Friday, 7 April 2017

CINTA DI HUJUNG NODA BAB 53-54-55 (FINAL)

Assalamualaikum,  habis la cite novel yang paling lama Aulia Iman simpan.
Sila baca tapi jangan copy paste, jangan screen shot jangan buat pendua kepada cerita ni. Maaf ye, Ai tak izin dan TIDAK BENARKAN cerita ni dibawa keluar dari blog AI tanpa pengetahuan AI. Selamat membaca :-D





BAB 53
Sesudah majlis akad nikah itu selesai, aku dan seluruh ahli keluarga ku kembali semula ke rumah yang menyimpan seribu kenangan. Abah juga ku pujuk untuk bermalam sahaja di rumah mama kerana hari semakin lewat. Untuk meninggalkan dirinya pulang dan berseorangan di rumah, bukanlah sesuatu yang mampu ku biarkan begitu sahaja. Lebih baik, andai abah bersama kami seperti dahulu. Aku perlukan mereka!
“Nia dah solat?” tegur ku saat Nia masih duduk di birai katil sambil menidurkan Amsyar dan Qalisya yang keletihan setelah sesi bergambar selesai.
“Sudah bang, maaf tak tunggu abang tadi. Amsyar dan Qalisya merengek nak tidur,” gumam Nia bersama seulas senyuman. Aku atur langkah mendekati dirinya lalu duduk ku labuhkan di birai katil sambil menghadap Nia yang duduk bersimpuh di atas tilam. Rambut yang panjang mengurai dibiarkan lepas bebas! Ah, cantiknya dia!
“Dah tidur anak-anak kita?” pertanyaan ku disambut angguk. Kemudian aku lihat selimut digapai lalu di hamparkan ke atas keduanya. Usai segalanya, Nia ku hampiri.
“Sayang... sini ikut abang!” aku raih tangan Nia lalu ku kucup perlahan sebelum ku tarik pergelangan tangan itu menuju ke arah jendela yang terbuka luas. Angin malam menerobos masuk hingga membuatkan rambut Nia bergerak-gerak perlahan.
“Nia dah jadi isteri abang kan?” aku soal dirinya dan anggukan kecil kelihatan bersama seribu kerutan di dahi.
“Kenapa abang tanya? Abang confused eh?” Nia menyoal dalam senyuman. Aku pula menggeleng perlahan sebagai respon terhadap pertanyaannya itu.
“Terima kasih sudi terima abang sekali lagi,” aku lafazkan kata-kata yang lahir dari hati yang tulus mencintai wanita ini.
“Sama-sama, Nia juga ucapkan terima kasih pada abang sebab sudi bersama Nia lagi. Dan terima kasih beri peluang Nia rasa majlis perkahwinan sebenar,” gumam Nia sambil melentokkan kepalanya ke bahu aku yang tegak berdiri di sisi jendela kaca yang terbuka luas.
“Memang Nia tak mahu bersanding?” persoal ku meminta sebuah kepastian.
“Tak mahulah bang, cukuplah sekadar akad nikah dan duduk di pelamin tadi. Semua tu dah memadai buat Nia,” ungkapnya manja. Jari jemari runcing itu ku elus lembut dan sesekali ku bawa rapat ke bibir dan ku kucup mesra.
“Kalau macam tu, abang ikutkan je. Asalkan Nia bahagia, abang pun akan bahagia sama.” Tenang aku lontarkan rasa hati. Nia tersenyum menyambut bicara yang ku luah.
“Nia, sebenarnya ada sesuatu yang ingin abang katakan pada Nia,” aku merapatkan pelukan itu sambil rambut panjang mengurai Nia ku usap penuh kasih.
“Apa dia?” persoal Nia tenang sambil membiarkan dirinya dibelai oleh jari jemari ini.
“Abang mohon maaf atas ketelanjuran dan kekhilafan yang pernah abang lakukan pada Nia dulu. Mungkin usia tidak matang, menjadikan abang salah membuat pertimbangan!” ujar ku lagi.
“Shhh...” Nia lekapkan jari telunjuknya ke bibir ku lantas dia mengangkat wajah melawan pandangan mata ku. Aku bungkam tanpa suara, sesekali rasa kesal kerana kesilapan dan kebodohan lalu bagai datang menghimpit ke dalam diri.
“Abang... tiada apa lagi yang harus kita kesalkan bang, semuanya sudah terjadi dan Nia terima diri abang seadanya. Nia harapkan perkahwinan kita kali ini akan kekal hingga ke syurga dan Nia inginkan abang sentiasa di sisi Nia, sampai bila-bila!” Patah bicara Nia masih lembut seperti dahulu cuma yang berbeza kini, Nia semakin matang meniti usia 26 tahun seusia dengan diriku.
“Terlalu banyak salah abang dalam mengemudi rumah tangga kita, abang lemah sayang!” aku hamburkan rasa kesal yang menggunung tinggi. Aku tahu, aku gagal menjadi ketua keluarga yang mampu melindungi keluarganya sendiri. Aku nakhoda yang tewas dalam pelayarannya sendiri!
“Abang, seperti yang Nia katakan... Nia tak pernah simpan semua ni dalam hati. Nia dah maafkan abang dan Nia sanggup terima kelebihan dan kekurangan abang! Nia tak mahu abang kesalkan apa yang sudah berlaku, sekarang dah tiba masa kita bina hidup baru. Dan Nia akan berusaha jadi isteri yang sempurna untuk abang.” Gumam Nia panjang lebar. Aku terkedu, baik dan tulus sungguh hati Nia memaafkan aku dan menerima aku seadanya.
“Terima kasih sayang,” aku sentuh wajah itu lantas dahinya ku kucup syahdu.
“Nia sayangkan abang! Sila bahagiakan Nia!” dia peluk erat tubuh ku bersama satu pengharapan yang aku juga turut mengharapkan perkara yang sama.
“Abang sayangkan Nia, dan abang harap kasih sayang abang tidak teruji lagi. Harapan abang agar Nia sama-sama membantu abang menjadikan rumah tangga kita bahagia di dunia dan syurga di akhirat.” Pinta ku bersama sebuah senyuman.
“Insyaallah bang,” sahut Nia kembali melentokkan kepalanya. Tubuh ini semakin erat dipeluk hingga hangatnya menjalar ke seluruh tubuh.
Dalam rasa dingin malam, pelukan Nia kembali mengghangatkan tubuh ini! Aku telan liur, keinginan bagai datang menuntut untuk dilunaskan. Aku merindui liuk lentok Nia, dan aku  juga rindukan belaian manja seorang isteri yang lama aku tinggalkan dahulu.
“Dah malam ni sayang, ehem apa kata kita tidur dulu. Letihnya sayang....”  aku gosok belakang leher yang terasa lenguh. Nia tegakkan tubuhnya lantas tersenyum simpul terhadap bicara yang ku lontar tadi. Tidak semena-mena jari jemarinya ligat mencubit pinggang ku.
“Letih ya abang?” Nia jungkit kening kanannya bersama senyuman yang tersungging di pinggir bibir. Aku angguk lalu tersengih memandang dirinya yang sedang tersipu-sipu.
“Letih Yang... jom tidur!” aku pegang pergelangan tangannya mahu dia mengekori aku menuju ke katil.
“Awal lagi bang, baru pukul satu pagi!’ ucap Nia bagai menolak. Aku enggan mengalah, rasa rindu ini sudah lama membebani hati dan minda.
“Tapi abang rindu...” aku tayang wajah penuh mengharap di hadapan Nia sambil mata ku layukan meraih simpatinya. Nia pula melepaskan pegangan di tangannya lalu dia menarik tubuh ku agar berdiri berhadapan melawan pandangan matanya pula.
“Nia rindukan abang... tapi anak-anak kita tu..” aku memandang Amsyar dan Qalisya yang lena dibuai mimpi. Sedikit pun tidak bergerak!
“Kenapa dengan anak kita?” soal ku tidak mengerti.
“Kita nak tidur mana bang? Lagipun mereka dah pandai bercakap, tak eloklah buat di sini.” Tutur Nia malu-malu.
Betul juga kata-kata Nia, andai mereka terlihat yang bukan-bukan nanti lalu bercerita pula kepada orang lain. Pasti aku dan Nia tidak mampu berbuat apa melainkan menanggung beban akibat rasa malu yang tidak tertahan. Huh tak sanggup rasanya!
“Abang, termenung pulak?” pinggang ku disiku perlahan.
“Oh sebab tu je? Okey, sayang ikut abang ya!” aku tarik tangan Nia menuju ke muka pintu lalu tombol pintu ku pulas berhati-hati. Mahu ke bilik sebelah, di sana mungkin lebih privacy dan selamat dari sebarang gangguan.
“Attar, Nia... nak ke mana tu?” aku menoleh ke arah datangnya suara itu.
“Mama... err... “ aku kehilangan kata-kata. Ishhh kenapa mama  tak tidur lagi ni? Gggrrrrr... aku rasa terganggu!
“Nak kemana?” mama datang menghampiri kami.
“Nak turun ma.... dahaga!” gumam Nia menjawab bagi pihak aku.
“Mama ingatkan nak kemana tadi? Terhendap-hendap!” omel mama hairan pada tingkah laku kami.
“Hehehe..”
“Sembunyi dari siapa?” soal mama lagi. hesyy.. mama siasat pula.
“Err.. mana ada ma! Kami dahaga, nak turun! Kan sayang?” aku kerdip mata ke arah Nia agar dia mengiyakan sahaja.
“Betul ma, kami dahaga!” sahut Nia bersama anggukan.
“Hurm... pergilah, mama pun baru sudah minum. Singgah sekejap ke tingkat tiga ni, tengok barang-barang yang pak Deris bawa siang tadi,” tutur mama bersahaja.
“Pergilah, mama masuk tidur dulu!” ucap mama ku balas anggukan. Seketika mama hilang menuruni anak tangga menuju ke dalam kamarnya di tingkat dua. Aku hela nafas, lega kerana Nia membantu menyelamatkan keadaan.
“Tak baik menipu!” ucap Nia senada. Aku sengih lagi, bukan niat mahu berbohong! Tapi, kalau berterus terang kami juga yang malu nanti.
“Tipu terpaksa!” sahut ku mudah.
“Jom sayang,” akhirnya aku tekad untuk bersama Nia melayari malam nan indah berdua tanpa gangguan sesiapa pun.

BAB 54
“Papa mana? Qalisya nak papa,” rengek tangis Qalisya menyedarkan aku dari lena yang panjang. Mata ku genyeh sekali lantas ku buka perlahan-lahan! Rasa kantuk ini cuba ku usir sejauh mungkin setelah awal-awal pagi lagi aku sudah terjaga dari tidur lantaran tangis Amsyar kedengaran kuat bergema akibat keadaan perut yang tidak selesa.
“Abang, Qalisya cari abang!” Nia mendekati aku sambil  memimpin Qalisya yang sudah basah dengan air mata. Aku yang pada mulanya mengiring ke kiri kini mengubah posisi berbaring menghadap siling.
“Kenapa Qalisya menangis ni?” soal ku lantas tubuh itu ku letakkan di atas perut. Nia duduk di birai katil sambil memerhatikan raut wajah ku.
“Qalisya cari abang, katanya abang dah janji nak mandi pool dengan dia. Amsyar pun dah tukar baju, abang sorang je yang tak turun lagi.” Gumam Nia menyedarkan aku seketika.
“Alamak, abang terlupa la.... patutlah anak papa ni menangis? Sekejap papa tukar baju! Shhh... jangan menangis lagi! Pergi turun dulu, kejap lagi papa turun.” Ungkap ku masih sempat menyeka air mata yang bergenang di wajah Qalisya yang mirip wajah Neesa, lantas tubuh itu ku letakkan ke sisi.
Dengan rasa malas, aku tegakkan tubuh lalu ku regangkan urat yang terasa bagai bersimpul-simpul ini. Perlahan-lahan aku hampiri almari pakaian lalu sehelai tuala bersih ku gapai. Tanpa berlengah, swimming trunk dan t-shirt separas peha ku sarungkan ke tubuh, melindungi apa yang patut.
“Oh ya, Nia tak nak join abang sekali ke?” aku menoleh ke arahnya yang masih duduk di birai katil. Nia hanya menggeleng malas.
“Malaslah bang... Nia tak suka basah-basah ni!” gumamnya memberi alasan.
“Kalau macam tu, temankan abang. At least, tak adalah abang bosan sorang-sorang melayan Qalisya dengan Amsyar!” wajah Nia ku perhatikan sekilas.
“Okey, Nia tunggu abang dekat bawah. Oh ya, janganlah seksi sangat, bahaya!” ucap Nia bersama satu senyuman nakal.
“Yang....” aku hentikan bicara. Langkah kaki ku atur mendekati tubuhnya yang sudah tegak berdiri. Tangan Nia ku tarik mendekati tubuh ku semula, rapat hingga dada bertemu dada.
“.....bahaya untuk siapa?” kali ini aku sambungkan patah bicara yang terhenti tadi. Nia pula sudah tersipu-sipu menahan rasa malu yang hadir. Senyuman menggoda ku ukir buat tatapan matanya.
“Sayang... cepatlah bagitahu abang! Bahaya untuk siapa ni?” Dagu ini ku sangkut ke bahu itu sambil pelukan tangan ku biar melingkari pinggang rampingnya.
“Bahaya untuk tatapan anak-anak kita bang,” ucap Nia malu-malu.
“Hurmm... anak kita tak faham apa-apa lagi! Ke... bahaya untuk tatapan mata mamanya?” persoal ku buat Nia ketawa kecil. Pinggang ku dicubit sekali, hampir menyeringai aku dibuatnya dan dia pula semakin galak ketawa. Dan pelukan direnggangkan sedikit, aku menatap wajah yang penuh kegembiraan itu.
“Sakit bang?” persoal Nia sambil senyum segaris.
“Sakit Yang..” leret suara ku sambil sebelah tangan menggosok pinggang yang pedih dicubit Nia.
“Lain kali nak buat lagi?” sekali lagi Nia menyoal.
“Untuk Nia abang rela... bahaya pun abang tak kisah! Sakit apatah lagi! Sedangkan lautan api sanggup abang renangi, inikan pula pedih dicubit Nia. Demi isteri tersayang, abang sanggup dan abang rela!” gumam ku buat Nia semakin galak tertawa.
“Metafora yang melampaui batas! Hessyy... ada-ada je abang ni!” ujar Nia bila tawanya semakin reda.
“Sungguh sayang, abang sanggup!” aku yakinkan Nia. Sedang hakikat yang sebenar, terkena percikan api juga sudah sakit teramat inikan pula merenangi lautan api. Memang kerja gila!
“Hesyy.. abang jomlah! Layan abang ni sampai bila pun tak habis! Jom,” arahnya lantas mahu berpusing menuju ke muka pintu namun pinggang itu ku raih ke dalam dakapan. Lehernya ku kucup penuh kasih lantas wajah ku rapatkan ke wajahnya. Bibir mungil itu ingin ku kucup. Belum sempat kenakalan ini ku teruskan, suara Qalisya menyapa.
“Jomlah papa... Sya nak mandi!” rengek Qalisya sambil menarik-narik hujung baju ku. Tindakan nakal ini mati dengan segeranya!  Aku menunduk lalu wajah pengharapan Qalisya terbias di ruang mata. Seketika kemudian wajah Nia ku pandang tanpa berkelip.
“Sorry sayang, line tak clear!” ujar ku sambil kenyit mata kanan. Nia tersenyum sambil tampar dada ku sekali sebelum berpaling lalu meninggalkan aku keseorangan di sini bersama Qalisya yang sudah lama menunggu untuk mandi di kolam renang!

BAB 55
Di kolam renang, riuh rendah suara Amsyar dan Qalisya bermain air sedikit sebanyak menyenangkan hati ini, sungguh aku terhibur dengan keletah keduanya. Nia pula masih setia memerhatikan aku dan anak-anak kami bermain, Amsyar tampak teruja hingga becok mulut itu menuturkan kata-kata yang sukar untuk aku fahami berbanding Qalisya yang semakin petah berbicara.
Walau rasa dingin sudah mula menggigit permukaan kulit ini, aku masih cuba bertahan demi menemani keduanya bermain kerana aku tahu selepas ini pasti sukar untuk aku peruntukan masa yang berkualiti buat keduanya,  melainkan pada cuti hujung minggu sahaja. Dan Nia juga pasti akan kembali menguruskan butiknya.
Mujur juga mama sudi menjaga mereka berdua sepanjang aku dan Nia keluar bekerja. Abah pula sedang ku pujuk hati tua itu, agar kembali semula kepada mama, kerana aku mahu mereka bersatu sebagai suami isteri dan tinggal bersama kami seperti yang pernah aku rasakan dahulu.
“Abang, jauh termenung?” Nia duduk di birai kolam renang dengan kaki terjuntai ke dalam air. Melihat mama mereka datang menghampiri, Amsyar dan Qalisya menjerit kesukaan sambil menggapai tangan untuk mendekati Nia.
“Sayang.. bahagia tak?” soal ku bangkit lalu mengangkat tubuh duduk di sisi Nia. Kaki ini ku biarkan terjuntai ke dalam air kolam sama seperti Nia.
“Kenapa abang tanya?” soalan Nia membuatkan aku tersenyum sambil mata tidak lepas melihat karenah kedua anak ku yang sedang menepuk-nepuk permukaan air . Pelampung yang mengapungkan tubuh mereka ku biarkan ke tengah kolam dan sesekali aku pastikan keadaan mereka selamat dan tidak membahayakan. Gusar juga andai terjadi sesuatu yang tidak diingini!
“Sebab abang nak dengar dari mulut Nia sendiri!” ungkap ku lagi.
“Nia bahagia dan Nia bersyukur dengan rasa yang Allah berikan kepada kita saat ini. Kalau boleh Nia nak sentiasa rasa gembira macam ni,” Nia luahkan rasa hatinya dan aku pamer segaris senyuman.
“Sungguh?” aku soal Nia dan dia angguk sekali.
“Abang pula macam mana? Bahagia dengan Nia? Dengan kehidupan kita?” persoal Nia ku sambut dengan anggukan kecil sebagai respon terhadap pertanyaannya itu.
“Sungguh! Abang betul-betul rasa bahagia! Teramat sangat!” jawab ku sehabis jujur! Seketika kemudian, aku kalihkan pandangan ke tengah kolam! Ingin mencipta satu kenangan bersama isteri ku, Nia.
“Abang nak mandi dengan Nia,” ujar ku seraya menarik tubuh Nia masuk ke dalam kolam.
“Abang, apa ni? basahlah Nia!” jeritan Nia bergema. Aku ketawa manakala anak-anak kami bersorak gembira!
“Abang jahat!” gumam Nia perlahan. tegak berdiri memandang aku yang sedang memerhatikan dirinya.
“Really?”
“Yes.. definetely!” aku ketawa dengan jawapan balas Nia.
“I love you, sayang!” sejurus itu aku ucapkan ayat ini bersama senyuman manis.
“Lagi?”
“I love you.. honey!”
“Lagi?” minta Nia tanpa henti.
“I love you, darling!”
“Lagi?”
“I really... really love you!”
“Lagi?”
“Malaslah nak cakap...” sahut ku sekadar mengusik.
“Ha.. tengok tu! Nia suruh ulang aje, itu pun abang dah tak larat! Kata, lautan apa sanggup direnangi! Ini tak... Nia cuma minta abang sebut ayat tu berulang kali. Itupun abang dah tak mampu!” gerutu Nia. Wajah itu sudah bertukar cemberut!
“Nak lagi?”
“Hurmm!” sahut Nia bersama anggukan kecil.
“Okey.. get ready!” aju ku buat Nia tersipu. Perlahan-lahan aku dekati dirinya dan senyuman menggoda ku hadiahkan kepada dirinya.
“Nur Farhanatul Nadia,” namanya ku seru. Jari jemarinya ku sentuh!
“Ya, Muhammad Fiqri Attar!” sahut bibir merah sensual itu senada.
“Abang sayangkan Nia!” di tengah-tengah kolam, aku ucap ayat itu sekuat hati. Dan Nia tampar dada ku berkali-kali kerana merasakan sedikit segan tatkala perbuatan ku tika ini mengundang perhatian Pak Deris dan Mak Mah. Tercegat keduanya memerhatikan kolam renang yang menjadi saksi pengkuan cinta lelaki ini!
“Shhhh... apa abang ni? Malulah, Pak Deris dan Mak Mah tengok!” bisik Nia perlahan.
“Ala.. mereka masa muda-muda pun sama macam kita juga. Apa yang nak dimalukan,” aku sedapkan hati Nia.
“Tapi, Nia malu.... abang lainlah! Memang spesis tak tahu malu,” gumam Nia buat aku mencebik.
“Abang memang tak tahu malu,” sambut ku lantas kucupan ku jatuhkan ke pipinya.
“Abang, sudah la... Pak Deris tengok tu!” ungkap Nia melirik ke arah halaman yang sedang diselenggarakan oleh Pak Deris. Sesekali dia menolak pelukan ini.
“Takpe, dia tak marah punya!” ucap ku selamba. Mengeratkan lagi pelukan!
“Abang ni,” Nia merungut lantas bibirnya ku kucup laju. Tersentak Nia buat seketika. Aku senyum membalas pandangan bening isteri ku ini!
“Nia sayangkan abang?” aku bertanya lagi.
“Ya, Nia sayangkan abang!” wajah basah itu sekali lagi ku kucup bersama pelukan yang erat melingkari tubuhnya. “Thanks sayang!” ucap ku pendek.
“Abang jangan lepaskan Nia, kaki Nia tak sampai bang.” Gumam Nia memperingatkan aku.
“Bukan ke Nia pandai berenang. Kalau tidak masakan dulu waktu abang lumpuh Nia boleh selamatkan abang?” persoal ku buat Nia tersenyum.
“Ala nak manja-manja pun tak boleh,” tutur Nia mesra. Berpura-pura bagai tidak tahu berenang hingga menimbulkan kehairanan di benak ini.
“Oh sayang abang ni nak bermanja ke? Ingatkan Nia betul-betul tak tahu berenang tadi, ” sambut ku perlahan. Senyuman dan pelukan ini semakin ku eratkan dan pandangan mata Nia ku balas dengan lirikan yang menggoda.
“Tuan Attar jangan nak mengada-ngada di tempat awam ya.” Peringat Nia buat aku ketawa besar.
“Abang nak bagi adik pada Amsyar!” tutur ku selamba.
“Kesian Amsyar dan Qalisya, bosan main berdua!” ujar ku lagi membuatkan Nia menjegilkan matanya. Lantas aku hamburkan tawa ini melihat reaksi dari Nia. Sejujurnya, aku sukakan   riak wajah Nia yang marah-marah manja sebegitu! Tawa ku hentikan dan Nia ku perhatikan tanpa jemu.
“Eiii tak malu. Seganlah bang, dekat kolam renang pun boleh buat kerja!” gerutu Nia perlahan menyapa pendengaran.
“Sayang ni, suka sangat bersalah sangka! Takkan la abang nak baham sayang di tengah-tengah kolam renang ni. Hessyy malu la...” sambut ku dalam rona wajah yang sudah bertukar kemerah-merahan.
“Aik, abang malu? Macam tak percaya je?” tubuh Nia masih ku ampu dan masih terapung di tengah kolam. Sesekali Amsyar dan Qalisya ku perhatikan. Masih gembira dan seronok menepuk permukaan air.
“Apa?  Ingat abang ni tak reti malu ke? Abang ni pemalu sebenarnya!” sambut ku buat Nia ketawa kecil.
“Yelah, abang pemalu.... okey sekarang ni Nia dah sejuk. Nia nak naik ke atas,” pinta Nia ku baut endah tak endah! Namun dengan tiba-tiba hujan turun dengan selebat-lebatnya.
“Dah hujan, cepat naik ke atas! Nanti demam,” tutur ku sedikit kuat menyaingi bunyi hujan yang turun. Dalam kesejukan yang semakin menggigit, tubuh Nia ku bawa rapat ke dinding kolam agar dia dapat naik ke atas sana. Seketika kemudian  aku berenang semula ke tengah kolam mendapatkan Amsyar dan Qalisya yang semakin galak bermain air hujan!
Keduanya ku dukung lalu ku bawa mereka berlindung di bawah gazebo, tuala kecil ku balut di tubuh itu lantas keduanya ku serahkan kepada Mak Mah yang sedia menunggu di muka pintu.
Sesudah itu aku dapatkan Nia, isteri ku ini sedang kesejukan! Perlahan-lahan tuala yang membalut tubuh ini ku leraikan ikatannya lalu ku hamparkan ke belakang tubuhnya. Wajah yang basah dan tampak menggigil itu ku sentuh dengan hujung jari lalu anak mata itu ku renung sedalamnya.
“Abang cintakan Nia!” aku ungkap perkataan itu entah yang ke berapa kali! Dan Nia juga membalas sambil mengelus rambut ku yang basah.
“Nia juga cintakan abang!”
 “Terima kasih sayang,” ucap ku ikhlas dari hati. Nia melentokkan kepalanya sambil merapatkan pelukan di tubuh ini.
Titis hujan ku perhatikan tanpa jemu, akhirnya aku kembali merasai damai dan ketenangan jiwa yang suatu ketika dahulu hilang dari hati yang pernah tercalit noda dan kelam dosa silam. Ku akui, segala yang terjadi dan segala yang tersurat hanyalah satu jalan hidup yang memberi peluang untuk aku kembali dekat kepada Sang Pencipta. Dan ku akui kerana ujian dan dugaan yang silih berganti itu, aku dihadiahkan sebuah kebahagiaan yang tiada tolok bandingnya. Aku bahagia di sisi Nia dan aku bahagia bersama ibu bapa yang akan kembali bersama dan aku juga bahagia bersama anak-anak yang comel dan manja kaletahnya.
Sesungguhnya aku yang bernama Muhammad Fiqri Attar telah peroleh cinta dan kasih sayang Allah di hujung noda yang telah lama ku tinggalkan dahulu.

Terima Kasih Tuhan menganugerahkan kehidupan yang membawa seribu ketenangan dan kebahagiaan ini. Dan satu pinta ku sebagai seorang suami kepada An Neesa yang telah pergi dahulu, doa ku agar dia tenang di alam sana. Dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman, serta di dalam golongan orang yang soleh dan solehah. Aaminnn.


TAMAT


p/s: maaf atas kekurangan cerita ni. Cerita bertahun dulu sewaktu AI masih belajar menulis. Semoga terhibur dan jangan salin dalam bentuk apa jua keadaan dan bentuk , AI tak izin dan tidak membenarkannya. Maaf atas segala kekurangan dan semoga support karya Ai yang lain. Jangan lupa baca kisah Usop Hantu vs Cik Bunga. Salam sayang dari Aulia Iman.

2 comments:

  1. Happy sgt sbb lps segala macam dugaan yg menimpa, akhirnya attar dan nisa bahagia.syg pulak Xdibukukan.Tqvm AI utk cerita ni 😀😍🤗👍👍👍

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.