Monday, 13 March 2017

CINTA DI HUJUNG NODA BAB 51 52



BAB 51
Tanah perkuburan yang masih merah ku perhatikan, batu nisan yang berbalut putih ku tatap lama. Di sini An Neesa isteri kedua ku bersemadi, semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Dan semoga kebaikannya diterima dan segala kekurangannya diampunkan oleh Allah.

“Attar, jom balik nak... dah lewat ni,” ujar abah yang masih setia menunggu aku di sini. Bapa mertua ku juga turut berada sama. Wajah itu sugul dan kelihatan mendung menerima perkhabaran tentang pemergian Neesa yang langsung tidak diendahkan suatu ketika dahulu.
“Abah dan papa pergilah dulu, sekejap lagi Attar balik.” Tutur ku memohon mereka semua meninggalkan aku buat seketika. Aku masih mahu bersama Neesa dan aku masih mahu meluangkan masa untuknya. Untuk seketika!
“Baiklah, kalau macam tu abah balik dulu!” Sambut abah sambil menepuk perlahan bahu bapa mertua ku dan kemudiannya mereka seiringan meninggalkan tanah perkuburan ini. Mama dan Nia sudah lama berlalu pergi bersama penduduk kawasan kejiranan kediaman kami dan rakan-rakan pejabat ku yang lain. Manakala Erin dan Shasha yang turut hadir mengiringi jenazah Neesa juga sudah berlalu pulang. Mereka sama sekali tidak menyangka terlalu awal An Neesa yang berusia 26 tahun ini pulang di jemput Ilahi. Sesungguhnya kematian itu tidak mengira usia dan dimana kita berada.
Batu nisan berbalut kain putih itu ku sentuh perlahan, bagai menyentuh seraut wajah An Neesa yang sedang tersenyum memerhatikan diriku waktu ini.
“Neesa, I tetap sayangkan diri you. You isteri I sampai ke syurga, semoga you tenang di sana. Tenang bersama orang-orang beriman,” ucap ku lirih menahan sendu yang menghimpit hati.
“Terima kasih kerana mengajar I erti sebuah kesabaran, terima kasih menguatkan semangat I dan terima kasih kerana menghadiahkan sebahagian hati you pada I.” Dada ku sentuh perlahan lalu mata ku pejamkan rapat. Merasa getar dari sekeping hati Neesa di dalam tubuh ini.
“Akan I jaga hati you sebaik mungkin, terima kasih Neesa. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala jasa baik you.” Tenang ku luahkan rasa hati ini. Semoga Neesa di dalam sana akan mendengar segala kata-kata dan ucapan ini.
“I akan sentiasa doakan you, tentang Qalisya... I akan jaga diri itu sama seperti I jaga anak-anak I yang lain. Akan I didik anak you menjadi anak yang solehah, mendoakan you di sini!” Janji ku taburkan di hadapan pusara An Neesa. Seketika aku tertunduk menahan sebak yang datang.
Perlahan-lahan air mawar di dalam jug kaca ku gapai lalu ku siram ke seluruh tanah yang masih merah. Doa ku titipkan untuk Neesa. Sesudah itu aku bangkit dan melipat tikar yang digunakan dan kini aku sudah tegak berdiri memerhatikan pusara Neesa.
“I pergi dulu Neesa, semoga you tenang di sana.” Bisik hati kecil ini. Lama memerhatikan pusara Neesa, akhirnya langkah ku atur meninggalkan kawasan perkuburan yang menempatkan jasad seorang wanita yang bergelar isteri kepada Muhammad Fiqri Attar. Walaupun berat langkah untuk ku atur, namun aku harus reda dan pasrah. Aku perlu gagahi jua!


***

Persekitaran kamar yang lengkap dihiasi cadar putih bersih ku renung lama, kembali juga aku ke kamar yang pernah menyimpan episod hitam putih kehidupan ku sepanjang hayat di dunia ini.
Seketika aku menoleh ke arah meja kecil di sudut hujung pintu lungsur, langkah kaki ku hayun ke sana. Angin petang menerobos masuk menyapa wajah ini hingga dingin terasa.
Gambar Qalisya, Neesa, Nia dan anak kandung ku Amsyar sedang tersenyum gembira bersama datuk dan nenek mereka. Aku gapai bingkai gambar  itu lalu ku dekatkan ke wajah, rinduku pada Neesa yang sudah tiada di dunia ini datang silih berganti. Gelak ketawa dan susah payah dirinya sepanjang aku menempuh derita penyakit yang pernah mengancam nyawa ini,  membuatkan air mata seorang lelaki dan suami seperti aku bergenang di tubir mata.  Sungguh aku terharu dengan kasih yang dihulurkan dahulu! Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalasnya! Kini yang bersisa hanyalah kasih yang ditinggalkan.
Enggan melayani kesedihan hati, balkoni aku hampiri lantas tangan ku labuhkan di birai besi sambil dada langit ku tatap kosong. Sekosong hati ini!
 “Attar, jauh termenung! Ingatkan siapa tu? Boleh mama masuk?” suara mama memecah keheningan petang. Wajah itu ku perhatikan tanpa lepas.
“Ma... masuklah!” senyuman ku ukir menghiasi pinggir bibir. Ketika ini mama sedang menghayun langkah mendekati diriku. Dan kini berdiri di belakang ku pula.
“Sudahlah...  jangan bersedih lagi!  Sudah tiga bulan Neesa pergi! Attar doakan Neesa tenang di sana! Jangan sedih-sedih macam ni, risau hati mama.” Bahu ini dielus lembut.
“Terima kasih ma, insyallah Attar akan sentiasa kirimkan doa untuk Neesa.” ucap ku lirih menahan sebak bila hal ini aku ungkapkan.
“Semoga Neesa tenang di sana dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah!” gumam mama lagi.
“Insyallah ma,” sambut ku berharap serupa seperti itu. Keadaan kembali sunyi, mama tiada berbicara dan aku juga tiada apa untuk diluahkan lagi.
“Attar... ada surat dari Nia,” suara mama akhirnya memecahkan keheningan yang tercipta.
“Surat?” persoal ku sepatah.
“Ya surat! Dari Nia!” gumam mama lagi. Aku sambut sepucuk sampul surat yang tidak bersetem.
“Surat apa ma?” soal ku bersama rasa hairan.
“Entahlah,” mama menyahut dalam senyuman.
“Ha, ni dah makan ubat ke belum?” soal mama lembut.
“Sudah ma,” jawab ku ringkas. Sambil berganjak memberi ruang kepada mama agar dapat bersama-sama menancap dada langit yang sudah bertukar warna.
“Mama tak mahu Attar bersedih macam ni, terima qada dan qadar Tuhan. Jangan terlupa makan ubat ya, dan surat dari Nia tu, Attar buka dan bacalah...”  pesan mama lagi.
“Ma,” seru ku sepatah.
“Ya?” mama memandang raut wakah ku.
“Terima kasih ma, terima kasih kerana sayangkan Attar!” aju ku perlahan.
“Attar... kenapa cakap macam tu?” soal mama bersama senyuman.
“Tak ada apa-apalah ma! Attar sayangkan mama,” ucap ku hampir-hampir tidak kedengaran.
“Mama pun sayangkan Attar, kalau tak ada apa-apa.... mama keluar dulu ya!” Gumam mama berganjak lalu berpusing semula menuju ke muka pintu.
“Terima kasih ma,” laung ku disambut anggukkan bersahaja dari mama!
Sampul surat di dalam pegangan tangan ku belek lama, lalu ku tatap dalam-dalam. Entah apa yang terkandung didalamnya. Keinginan hati melonjak ingin tahu, lalu sampul ku buka berhati-hati.




Assalammualaikum wtb
Semoga kehadiran surat ini menjernihkan salah sangka di antara kita.
-NIA


Aku buka satu sampul surat kedua, sekeping poskad tertera setem dari Mesir itu melurut jatuh ke riba, lantas jari jemari ini menggapai dan menyentuh ia perlahan. Dengan rasa debar dan keinginan yang melonjak, aku gagahkan diri menatap isi kandungan tertera di kad ucapan itu.
-Nur Farhanatul Nadia -
“Ketahuilah wahai Nia, sesungguhnya rasa cinta pada dirimu telah lama berkubur seiring lafaz akad yang telah Attar lafazkan terhadap dirimu suatu ketika dahulu. Sesungguhnya rasa cinta dan kasih itu sudah lenyap  di mamah masa yang berlalu, tiada dendam mahupun amarah, yang tinggal kini hanyalah rasa kasih sesama insan.
Buat Attar...
Maafkan diri ini andai pernah menabur duka di hati mu
Sesungguhnya dahulu hati ini pernah menurut kata nafsu tanpa dipandu akal yang waras
Bibir ini mudah melafaz kata tanpa mendengar bicara dari hati yang memohon sedikit pengertian
Maafkan diri ini kerana menjadikan kasih kalian berantakan....
Maafkan jua diri ini kerana mencipta jurang di hati keduanya
Dan
Maafkan diri ini kerana pernah menuntut sesuatu yang sudah menjadi milik mu....
Akhir kata.....
Selamat berbahagia.... binalah rumah tangga yang sakinah. Doa ku agar kalian kekal bahagia hingga ke syurga.
Aaminnnn”
_ Aiman



Kad ucapan terlepas dari pegangan tangan! Serentak itu aku tekup wajah dengan kedua tapak tangan, mengusir rasa yang berkecamuk di dalam dada. Nia di mana dirimu, Amsyar juga... kemana menghilangnya. Cukuplah Neesa yang pergi jauh meninggalkan aku! aku mahu meraih mereka kembali semula ke dalam hidup ku ini!



BAB 52
Kad ucapan itu ku lipat seperti asalnya, dengan berhati-hati aku masukkan semula ke dalam sampul lalu seketika kemudian ku letakkan di sisi meja. Kaki ku atur mendekati jendela yang terbuka luas, kolam renang yang tenang tidak terusik permukaannya ku perhatikan lama. Di situ kasih bersama Nia pernah bersemi, di situ juga rasa cemburu dan curiga ku terhadap Aiman pernah terbias. Dan di situ juga, kisah hitam dan kelam masa silam ku pernah terlakar. Aku hela nafas perlahan, di mana pengakhiran kisah hidup ku ini?
Aku kini meniti usia 26 tahun, usia yang masih terlalu awal untuk berhadapan dengan keperitan hidup alam rumah tangga. Jika sahabat ku baru sahaja membina mahligai impian, aku pula telah membawa dan  memusnahkan impian yang tercipta tanpa sengaja itu ke lembah kehancuran. Aku sendiri yang mengatur kisah duka ini, dan aku sendiri yang menjadikan jalan cerita kehidupan ku kelam tidak bercahaya. Satu keluhan kecil akhirnya terlontar jua. Wajah ku raup perlahan sambil mata masih tidak lepas memerhatikan persekitaran halaman banglo mewah yang sudah diselenggarakan oleh Pak Deris. Semuanya sama, tiada satu pun yang berubah!
“Papa... papa...” aku menoleh saat bicara si kecil yang baru belajar bertutur berlari mendapatkan aku yang termangu di jendela. Aku tundukkan tubuh lalu mendepakan kedua tangan menyambut Amsyar ke dalam pelukan. Tubuh itu ku ampu lalu si kecil yang berusia setahun ku dukung dan kedua pipi itu ku cium bertalu. Ada tawa kecil yang dikedengaran membalas perbuatan aku.
“Amsyar datang dengan siapa ni?” aku ampu tubuh kecil itu lalu langkah kaki ku atur mendekati birai katil. Punggung ku labuhkan di situ lalu Amsyar ku letakkan di atas katil.
“Nakalnya anak papa!” gumam ku bila melihat Amsyar sudah bergolek di atas tilam sambil memunggah semua bantal yang sudah tersusun.
“Anak papa datang dengan siapa ni?” soal ku masih galak melayani karenahnya. Si kecil tersenyum lantas menghentikan tingkahnya lalu mengunjuk jari ke arah muka pintu. Aku menoleh sama.
“Nia!!!” sepatah perkataan terlantun dari dua ulas bibir ini. Wanita yang cukup ku rindu sedang tersenyum sambil mengangguk perlahan dan Qalisya juga ada di situ. Amsyar ku dapatkan lalu ku letakkan diri itu ke lantai berlari mendapatkan kakaknya, Qalisya. Tanpa sedar langkah kaki ini sudah bergerak mendekati Nia di muka pintu.
“Nia datang pada abang,” ucap Nia perlahan tertunduk malu.
“Sungguh?” soal ku tidak percaya.
“Sungguh, demi Amsyar dan Qalisya..” ujar Nia mengukir senyuman manis buat aku yang sudah dihambat selaut kegembiraan. Aku terharu dengan kesudian Nia menerima aku ke dalam hidupnya semula.
“Nia... abang... abang....” aku raup wajah berkali-kali. Dalam rasa syukur ini, aku kelu untuk menuturkan ucapan penghargaan terhadap kesudian Nia menerima diriku kembali.
“Abang...” kata-kata ku tersekat cuba menahan rasa sebak. Wajah ini sudah tertunduk menekur lantai, sebak untuk menentang pandangan mata Nia yang bercahaya.
“Abang...” aku hela nafas berat cuba mengumpul kekuatan meneruskan bicara.
“Sejak bila abang gagap?” pertanyaan Nia mengusir segala rasa debar. Tidak semena-mena aku hamburkan tawa. Iyalah, sejak bila Attar yang macho lagi kacak boleh gagap sebegini! Aduh, malunya!
“Abang nak cakap apa? Cepat, Nia sibuk ni.” aju Nia perlahan namun bersama senyuman manis.
“Sebenarnya.. abang nak cakap yang abang sayangkan Nia!” luah ku lancar.
“Nia tahu!”
“Aik... mana Nia tahu ni?”
“Entah,” Nia jungkit bahu. Tersipu malu!
“Terima kasih sayang, abang cintakan Nia.”Akhirnya terlantun juga perkataan itu setelah sekian lama ku pendam sendiri. Namun sudikah Nia menerima aku sebagai suaminya buat kali kedua? Aku perlukan pengakuan darinya dan aku harus melamar wanita sehebat Nia demi sebuah kepastian. Wajah ku panggung semula, Nia yang berada di hadapan mata ku tatap dengan pandangan berbunga. Liur ku telan, bibir sudah bersedia melontar bicara lalu nafas ku tarik dan ku hela penuh debaran menggila!
“Ehem...” aku berdehem kecil. Nia menjeling manja!
 “Nur Farhanatul Nadia, sudikah awak menjadi suri dan bidadari hidup Muhammad Fiqri Attar? Dunia dan akhirat?” aku tundukkan wajah setelah mengucapkan kata-kata lamaran buat Nia yang sebelum ini aku sendiri tidak pernah ucapkan pada mana-mana wanita. Hatta terhadap Nia dan arwah Neesa sebelum ini!
Suasana senyap, tiada sebarang reaksi yang dipamerkan oleh wanita anggun berhijab itu. Aku panggung wajah mencari wajah Nia, ada senyuman yang tersungging.
“Itu je?” soal Nia seakan-akan tidak puas hati.
“Ha... errr yelah!” sahut ku lambat-lambat. Nia nak apa sebenarnya? Aku tak faham!
“Takkan itu je?” rungut Nia bersama dahi yang berkerut.
“Habis?”
“Nia nak bunga! Nak cincin!” luah Nia seakan-akan berjauh hati.
“Oh.. a’haa.. sorry sayang! abang terlupalah pulak, tak plan nak propose!”
“What? Tak plan?” semakin berkerut dahi Nia tersapa di pandangan mata ini.
“Eh, bukan macma tu maksud abang! I mean.. errr... abang nervous Ha.. abang nervous!!” aju ku lambat-lambat. Mencari alasan kukuh!
“Nia nak bunga!” ucap Nia tegas. Aik, garangnya dia!
“Betul nak bunga?” soal ku bersama senyuman menggoda.
“Yes, nak bunga!” ulang Nia bertegas.
“Bunga eh? Sekejap ya!” aku atur kaki keluar dari kamar. Mendapatkan apa yang Nia mahukan. Lima minit kemudian, aku hampiri Nia.
“Tara.... bunga untuk Nia! So macam mana? Terima tak lamaran abang?” soal ku bersama hati yang kembang berbunga-bunga. Nia memerhatikan aku tanpa lepas, tajam seperti pisau belati yang baru diasah! Bunga segar itu masih dipegang, berkerut dahinya. Mampak benar beratnya!
“Ini bunga ya?” soal Nia lagi. Aku angguk, betullah yang Nia pegang tu bunga!
“Bunga ke apa ni?”
“Bunga!” ulang ku menyakinkan Nia. Takkan pokok bunga pun tak kenal!
“Ini bukan bunga bang, ini pokok bunga! Abang bagi dengan pasu-pasu sekali! Perli ke apa?” soalan Nia kedengaran seperti orang tidak puas hati. Aku tersengih, at least aku beri dia bunga! Lebih menguntungkan, Nia dapat pokok bunga kertas bersama pasu-pasunya sekali.
“So macam mana? Sudi ke jadi isteri abang buat kali kedua?” aku hamburkan pertanyaan itu. Nia pandang aku semula, sebelum dia menggangguk dan bersuara.
“Nia sudi selagi abang sudi menerima Nia seadanya,” aku raup wajah bersama kata syukur di atas penerimaan Nia yang sudi menerima aku kembali semula ke dalam hidupnya dan kali ini aku bertekad tiada lagi air mata yang bakal tumpah di pipi mungil Nur Farhanatul Nadia kerana aku tahu dirinya pernah terseksa jiwa dan raga sepanjang empat tahun bergelar isteri ku.
“Abang nak peluk Nia!” ungkap ku tanpa sedar namun Nia menolak bahu ku perlahan dan diri itu berdiri sedikit menjauh menjadikan aku terpinga-pinga buat seketika.
“Abang nampak tak pasu bunga ni?” soal Nia perlahan dan sedikit mengugut!
“Err.. nam.. nampak!” sahut ku lambat-lambat. Risau pula, tingkah lepas laku ku dibalas dengan lesingan pasu bunga tembikar itu. Sah benjol dahi aku nanti!
“Kalau nampak tak mengapalah, Nia keluar dulu! Tolong jaga Amsyar dan Qalisya ya!” gumam Nia seraya tersenyum manja. Hessyy.. dia ni! jinak-jinak merpati!
****
Dalam rasa teruja yang teramat sangat, aku dukung Amsyar manakala Qalisya pula ku pimpin tangannya untuk turun ke tingkat bawah mendapatkan mama.
“Amsyar tinggal dengan nenek ya, mama dah balik! Kakak Qalisya pun jangan menangis, mama Nia datang ambil malam nanti.” ucap mama tatkala melihat aku mendukung Amsyar dan memimpin tangan Qalisya mendekati dirinya.
“Duduk Attar, mari minum petang!” panggil mama sambil menarik kerusi kosong untuk aku. Amsyar dan Qalisya ku lepaskan bermain di ruang tamu lalu punggung ku labuhkan di kerusi berhadapan mama.
“Mama, Attar nak kahwin!” tanpa segan silu aku lontarkan keinginan hati. Mama yang sedang meneguk milo suam tersedak, laju sahaja aku hulurkan sehelai tisu buatnya.
“Apa yang Attar cakapkan ni? Dengan siapa pula?” soal mama kehairanan.
“Dengan girlfriend Attar la ma....” ucap ku tersengih. Bahagia sungguh hati ku saat ini. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauh mana kegembiraan yang tersemat di hati. Ishhh... ishhh tak sabarnya!
“Siapa?” berkerut dahi mama cuba meneka gerangan kekasih hati yang ku maksudkan.
“Orangnya cun melecun, tip top mama!” isyarat thums up ku layangkan di hadapan wajahnya. Mama ketawa kecil kemudian cebikan itu terhias di bibirnya.
“Attar, jangan nak main-mainkan mama iya! Cuba terus terang dengan mama. Siapa orangnya?” soal mama memujuk aku agar berterus terang sahaja dari bermain tarik tali dengannya.
Seri muka di dalam piring ku sentuh dan seketika kemudian ku bawa ke mulut lalu ku kunyah penuh  nikmat. Waktu-waktu bahagia seperti ini, selera makan ku cukup besar. Apa sahaja di hadapan mata, kesemuanya sedap dan bagai menepati selera ku. Aku sendiri tidak pasti adakah hal ini di dorong oleh rasa indah yang dititip ke dalam hati ini? Atau aku sudah mabuk cinta terhadap kasih seorang wanita bernama Nia hingga wajah itu kerap kali berlayar di ruang mata. Dan tanpa ku pinta bayangan wanita itu sentiasa berada di mana-mana hingga membuatkan aku tersenyum sendirian.
“Hai mama tanya tengah tanya ni... dia boleh pula buat tak dengar !  Ni yang tersenyum-senyum ni kenapa?” pertanyaan mama membawa aku kembali ke alam realiti. Aku mahu berterus terang sahaja pada mama agar mama dapat merisik dan meminang Nia seperti yang termaktub di dalam adat yang di amalkan. Aku mahu Nia merasai kemanisan di risik dan dipinang oleh keluarga bakal suaminya kerana semua itu tidak pernah dilalui olehnya lantaran peristiwa hitam yang menjerut kami ke alam rumah tangga yang tidak diingini beberapa tahun yang lalu.
“Mama... Nia dah setuju terima Attar semula, jadi Attar nak minta tolong mama risik dan pinang Nia untuk Attar. Bolehkan mama?” ujar ku sambil anak mata tidak lepas dari memerhatikan raut wajah itu.
“Oh pasal Nia, mama dah lama tahu!” gumam mama bersama senyuman manisnya.
“Mama dah lama tahu?” soal ku sedikit hairan.
“Yelah mama dah lama tahu, Nia sayangkan Attar lagi. Amsyar pun perlukan papa dia, jadi mama nasihatkan supaya Nia terima semula Attar.” Mama bersuara sambil melepaskan keluhan kecil.
“Kenapa mama mengeluh?” pertanyaan ku disambut dengan wajah kebimbangan mama.
“Mama risau kalau-kalau Attar persiakan Nia sekali lagi. Mama tak sanggup tengok dia bersedih,” aku angguk kepala. Dan aku tahu ramai pihak bagai tidak yakin dan percaya aku sudah berubah dan bertekad untuk bahagiakan Nia setelah peluang kedua ku peroleh nanti.
“Mama tolonglah percaya pada Attar ma, Attar dah janji yang Attar takkan persiakan Nia sekali lagi.” Gumam ku mengharap pengertian dari mama. Namun mama enggan memberi sebarang respon.
“Mama... tolonglah percaya,” gumam ku lagi sambil menyentuh lengannya. Mama pamer riak tidak pedulinya. Aku harus mencuba!
“Ma... takkan tak kesiankan Attar ma? Please pinangkan Nia untuk Attar! Please!” kali ini aku benar-benar mengharap mama sudi membantu aku. Dan akhirnya mama mengalah juga!
“Yelah-yelah nanti mama uruskan semua tu. Bila Attar nak mama merisik Nia?” aku diam sejenak, berfikir masa dan tarikh yang paling sesuai untuk mama pergi merisik Nia.
“Ermm... Kalau boleh malam ni mama risik Nia! esok atau lusa bertunang dan malamnya akad nikah!” ujar ku sedikit teruja.
“Tak perlu sanding ke apa ke... Attar nak buat yang wajib je ma, mengikut hukum syarak!” tutur ku teruja. Mama nyata tersentak dengan patah bicara yang ku lontar tadi.
“Attar, agak-agaklah nak! Mana sempat mama nak siapkan semuanya? Ishhh... mengarut,” mama memprotes.
“Tak boleh ke ma? Habis berapa lama lagi Attar nak tunggu?” wajah ku sunggul.
“Sebulan!” jawab mama pendek sambil mee goreng di kunyah perlahan.
“Hah?” terkejut aku tatkala tempoh sebulan mama berikan untuk aku kembali bergelar suami kepada Nia. Ah alamatnya, mati kerinduanlah aku pada Nia nanti.
“Lamanya ma, cepatkan sikit please...” rayu ku merengek dan cuba memancing simpati mama.
“Sebulan tu tak lama. Pejam celik, pejam celik tahu-tahu dah sampai sebulan! Sabar sikit, tak lari gunung dikejar nak!” pesan mama bersama senyuman penuh makna.
“Gunung memanglah tak lari mama.... ini Nia, dia ada kaki!” aku menyangkal kata-kata mama. Wajah sudah berkerut tanda tidak berpuas hati. Mama pula memnbalas dengan tawa kecil.
“Attar... Attar.... sabar sikit nak! Nia dah terima Attar, Insyaallah Nia akan tunggu Attar. Jangan takut,” gumam mama meredakan perasaan ini.
“Ala... Attar dah tak boleh bersabar lagi.” Tanpa segan silu aku luahkan rasa hati.
“Sejak bila anak mama ni jadi tak tahu malu? Ishhh.... dengar dek orang, tak elok!” pesan mama bangkit lalu menuju ke arah dapur.
“Ala ma.... Attar dah tak kisah dengan cakap-cakap orang. Apa yang Attar tahu sekarang ni, Attar nak cepat-cepat menikah dengan Nia. Mama buat la macam mana sekalipun asalkan Attar dapat kahwin cepat. Lagi cepat, lagi bagus!” Aku ekori langkah mama menuju ke dapur lalu tubuh ku sandarkan di tepi kabinet.
“Ya Allah Attar... bersabar sikit! Nia tu tak lari kemana!” mama sedikit geram dengan karenah ku yang kelihatan seaakan memaksa dirinya mempercepatkan urusan perkahwinan itu.
“Attar tak kira, nak kahwin juga!” bentak ku bagai anak teruna yang pertama kali mahu bernikah.
“Asstaghfirullahhalazim, Muhammad Fiqri Attar... kenapa tak menyempat sangat ni?” soal mama bersama istghfar yang agak panjang. Aku tersengih, memang aku dah tak boleh bersabar! Gatal mahu bernikah!
“Attar nak kahwin ma,” adu ku perlahan namun malu-malu. Mama menjeling sekilas, seperti meluat benar melihat reaksi spontan dari ku.
“Gedik!” selar mama bersama senyuman.
“Ala.. tak kira! Nak kahwin juga...” ucap ku lagi. Mama ketawa bersama gelengan kecil.

**


Seiring masa berlalu. Tempoh sebulan akhirnya kunjung tiba, aku yang semakin dihimpit perasaan debar dan getar mula tidak senang duduk. Sesekali aku perbetulkan samping yang terletak elok, seketika kemudian aku kemaskan pula baju melayu bewarna putih mutiara ini berhati-hati agar tiada kedut yang terlihat nanti. Abah masih setia menemani aku, mama pula sudah tidak kelihatan sejak petang tadi. Mungkin menguruskan Nia dan anak-anak kami manakala Pak Deris dan Mak Mah juga segak dalam persalinan sedondon bewarna merah hati.
Nafas ku hela berkali-kali, namun perasaan gentar semakin kuat mencengkam! Entah di mana harus aku mencari ketenangan yang sebegini, sudah acap kali selawat dan istighfar ku sebut namun perasaan debar semakin kuat mengikat hati. Wajah abah ku tenung sekali, berharap ketenangan yang dimiliki dapat dikongsi bersama aku yang keresahan!
“Attar, bertenang! Tak lari gunung dikejar,” pesan abah yang setia menemani aku yang sedang gelisah. Debar dan menggeletar seluruh urat di dalam tubuh. Entah mengapa debaran di dalam dada bertambah laju saat terpandang Tok Kadi yang sudah bersiap sedia di atas sana. Jurugambar dan tetamu jemputan juga sudah mengambil tempat masing-masing, kumpulan marhaban dan rakan-rakan pejabat juga sudah memenuhi ruang yang disediakan bagi menyaksikan majlis ijab dan kabul aku bersama Nia.
“Attar tak kisah pasal gunung, tapi Attar kisahkan pasal Tok Kadi tu! Jantung ni pula berdegup macam nak meletup!” gumam ku sempat lagi meninjau ke dalam Dewan Permata. Hampir kesemua tempat sudah dipenuhi dan tepat jam sembilan malam, aku akan bergerak masuk ke dalam dewan untuk meneruskan majlis akad nikah. Ya Allah berdebar sungguh hati ini.
“Tenang Attar, anak abah ni bukan tak ada pengalaman!” tambah abah cuba menenangkan hati yang sedang tidak keruan saat ini.
“Pengalaman dulu tak menakutkan sangat berbanding hari ni bah! Tengoklah ramai sungguh yang datang,” ucap ku perlahan. Sepanjang hayat aku di muka bumi ini, sudah dua kali lafaz akad nikah ku ucapkan dan ini kali ketiga ia ku sebut di hadapan tok kadi. Namun kali ini, perasaan yang ku rasakan cukup berbeza lantaran perkahwinan ini perkahwinan yang aku sendiri inginkan.
 Jika bersama Nia buat pertama kalinya dahulu, aku diatas kerusi roda melafazkan ijab dan qabul di sebuah surau di Port Dickson dan ketika bersama arwah Neesa dahulu, ia adalah satu pemaksaan yang harus aku terima dan akur! Namun kali ini aku sendiri yang memilihnya. Maka wajarlah perasaan debar sebegini yang harus ku tanggung.
“Attar abah ke sana dahulu, sambut tetamu. Muka tu nampak pucat!” tegur abah bersama satu senyuman.
“Pucat?” aku ulang semula kata-kata abah dan beliau angguk kepalanya sekali. Perlahan-lahan ku sentuh wajah yang sudah merenek peluh.
“Takut sangat ke Attar?” abah menyoal. Aku angguk lantaran tiada lagi bicara yang mampu ku luahkan saat ini. Rasa seperti mahu pengsan!
“Bertenang, mengucap banyak-banyak. Ingat Tuhan dan berdoalah agar dipermudahkan segala kesulitan,” nasihat abah sambil menepuk bahu ku seketika.
“Insyaallah bah,” sahut ku pendek. Akhirnya abah bergerak masuk menuju ke dalam dewan sambil sempat lagi menghadiahkan senyuman kepada aku yang gelisah dalam debar.
“Diumumkan ketibaan bakal pengantin lelaki masuk mengambil tempat,” suara pengacara majlis bergema di dalam dewan dan dengan langkah berhati-hati aku mengorak langkah masuk ke dalam dewan. Hampir kesemua mata para tetamu jemputan memerhatikan ke arah ku saat ini membuatkan degup jantung ini betambah laju.
“Ya Allah tenangkan hati ku,” dalam keresahan ini sempat lagi aku berdoa agar hati ku tenang dan tidak gelabah seperti ini. Hati yang ada nama Neesa dan bakal menempatkan Nia semula.
“Dan diumumkan ketibaan bakal pengantin perempuan,” pasangan kepada pengacara majlis pula melontarkan bicaranya. Aku telan liur, debar dan gentar semakin bermaharajalela di dalam diri. Dan waktu ini, peluh jantan semakin laju membasahi anggota badan ku.
“Ya Allah, mana air cond ni? Dah rosak ke apa? Ke aku seorang je yang panas?” soal ku pada diri sendiri. Aku sahaja yang merasa panas dan berpeluh dingin! Tetamu yang lain, elok sahaja!
“Attar, bertenang! Sabar!” Pak Deris tenang memberi nasihat. Aku anggukkan sahaja lantas  Nia bersama anak-anak kami sedang menapak masuk menuju ke pelamin yang dihiasi bunga carnition ku perhatikan sekilas. Aku ukir senyuman kepadanya dan dari ekor mata itu aku dapat melihat Nia juga mencuri pandang ke arah ku.  Hoho.... tak sabarnya!
“Baiklah kalau semua dah sedia, kita mulakan majlis kita. Hal yang elok tak baik dilengah-lengahkan,” ujar Tok Kadi yang bertugas sebagai imam masjid di kawasan perumahan elit ini.
“Papa....” suara Amsyar bergema kuat menghapuskan suasana hening ketika ini. Hampir kesemua mata memerhatikan tubuh kecil yang sedang perlahan-lahan menghampiri diri ku.
“Amsyar, pergi duduk dekat nenek,” gumam abah mengarahkan Amsyar kembali semula kepada mama yang berada dekat di sisi bakal isteri ku itu.
“Amsyar nak tengok papa,” bicara si kecil buat semua yang ada tersenyum. Aku yang berdebar juga kembali senyum bila si kecil yang tidak mengerti apa-apa ini ingin berada dekat di sisi ku. Menyaksikan lafaz akad yang bakal ku lontar sebagai tanda mengikat kembali hubungan yang dahulunya terputus. Jika dahulu lahirnya diri itu ke dunia, hubungan antara aku dan Nia terputus. Hari ini dengan saksi dari mata kecilnya sendiri, aku akan kembali bersatu dengan Nia sebagai suami isteri yang sah.
“Boleh kita mulakan sekarang?” persoal Tok Kadi tenang.
“Boleh!” Amsyar mencelah. Tetamu yang ada sekali lagi tersenyum mendengar tingkah nakal dari Amsyar.
“Shhhh.... jangan bising!” papa meletakkan jari telunjuk ke arah bibir meminta Amsyar tidak lagi bersuara. Perlahan-lahan kepala itu diangguk, aku sentuh lalu ku gosok ubun-ubun itu sebelum kembali memperbetulkan kedudukan.
“Baiklah kita mulakan sekarang.” Ucap Tok Kadi itu membuatkan debar ku kembali bertandang. Nafas ku hela perlahan dan ketenangan mula ku raih semula. Tangan ini kejap di dalam genggaman tok kadi. Dan ku akui, saat ini aku hanya berserah kepada Tuhan agar segala urusan ini berjalan lancar. Moga-moga, aku tak gagap!
“Muhammad Fiqri Attar Bin Fakhrudin, aku nikahkan akan dikau dengan Nur Farhanatul Nadia binti Abdullah, berwalikan hakim dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai!” serentak itu tangan ku digoncang agar aku melafazkan penerimaan ini.
“Aku terima nikahnya, Nur Farhanatul Nadia Binti Abdullah dengan mas kahwinya seratus ringgit tunai!” ucap ku dalam satu nafas.
Berwalikan hakim, bersaksikan dua lelaki yang adil, ijab dan kabul ku berjalan dengan lancar dan perkataan sah meniti di bibir saksi yang dilantik untuk majlis akad nikah ini. Doa yang di ketuai oleh Tok Kadi ku aminkan syahdu dan dihujung sana, Nia sedang menyeka air mata yang gugur saat lafaz yang ku ungkap tadi telah mengangkat kembali dirinya menjadi isteri ku yang sah.
Sesudah selesai mengaminkan doa, kesemua para tetamu bergerak masuk ke dalam dewan banquet menikmati jamuan yang disediakan untuk mereka.

“Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita agar mempermudahkan mahar sebagaimana dalam sabdanya :”

Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang
perbelanjaan ( mahar ).
( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )

1 comment:

  1. Yeay akhirnya diorang kawen semula! 😊😍👍👍👍 Happy sgt nia dpt jugak merasa majlis perkahwinan sendiri 😊Tqvm AI for the update 🌹🌷 brp bab lg nk abis ni..sedih pulak 😣😅 wp gembira.

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.