Thursday, 2 March 2017

CINTA DI HUJUNG NODA BAB 48, 49, 50



BAB 48

“Hari dah lewat, abang balik dulu! Dalam sampul ni....” aku hentikan bicara ku buat seketika. Sampul yang sedari awal tadi ku sisipkan wang di dalamnya ku keluarkan berhati-hati lalu ku serahkan kepada dirinya.

“... ada sedikit belanja untuk keperluan Amsyar dan duit belanja untuk Nia. Abang akan lunaskan tanggungjawab abang untuk anak kita dan sedikit belanja sewaktu tempoh abang tinggalkan Nia dulu. Kalau ada rezeki, ada jodoh dan ada umur, kita jumpa lagi.” ucap ku sambil menanti Nia menyambut pemberian ikhlas ini.
“Ambillah Nia, mungkin ini sahaja yang mampu abang berikan kepada Nia dan anak kita. Esok lusa, abang tak pasti! Abang tak berani berjanji,” aju ku berharap benar Nia sudi menerima pemberian tidak seberapa ini.
“Ambillah, jangan kecewakan abang.” Tutur ku perlahan. Menutup rasa yang sarat dengan sebuah kepedihan.
“Nia tak mahu duit abang, Nia mahukan abang sentiasa ada waktu untuk bersama Amsyar.” Luahnya senada.
“InsyaAllah Nia, abang tak janji! Tapi abang akan berusaha untuk bersama-sama Amsyar selagi ada ruang yang diberikan!” balas ku bersama sebuah senyuman.
“Ambil ya,” tangan ku panjangkan ke arahnya dan akhirnya Nia menyambut juga.
“Terima kasih,” ucap Nia pendek. Namun cukup berharga bagi diri ku. Perlahan-lahan aku pangku Amsyar yang masih terlena, lalu ku kucup pipinya sebelum ku serahkan kepada Nia. Sejurus itu, aku bangkit menegakkan tubuh!
“Abang nak kemana ni?” bicara lembut itu menyapa halwa telinga.
“Abang nak balik,” ujar ku bersama senyuman. Senyuman untuk insan yang ku cinta.
“Awal lagi?” Nia melarang.
“Abang nak berehat. Kirim salam pada mama dan abah, jaga diri dan jaga Amsyar baik-baik. Assalamualaikum,” ucap ku berpaling dan terus menghayun langkah menjauhi Nia yang terkebil-kebil.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi kesempatan kepada hambaMU untuk menuntut sebuah kemaafan.  Sejujurnya, aku sebak untuk meninggalkan Nia apatah lagi Amsyar yang masih kecil. Belum puas untuk ku rungkaikan kerinduan ini, namun aku harus sedar. Tempat ku bukan di sini! Tempat ku hanyalah di ruang sepi menanti sisa waktu yang tertinggal.
“Attar... hoi... Attar! Huh tunggulah sekejap!” jerit Neesa yang muncul dari arah belakang. Aku menoleh,  renek-renek peluh yang terlihat di dahi itu ku tatap penuh tanda tanya. Terus sahaja perasaan hiba tadi lenyap angkara Neesa yang datang terkocoh-kocoh mendekati aku.
“You ni kenapa? Nak ke mana pulak? Penat I kejar you, tahu tak!” marah Neesa tiba-tiba. Dada itu berombak kecil mungkin kepenatan mengejar aku yang sudah agak jauh dari kawasan pantai.
“I nak balik, I rasa badan I tak selesa dan I rasa letih sangat-sangat,” tutur ku perlahan sambil mata ku hala ke arah deretan kedai yang menjual pelbagai jenis pelampung. Neesa datang mendekati aku, wajah begisnya sengaja ditayangkan tepat ke hadapan mata ku. Kini dia bercekak pinggang pula!
“Jangan ingat I takut dengan pandangan you tu,” ucap ku selamba.
“Siapa yang suruh you takutkan I? I sakit hati, you suka-suka hati je nak balik. At least tunggulah I habis main dulu, ini tidak. Bila you nak balik, you terus je balik! I tak puas hati,” marah Neesa kelihatan berapi-api. Sengaja menghamburkan ketidak puasan hati pada aku agaknya.
“Habis tu? You nak I tunggu you sampai you habis main? I tak larat nak duduk lama-lama, I kan sakit!” ujar ku mengharap sedikit pengertian dari Neesa. Kesihatan ku masih tidak mengizinkan untuk aku terus berlama-lama di sini sementelah hati dipagut cemburu melihat kemesraan Aiman bersama ahli keluarga ku yang lain.
“So, sekarang you nak baliklah?” soal Neesa berubah intonasi. Lembut dan sopan.
“Ya, I nak balik.” Ucap ku dan dia angguk perlahan.
“Take care, kalau ada apa-apa yang you nak, just contact I. I akan try dapatkan untuk you.... dan lagi satu,” Neesa datang mendekati aku. Aku pula masih tegak berdiri di sini.
“... get ready, next week you dah boleh dibedah. I dah dapatkan penderma tu,” kata-kata Neesa membuatkan hati ku sedikit lega namun aku tidak terlalu berharap, jika ada rezeki ku untuk mendapatkan hati yang didermakan, maka adalah. Jika tiada, itu tidak mengapa. Hanya berserah dan bertawakal kepada Allah. Itu jalan yang terbaik!
“Sure?” soal ku sepatah.
“Yes.. sure!” sahutnya teruja! Bersinar pandangan mata itu!
“Okey thanks Neesa, I balik dulu. Jaga diri you baik-baik.” Pesan ku sebelum berlalu pergi. Nia pula ku perhatikan dari kejauhan, masih sama seperti dahulu!

***

Sesudah meluangkan masa bersama Nia dan ahli keluarga ku yang lain, aku mengambil keputusan untuk segera pulang ke rumah. Tidak betah melihat kemesraan Aiman yang juga anak tiri papa bersama ahli keluarga ku yang lain. Peristiwa beberapa bulan lalu sewaktu dia mempersoalkan hak dan tuntutannya terhadap Nia masih ku ingati hingga ke hari ini dan itu jugalah kali terakhir lelaki itu berbicara dengan ku.
Batuk-batuk yang sudah berlarutan berbulan lamanya ini ku biarkan sahaja. Aku tidak mampu melakukan apa-apa, selain mengambil ubat yang dibekalkan oleh doktor yang merawat. Acap kali juga doktor menasihati aku agar segera mencari penderma yang bersesuaian. Dan seperti yang Neesa katakan tadi, dia telah bertemu dengan bakal penderma yang sudi mendermakan sebahagian hatinya untuk aku. Syukur ku panjatkan, masih wujud  insan yang berhati mulia! Membantu insan lain yang dilanda kesusahan!
Tiba sahaja di rumah, aku rebahkan tubuh ku di atas tilam tipis di ruang bilik sederhana besar ini. Mata ku hala ke siling dan kedua tangan ku jadikan alas kepala. Dalam kepayahan aku meniti rasa derita ini, aku akui bahawasanya aku cukup merindukan kehidupan berkeluarga. Ada ayah dan ibu di dalamnya, serta ada isteri dan anak-anak yang comel. Semua itu pernah aku alami dahulu dan hanya seketika cuma, namun cukup membahagiakan! Hingga membuatkan aku hidup di dalam kerinduan yang sarat!
Kali ini batuk semakin kerap dan sakitnya buat aku semakin tidak mampu menanggungnya lagi. Sekali aku terbatuk, setiap kali itu jugalah darah pekat akan mengalir bersama. Aku mudah diserang penyakit dan aku juga semakin lemah menahan diri dari dijangkiti pelbagai penyakit! Antibodi ini tidak kuat!
Uhukkk.. uhukkk... pedihnya kembali terasa. Ya Allah, sakitnya! Rintih ku sambil mengurut pangkal leher. Dari duduk, aku segera bangkit melunjur. Mencari I-phone, mahu menghubungi Neesa.


**

 “Ya Allah Attar, apa yang terjadi? Kenapa you jadi macam ni,” kepala ku dipangku dan raut wajah ku diusap. Darah yang semakin banyak mengalir melalui rongga hidung diseka dengan jari jemarinya. Kotor dan perasaan geli itu sudah ditolak ketepi!
“Sakit Neesa,” tutur ku dalam payah.
“Kenapa tak beritahu pada I! Kenapa sekarang baru you call I?” soal Neesa bertali arus. Aku tahu dia panik! Raut wajahnya sudah basah dengan air mata, nyata dia tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dalam keadaan cemas sebegini.
“Neesa tolong I, sakitttt...” ungkap ku lirih menahan beban kesakitan hingga air mata ini mengalir tanpa sedar. Mata yang kabur ku halakan ke arahnya, memohon pengertian bahawasanya aku benar-benar dihimpit kesakitan yang bukan kepalang!
“Attar bertahan! I akan telefon ambulance!”
Sabar Attar... tolong bertahan! You kena kuat! Kena kuat! You kena bertahan!” pujuk Neesa dalam esak tangisnya. Tubuh ku dipeluk dan seluruh raut wajah ku di sentuh dengan kedua belah tangannya. Air mata yang mengalir di seka dan air mata darinya pula menitis mengenai wajah ku, masih terasa hangatnya!
“Sakittt...” aku mengerang kuat. Dan genggaman tangan Neesa ku cengkam sekuat-kuatnya. Bagaikan seluruh urat nadi ku sedang direntap-rentap kasar. Pedih dan menyakitkan!
 “Attar, bertahan! Bertahan.... you kena kuat!” nafas yang ku hela semakin payah dan berat.  Neesa masih cuba meniupkan kekuatan kepada aku yang semakin lemah.
“Attar.. jangan pejam mata! Buka mata you, pandang I!” rayuan Neesa seakan-akan sayup-sayup menyapa pendengaran ini. Aku semakin lemah, terasa kelopak mata ini berat untuk ku buka walaupun untuk seketika.
“Buka mata you, please...” aju Neesa sambil menepuk-nepuk pipi ku. Perlahan namun terasa amat sakit sentuhan darinya!
“Maafkan I Attar, I lambat bawa you dapatkan rawatan! Maafkan I kerana menurut kedegilan you! Maafkan I!” raung Neesa mempersalahkan dirinya bila melihat aku terseksa walaupun hanya sekadar untuk menarik dan menghela nafas.
“Maafkan I!” itu ayat terakhir yang ku dengar dan akhirnya mata ini tidak mampu ku buka lagi. wajah Neesa hilang dan lenyap begitu sahaja!
Sedar-sedar sahaja aku sudah berada di hospital dalam keadaan wayar yang berselirat di seluruh tubuh.
“Neesa,” panggil ku perlahan bila dia yang sedang terlena di sisi ku singgah ke pandangan mata.
“Attar, you dah sedar?” Neesa genyeh matanya sambil cuba membuka matanya lebar-lebar.
“Kenapa dengan I?” persoalku masih lemah.
“Oh you tak sihat! Doktor suruh you rehat,” aku tatap wajah itu. Jelas kelihatan Neesa keletihan menemani aku di sini.
“I dekat mana?” persoalku masih lemah untuk berbicara. Namun aku masih ingin tahu di mana aku berada! Untuk apa aku ke sini?
“You dekat hospital,” jawab Neesa tenang. Aku angguk perlahan, tahulah yang diriku kini berada di hospital. Seketika pandangan ku hala ke arah Neesa, rasa kasihan ku tumpah buat dirinya.
“You baliklah, berehat di rumah!” suruh ku disambut gelengan darinya. Sejurus itu, ada senyuman kecil tersungging di pinggir bibir merah sensual miliknya.
“Tak perlu, I nak temankan you!” ucapnya dalam senyuman. Aku sentuh wajah itu, dan dia ukir senyuman sekali lagi. perlahan-lahan dia gapai jari jemari ku lalu dibawa ke bibir dan di kucup syahdu.
“I nak temankan suami I!” luahnya perlahan. Pandangan itu tampak pilu dan lesu.
“Terima kasih, Neesa.” ucap ku dalam sebak. Air mata ini bagai mudah gugur bila kebaikan yang dipersembahkan mula menyentuh hati lelaki ku yang tandus dengan kasih sayang. Apatah lagi, menyedari aku sudah tidak punya waktu untuk membahagiakan Neesa. Isteri kedua yang pernah menjadi kekasih pertama ku suatu ketika dahulu.
“Tak perlu berterima kasih, anggaplah ini sedikit  pengorbanan I sepanjang bergelar isteri you! I mahu jadi isteri yang susah dan senang bersama,” tuturnya buat aku bertambah sebak. Sangka ku diri itu akan meninggalkan aku bila mengetahui keadaan kesihatan ku. Namun telahan ku salah belaka, dia semakin mendekati aku bahkan menjaga aku siang dan malam. Menjaga makan dan pakai ku bahkan juga menjaga segala kebajikan yang aku perlukan. Sungguh aku terharu!
“Terima kasih Neesa,” akhirnya tubir mata ini berat dan air jernih itu gugur jua.
“Attar, jangan macam ni.... I yakin you akan sembuh! I yakin! Kalau terpaksa, I rela jadi galang gantinya! I sayangkan you,” tuturnya buat aku semakin dihambat kesedihan.
“Tidak Neesa, you tak perlu jadi pengganti untuk  I.” Ucap ku semakin sebak. Air mata yang bergenang ini diseka dengan hujung jarinya. Dia juga turut kesedihan melihat keadaan aku sebegini.
“I tak sanggup untuk lihat semua ni Attar, I tak sanggup you derita begini! I tak sanggup bila mereka kesedihan menatap you dalam keadaan macam ni! Maafkan I, andai I lakukan sesuatu yang you larang! Maafkan I, andai I bertindak tanpa kebenaran you!” esak tangis Neesa semakin kuat dan dia tertunduk menyembunyikan wajah yang basah dengan air mata. Dada ku dijadikan hamparan untuk menghamburkan segala esak tangisnya.
Dalam payah, jari jemari ini ku angkat dan ku letakkan ke kepala yang kini sudah berhijab. Ku sentuh dan ku usap penuh kasih.
“I dah lama maafkan you, dah lama I buang segala keperitan dahulu! Dah lama I buang segala peristiwa lama yang menghukum kita hingga ke saat ini. I terima you sebagai isteri I, hingga akhir hayat I.” Ucap ku lirih. Dan Neesa semakin sebak hingga titis air matanya membasahi pakaian yang tersarung ditubuh ini.
“Terima kasih Attar, I bahagia bersama you!” ucapnya dalam esak yang tidak penghujungnya. Malam itu aku dan Neesa sama-sama melayani sebak di hati, sungguh ini keadaan yang harus ku lalui bila perpisahan itu bakal terjadi nanti.




















BAB 49
“I ada berita yang nak disampaikan pada you,” perlahan dan berhati-hati Neesa menyusun kata. Aku yang masih terbaring di katil hospital hanya diam menunggu bibir itu meneruskan bicara.
“Sebenarnya....” Neesa seakan payah untuk melontar bicara. Aku masih menunggu wanita ini meneruskan kata, sudah hampir sebulan lebih Neesa menemani aku di sini. Dan sudah acap kali diri itu berkeadaan begini. Kali ini biarlah aku menunggu sahaja dirinya meneruskan katanya.
Aku masih tenang menunggu, desir angin dari penghawa dingin sekali sekala menyapa pendengaran. Dan seketika mata ini memerhatikan orang ramai yang lalu lalang melawat pesakit lain. Sudah pastinya ahli keluarga dan rakan terdekat yang hadir, cuma aku sahaja tidak menerima sebarang kunjungan melainkan daripada Neesa seorang. Diri itu insan yang satu-satunya ku khabarkan tentang kesihatan diri ini.
“Sebenarnya...” Neesa menoleh ke arah ku. Pandangan itu kelihatan suram dan tidak bercahaya. Entah apa yang ingin disampaikan oleh Neesa sebenarnya. Tutur bicara itu juga seakan payah untuk dilontar keluar! Pasti ada yang tidak kena!
“Sebenarnya apa, Neesa?” persoal ku setelah agak lama berdiam diri.
“Sebenarnya, penderma yang I maksudkan dulu dah tarik diri. Yang seorang lagi tu tak jadi..... doktor kata dia tak sesuai dengan you. So sekarang ni....” bicara dihentikan sekali lagi. Aku tahu apa yang ingin Neesa perdengarkan,  dan aku juga mengerti mengapa sukar benar diri itu melafazkan bicara.
“Sekarang ni dah tiada penderma yang sudi dermakan hati mereka untuk I?” ucap ku memotong kata-katanya. Perlahan-lahan Neesa mengangguk lemah.
“Tak mengapa Neesa, I tak mengharap.... apa yang pasti I berserah pada Tuhan. Dan pada DIA sahaja tempat I tumpahkan segala rasa hati ni. You jangan risau.” Ucap ku memujuk hati itu. Aku tidak mahu Neesa gusar dan bimbang akan kesihatan ku lagi.
“I akan cari juga penderma tu. You jangan risau,” gumam Neesa mahu aku bertenang. Bubur nasi di atas meja kecil di sisi katil hospital itu disentuh dan dibawa ke dalam pegangannya.
“Jangan susahkan diri you Neesa, bukan senang nak dapatkan penderma!” bantah ku perlahan. Namun tidak dipedulikan wanita itu, bahkan dirinya memasang tekad untuk tetap mencari penderma yang bersesuaian dalam masa terdekat ini.
“Attar, I tak kisah... yang penting I dapat bahagiakan hidup you selagi I berpeluang berbuat begitu. Kenapa? You jangan tanya sebabnya... yang penting I dapat tebus segala kejahatan yang I pernah lakukan pada you dan Nia dulu. I harap you boleh maafkan I dan anggaplah semua ni pengorbanan I untuk you.” Gumam Neesa mengacau bubur nasi di dalam mangkuk kecil yang berasap tipis.
“I dah tak tahan Neesa, mungkin dah tiba masanya. Tiada harapan lagi,” gumam ku perlahan. “You tahukan penyakit I dah kronik... masa untuk I dah singkat Neesa. Jadi tolong jangan susahkan diri dan hidup you lagi,” ucap ku dalam payah mengatur nafas dan melontar bicara.
“Shhhhh! You tak boleh cakap macam tu... Amsyar dan Qalisya perlukan you. You tak kesian pada mereka berdua, membesar tanpa ayah? Common Attar, you kena kuat! Bertahan, sampai bila you nak beralah dan mengalah macam ni. Please...” rayu Neesa berharap aku akan terus bertahan sehingga penderma yang bersesuai ditemui.
“Hidup I tak lama, Neesa!” aju ku tanpa berselindung lagi. Persekitaran bilik rawatan hospital ku perhatikan dengan pandangan kosong, pedih dan luluh hati ini menjadikan aku lemah semangat. Mama dan abah juga tidak sekalipun datang melawati aku anak mereka yang sedang bergelut dengan kesakitan ini.
Aku tahu mereka masih bersalah sangka pada aku, namun dalam keadaan begini biarlah aku pergi setelah wajah keduanya telah ku lihat dan ku tatap buat kali terakhir. Dan Nia serta Amsyar, aku tidak rela mereka melihat aku dalam keadaan begini, aku tidak sudi diperhatikan dalam kesakitan yang membawa aku derita begini. Maafkan abang Nia, maafkan papa Amsyar! Maafkan aku Neesa!
“Attar, you janganlah macam ni... sedih hati I tengok you lemah begini. Bertahan Attar, I akan cari penderma tu, apa yang you perlu buat sekarang ni. Cukuplah andai you bertahan dan kuatkan semangat you, beri sedikit masa pada I untuk cari penderma tu. I janji, yang I akan dapatkan juga penderma tu! Tolong percayakan kata-kata I.” Pujuk Neesa agar aku terus bertahan melawan penyakit yang berada di tahap paling kronik ini. Aku menggeleng lemah, namun senyuman tetap ku pamer buat dirinya.
“Attar, I berharap sangat yang you dapat bertahan buat waktu ni, demi anak-anak yang masih lagi mengharapkan kasih sayang dari seorang ayah.” Neesa menyentuh dahi ku lantas rambut ku diusap lembut persis menyalurkan semangat kepada aku yang sudah separuh nyawa pergi bersama derita ini. Berbulan aku terlantar dan mengharapkan ubat penahan sakit, dan kali ini aku tahu ubat juga sudah tidak berfungsi mengurangkan kesakitan ini.
“I tak tahan Neesa,” ucap ku lemah. Urat dan segala sendi ini terasa bagai mahu terlerai dari kedudukannya. Aku kesedihan merindui insan-insan yang teramat aku cinta! Dan sering kali aku menolak cadangan Neesa untuk membawa dan menyampaikan khabar berkenaan kesihatan ku kepada mereka semua.
Benarkah aku telah menyeksa diri ku sendiri? Benarkah? Aku sedikit tidak berniat sebegitu kerana aku tahu mereka pasti akan terluka melihat keadaan aku yang lemah meniti hari-hari terakhir di atas katil hospital di dalam bilik yang kelam, suram dan jauh dari rasa bahagia.
“Attar jangan takutkan I, please...” Neesa sembamkan wajahnya ke dada ku. Tangis itu mulai kedengaran halus dan aku yang mendengarnya juga kesedihan namun siapalah aku untuk menolak takdir hidup ku sendiri.
“I sakit, Neesa! Tolong ketepikan diri you,” pinta ku dalam payah. Nafas ini semakin berat menghimpit, dada ini terlalu payah menghela nafas dan seluruh urat dan salur darah juga seakan mencucuk kesakitan. Aku benar-benar kesakitan, rongga hidung pula semakin laju mengalirkan darah pekat.
“Sakit Neesa,” sebaris ayat ku lontarkan dalam payah. Neesa memanggung wajahnya, wajah pucat dan perit menanggung kesakitan ini diperhatikan dalam riak terkejut.
“Attar.... you jangan buat I macam ni. Jangan takutkan I!” jerit Neesa sedikit kuat. Wajahnya diangkat dari melekat di dada ku yang berbalut pakaian hospital bewarna hijau tua. Aku hanya mampu melihat wajah itu namun kudrat yang bersisa bagai sudah lama hilang dibawa kesakitan yang mencengkam. Aku tahan sendu di hati dan aku cuba pamer senyuman buat Neesa walau kudrat ini sudah tiada dayanya lagi.
“Attar, bangun!” bahu ini digoncang berulang kali menjadikan aku bertambah sakit. Mata ku rapatkan menahan kesakitan yang mula mencengkam dalam dada, nafas juga semakin berat untuk ku hela. Dan dalam kekalutan ini, aku menangkap kelibat Neesa yang berlalu keluar dari bilik rawatan ini. Mungkin mendapatkan bantuan sesiapa di luar sana atau mungkin membiarkan aku pergi sendirian.
“Ya Allah, sakitnya! Bantu aku, Ya Allah!” rintih ku mengerang kuat!
Dalam melawan rasa sakit yang datang, terasa ada usapan lembut yang menyentuh dahi dan ubun-ubun ini. Air mata ku tumpah lagi, siapakah yang sudi bersama aku meniti saat-saat terakhir ini. Siapakah insan itu? Atau ia hanya sekadar mimpi yang mengiringi aku pergi?
“Attar,” satu suara menyeru nama ini. Suara yang cukup ku rindukan siang dan malam. Namun aku tiada kudrat untuk menyahut, kelopak mata ini berat untuk ku buka.
“Attar,” sekali lagi nama ku diseru namun ada getar dihujung suaranya.
“Attar.... anak mama!” aku buka mata yang hampir terpejam. Seraut wajah kerisauan mama menancap pandangan mata ku.  Mama berada di sini, dekat dan hampir dengan ku! Mimpikah aku?
“Ma... mmma..” sambut ku dalam payah! Pandangan yang jelas dan terang beransur kabur dan akhirnya tubir mata ini sekali lagi bergenang dan berat... perlahan-lahan air jernih itu mengalir lesu di lekuk pipi yang semakin cengkung.
“Attar... anak mama! Maafkan mama, mama tak tahu anak mama sakit! Maafkan mama Attar, maafkan mama!” raungan mama membuatkan aku tersedar bahawasanya  mama benar-benar berada di sisi aku waktu ini. Bukan lagi mimpi ataupun khayalan!
Jari jemari ku diraih ke dalam pelukan itu dan  sesekali dikucup penuh kasih. Aku tatap wajah mama, saat dan ketika ini ku akui air mata ini terlalu mudah tumpah ke pipi.
“Shhhh.... jangan menangis sayang. Mama ada ni, mama teman Attar! Mama sayangkan Attar,” air mata ini di seka dengan jari jemari mama dan ubun-ubun ku juga dikucup penuh kasih manakala wajah ini diusap penuh rasa sayang. Perbuatan mama semakin menjadikan aku sebak  dan tiada kata-kata yang mampu aku lafazkan lagi melainkan pandangan penuh pengertian. Ya hanya pandangan ini yang berbicara mengungkap sebak dan terharu dengan penerimaan mama.
“Jangan menangis sayang, mama ada... mama ada ni.” Mama pujuk aku persis aku anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ibu dan aku mengakuinya bahawasanya aku benar-benar merindui kasih mama. Kasih sayang seorang ibu yang tiada galang gantinya!
“Ma...” leret panggilan ku berharap mama melihat aku waktu ini. Wajah itu basah dengan air mata. Begitu juga abah yang setia berdiri di sisi mama. Merenung wajah ku penuh kasih kebapaannya!
“Ya sayang, mama ni....  pandang mama.” Ujar mama memaut kepala ku lalu ditarik rapat ke wajahnya. Kedua pipi ku disentuh lembut dan raut wajah ku diperhatikan. Dapat ku lihat, ada air jernih mengalir mengiringi setiap patah bicaranya!
“Mengapa Attar sembunyikan hal ni dari mama, kenapa Attar?” suara lirih mama menyapa pendengaran ku tika ini. Sesungguhnya aku tidak tegar melihat mama dalam keadaan begini apabila mengetahui keadaan aku yang lemah seperti ini.
“Mama tahu mama kejam pada anak mama, mama biarkan Attar tanggung sakit seorang diri. Mama jahat pada anak mama sendiri,” lirih dan esak tangis mama menjadikan aku semakin dipagut duka. Bukan niatku merahsiakan segalanya dan bukan tujuan ku membuatkan mama menyalahkan dirinya sendiri. Tujuan ku hanya satu, tidak mahu mama bersedih sebegini!
“Kalau diberi kesempatan, tak sanggup mama biarkan Attar sakit begini! Mama tak sanggup tengok anak kandung mama tanggung derita sampai macam ni sekali.” Sekali lagi tubuh ku dipeluk erat. Air mata mama menitis lagi, hangat mengenai kulit wajah ku yang sudah semakin sejuk.
“Janga bersedih ma,” gumam ku serak. Pilu melihat mama yang dahulu seorang  wanita yang digelar wanita besi,  kuat dan berhati waja kini lemah hanya kerana melihat anak kandungnya terlantar kesakitan. Maafkan Attar mama, Attar tak sanggup melihat mama begini!
“Sampai hati Attar, tidak layakkah mama bersama anak yang mama kandung walau apa keadaan dia sekalipun? Mama sayangkan Attar, maafkan mama bersangka bukan-bukan pada Attar. Maafkan mama Attar!”
Mendengar patah bicara mama waktu ini, membuatkan aku sedar bahawasanya kasih seorang ibu sebenarnya kasih yang membawa ke syurga. Sebak dan terharu silih berganti melatari seluruh ruang hati. Aku kesakitan dan kesakitan ini bertambah setiap kali air mata mama gugur. Ya aku kesedihan dengan keadaan yang menjadikan mama lemah sebegini.
“Jangan menangis sayang, mama ada.... mama tak sanggup lihat Attar begini. Ya Allah berilah kesakitan itu kepada ku, jangan beri derita kesakitan ini kepada anak kandung aku. Dia satu-satunya anak yang aku ada! Beri kesempatan untuk dia teruskan hidupnya, andai terpaksa aku rela menggantikan tempatnya,” ujar mama bersama tangis sendunya.
“Shhh....ma,” aku telan liur. Sendu di wajah mama, pilu terkesan di hati ku.
“Jangan macam ni ma, Attar redha dengan keadaan Attar. Lepaskan Attar mama,” bisik ku dalam payah dan aku tahu masanya mungkin sudah tiba. Tenang setelah melihat mama dan abah di hadapan mata.
“Pap....paa... papa...” aku yang terbaring mengalih ke arah suara kanak-kanak yang sedang lunak menyebut perkataan papa. Qalisya yang sudah berjalan datang menghampiri ku manakala Amsyar yang baru sahaja belajar bertatih memaut dinding cuba mendekati aku. Air mata ini gugur laju ke lekuk pipi, melihat zuriat sendiri sedang berusaha mendekati aku waktu ini. Dan dihujung sana Nia berdiri di muka pintu. Wajah tanpa niqab itu kelihatan keruh dan sukar sekali untuk ku gambarkan tentang keadaanya ketika ini.
 “Papa sakit sayang, sini pada nenek!” mama cuba mengambil Qalisya yang berdiri di birai, rengekan Qalisya yang enggan berjauhan bergema kuat di dalam wad sederhana besar ini. Manakala Amsyar pula semakin mendekati, tersenyum dan ketawa kecil melihat aku yang terbaring dan dia minta dipangku.
“Ma... panggil Nia ma! Attar nak jumpa Nia,” bisik ku dekat ditelinga mama. Mama menurut, tubuh itu meninggalkan aku lalu menghampiri Nia di muka pintu.
“Nia, sini tengok Attar nak... sini,” lengan itu dipegang erat oleh mama menarik agar Nia mendekati aku.
“Cakaplah sesuatu untuk Attar,” gumam mama lagi. Aku hanya memerhati dan jauh di sudut hati aku rindukan suara itu. Cukup aku rindukan namun aku tahu dia bukan kepunyaan ku lagi. Nia masih diam tidak bersuara, hanya pandangan itu yang berbicara.
“Nia, cakaplah nak! Kesiankan Attar!” gumam mama menggoncang tubuh Nia yang kaku tidak bergerak. Sesekali mama menyeka air mata yang tumpah ke pipi!
Nia masih diam kaku, memerhatikan aku tanpa sepatah kata. Dan kali ni aku benar-benar kesedihan! Nia tidak sudi lagi berbicara bahkan dirinya hanya kaku tanpa seungkap bicara. Air mata ku gugur jua, gugur kepedihan melihat insan yang teramat ku cinta semakin menjauhi hati ini.
“Nia... cakaplah sesuatu pada Attar.” abah menyuruh. Namun tiada apa yang ku lihat. Nia masih kekal disitu hanya pandangan matanya sahaja yang menikam seraut wajah ku.
 “Nia,” panggil mama sekali lagi. Dan kali ini Nia bagai tersedar sesuatu, wajah ku diperhatikan lama sebelum bicaranya terlantun perlahan. Tubuh ku dihampiri lantas duduknya dilabuhkan di sisi katil. Dekat dan hampir pada ku!
“Abang, Nia ni....” ucapnya ku balas dengan anggukan kecil. Sungguh aku sudah ketiadaan kudrat ketika ini.
 Air mata ini ku biarkan mengalir tanpa diseka bila suara Nia lunak menyebut sepatah ayat yang cukup ku dambakan. Mama pula sudah teresak manakala abah di hujung sana sedang membuang pandang ke arah lain. Tidak sudikah abah menatap wajah terakhir anak kandungnya, yang bakal dijemput bila-bila masa?
“Abang, kenapa abang rahsiakan semua ni dari Nia? Apa salah Nia bang? Abang tak yakin pada kasih dan setia Nia untuk jaga abang waktu abang sihat mahupun sakit? Abang tak yakin pada setia dan kesudian Nia?” ungkapan Nia perlahan berbisik disusuli derai air mata!  Aku menggeleng lemah! Maafkan abang Nia! Bukan itu maksud abang!
“Maafkan abang!” bisik ku dalam payah membuatkan air mata Nia tumpah. Dibiarkan mengalir tanpa diseka. Aku kesedihan melihat air mata yang sudah acap kali gugur kerana perbuatan ku padanya dahulu.
“Tapi perbuatan abang menambahkan sedih dan kecewa Nia, abang buat Nia terkilan!” esak Nia menjengah suasana sepi dan pilu.
“Maafkan abang, abang bukan berniat sembunyikan semuanya dari Nia!”  hati kecil ini berbisik perlahan walau Nia tidak mendengar segalanya. Aku redha!
“Nia sayangkan abang, jangan pergi dari Nia bang.... tolong jangan pergi dari Nia.” gumam Nia lirih dan ada sendu disetiap patah bicaranya.
“Maafkan abang sayang,” tutur ku lemah. Mata ku pejam erat dan kini aku tidak mampu bertahan lagi.
“Maafkan Nia bang.... jangan tinggalkan Nia.... tolong jangan tinggalkan Nia.” rayu Nia semakin lama semakin perlahan. Aku tidak mendengar apa-apa lagi melainkan suara jururawat yang muncul tiba-tiba.

“Semua yang ada diminta tinggalkan ruang ni, kami akan jalankan pembedahan untuk encik Attar secepat mungkin. Penderma sudah setuju dan kita mulakan sekarang!” gumam doktor bersama beberapa jururawat yang ada. Aku lelah dan dalam lemah sebegini aku tidak mampu meneka dan melihat insan yang berhati mulia. Yang sudi mendermakan hatinya untuk aku? Ya Allah rahmati insan mulia itu! Itu doa ku untuk insan yang tidak ku ketahui gerangannya.
“Mama... akan doakan Attar!” gumam mama memangku Qalisya. Air mata diseka perlahan dan sayu hati ku melihat mama dan Qalisya yang dirundung pilu. Amsyar pula bersama abah dan Nia. Cuma Neesa yang hilang entah kemana?
“Nia, sini nak....” mama sentuh bahu Nia lalu memberi ruang untuk katil yang ku huni di sorong keluar dari bilik rawatan.
“Attar, mama doakan Attar selamat di sana. Nia, doakan Attar ya sayang,” ucap mama saat katil yang disorong keluar hampir menuju ke dewan pembedahan. Mereka masih setia bersama diriku mengiringi aku ke dewan bedah.
Perlahan-lahan aku buka mata. Satu persatu wajah-wajah insan yang ku sayang ku perhatikan, mama... abah.., Qalisya, Nia dan juga Amsyar. Cuma ada kekurangan di situ? Ya aku sedar Neesa tiada bersama. Di mana Neesa, di mana dia? Hati ini bertanya namun tiada bicara yang terlantun keluar. Hanya pandangan ini yang berbicara dengan wanita yang bergelar ibu. Mengharap pengertian dari pandangan yang ku lontarkan ketika ini.
 “Mama doakan anak dan menantu mama selamat keduanya,” tahulah aku bila mama ungkapkan sebegitu. Serentak itu air mata ini kembali mengalir! Neesa mengapa kau korbankan diri kau untuk aku? Aku tidak rela sesuatu yang buruk terjadi pada diri kau. Dan aku tidak rela melihat Qalisya dibesarkan tanpa kasih seorang ibu andai sesuatu yang tidak diingini terjadi nanti!  Ya Allah Neesa, kenapa kau lakukan semua ini? Kenapa? kata hati berperang sendiri. Aku kesedihan dan aku terkilan kerana diriku, ada insan lain yang harus mengorbankan dirinya.
 Aku rapatkan kelopak mata, lalu di hati ini aku harapkan semuanya akan berjalan lancar dan ku doakan semoga kebaikan Neesa dibalas dengan rahmat dari yang Esa.
 “Encik Attar, bersedia ya.” Patah bicara doktor yang menyapa ku biarkan sepi tidak bersambut.

BAB 50
Seminggu selepas pembedahan, aku sudah kembali pulih namun masih belum kuat sepenuhnya. Mama dan abah setia mengunjungi dan menitipkan kata-kata semangat saban hari, cuma Nia yang jarang-jarang hadir. Katanya Qalisya dan Amsyar tiada siapa yang menjaganya jika dia juga datang ke sini melawat diriku.
Seminggu sudah berlalu, bayangan Neesa masih belum kelihatan. Entah di mana dia! Sedangkan hati ini melonjak-lonjak untuk menemui dirinya dan melafazkan ucapan terima kasih ku kerana kesudian dirinya mendermakan sebahagian hati itu kepada aku untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini. Ingin ku bertanya, dimanakah Neesa berada ketika ini namun mama dan abah pula, tidak sekalipun membuka bicara mengenai Neesa. Di mana agaknya wanita itu?
“Ma, Neesa mana ma? Attar nak jumpa!” gumam ku masih lemah. Wayar yang masih berselirat ku kerling dengan ekor mata. Payah dan perit namun aku tabahkan hati untuk bertahan.
“Attar, rehat ya nak! Jangan banyak bergerak, doktor suruh rehat!” mama yang lengkap memakai pakaian khas untuk melawati aku di sini ku pandang sayu. Kasih seorang ibu, kasih yang cukup ku dambakan akhirnya ku rasai juga walau maut hampir menjemput. Masih sudi mama hulurkan secebis kasih sayangnya pada aku yang dahulu tidak diendahkan.
“Attar nak tahu keadaan Neesa. Dia macam mana ma?” aku tidak mahu berputus asa. Perkhabaran wanita itu ingin ku dengar dengan sepasang telinga ku sendiri. Keadaan dirinya ingin ku lihat dengan mata kepala ku sendiri. Aku mahu melihat dan menatap wajah insan yang sudi menyerahkan sebahagian hatinya untuk membenarkan aku terus berada di muka bumi ini. Besar sungguh pengorbanan Neesa! Sejujurnya hati ini sebak dan terharu dengan ke ikhlasan itu.
“Ma... Neesa mana ma!” aku suarakan sebaris nama milik An Neesa. Mama memalingkan wajahnya, sambil keluhan kecil kedengaran. Lengan ini disentuh lembut dan di elus perlahan, bagai ada sesuatu yang tidak kena. Tentang apa? Jangan sembunyikan dari aku! Aku ada hak untuk tahu apa yang terjadi pada Neesa! Dia masih isteri aku dan aku masih punyai hak ke atas dirinya!
“Ma.... Neesa! cakap ma... mana Neesa?” leret suara ku memohon simpati dan pengertian mama. Hati ini terguris andai mama terus terusan berdiam diri seperti ini.
“Neesa...” mama bagai berat menuturkan patah bicaranya namun aku terus memaksa. Keadaan Neesa ingin ku ketahui, sihatkah dia? Bagaimana keadaan dirinya waktu ini? Ya Allah kuatkan semangat ku demi sebuah kebenaran.
“Ma... Neesa mana ma?” sekali lagi aku menyoal.
“Neesa dekat ICU, keadaan dia tak stabil!” gumam abah bagi pihak mama.
“ICU? Kenapa bah?” nada suara masih lemah tidak berdaya namun dalam kudrat yang bersisa tika ini, wajah abah disebelah sana ku perhatikan. Mengharap abah membuka bicara tentang keadaan Neesa!
“Doktor kata, ada komplikasi dalam saluran darah. Jangkitan kuman! Abah pun tak tahu sangat Tar,” gumam abah buat aku terkedu. Bahayakah nyawa Neesa? Bagaimana dengan dirinya nanti? Masihkah ada harapan untuk diri itu kembali sembuh? Persoalan-persoalan itu ligat berputar di minda, dari berbaring aku berusaha untuk bangkit namun abah menegah. Mama pula melarang, namun aku berkeras tidak mahu mengalah. Segera mama mendapatkan aku, tubuh ku dihampiri dan dibantu untuk bersandar.
“Ma, Attar nak tengok Neesa!” tegas ku dalam payah. Kerana kasih seorang ibu dan kasihan seorang bapa, akhirnya mereka turutkan jua permintaan ini. Kerusi roda kembali ku huni, tubuh ku disorong menuju ke bilik rawatan rapi, di situ Neesa terbaring kaku.  Melalui cermin yang menjadi penghalang antara aku dan Neesa, aku memerhatikan dirinya di sebelah sana. Lemah dan kaku seorang diri! Hanya alat bantuan penafasan dan wayar yang berselirat melingkari seluruh tubuh itu yang menancap pandangan bening ini. Hati ku sebak dan pilu melihat keadaan Neesa sebegitu!
Wajah ku raup, hati ini bergetar melihat dia bertarung nyawa sendirian. Menderma dan menghadiahkan sebahagian hatinya untuk aku meneruskan sisa hidup di dunia ini.
“Attar, tabah nak! Doakan Neesa cepat sembuh!” mama memujuk abah pula mengangguk.
“Kalaulah ini yang terpaksa Neesa tanggung, Attar rela pergi dulu ma. Attar rela!” tutur ku lirih. Andai ini kesudahan penderitaan yang harus ku tanggung, aku rela diri ini terkorban. Bukan insan lain yang menjadi galang gantinya! Ya Allah kuatkan hati ini! Dalam sedih yang singgah bertamu di hati, kalimah itu aku ungkapkan agar kekuatan itu dipinjamkan kepada aku dalam mengharungi liku-liku kehidupan.
“Shhhh.... Attar apa yang Attar cakapkan ni! Tak baik nak, semua ini sudah tersurat! Attar kena kuat, kita perlu sama-sama doakan Neesa sihat seperti dahulu.” Gumam mama masih tidak mampu memujuk hati ini. Hati yang terguris dan terluka dalam!
“Attar nak jumpa Neesa.” pinta ku dalam sebak yang cuba ditahan.
“Doktor tak bagi Attar, antibodi Attar tak kuat lagi! Doktor bimbang kalau-kalau Attar terkena jangkitan!” ucap mama menyampaikan pesanan doktor yang merawat. Aku anggukkan sahaja, mana mungkin kehendak ku saat ini ditunaikan oleh mereka lantaran kesihatan aku juga yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Kita balik ke bilik dulu ya, nanti Atttar dah semakin sihat... mama janji bawa Attar ke sini ya!” mama taburkan janjinya dan kerusi roda ini segera di tolak menuju ke bilik rawatan.
“Mama janji ya, Attar betul-betul nak jumpa Neesa!” ungkap ku penuh mengharap.
“Insyaallah bila Attar dah sembuh, dah dibenarkan keluar dari wad.... mama janji akan bawa Attar jumpa Neesa. Buat waktu ni, kita sama-sama doakan Neesa.” Ucap mama ku anggukkan sahaja.
“Jom kita ke bilik, sekejap lagi doktor nak periksa keadaan Attar.” Gumam abah tersenyum mesra. Aku turutkan sahaja, kerusi roda ini kembali ditolak menuju ke bilik wad yang ku huni.

***


Hari berganti hari dan genap tiga minggu di sini, aku sudah dibenarkan keluar dari hospital. Cuma Neesa sahaja yang tiada perubahan, keadaan dan kondisi tubuh itu sama tak berubah.
“Attar, dah sedia nak balik?” Abah membuka bicara awal pagi itu. Aku angguk dan pamer segaris senyuman.
“Dah bah, tak sabar nak mulakan hidup baru!” ucap ku teruja dengan keadaan diri. Segar dan lebih bersemangat dari dulu. Cuma aku harus berjaga-jaga dengan pemakanan dan perlu mengambil ubat seperti yang disarankan oleh doktor. Tidak boleh tertinggal walau satu jenis ubat sekalipun, dan perlu mengambilnya mengikut masa dan sukatan yang telah ditetapkan.
“Eloklah tu, berbulan-bulan Attar duduk dekat hospital ni. Akhirnya sihat juga anak abah,” gumam abah lagi. Mama yang sedang memasukkan pakaian ku ke dalam beg hanya diam memasang telinga mendengar perbualan antara aku dan abah. Sesekali bibir itu menguntum senyuman mendengar celoteh antara aku dan abah.
“Tak sangka betul, Attar boleh sihat macam dulu.” Ucap ku dalam rasa syukur setelah diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
“Abah harap, Attar mulakan hidup baru dan tinggalkan semua sejarah silam Attar. Jadi seorang muslim yang sejati, dan jadi anak yang soleh!” pesan abah ku angguk perlahan.
“Insyaallah bah, Attar akan mulakan hidup baru. Lebih baik dari dulu,” ucap ku membalas bicara abah.
Ketukan di muka pintu mematikan perbualan aku dan abah. Serentak itu daun pintu terkuak, seorang jururawat datang menghampiri.
“Encik Attar suami kepada Puan An Neesa?” jururawat yang memakai uniform bewarna merah jambu itu menerpa ke pandangan mata.
“Ya, saya suami dia!” jawab ku menahan debar dan getar dalam diri. Mungkinkah Neesa sudah tersedar?  Atau berlaku sesuatu yang amat-amat aku takuti? Ah, hati! Jangan kau dera aku begini!
“Pesakit sudah sedar, kami harap encik dapat ke sana untuk berjumpa dengannya. Kalau boleh, dengan kadar segera ya!”
“Betul ke nurse?” soal ku tidak percaya.
“Ya betul, encik dah boleh lawat Puan Neesa,” sambutnya perlahan. Aku raup wajah dan syukur ku lafaz bila keadaan Neesa yang sudah lama ku nantikan perkhabarannya  singgah jua kependengaran ini.
“Ma... abah! Jom kita tengok Neesa!” mereka ku pelawa bersama.
“Marilah, tak sabar mama nak jumpa Neesa.” Gumam mama. Serentak itu langkah kaki ku atur penuh teruja, menyusuri koridor kosong dan melewati bilik-bilik rawatan yang lain sebelum sampai ke bilik yang menempatkan Neesa.
Ketika kaki menjejak perkarangan bilik, beberapa orang jururawat kelihatan sedang menanggalkan segala wayar yang dahulu berselirat. Wajah Neesa ku tatap penuh kasih, pucat dan cengkung tidak bermaya. Hanya kerdipan mata itu yang melontar menghantar bicara. Aku hampiri tubuhnya, persoalan semakin deras berkocak di dalam jiwa. Apa sebenarnya yang terjadi pada Neesa, jika dia dikatakan kembali pulih mengapa keadaan ini yang terbentang di hadapan mata ku. Lemah dan semakin tidak berdaya! Apa semua ini? Aku tidak memahami keadaan Neesa yang sebegini.
“Attar,” bisik suara itu membuatkan aku tersedar. Sesekali anak mata hitam pekat itu menikam seraut wajah ku, walau tidak bercahaya namun keikhlasan itu tetap ada. Terbias jelas!
“Attar, pergi dekat dengan Neesa! Dengarlah apa yang ingin dia sampaikan!” arah abah perlahan. Aku menurut, punggung ku labuhkan ke sisinya. Jari jemari itu ku raih dan ku kucup penuh kasih, penuh pengharapan dan penuh panghargaan pada dia yang sudi memberi sebahagian hatinya. Dan harapan ku waktu-waktu begini hanyalah untuk melihat dia kembali pulih seperti dahulu. Ya, pulih seperti dahulu! Itu sahaja!
“Maafkan I selama menjadi isteri you, maafkan segala kesalahan dan tingkah I.” ucapnya dalam payah. Sesekali udara yang dihirup di hela payah.
“I tak pernah simpan dendam! I sayangkan you, Neesa!” gumam ku dalam lirih. Buat pertama kalinya aku lafazkan rasa kasih ini pada dirinya. Dia tersenyum namun hambar dipandangan mata ku.
“Terima kasih sudi terima Neesa sebagai isteri,” ucapnya lagi. Aku hela nafas ini dan seraut wajahnya ku sentuh penuh kasih.
“Terima kasih hadiahkan sebahagian hati you pada I, lepas ni kita bina hidup baru! Tinggalkan semua keperitan dulu dan mulakan sekali lagi.” Gumam ku menyusun bicara agar Neesa kembali bersemangat seperti dahulu. Namun dia menggeleng lemah, berkerut aku melihat tingkahnya waktu ini. Tidak sudikah Neesa kembali bersama aku?
“Jaga Qalisya, dan sayangkan Nia. Jadikan dia isteri you semula,” permintaan Neesa bagai berat untuk aku turutkan. Nia, ya sebaris nama yang semakin menjauhi aku. Dan bakal menjadi milik lelaki lain!
“Kita sama-sama akan jaga Qalisya!” tegas ku tidak mahu Neesa berkata yang bukan-bukan. Kali ini gelengan kecil itu terbias bersama sebuah senyuman. Walaupun sukar untuk menguntum senyuman, Neesa masih cuba untuk menunjukkan sedikit rasa bahagia di hatinya.
“Neesa, you dah sedar?” pertanyaan Nia buat aku tersentak. Suara itu sudah lama lenyap dari pendengaran ku namun hari ini aku mendengarnya sekali lagi. Aku menoleh, Nia sudah berada di belakang tubuh ku sambil memangku Qalisya.
“Qalisya rindukan you,” gumam Nia sambil mendekati tubuh Neesa yang semakin  lemah tidak berdaya. Qalisya diletakkan di sisi Neesa dan serentak itu tubuh lemah Neesa dipeluk  erat oleh si kecil.
“Qalisya sayang, anak mama.... jadi anak solehah ya sayang!” pesan Neesa sambil kucup dahi itu. Rambut kerinting Qalisya diusap penuh kasih dan di situ juga kepala kecil itu dilekapkan di dada ibunya. Manja tingkah Qalisya yang beberapa hari ini terpisah dengan kasih seorang ibu.
“Nia, kahwini Attar! Terima dia semula,” pinta Neesa buat aku terkedu. Sekilas pandangan mata ini bersatu dengan pandangan bening Nia! sepantas kilat, Nia melarikan pandangan.
“Terima Attar kembali, ini satu-satunya permintaan terakhir...” bicara Neesa dicantas oleh Nia.
“Shh.... I tak nak you cakap macam ni. Yang penting, I mahu you sihat macam dulu,” gumam Nia menahan sebak. Neesa pamer sebaris senyuman yang berat untuk diukir. Gelengan kecil terbias di raut wajah itu.
“Terima diri Attar semula, bina hidup bersama. Besarkan Qalisya dengan kasih sayang you all berdua. Ini permintaan terakhir I.” Berat sungguh Neesa menuturkan bicaranya. Sesekali dada itu beralun tidak sekata. Laju dan semakin pantas!
“Neesa... kenapa you cakap macam ni? You akan sihat,” aku pujuk diri itu. Walau aku mula menangkap sesuatu, keadaan Neesa semakin kritikal. Mesin jangka hayat itu semakin lemah berdetik.
“Maafkan I,” ucapnya perlahan. Air mata itu mengalir lesu lantas ku seka dengan hujung jari.
“Maafkan I!” lafaznya sebaris.
“Neesa, shhh... You perlu rehat!” kepalanya ku pangku dan rambut itu ku usap penuh kasih.
Qalisya yang sedari tadi merengek kali ini mula teresak perlahan, wajah Neesa ditatapnya lantas jari jemari itu digenggam erat.
“Qalisya sini ikut nenek,” tubuh itu dicempung dan kali ini tingkah anak kecil itu bagai berbeza dan pelik. Dia masih menggapai-gapai tangannya untuk menyentuh Neesa yang semakin payah mengatur nafas. Akhirnya mama melepaskan juga tubuh si kecil kembali semula ke dalam dakapan ibunya, An Neesa.
Aku sebak melihat keadaan sebegini, Qalisya dalam tangisnya dan Neesa pula sekadar tersenyum melihat si kecil yang teresak. Derai air  mata itu bagai mengggambarkan perasaan sebak Neesa yang bakal berpisah dengan Qalisya! Pipi montel Qalisya dikucup tanpa henti. Pilu benar hati ini melihat tingkah keduanya!
“Attar..” seru Neesa perlahan.
“Ya, Neesa!” aku genggam jari jemarinya lalu ku kucup syahdu. Wajahnya masih menjadi fokus ku.
“I sayangkan you, terima kasih beri peluang terima diri I dalam hidup you!” ungkapnya tersekat dalam payah.
“I juga sayangkan you! Neesa... shhhh! You kena rehat!” pujuk ku agar Neesa tidak lagi meneruskan bicaranya.
“I.. I.... sakit Attar!” akhirnya derita kesakitan itu Neesa lontarkan.
“Neesa, bertahan! I panggil doktor!” baru tubuh ingin ku gerak, pegangan tangannya menghalang. Aku duduk kembali, wajah itu ku perhatikan. Deru nafas semakin laju tidak teratur, dada itu berombak kencang. Qalisya sedang menagis, mama juga sebak dan abah pula diam di hujung sana. Nia, Nia juga masih di sisi Neesa.
“Neesa, jangan buat I macam ni! Bertahan!” pinta Nia dalam esak air mata.
Panggilan itu tidak berjawab, hanya desah dan air mata Neesa yang keluar menuruni lekuk pipi. Mata itu terpejam erat bagai menanggung kesakitan yang teramat. Kedua kaki itu juga keras dan cengkaman tangan itu pula bagai kuat merantai seluruh kekuatan tenaga lelaki ku.
“Abang, ajarkan syahadah! Ajarkan syahadah!” gumam Nia mengingatkan aku.
Aku masih lagi terpinga, kaku dan kelu tidak berbicara.
“Ajarkan Neesa syahadah bang, ajarkan Neesa!” bicara kali kedua yang meniti di pinggir bibir Nia menyedarkan aku yang terkaku. Lantas kalimah itu aku lafazkan dan Neesa menurut dalam payah.
Dalam keras kesakitan itu, akhirnya Neesa pergi jua. Pergi bersama sebahgaian hati yang ditinggalkan buat aku! Dada ini ku sentuh perlahan, di sini Neesa tetap ada! Tetap hidup di dalam diri ini!
Aku raup wajah, terkedu dan sebak menatap sekujur tubuh yang kaku. Perginya Neesa di atas pangkuan ku! Ya pangkuan seorang suami yang mula menerimanya sebagai isteri! Wajah ku raup perlahan, derai air mata cuba ku tahan dari gugur. Aku perlu tabah dan kuat! Aku perlu tabah dan teguh menghadapi kepergian insan bergelar isteri!
“Ma.... ambil Qalisya ma.” Ucap ku lirih bila tangis  Qalisya semakin kuat bergema. Perlahan-lahan mama mendekati, tubuh si kecil dipangku dan serentak itu juga air mata di pipi si kecil turun membasahi wajah mulus itu diseka. Tangan itu masih menggapai-gapai untuk kembali kepada Neesa, hati ku sebak! Qalisya masih tidak mengerti apa itu kematian, diri itu juga tidak tahu erti sebuah kehilangan. Aku raup wajah, kesedihan melihat anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, kini menjadi anak yatim. Kehilangan kasih ibu yang terkorban kerana menyelamatkan sebuah nyawa yang lain. Maafkan papa Qalisya!
Perlahan-lahan, Neesa ku kalihkan kembali agar jasad itu tidak kesakitan dengan sentuhan kasar ini. Dia ku letakkan penuh kasih dan dahi itu ku kucup sebagai tanda kasih seorang suami yang akan melepaskan diri itu pergi ke alam sana. Dengan pedih dan sebak di dada, selimut putih itu ku perhatikan. Lantas ku gapai lalu ku hamparkan perlahan-lahan. Dan kali ini aku ternyata tewas dengan permainan emosi, air mata ini gugur jua! Gugur mengiringi perginya kasih seorang isteri.

P/S: SAYA ADA UPDATE CITE BARU. JEMPUT BACA YE.. TERIMA KASIH 
click link atas ni k :)  
opss jgn lupa komen :)

1 comment:

  1. Xsangka neesa sanggup berkorban wp tau risiko derma hati 😒😭😭 Hopefully nia dan attar kawen semula😊😍 dulu nia Xmerasa majlis ms kawen dgn attar.. tqvm AI for the update 🌹🌷

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.