhatikan jari jemari yang semakin membengkak. Masihkah ada hari esok untuk aku terus menghirup udara segar dan mendengar kicau burung seperti hari-hari lepas?
“Sabar ya encik, Insyallah Encik selamat! Doa banyak-banyak Insyallah, Allah akan perkenankan doa hambaNya. Pohonlah pada yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih! Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap hambaNya,” bicara lelaki pertengahan usia 40-an itu buat aku rasa tenang dari sebak yang hadir. Ya, doa satu-satunya cara yang aku ada selain usaha dan bertawakal.
“Pakcik tolong doakan untuk saya iya,” pinta ku bersama satu senyuman.
“Insyallah Encik, kalau boleh pohonlah doa dari ibu bapa. Doa seorang ibu mudah makbul, doa seorang ayah juga mudah ditunaikan.” Ucapnya lagi. Sejenak itu, ingatan ku berlabuh pada dua insan yang membawa aku ke dunia ini. Mama, juga abah!
“Selagi Encik ada ibu dan ayah, mohonlah pada mereka agar mendoakan kesejahteraan Encik. Berkat doa ibu dan bapa penentu kebaikan anaknya di dunia. Dan apabila mereka telah tiada, doa si anak pula ditagih oleh mereka di alam sana.” Ucap pemandu teksi itu. Aku tekun mendengar!
“Tapi umur saya tak panjang pak cik.” Luah ku perlahan.
“Encik takut pada kematian?” pertanyaannya buat aku tersentak. Melihat perubahan raut wajah ku, pemandu teksi itu tersenyum lagi.
“Mati itu pasti, jangan takut kepada kematian. Takutlah pada amalan yang bakal dibawa ke sana nanti!” bibir itu melontar kata. Ya, kematian itu pasti! Namun bersediakan aku? Amalan aku?  Terlalu banyak cacat celanya!
“Saya tak bersedia lagi, amalan saya tak cukup! Tapi penyakit saya dah teruk!” sahut ku perlahan.
“Sabarlah Encik, Allah bersama hambaNya yang sabar.” Gumam pemandu teksi itu lagi.
“Terima kasih pak cik, sejuk sikit hati saya dengar kata-kata pak cik!” tutur ku ikhlas.
“Sama-sama, pak cik harapkan encik akan kembali pulih seperti dulu.” Gumamnya lagi.
“Terima kasih sekali lagi pak cik, semoga kata-kata pak cik menjadi doa untuk saya! Pak cik, tolong turunkan saya di situ.” Unjuk ku ke hentian bas yang lengang.
Teksi dihentikan di tempat yang ku maksudkan tadi. Perlahan-lahan beg duit ku gapai lalu not sepuluh ringgit ku keluarkan darinya setelah jumlah sebenar tambang  di meter teksi terlihat diruang mata.
“Nah pakcik, lebihnya pakcik ambillah!” ucap ku sambil serah kepada lelaki yang kemas dalam penampilan kemeja putih dan berseluar hitam itu. Dengan kudrat yang semakin lemah aku melangkah keluar dari perut teksi.
“Encik, bakinya.” Pemandu teksi itu mengunjuk baki namun aku isyaratkan tangan kepadanya agar dia mengambil sahaja baki itu, lalu pintu teksi ku rapatkan kembali.
“Terima kasih, assalammualaiku..” bibir itu mengungkap kata penghargaan. Aku sekadar mengangguk lalu menyahut salamnya.
Sesudah itu, aku atur langkah menyusuri laluan tidak berbumbung menuju ke arah lif di tengah  bangunan, lalu pintu lif yang terkuak ku bolosi masuk ke dalamnya. Butang tertera nombor 15 ku tekan dan serentak itu lif mambawa aku naik ke tingkat tersebut.
Tiba sahaja diperkarangan koridor menuju ke rumah bernombor 5A, telefon bimbit yang terletak di dalam poket seluar bergetar beberapa kali. Laju sahaja aku seluk dan keluarkan gajet itu untuk melihat siapakah yang sedang menghubungi aku? Tangan kanan ku biarkan menyentuh telefon manakala tangan kiri pula ligat menolak gril setelah tubuh ini betul-betul berdiri di hadapan pintu rumah! Pandangan ku jatuhkan ke atas permukaan skrin telefon dan sebaris nama yang cukup ku kenali timbul di situ.
“Neesa???” aku tekan butang hijau lalu suara itu kedengaran sayup-sayup  dalam masa yang sama langkah ku atur masuk ke dalam rumah lalu daun pintu ku rapatkan semula.
“Attar, you dekat mana ni? Tak nak balik ke? Qalisya rindukan you,” aku dengar suara Neesa jauh di sebelah sana. Qalisya? Aku juga rindukan anak kecil ku itu.
“Buat masa terdekat ni mungkin tidak Neesa, sampaikan peluk cium I pada Qalisya. Pesan pada dia yang daddy sayangkan dia.” Gumam ku lagi sambil duduk termangu di kusyen yang terletak di tengah ruang tamu. Dengan tiba-tiba, di dalam dada ini merasakan kesakitan yang amat sangat! Perlahan-lahan tapak tangan ku tekap dan ku gosok lembut agar kesakitan ini berlalu pergi.
“Baliklah Attar, you tahu tak Nia sekarang ni tengah sakit! Dia nak bersalin!” tutur Neesa buat hati ku berderau dan berdebar. Risau, gembira dan keliru datang menyerbu. Semuanya bersatu!
“Bersalin?” soal ku pendek dan kedengaran cemas. Tubuh yang tadinya bersandar ke kusyen ku tegakkan semula.
“Entahlah, dah berapa hari dia tak ada selera makan. Badan pun dah kurus sedikit, mungkin kena tahan di wad!” ucap Neesa buat aku tidak senang duduk. Ya Allah, selamatkan Nia isteriku.
“Siapa hantar Nia ke hospital?” soal ku bersama perasaan yang sukar ku mengertikan. Bimbang dan gundah bercampur baur.
“Abah baru hantar ke hospital! You tak nak tengok dia?” aku senyap, perlukan aku melihat Nia yang bakal menjadi ibu tunggal itu?
“Attar, Nia still isteri you selagi dia belum lahirkan baby you. Pergilah jenguk dia, dia perlukan you waktu-waktu macam ni!” aku hanya pasang telinga mendengar nasihat Neesa agar aku sudi melawat Nia di hospital. Wanita itu sedang berperang dengan kesakitan untuk melahirkan zuriat ku. Aku raup wajah, perlukah aku ke sana?
“Attar, you dengar ke tidak? Datanglah jenguk Nia!” ucap Neesa sedikit tinggi nada suaranya. Aku hela nafas ini perlahan-lahan. Menyusun kata sebelum semuanya ku luahkan pada Neesa di hujung talian.
“Boleh ke I ke sana?” soal ku tidak yakin aku dibenarkan melawat Nia tanpa pengetahuan insan lain. Aku tidak mahu terserempak mahupun bertemu mama dan abah!  Apatah keadaan aku ketika ini amat-amat berbeza dengan aku yang dulu. Susuk tubuh ku sudah susut, perut pula semakin membuncit dan seluruh kulit sudah bertukar kekuning-kuningan. Aku tidak sanggup mereka melihat aku dalam keadaan sebegini. Pasti rahsia yang ku sembunyikan akan terbongkar begitu sahaja.
“Apasal pulak tak boleh? Nia isteri you!” ucap Neesa menjelaskan hubungan aku dan Nia. Suaranya yang nyaring menyedarkan aku dari lamunan yang datang bertamu seketika tadi.
“I tahu dia isteri I, tapi sebaik dia lahirkan anak I.... dia bukan lagi isteri I! Dan I tak nak jumpa mama dan abah!” gumam ku perlahan berharap Neesa memahami keadaan ku. Keadaan aku yang tidak mengizinkan!
“Entah la.... I tak tahu nak cakap apa!” Neesa juga bagai tiada apa untuk diperkatakan kepada ku lagi.
“Betul ni, you tak nak tengok Nia?” sekali lagi Neesa meminta kepastian. Aku membisu seketika, antara keinginan dan kebimbangan... aku harus memilih satu di antara dua.
“Attar,” panggil Neesa setelah aku senyap tidak membalas pertanyaannya.
“Eh, orang cakap dengan dia... boleh pulak dia senyap aje! Mohd Fiqri Attar! Dengar ke tidak?” jerit Neesa membentak kuat.
“Hello.. ha hello!” aku tersedar.
“You dengar ke tidak?” soal Neesa kasar.
“Dengar!” sahut ku sepatah. Masih berkira-kira.
“Nak jumpa atau tidak?”
“I rasa....” aku memikirkan kembali keputusan yang harus ku ambil.
“Cepatlah!” gerutu Neesa tidak sabar.
“Neesa, sejujur-jujurnya.... I betul-betul nak ke sana. I nak jumpa Nia... tapi I tak mahu terserempak dengan mama dan abah!” ungkap ku menyuarakan isi hati.
 “Tapi you kena tolong I, cover line untuk I boleh?” pinta ku pada Neesa. Lama berbicara akhirnya dia bersetuju membantu aku bertemu Nia. Aku raup wajah lalu kata syukur ku panjatkan kepada Maha Pencipta.
“Thanks Neesa, you’lah sahabat merangkap isteri I yang paling memahami.” Aku puji wanita itu. Dia masih lagi isteri ku walau perasaan sayang itu sukar untuk ku beri kepadanya semula.
“Banyaklah!” bebel Neesa sebelum mematikan talian.

**
Dengan menumpang teksi, aku gagahi langkah kaki memasuki kawasan wad bersalin. Kelibat Neesa ku perhatikan, wanita itu masih tidak kelihatan. Persekitaran hospital itu juga ku tinjau agar aku sama sekali tidak bertembung dengan mama dan abah! Aku tidak bersedia lagi untuk menemui keduanya! Biarlah aku sembunyikan diri dari ditangkap oleh kedua pasang mata tua itu!
Lama menunggu, Neesa ku hubungi dan tidak lama kemudian dia muncul bersama Qalisya. Laju sahaja bayi kecil ini menyua tangan ke arah ku minta didukung. Aku kucup pipi montel itu bertalu-talu, melepaskan rindu setelah hampir tiga minggu tidak bersua.
“Qalisya rindu daddy tak?” aku soal bayi itu bagai ia pandai berbicara sedangkan hanya rengek dan tawa halus sahaja yang kedengaran.
“Attar, cepatlah! Nia tengah tidur sekarang!” gumam Neesa mengingatkan aku.
“Siapa lagi yang ada?” aku bertanya tentang keadaan Nia di dalam bilik rawatan itu.
“Tak ada sesiapa, mama dan abah dah lama balik! Sekejap lagi diorang datang bawa barang-barang Nia, I yang jaga Nia sekarang! Apa kata you jumpa dia dulu,” cadang Neesa ku angguk sahaja. “Jom!” ucap Neesa lalu mengorak langkah menuju ke bilik rawatan Nia. Aku pula hanya mengekori langkah itu dari arah belakang.
“Pergilah masuk, dia tengah tidur!” Ucap Neesa sebaik sahaja aku dan dia tiba di muka pintu bilik rawatan bernombor U-13.
“You?” soal ku pendek.
“I tunggu dekat depan ni. Kalau mama dan abah datang, I inform you!” gumam Neesa lagi.
“Thanks!” ucap ku seraya memulas tombol pintu masuk ke dalam kamar rawatan Nia. Wajahnya yang sedang tertidur ku perhatikan tanpa lepas. Ada sedikit kesayuan yang terbias di raut wajahnya itu walaupun dia sedang terlena ketika ini. Dari alis, aku kalihkan pandangan ini ke batang hidungnya sebelum jatuh pada seulas bibir yang merah pucat lalu singgah pula ke perutnya.
“Abang cintakan Nia!” bisik hati ku di dalam diam. “Abang sayangkan Nia, abang perlukan Nia.... abang akan doakan Nia dan anak kita selamat.” rintih hati ku memanjat doa buat dirinya.
“Abang akan tetap sayangkan Nia!” ucap ku perlahan lalu aku jatuhkan kucupan di dahi itu. Sesudah itu, aku sentuh perutnya yang memboyot dan satu kucupan kasih ku beri buat si kecil di dalam sana agar dia mengerti mengapa aku lakukan semua ini pada ibunya. Pada insan yang aku cinta!
“Sayang.... daddy doakan sayang selamat lahir ke dunia! Semoga membesar sebagai anak yang soleh!” doa ku untuknya. Aku tegakkan tubuh ku semula, raut wajah Nia ku perhatikan tanpa lepas.
 “Nia, abang sayangkan Nia hingga hujung nyawa abang. Walau apa yang terjadi selepas ini, abang harap Nia akan tabah dan terima ketentuan ini dengan hati yang terbuka. Semua yang terjadi ada jalan ceritanya sayang, tak mungkin untuk abang sakiti hati Nia andai hati abang juga turut terluka.
Sayang, abang kena pergi dulu! Doa dan harapan abang akan sentiasa iringi Nia  selagi Allah mengizinkan abang bernafas. Selagi Allah membenarkan jantung ini berdenyut! Abang akan tetap cinta dan kasihkan Nia! Semoga Nia selamat melahirkan zuriat abang!” aku kucup dahi itu sekali lagi lalu aku bangkit meninggalkan Nia sebelum dia tersedar dari lenanya.
“Attar, mama dan abah dah sampai!” Neesa hampiri aku dan laju sahaja dia khabarkan tentang kedatangan mama serta abah kepada ku.
“You tunggu dekat situ, bila abah dan mama dah lepas nanti. You keluar perlahan-lahan ikut jalan sana!” cadang Neesa sambil meredakan rengek Qalisya yang mahu mengikut aku. Aku kucup pipi si kecil itu, lalu ku alih pandangan ke arah tempat yang dimaksudkan oleh Neesa.
“I pergi dulu! Kalau ada apa-apa berita tentang Nia, jangan lupa maklumkan pada I!” aku berpesan pada Neesa lantas bergegas menyembunyikan diri dari tertangkap oleh pandangan mama dan juga abah.
“Nia, bangun nak.... mama dah sampai ni. Makan sikit ya, dari semalam Nia tak makan.” Pujuk mama sambil menarik kerusi yang disediakan di sisi katil pesakit. Aku hanya memerhati, melihat situasi Nia dari jauh sambil menunggu peluang untuk melepaskan diri.
“Nia nak abang, abang mana ma? Nia rindu abang, tadi abang datang jumpa Nia.” tutur Nia bersulam sebak dan serak menahan rasa sedih yang singgah ke hati.  Aku mengerti perasaan itu kerana aku juga terseksa dengan keadaan yang harus ku tempuh.
“Abang juga rindukan Nia,” bisik hati kecil ini melontar rasa hati.
“Mana ada Attar datang. Sudah tu, Nia makan dulu iya... sikit pun jadilah.” Pujuk mama sambil menyudukan bubur. Namun Nia menepis perlahan.
“Janganlah macam ni nak, mama risaukan keadaan Nia. Nanti tak ada tenaga nak lahirkan baby,” gumam mama masih tenang memujuk Nia yang enggan menjamah. Waktu ini aku akui, kesedihan hati mula menjerut perasaan, dan aku tidak sanggup berada lama di sini. Sedih itu semakin kuat mencengkam hati dan aku seharusnya segera beredar pergi.
“Abang mana ma? Nia rindukan abang.” Rintih Nia bersama sendu.
“Mama dah cari Attar, tapi tak jumpa! InsyaAllah kalau mama jumpa mama bawa dia kemari jumpa Nia!” pujuk mama walau aku tahu mama tidak pernah sekalipun mencari aku. Hati ku kembali sebak! Ya Allah, kuatkan hati ku.
“Nia nak jumpa abang sebelum Nia bersalin ma, Nia nak minta ampun dan maaf! Nia nak peluk abang kuat-kuat dan Nia nak cakap yang Nia sayangkan abang ma. Nia tahu lepas Nia lahirkan baby ni, Nia bukan lagi isteri abang! Mama, tolong carikan abang untuk Nia.” suara bersulam esak dan tangis itu seakan-akan mencengkam erat ulu hati  ku. Sakit!
“Ma... tolonglah Nia!” suara itu kembali menyedarkan  aku. Aku kalihkan pandangan ke arah Nia, jari jemari itu memegang erat lengan mama.
“Nia, jangan macam ni. Tolong la sayang!” aju mama memeluk erat tubuh Nia.
“Tolonglah Nia ma, sekali ni je... Nia janji, Nia takkan minta apa-apa lagi pada mama. Nia nak minta ampun pada abang, Nia sayangkan abang ma!” Nia bertegas di dalam sendu.
“Nia, abang juga sayangkan Nia! Jangan risau, abang akan sentiasa ampunkan kesalahan Nia. Abang akan doakan Nia hingga ke hujung nafas abang!” bisik hati ku sebak. Entah bila ada air jernih bergenang di tubir mata, sungguh hati ini sebak dengan keadaan sebegini.
“Mama, bila Nia boleh jumpa abang? Nia janji bila Nia jumpa abang,  Nia takkan sakitkan hati abang lagi.” Ucapnya sambil menyeka air mata. Aku semakin pilu, sungguh Nia tidak pernah melakukan kesalahan terhadap aku selama ini. Hanya aku, ya hanya aku yang tegar membuatkan hatinya terluka berulang kali.
“Nia, sayangkan abang... anak Nia pun sayangkan ayahnya.” Ucap Nia perlahan namun masih sempat menerpa halwa telinga ku.
“Nia, jangan mcam ni nak.” Pujuk mama.
“Betul tu Nia, jangan terlalu banyak berfikir! Rehatlah, Insyallah bila jumpa Attar... abah janji akan bawa Attar jumpa Nia.” kini giliran abah pula memujuk hati Nia yang rawan.
“Betul ke bah?” soal Nia memandang abah dengan pandangan penuh bercahaya.
“Insyallah Nia,” abah tersenyum. Nia menyeka air matanya seraya menyentuh perut yang memboyot. Seakan-akan memberi harapan kepada anak kami.
“Nia betul-betul nak jumpa abang,” bisik Nia lagi. Aku berasa lega melihat keadaan Nia yang semakin tenang. Hati yang gusar kambali reda dan raut wajah itu ku renung dari jauh. Sebaik ketenangan ini menghalau resah ku tadi, aku kembali dipagut gundah melihat riak Nia yang sudah berkerut-kerut itu.
“Nia kenapa ni?” soal mama cemas.
“Ma, perut Nia sakit ma! Aduh, sakit sangat ma,” aku dengar suara Nia merintih kesakitan.
“Nia kenapa?” mama panik melihat Nia mengaduh sakit.
“Perut Nia sakit ma,” jawab Nia menahan sakit yang tiba-tiba datang. Aku yang melihat juga dihambat perasaan bimbang, bagaimana harus Nia menghadapinya bersendirian sedang aku tidak dapat bersama dengannya nanti.
“Nia nak bersalin ke?” mama menyoal Neesa yang senyap sedari tadi. “Tadi doktor kata baru terbuka dua sentimeter, sekejap Neesa panggil nurse ya ma.” Neesa menyerahkan Qalisyakepada abah.
“Cepat sikit ya,  Neesa!” gesa abah pula.
“Ya, Neesa pergi ni bah!” balas Neesa berlari-lari anak mendapatkan bantuan. Aku di sini benar-benar lemah melihat keadaan Nia. “Ya Allah selamatkanlah Nia, permudahkan segalanya tentang Nia!”  hati kecil ku berdoa dan berharap agar Nia dapat melalui semuanya dengan tabah.
“Ya, Allah.. tolonglah selamatkan Nia dan anak ku. Pindahkan segala kesakitannya kepada aku, aku redha! Selamatkanlah dia, Ya Allah! ” rintih hati ini. Perlahan-lahan air mata ku kembali merembes.
Lima minit berlalu, pintu bilik wad terkuak dari luar. Neesa muncul bersama seorang jururawat yang memakai seragam bewarna biru.
 “Nurse, macam mana ni? Betul ke kawan saya ni dah nak bersalin?” pertanyaan Neesa buat aku berdebar menunggu jawapan dari jururawat yang memeriksa.
“Mengikut pemeriksaan kami, pintu rahim sudah terbuka. Puan Farhana boleh dibawa ke bilik bersalin. Puan dan encik semua sila beri laluan ya,” katil Nia digerakkan dan mula disorong  keluar dari bilik wad itu.
Dari celehan tingkap kaca yang terbuka sedikit, aku lihat Nia disorong keluar dari bilik rawatan menuju ke wad bersalin. Mama dan abah turut ada, Neesa juga turut bersama mengiringi Nia, cuma aku.. ya aku yang masih di sini. Hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa! Aku tekap tapak tangan di dada, di sini perasaan sebak itu sudah bersatu dengan restu serta doa. Agar Allah sentiasa bersamamu, Nia!

**
 “Mama dengan abah kemana?”bisik ku dekat ditelinga itu.
“Attar! Terkejut I...,” aku senyum lalu  Qalisya ku ampu di atas riba.
“Mama dengan abah pergi solat zohor, dah pukul tiga. Nia pulak entah pukul berapa nak bersalinnya, biasalah anak sulung. Lambat sikit,” komen Neesa sambil tersenyum nipis.
“You dah solat?” Neesa menyoal diri ku semula.
“Dah, baru je tadi!” ulas ku sambil kucup pipi Qalisya yang sudah pandai memasukkan apa sahaja barang yang dijumpai ke dalam mulut.
“Baguslah!” Neesa tersenyum. Sedang aku membalas bicara dan pertanyaan Neesa, pintu bilik pembedahan terkuak. Seorang jururawat yang lengkap dengan uniform khas berdiri berdekatan muka pintu.
“Siapa suami puan Farhanatul Nadia?” Neesa menoleh ke arah ku .
“Pergilah,” suruh Neesa seraya mengambil Qalisya di pelukan ku.
“Saya,” aku bangkit lalu hampiri jururawat itu.
“Isteri encik dah bersalin, anak lelaki. Jadi bolehlah encik azan dan iqamatkan anak encik nanti. Oh ya, ini semua maklumat isteri encik, encik boleh dapatkan apa-apa maklumat tentang kesihatan isteri encik di sana ya. Kaunter pengurusan kelahiran diunjuk ke arah ku, aku mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah,” kata syukur ku lafazkan penuh makna. Aku sudah bergelar bapa! Ya seorang bapa, gelaran yang cukup didambakan oleh lelaki yang mendambakan kelahiran zuriat dari darah dagingnya sendiri.
“Tahniah encik,” tutur jururawat itu lembut.
“Terima kasih nurse,” ucap ku sambil meninggalkan jururawat yang masih berdiri di muka pintu. Neesa ku hampiri, ingin ku kongsi berita gembira ini bersama Neesa!
“Neesa, Nia dah bersalin. I dapat anak lelaki, so maknanya  I dah ada sepasang anak!” tutur ku dalam rasa gembira yang membuatkan kesakitan yang ku deritai selama ini  seperti hilang begitu sahaja.
“Tahniah Attar, Qalisya dan dapat adik.” Balas Neesa juga teruja.
“I nak jumpa Nia dan anak I sekejap, nak azan dan iqamatkan baby boy.” Ucap ku teruja.
“Cepatlah, nanti mama dan abah datang pula.” Bisik Neesa mengingatkan aku.
“Okey, I pergi dulu. Kalau mama dan abah datang tolong sedarkan I. I takut terlupa,” pesan ku dianggukan sahaja oleh Neesa.
“Okey, jangan risau! I akan cover line untuk you. Dah, baik you  pergi sekarang!” arah Neesa menolak bahu ku agar aku segera berlalu menemui Nia di dalam sana.
Dalam langkah berhati-hati itu, aku pulas tombol pintu perlahan-lahan agar tiada bunyi yang kedengaran. Nia sedang tertidur keletihan! Mungkin kehabisan tenaga ketika melahirkan si kecil tadi. Raut wajahnya ku tatap penuh kasih, rasa rindu dan cinta itu berpadu. Untuk menyentuh dirinya, aku tahu di mana kedudukan diri ku ketika ini. Nia bukan milik ku lagi!
“Terima kasih sayang, kerana lahirkan zuriat untuk abang!” ucapan itu hadir bergema di dalam hati. Tubuh itu ku hampiri dan saat ini mata menancap tubuh si kecil yang berbalut selimut biru yang ku beli bersama Nia dahulu. Perlahan-lahan ku sentuh pipi montel yang sedang terjaga bersebelahan Nia yang masih terlena, mata itu hanya separuh terbuka.
Aku ampu tubuh kecil ini dan ku kucup ubun-ubunnya berkali-kali. Wangian syurga! Harum semerbak si kecil ini. Sedang aku memerhatikan raut si kecil, kerutan di dahi itu mula kelihatan. Esak dan rengek perlahan itu singgah ke pendengaran.
“Shhh... jangan menangis sayang! Daddy ada ni,” ucap ku saat memangku bayi lelaki yang masih belum diberi nama. Aku tahu mungkin dia kesedihan tatkala lahir dirinya ke dunia ini menjadikan ayah dan ibunya terputus hubungan kasih.
“Sayang... shhh.. sayang anak daddy! Jangan menangis sayang, daddy akan sentiasa doakan anak daddy membesar sebagai anak yang soleh!” pujuk ku perlahan. Pipi itu ku usap dengan hujung jari.
“Sayang... daddy sayangkan anak daddy. Jangan menangis macam ni, baby boy kena kuat! Siapa nak jaga mummy kalau baby boy lemah?” aku berbicara dengan si kecil yang ku harapkan suatu hari nanti akan menjaga Nia dan melindungi wanita itu dari sebarang duka dan bahaya yang mendatang. “Beritahu mummy, daddy akan cintakan mummy hingga hujung nyawa daddy!” bisik ku lagi.
“Daddy azankan sayang!” gumam ku bersama senyuman. Terbit rasa syahdu yang sukar ku gambarkan dengan kata-kata. Lantas ku bawa tubuh sekecil ini di mendekati jendela menghadap kiblat, dan aku alunkan azan di telinga kecilnya.
Usai segalanya,  ku kucup dahi itu penuh kasih lalu ku letakkan zuriat ku ni disebelah Nia. Tidak sanggup rasanya mahu berjauhan dari satu-satunya buah cinta milik aku dan Nia. Namun aku tidak berdaya, aku tiada kekuatan untuk berhadapan Nia setelah hakikat yang tersurat, telah selesai menceritakan perjalanan hubungan ini.  Hubungan aku dan Nia telah terputus, dan hanya umur dan jodoh yang ada sahaja akan pertemukan aku kembali.
“Nia, abang sayangkan Nia! Bertabah dengan dugaan ini dan doa abang akan sentiasa iringi Nia dan bayi kita. Abang sayangkan Nia, abang sayangkan  Nia seikhlas hati abang!” aku bisik kalimah ini di telinga Nia dan aku kucup ubun-ubun bayi kami sebelum aku berlalu pergi kerana aku tahu sebentar lagi mama dan abah akan datang ke sini. Aku juga tidak sanggup berhadapan dengan mama dan abah dalam keadaan aku yang sebegini, pasti hati mereka akan hancur melihat aku yang semakin berubah kurus dan cengkung tidak bermaya.
“Nia, jaga diri baik-baik sayang!” ucap ku lirih lalu aku atur langkah bersama titis air mata yang gugur di lekuk pipi, meninggalkan dua insan yang teramat aku cinta sepenuh hati. 

dah baca, mohon2 la tinggalkan jejak (komen) pembaca dekat beribu, yang komen xde pun hikhikhik
jangan marah. Happy reading. Beli novel AI yg lain ok. tqvm :)

 

3 comments:

  1. Tersentuh. Mengalir air mata jadinya. Tolong bagitau attar tindakannya tak betul. Baiklah penuhi usia yg tersisa dgn org tersayang. Biar sedih n susah tempuhi bersama

    ReplyDelete
  2. sedihnya... kenapa pisahkan mereka begitu...kesiannya...huuaaaaa... tahniah...menyentuh rasa sangat2. sambunglah cepat2.

    ReplyDelete
  3. Sedihnya๐Ÿ˜ข๐Ÿ˜ญ๐Ÿ˜ญ๐Ÿ˜ญ still Xblh terima tindakan attar ceraikan nia sebaik shj lahirkan anak๐Ÿ˜ก๐Ÿ˜ก๐Ÿ˜ก tqvm a.i.๐Ÿ˜Š๐Ÿ’๐ŸŒท

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.